Tuesday, May 31, 2016

MENITI JALINAN KASIH IBUBAPA DAN GURU



Bismillahirrahmanirrahim

“Ya Allah, berkatilah pertemuan kami ini, berkatilah jua usaha-usaha kami, ilhamkanlah dalam fikiran dan minda kami, pandangan-pandangan dan keputusan-keputusan yang bernas. Kurniakanlah kepada kami limpahan ilmu yang berguna dan kefahaman yang luas. Satukanlah hati-hati kami, eratkanlah silaturrahim dikalangan kami.”

Esok bakal dilaksanakan salah satu daripada aktiviti yang penting bagi kami warga MyBistari Group, iaitu Hari Terbuka Semester 1. Setiap guru dari semua cawangan bertungkus lumus untuk menerbitkan idea-idea yang kreatif dan menarik sebagai paparan ibu bapa yang akan datang ke tadika. Perah otak dan tenaga, bukan sahaja dari segi dekorasi di tadika, tetapi juga persediaan menyemak kertas peperiksaan Semester 1 2016.

Pertemuan ini amat bermakna bagi kami tenaga pengajar kerana inilah antara masa yang kami ada untuk berkongsi rasa dan pendapat mengenai prestasi anak-anak yang dipertanggungjawabkan kepada kami. Hendak harapkan perbualan di telefon sahaja, senang cerita tak puas. Di hari lain pula masing-masing sibuk dengan kekangan kerja dan tanggungjawab yang lain jadi pergunakanlah hari terbuka ini sebaiknya.

Terus terang saya katakan, bermula dari kelmarin guru-guru bekerja dengan debaran di hati. Bukan semua ibu bapa yang akan hadir nanti datang dengan hati yang terbuka dan berbunga-bunga, akan ada juga yang akan hadir dengan seribu persoalan yang ingin diutarakan kepada guru-guru kelas berkenaan prestasi anak mereka. Insyaallah kami bersedia.


Buat masa ini, jom kita imbau hari terbuka tahun lalu!

Tekun mendengar penerangan guru.

Papan notis hasil kreativiti guru.

Jom ambil gambar sebelum balik!

Tema dinosaur.. wahhh.. siap ada fosil!

Menanti giliran bersua muka dengan guru kelas.
Jadi buat masa ini, yang mampu saya lakukan, adalah menanti hadirnya hari esok. Menanti cerita suka duka hari terbuka untuk dikongsikan bersama pada entri yang akan datang.

 ~ Cikgu Norifah ~ 

Sunday, May 29, 2016

SELAMAT HARI GURU!!

Penyelia Pn Norafizah dengan guru-guru dari Tadika Minda Pintar Bestari

“Bersabarlah terhadap kerasnya sikap seorang guru, sesungguhnya gagal mempelajari ilmu kerana memusuhinya.” – Imam Syafie.

Bismillahirrahmanirrahim.

Pada 16hb Mei 2016, hari Isnin yang lalu, buat pertama kalinya, pihak MyBistari Group mengadakan sambutan Hari Guru tepat pada hari yang ditetapkan. Walaupun persiapan dan perancangan telah dilakukan awal, bila tiba hari yang dijanjikan keadaan jadi sedikit kelam kabut, bukannya apa, selalunya kami akan ada extra sehari untuk menaikkan perhiasan dan props yang disediakan cikgu-cikgu, tetapi disebabkan JDT menang dan arahan cuti telah dikeluarkan oleh pihak PPD, cuti hujung minggu cikgu bertambah. Persiapan yang dijangka dapat diselesaikan sebelum hari guru terpaksa dilaksanakan pada awal pagi Isnin.

Seperti biasa para penyelia akan melawat cawangan yang berada di bawah jagaan mereka.Bagi saya yang sudah bertukar jawatan, Taman Mawar sahajalah tempat untuk saya merasai kemeriahan sambutan Hari Guru. Tahun ini giliran Pn Noor Faridah untuk merasai kemeriahan di cawangan-cawangannya kerana sebelum ini kegembiraan sambutan Hari Guru cuma dapat dirasainya di Taman Scientex 1 sahaja.

Saya berkesempatan untuk bertanya dengannya, apa rasanya sambutan Hari Guru tahun ini, ada kelainan atau tidak? Bila terdengar tawanya, fahamlah saya itu gelak tawa seorang guru yang berpuas hati dan gembira dengan nikmat yang satu ini.

“Satu pengalaman baru, Cikgu Norifah!” katanya dalam nada gembira.

“Sebelum ni kat TS1 sahaja, kali ni kita dapat rasa sambutan di Kota Masai 2 dan Kota Masai 1,” pastinya dia dapat merasakan perbezaan sambutan di setiap cawangan.

Keseronokkan yang dirasakannya itu adalah berpunca dari sambutan murid-murid dan guru apabila tiba ke cawangan mereka. Masih lagi terasa keterujaan apabila tiba di pintu pagar tadika, murid-murid akan menyambut kami dengan ucapan “Selamat Hari Guru!!” Nikmat ucapan itu, ditambah dengan cerianya wajah anak-anak murid, bak kata orang putih, priceless!


Acara makan-makan sebelum games dimulakan

Sempat lagi posing sebelum suap murid makan

Tadah tangan semua, baca doa dahulu

Selamat Hari Guru dari kami di Tadika
Inovasi Bestari
Cikgu Norieza dan Cikgu Ayu sibuk menguruskan makanan yang diberi oleh
ibu bapa.. terima kasih ye!!

“Lagi satu, tak sangka kita masih dapat hadiah, bukan sahaja dari cawangan lama kita, tapi dari murid-murid Kota Masai 1 dan 2! Murid-murid tu semua tak lupakan kita kak!” saya turut tertawa mendengar cerita yang ini.

Sudah menjadi sifat semulajadi anak-anak kecil, jika kita melayan mereka dengan baik, ingatan mereka pada kita Insyaallah sentiasa ada. Sama juga dengan kes memberi hadiah ini, murid ada masanya akan memberi hadiah kepada cikgu-cikgu yang dekat dihati mereka. Ada guru kelas yang tak diberinya hadiah, kerana sayangnya jatuh pada cikgu yang menjaga pagar. Itu perkara biasa.

Dalam masa yang sama, kami sering memperingatkan cikgu-cikgu, Hari Guru bukanlah hari pengumpulan hadiah, kerana kami tidak mahu ianya menjadi satu kewajiban bagi murid-murid menghargai guru mereka dengan cara itu. Jika dapat, Alhamdulillah.. rezeki dari segi material, jika tidak dapat, Alhamdulillah juga.. Allah menjaga riak kita untuk terus merendah diri dalam menyampaikan ilmu kepada murid.


Bergambar berama hadiah yang diterima
"Selain dari itu, kita juga dapat tengok kreativiti cikgu yang berbeza-beza di setiap cawangan yang berbeza. Bagus kak, cikgu-cikgu ni idea dan hasil yang mereka buat, sangat cantik!" senyuman masih tak lekang dari bibir Cikgu Faridah.

Betul, jauh perjalanan luas pemandangan, minda lebih terbuka. Walau mungkin idea yang terhasil dari mereka ada ketikanya sama, olahan idea yang terhasil itu berbeza. Contohnya perkara yang trend sekarang ini adalah sudut bergambar, idea itu sama, tapi cara mendirikan sudut begambar itu berbeza di setiap cawangan.

Apa lagi Cikgu Faridah? Apa lagi yang buat cikgu rasa bezanya sambutan hari Guru dari zaman menjadi guru besar dan kini sebagai penyelia?

"Gamesnya kak. Seronoknya tengok murid-murid bermain dengan cikgu-cikgu. masa ni lah murid-murid dapat bermanja dan bergurau senda dengan cikgu-cikgu. paling best pada kita rasa games kat TS1. nama games tu 'Mana Cikgu Saya?'. Murid kena tutup mata kemudian cari cikgunya berpandukan suara cikgu yang memanggilnya. Best kak tengok telatah cikgu dan murid-murid," semakin ceria suara Cikgu Faridah.


Ok semua.. tutup mata.. fokus pada suara cikgu sahaja!!

Cepat... tinggal awak seorang aje ni!! Dengar tak suara cikgu kat mana?
Semasa sesi ini diadakan, bahangnya makin terasa apabila murid-murid yang lain bersorak memberikan sokongan kepada rakan mereka yang terlibat dalam permainan yang sedang dijalankan, tak kurang juga yang menyokong pihak guru. Seronok! Tak dapat digambarkan dengan kata-kata.


Masa ni lah boleh lukis kat muka cikgu.. hehehe

Sesi mendandan anak murid

Teknik bersolek sambil baring

Antar games yang digemari ramai, rebut kerusi

Sedia untuk gigit epal tu!

Cikgu.. tu kerusi cikgu.. bukan anak murid
Itulah antara rasa yang sempat Pn Noor Faridah kongsikan bersama saya. Satu pengalaman baru baginya yang pasti menjadi kenangan manis sepanjang menjadi tenaga pengajar di sini. terima kasih ya Puan Noor Faridah.

Mahu lihat lebih banyak lagi gelagat menarik ketika sambutan Hari Guru? Klik di sini

Tunggu nanti masa Hari Terbuka yang akan diadakan pada 1hb dan 2hb Jun, masa itu juga adalah masa yang bermakna bagi para penyelia. jika sebelum ini terhad hanya pada cawangan yang diamanahkan sahaja ketika menjadi guru besar, kini ruangk lingkupnya lebih luas. Silalah berkongsi rasa dan pengalaman dengan ibu bapa yang lain.

Cikgu Norifah


BERUS GIGI GERGASI

Mari tengok.. ok tak giginya ni?


Bismillahirrahmanirrahim.

Masih ingat lagi lawatan sahabat Sang Singa ke tadika-tadika MyBistari beberapa bulan yang lepas? Sehingga ke hari ini masih ada lagi yang bercerita tentangnya. Lagilah bila diberitahu akan ada pemeriksaan gigi oleh Klinik Pergigian Pasir Gudang.

“Ada cerita nyum nyum nyum tu lagi eh cikgu?”

Itu rupanya yang melekat diingatan mereka. Bahagian itu yang paling menarik minat mereka mungkin.

Pada 22hb Mei 2016 yang lalu, pihak Klinik Pergigian Pasir Gudang telah membuat lawatan ke salah satu cawangan kami, Tadika Pintar Bistari Taman Scientex 2. Murid-murid sudah bersemangat menunggu dengan berus gigi, ubat gigi dan gelas. Nanti akan ada demonstrasi menggosok gigi.

Jom tengok aksi mereka semasa sesi penerangan dilakukan.

Sesi bercerita

Wow!! Besarnya berus gigi!!

Saya!! Saya nak jawab!!!

Asyiknya dia menggosok gigi.

Gosok jangan tak gosok

Beratur menunggu giliran untuk diperiksa giginya.

Buka mulut luas-luas sikit..
Misi sukses di Taman Scientex 2!
Mengikut perancangan, destinasi seterusnya adalah di Tadika Pintar Bistari Taman Mawar. Tapi disebabkan oleh permasalahan yang tak dapat dielakkan (pada hari yang sama 26hb Mei 2016, Khamis) pihak TNB akan membuat penyelenggaraan di Taman Mawar, sesi ini akan dianjakkan ke tarikh yang akan diberitahu kelak. Cawangan- cawangan yang lain, tunggu ya!!

 Cikgu Norifah

Saturday, May 21, 2016

SESI PENERANGAN KELAS BISTARI & SEMPOA 2016





Sebelum abahnya bersilat setengah hari...anaknya dah bersilat terlebih dahulu. 

Bismillahirrahmanirrahim.

Lawatan sudah, peperiksaan pun sudah. Kali ini giliran untuk agenda seterusnya yang sememangnya menjadi acara tahunan bagi MyBistari Group; Sesi Penerangan Kelas Bistari & Sempoa. Program seumpama ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada ibu bapa bagi murid-murid yang terpilih untuk masuk ke kelas 5 Bistari.

Bukan calang-calang murid yang kami pilih untuk berada di dalam kelas ini. Sebelum peperiksaan semester 1 dijalankan, kami terlebih dahulu telah menguji anak-anak ini. Jadi, keputusan ujian penilaian kelas bistari itu kami nilaikan sekali dengan keputusan peperiksaan mereka. Selain dari itu, ada juga beberapa kriteria yang kami ambil kira dalam pemilihan saban tahun ini.

Murid-murid yang terpilih hendaklah :
  • Melepasi buku 6 Bacalah Anakku.
  • Penilaian khas (huruf A-Z dan mengenal nombor).
  • Kerja rumah / worksheet disiapkan dalam waktu yang ditetapkan
  • Memberi tindakbalas yang positif dan memberangsangkan ketika sesi P&P dijalankan.

Bertempat di TS Hotel, Taman Scientex pada 14 Mei 2016 yang lalu, Sesi Penerangan Kelas Bistari & Sempoa bagi tahun ini telah dijalankan. Alhamdulillah, penyertaan dari pihak ibu bapa memberangsangkan. Terima kasih kami ucapkan kerana sudi meluangkan masa cuti ibu bapa untuk menghadiri program ini. Seawal pagi, jam 7.45 sudah ada ibu bapa yang hadir walaupun telah diberitahu bahawa program akan bermula pada pukul 9.00 pagi. Teruja katanya.

Antara ibu bapa yang hadir sedang mendengar penerangan berkenaan
kelas bistari oleh En. Ahamed Tamizi.


Program dimulakan dengan penerangan kelas bistari. Ibu bapa diberi pendedahan tentang tujuan kelas ini diadakan, kriteria pemilihan anak murid dan perbezaan antara kelas ini dengan kelas normal yang sedia ada. Setelah sesi soal jawab diadakan, program direhatkan seketika dan ibu bapa dijamu dengan sedikit kudapan. Isi perut dahulu sebelum acara perah otak bermula. Dalam pada itu juga, ibu bapa berkesempatan untuk melihat buku-buku yang digunakan dalam sesi P&P murid di ruangan yang disediakan di belakang dewan.

Ibu bapa mengambil peluang untuk melihat buku-buku yang digunakan
dalam sesi P&P.

Setelah berehat kira-kira dalam setengah jam, program kelas sempoa pun dimulakan. Disinilah keseronokkan itu bermula. Berbagai kerenah ibu bapa yang dapat kami saksikan. Tak mengapa, kami faham, silibus anak-anak yang sepanjang satu semester ini perlu dipelajari oleh ibu bapa dalam masa dua jam.

"Berpinar biji mata tengok nombor dan manik sempoa ni cikgu!"
"Leceh pegang pensel macam ni, naik berpeluh tapak tangan."
"Dah tua-tua ni cikgu, otak jem."

Itu antara komen yang saya sendiri dapat ketika membantu mereka dalam sesi latihan. Tak apa, tujuan kelas ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan  kepada ibu bapa tentang subjek sempoa yang bakal dijalankan bila semester 2 nanti. 

Fokus.. cuba siapkan latihan yang diberi.

Guru-guru turut membantu ibu bapa bagi memudahkan proses
pembelajaran.

Cuba bayangkan manik sempoa tu.. jangan sentuh ye manik di sempoa..

Antara ibu bapa yang hadir berpasangan, sama-sama ingin belajar demi
pendidikan anak.

Wakil dari Tadika Ilmu Pintar Bestari, Terima kasih kerana sudi
meluangkan masa.

Seperti yang telah diberitahu oleh En Tamizi, sekiranya ada sebarang permasalahan atau pertanyaan, ibu bapa sangat dialu-alukan untuk menghubungi pihak tadika dan juga boleh datang terus ke tadika untuk belajar lebih lanjut, tapi sila hubungi Guru Besar terlebih dahulu sebelum datang, biar pihak guru dapat sediakan masa. Kami tunggu ya!

~ Cikgu Norifah ~

Monday, May 9, 2016

DEBARAN MASIH TERASA


Berdoa dulu sebelum jawab soalan

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah berakhir juga peperiksaan semester 1 bagi tahun ini. Oppsss.. tapi bagi di cawangan-cawangan Tadika Pintar Bistari, Tadika Nur Pintar Bestari, Tadika Ilmu Pintar Bestari dan Tadika Minda Pintar Bestari sahaja ye.. murid- murid di Tadika Inovasi Bestari masih ada dua kertas lagi yang perlu mereka jalani. Ini semua kerana mereka telah dicutikan pada hari Rabu yang lalu disebabkan oleh selenggaraan elektrik oleh pihak TNB. Selamat menjawab soalan ye!!

Dengan berakhirnya peperiksaan ini, guru-guru akan mula sibuk dengan tugasan yang lain; menanda dan menyemak kertas soalan murid. Satu tugasan yang memerlukan perhatian yang serius. Naik berpinar mata cikgu menanda kertas anak-anak murid, mana taknya penandaan bukan sekadar sehelai dua, tapi berpuluh-puluh helai. Tak cukup dengan guru yang menanda, akan ada pula guru yang akan menyemak kembali penandaan yang telah siap dan kemudian, Guru Besar pula yang akan menyemak untuk kali terakhir. Macam nak menghasilkan minyak yang berkualiti tinggi, saringan kertas itu juga berperingkat-peringkat.

Kami sentiasa cuba untuk memberikan yang terbaik, termasuklah dalam proses penandaan kertas soalan. Tetapi ada masanya, bila sudah terlalu banyak kertas yang hendak ditanda dan disemak, guru-guru kami juga tidak lepas dari membuat kesilapan, walaupun telah diperiksa sehingga peringkat yang teratas sekali, pihak Guru Besar. Di sini saya ingin memohon jasa baik ibu bapa, sekiranya nanti terdapat kesilapan dari pihak kami dalam segi penandaaan, harap dapat berbincang dengan baik dan segala pertukaran markah atau kedudukan anak tuan puan sekiranya agak terlewat dari pihak kami, harap maklum mungkin di ketika itu ada perkara lain yang perlu kami utamakan.

Segala perubahan dari segi markah dan kedudukan, itu adalah tugasan kami di bahagian pengurusan, bukan tugasan guru-guru dan Guru Besar di cawangan. Pernah sebelum ini ada ibu bapa yang meminta Guru Besar untuk terus menukar kedudukan di laman web kami pada waktu itu juga. Maaf ye, ibu.. ayah.. mereka tidak dapat berbuat demikian kerana mereka perlu melaporkannya terlebih dahulu kepada kami.

Sebelum terlupa, ingin saya kongsikan serba sedikit gelagat-gelagat yang sempat dirakam ketika peperiksaan dijalankan tempohari. Mari kita tengok siapa yang khusyuk menjawab soalan dan mana yang seperti menunggu jawapan turun dari langit.
Tekun menjawab kertas soalan.

Kuat semangat.. tak sihat pun datang untuk
ambil periksa.


Ehhh... masih sempat lagi posing.. fokus adik fokus!

Alamak! Huruf yang mana satu ye?

Senang aje soalannya ni.

Guru sedang memantau perjalanan peperiksaan.

Ni.. semak betul-betul sebelum hantar kertas pada cikgu.

Cikgu memerhati sahaja jawapan yang ditulis oleh murid.

Penerangan kertas soalan kepada murid-murid sebelum peperiksaan dimulakan.

Cantiknya adik ni mewarna...

Debaran sebenarnya masih belum berakhir lagi bagi pihak guru kerana dengan berakhirnya peperiksaan semester 1 ini, akan ada agenda lain yang menunggu, Hari Terbuka Semester 1. Hari di mana pihak ibu bapa akan datang berjumpa dengan guru-guru, berbincang mengenai prestasi anak-anak bukan sahaja dalam hal peperiksaan, tetapi juga perkembangan JERIS (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek, Sosial) anak-anak sepanjang semester 1. Kita sama-sama nantikan hari yang mendebarkan ini ye! Bila tu?

Untuk K1 ~ Rabu 1 Jun 2016
Untuk K2 ~ Khamis 2 Jun 2016

Tetapi sekiranya tuan puan ada 2 anak diperingkat K1 dan K2, maka boleh memilih mana2 hari yang  dirasakan bersesuaian. 

~Cikgu Norifah~

Wednesday, May 4, 2016

DEBARAN PEPERIKSAAN SEMESTER 1 2016


Bismillahirrahmannirahim..

Minggu ini merupakan minggu yang amat mendebarkan bagi seluruh warga Mybistari, tak kiralah dari pihak guru, anak murid mahupun ibu bapa. Kenapa? Kerana minggu ini merupakan minggu peperiksaan semester 1 untuk tahun ini. Nak tahu sebenarnya siapa yang paling berdebar diantara semua-semua yang ada di sini? Tentulah pihak kami, terutamanya Pn Shawariah yang diberi amanah menghasilkan semua kertas soalan. Kami pula ditugaskan untuk meyemak samada ada kesilapan dari segi soalan ataupun permarkahan. Bukan satu tugas yang mudah. Nama sahaja sekolah tadika, tetapi prosedur menghasilkan kertas soalan ini, tahap SPM! Hehehe.. Berdebar menanti panggilan telefon diawal pagi, ada silap yang kami  terlepas pandang atau sebagainya.

Seperti biasa, seminggu sebelum peperiksaan bermula, pihak tadika akan menyerahkan semula worksheets terdahulu murid untuk ulangkaji. Ada juga guru-guru yang mengambil inisiatif mencari worksheet dari tahun terdahulu, difotostat dan diedarkan kepada murid-muridnya sebagai latihan tambahan. Ada juga yang sanggup buat soalan sendiri, lukis dan sebagainya untuk dijadikan latihan tubi kepada anak-anak murid. Bekerja keras sungguh cikgu-cikgu kita ni.

Sehingga kini, asal ada sahaja masa terluang, cikgu akan gunakan untuk mengulangkaji pelajaran subjek yang seterusnya.

Peperiksaan yang bermula pada hari Isnin yang lalu dimulakan dengan subjek Bahasa Malaysia dan Matematik. Agak kelam kabut sedikit bagi guru-guru  yang ditugaskan menjaga kelas 5 tahun, almaklumlah, perkara baru bagi mereka. Dalam bayangan mereka, peperiksaan ini ibarat penerangan worksheet, buat satu kemudian beralih ke soalan seterusnya. Tapi Alhamdulillah, guru-guru dapat mengawal situasi dengan baik. Kami di bahagian pengurusan juga turut turun padang membantu mana-mana yang patut. Sebagai hadiahnya dapatlah saya bekas di tangan, akibat digigit oleh murid yang agak aktif di dalam kelas, diwarnanya lengan jubah saya sebelum warna di kertas soalan. Takpalah, asalkan dia mahu menjawab soalan sudah cukup bagi saya.

Keesokkan harinya, hari Selasa, situasi semakin tenang. Mungkin mereka sudah faham, apa itu peperiksaan. Subjek yang diuji hari ini juga tidaklah berat sangat; Bahasa Inggeris dan Pendidikan Seni. Kurang sikit kedutan di dahi guru-guru berbanding semalam.

Sempat juga saya bertanya kepada Guru Besar Tadika Ilmu Pintar Bestari, Cikgu Seri Rahayu Nengsih, bagaimana mood cikgu-cikgu dan mood guru besar ketika peperiksaan dijalankan. Ajaibya, bak kata dialah, cikgu-cikgu dapat mengawal emosi dengan baik. Tiada yang menyinga atau mengharimaukan diri. Murid-murid yang tak dapat jawab atau yang perlukan bantuan untuk memahami soalan tu pasti ada disetiap cawangan, tapi Alhamdulillah, guru-guru dapat menyelesaikannya dengan baik. Harapnya begitulah. Kita masing-masing cuba yang terbaik untuk anak-anak didik kita.

Namun begitu, kita hanya mampu merancang. Kami menerima info dari Tadika Inovasi Bestari, akan ada penyelenggaraan elektrik di kawasan Taman Bukit Dahlia. Gangguan bekalan elektrik akan berlaku disana pada hari Rabu (4hb Mei 2016). Murid-murid terpaksa kami cutikan dan jadual peperiksaan bagi subjek Pendidikan Islam dan Sains kami tundakan ke hari Ahad (8hb Mei 2016) minggu hadapan. Pesanan dan surat sudah pun kami edarkan kepada murid-murid dan ibu bapa.

Untuk hari terakhir peperiksaan, subjek yang akan diuji adalah Sempoa bagi murid 6 tahun di cawangan Tadika Pintar Bistari dan Bahasa Arab bagi murid 5 dan 6 tahun bagi Tadika Inovasi Bestari.

Sama-samalah kita doakan agar anak-anak didik kita dapat menghadapi peperiksaan pertama mereka sebaik yang mungkin. Allahu akbar!!!


~Cikgu Norifah~

Monday, May 2, 2016

PERTANDINGAN UJI MINDA, BERCERITA & LEGO 2016




Bismillahirrahmanirrahim.

Situasi yang kami alami sebelum bermulanya raptai Pertandingan Uji Minda, Bercerita & Lego 2016:

Sedang kami berjalan – jalan di aras 2 Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang setelah bertungkus lumus membawa barang dari lori ke dalam dewan, kami dihampiri oleh 2 anggota polis. Cuak juga rasa hati ni, apa agaknya salah yang kami dah buat? Rupa – rupanya mereka hendak menyerahkan brochure berkaitan dengan kepolisian kepada kami, lega hati ini. Tetapi bila kami mula mengatur langkah untuk beredar dari situ, tiba-tiba salah seorang dari anggota polis itu bertanya,

“Cikgu ye?”

Kami semua serentak menganggukkan kepala.

“Cikgu mana?” tanyanya lagi.

“Tadika.. Tadika Pintar Bistari Taman Mawar,” agak tergagap-gagap juga saya menjawab.

“Jumpa di atas nanti,” katanya.

Perut kami kembali kecut. Alamak, ada kami buat silap kah di dewan? Tak boleh kah kami tinggalkan barangan tadika di sana sementara menanti selesai solat Jumaat?

“Anak saya masuk tarian..” katanya sambil tersenyum. Mungkin kerana dia perasan muka panik kami.

Anak anggota polis itu rupanya murid kami juga, dari cawangan Taman Scientex 1. Terima kasih Puan Maznah kerana sempat membuat kami berempat kecut perut. Hah, siapa kata anak-anak murid sahaja yang takut bila berhadapan dengan anggota polis? Cikgu pun sama juga ye..

Sekadar berkongsi cerita, bila sudah memilih cikgu sebagai kerjaya kemana-mana sahaja di muka ini bagai sudah dicop perkataan cikgu. Rasa bangga itu ada. Itu satu sisipan cerita berkaitan dengan acara yang kami jalankan pada 22 dan 23hb April 2016 yang lalu; Pertandingan Uji Minda, Bercerita & Lego 2016.

Untuk tahun ini, pertandingan ini diadakan di dewan yang sudah biasa juga bagi kami, Dewan Besar MPPG, Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang. Seperti  biasa, sehari sebelum pertandingan diadakan, kami akan mengadakan raptai terlebih dahulu. 


Raptai tarian oleh murid-murid Tadika Pintar Bistari Taman Scientex 2
Final acah-acah untuk  hari ini.

Tetapi, bahang raptai amat terasa kerana kehadiran dan sokongan yang diberikan oleh pihak ibubapa seperti pertandingan yang sebenar. Terima kasih kami ucapkan kerana memberikan sokongan kepada kami. Dengan kehadiran yang menggalakkan dari ibubapa, bukan sahaja murid-murid yang bersemangat ketika raptai, kami juga terkena tempiasnya.


Bila semua dah balik, inilah kerja pihak pengurusan..
final touch up untuk pertandingan.
Alhamdulillah, akhirnya selesai juga salah satu acara besar tahunan Mybistari Group, iaitu Pertandingan Uji Minda, Bercerita & Lego 2016.  Agak terkejar-kejar juga masanya kerana acara ini selalunya dijalankan pada semester 2. Bukan setakat kami, pekerja belakang tabir sahaja yang berpeluh bertungkus lumus bekerja untuk menjayakan acara ini, pihak guru-guru dan ibubapa juga sama. Latihan murid diadakan setiap hari, setiap masa yang terluang guru-guru akan gunakan untuk mengasah kepintaran murid-murid yang terpilih. Terhibur juga kami disini, melihat murid-murid membina lego dengan bimbingan guru-guru. Tak kurang juga yang gigih melatih peserta bercerita. Habis dibawa murid keliling tadika, dari kelas ke kelas diminta bercerita, bukan apa, supaya murid hilang rasa malu dan tidak kaku nanti di atas pentas.


Ucapan perasmian oleh Pengerusi Mybistari Group , En. Ahamed Tamizi 
Suasana dewan semasa ucapan perasmian

Para peserta Uji Minda diberi latihan akhir sebelum pertandingan.

Guru-guru mengira jumlah para peserta di bawah jagaan mereka.

Peserta bercerita juga sudah bersiap sedia.

Peserta lego menanti giliran dipanggil untuk beraksi.

Para pembaca soalan Uji Minda dan juga pengerusi majlis.
Gandingan lama dan baru.

Peserta tarian dari Tadika Inovasi Bestari.
Bakal menari lagu arab, Wassini.
Kagum kami di sini, bila murid 5 tahun, yang baru beberapa bulan bersekolah, dapat menghafal dan menggayakan cerita mereka. Kalaulah saya ada keberanian seperti mereka, alangkah bagusnya. Ditambah pula dengan peruntukan masa yang agak singkat bagi murid- murid ini berlatih hasil yang ditunjukkan oleh mereka sangat kami kagumi. Peserta tarian menari dengan baik sekali, cukup menghiburkan. Peserta bercerita juga tiada yang kaku, berani dan yakin mereka di atas pentas. 
Hasil ciptaan Lego juga bervariasi, tidak hanya tertumpu pada objek-objek tertentu sahaja seperti robot dan dinosaur. Tabik dan tahniah kepada semua murid-murid yang terlibat dalam menjayakan program ini. Cikgu bangga dengan kamu semua.


Antara para peserta Uji Minda di atas pentas.

Sedang menanti soalan yang akan dibacakan.

Betul tak agaknya jawapan yang diberi oleh kumpulan lain tu?

Aktif bercerita, bergerak ke kiri dan ke kanan.

Waaahh.. kali ini siap bawa buaian!! 

Wajah sang juara sedang bercerita.
Peserta lego di tapak pertandingan.
Hmmm... saya nak yang kecil sikit dari yang ini.
Alamak! Saya seorang saja kah yang dah siap?
Wajah-wajah ceria pemenang yang terpilih.
Bagi ibu bapa yang tidak dapat menghadiri pertandingan ini, di sini saya sertakan senarai pemenang bagi setiap kategori pertandingan.


Para pemenang Pertandingan Uji Minda 2016
Juara: Muhammad Faris Zuhry Bin Mohd Helmy 
(TPB Taman Scientex 2) 
Naib juara:  Muhammad Arif Irfan Bin Mohd Shafaril 
(Tadika Nur Pintar Bestari) 
Ketiga: Muhammad Irfan Haikal Bin Mohd Izani 
( Tadika Minda Pintar Bestari.)

Wah.. tahun ini, hero-hero yang sapu bersih tiga tempat teratas. Tahniah juga diucapkan kepada Tadika Minda Pintar Bestari, cawangan baru yang dapat menonjolkan bakat anak muridnya dengan baik.


Pemenang Pertandingan Uji Minda 2016
Bagi pertandingan bercerita pula, agak sengit dan sukar untuk ditentukan kedudukan nombornya. Hampir keseluruhan peserta memberikan persembahan yang baik. Pihak juri bertungkus lumus dalam memilih siapa yang layak bagi tiga tempat teratas. Jika Uji Minda disapu bersih oleh murid lelaki, bercerita pula didominasi oleh peserta perempuan. 


Para pemenang Pertandingan Bercerita 2016
Pertama: Nur Shazmeen Erinna Binti Mohd Rushdi 
(Tadika Nur Pintar Bestari) 
Kedua: Nur Aira Batrisyia Binti Mohd Reza 
( TPB Taman Kota Masai 2)
Ketiga: Khalisoh Binti Ishak 
(TPB Taman Scientex 1)

Para pemenang Pertandingan Bercerita 2016
Satu-satunya pertandingan yang dikhaskan untuk murid 5 tahun adalah Pertandingan Lego. Pertandingan yang sangat digemari oleh semua murid-murid. Mana taknya, ketika cikgu-cikgu sedang melatih murid-murid di cawangan masing-masing, ramai juga murid yang tidak terlibat ingin turut serta bermain lego. Siap beri komen ikhlas lagi.

"Eleh cikgu, kita boleh buat lebih cantik, cuma mak kita aje tak nak hantar borang!"

"Kenapa mesti kaki ni semua warna biru, campur-campur warna kan cantik."

Ada nada cemburu di situ, kan?

Para pemenang Pertandingan Lego
Pertama: Wan Ilman Firhan Bin Wan Hairy Madzuan 
(Tadika Nur Pintar Bestari)
Kedua: Darwisy Rayqal Bin Alfian Zahlean Shah 
(TPB Taman Mawar) 
Ketiga: Erryna Qhalisha Binti Mohd Iman Izwan 
(TPB Taman Kota Masai 2)  
Peserta bidan terjun: Shafiq Ghazi Al Fatih Bin Ahamed Tamizi 


Tahniah adik-adik 5 tahun yang memenangi Pertandingan Lego 2016!
Sebagai penghargaan, inilah hadiah-hadiah untuk semua penyertaan




Sebenarnya ada banyak gambar yang ingin kami kongsikan dengan para ibu bapa dan penjaga sekalian, tetapi jika semua diletakkan di sini, maka akan jadi panjang lebarlah entri pada kali ini. Jadi untuk para ibu bapa yang ingin melihat gambar-gambar berkaitan dengan Pertandingan Uji Minda, Bercerita & Lego 2016, bolehlah klik di sini.

Tahniah sekali lagi kami ucapkan kepada para pemenang. Bagi cawangan yang kurang menyerlah tahun ini, tidak mengapa, masih ada lagi pertandingan yang dapat ditebus semula iaitu Pertandingan Mental Aritmetik pada bulan September nanti. Jom sama-sama kita latih anak-anak murid kita bermula dari sekarang!!


~Cikgu Norifah~