Thursday, June 15, 2017

DI SEBALIK TABIR SESI FOTOGRAFI 2017

Bismillahirahmanirrahim.

Kembar tiga, penyeri tadika sudah berada di tahun akhir
di Taman Mawar.

Alhamdulillah, dengan berkat dariNya, murid-murid dan juga guru-guru kini berada di dalam Semester 2 2017, cerita semester 1 sudahpun tertutup rapat dan segala kenangan dan pengalaman yang kami lalui bersama anak-anak didik kami tersemat cantik dalam ingatan.

Permulaan untuk semester 2 pada tahun ini agak mencabar kerana kami memulakan semester baru ini dalam bulan puasa. Bermacam-macam ragam yang kami terima dari anak-anak murid. Mungkin kerana sebelum ini mereka berada di rumah, jika penat dan lapar ketika berpuasa, boleh mereka berehat ataupun tidur, tetapi tidak apabila sesi persekolahan telah bermula.

Bermula dengan minggu ini juga Sesi Fotografi 2017 diadakan. Seperti biasa, Cikgu Azreen diamanahkan untuk ke seluruh tadika MyBistari Group untuk mengambil gambar murid. Jika untuk semester 1, cuma gambar kelas dan gambar individu murid K1 sahaja yang diambil, kali ini, keadaannya agak rumit sedikit, dijalankan sekali sesi fotografi graduasi murid K2. Kami faham kepayahan yang dihadapi oleh Cikgu Azreen, jika hendak menyusun atur murid untuk bergambar kelas sahaja sudah mencabar, apatah lagi murid yang perlu kami sediakan berpakaian jubah graduasi, perbetulkan cara berdiri dan cara memegang skrol. Jadi kami memang mengharapkan jasa baik pihak ibu bapa supaya menghadirkan anak-anak anda mengikut tarikh yang telah ditetapkan. Tidaklah sukar bagi Cikgu Azreen untuk datang semula ke cawangan untuk mengambil gambar murid.

Duduk dulu, nanti cikgu susun semula (TM)

Syuusshhh.. tak boleh buat bising, ada kelas lain yang sedang belajar (TM)

Duduk betul-betul, jangan main-main (TIB)

Baju ni memang besar eh cikgu? (TIB)

Tempat sebelah ni saya dah simpankan untuk kawan saya. (TNPB)

Saya posing macam ni ok tak cikgu? (TNPB)

Ok.. sedia semua..!! (TKM)

Wahhh.. cantiknya awak pakai jubah ni!! (TKM)

Jadual sesi fotografi kali ini lebih panjang dari biasa kerana kami juga mengambil kira kudrat cik jurufoto kami di bulan puasa. Hanya satu cawangan sahaja yang diperuntukkan dalam sehari bagi kedua-dua sesi. Buat masa ini cawangan yang sudah selamat menjalani sesi fotografi adalah Tadika Pintar Bistari Taman Mawar, Tadika Inovasi Bestari, Tadika Nur Pintar Bestari dan juga Tadika Pintar Bistari Tmn Kota Masai. Di sini saya sertakan sekali baki jadual bergambar mengikut cawangan yang akan dilaksanakan minggu hadapan:

  • 18/6/17 ( Ahad ) – Tadika Ilmu Pintar Bestari
  • 19/6/17 ( Isnin ) – Tadika Pintar Bistari Taman Scientex 1
  • 20/6/17 ( Selasa ) – Tadika Pintar Bistari Taman Scientex 2
  • 21/6/17 ( Rabu ) – Tadika Minda Pintar Bestari
  • 22/6/17 ( Khamis ) – Tadika Intelek Minda Bestari

Pastikan anak tuan dan puan berpakaian seragam tadika yang lengkap. Sekiranya tidak dapat hadir kerana kurang sihat atau pun ada permasalahan yang tidak dapat dielakkan, sila berhubung dengan Guru Besar. Gambar yang diambil kali ini akan diberikan kepada ibu bapa semasa perjumpaan di hari terbuka semester 2 nanti.

Dalam pada itu, jangan lupa untuk terus memberikan semangat kepada anak-anak kita untuk berpuasa ya! Semoga mereka tidak merasakan puasa ini sebagai satu bebanan, tetapi sebagai satu kejayaan bila dapat bertahan hingga ke azan Maghrib!

~Cikgu Norifah~

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana meninggalkan komen anda samada negatif @ positif. Sila berikan nama anda agar ukhwah terus terjalin.