Wednesday, April 19, 2017

HELLO KITTY MENGGAMIT MEMORI

Bismillahirrahmanirrahim.

Bersama Bob the builder dan Wendy
Tak sempat duduk dan tarik nafas.. itulah yang kami rasai di sini. Bermula dari bulan Februari 2017 sehinggalah ke akhir tahun sebenarnya jadual anak-anak murid dan para guru akan padat dengan aktiviti-aktiviti tadika.  Agenda bulan Februari terisi dengan lawatan murid-murid K2 ke Festival Layang-Layang Sedunia, habis dengan festival, masuk ke bulan Mac sekali lagi lawatan yang melibatkan murid-murid K2, kali ini ke Tropical Village. Untuk bulan April pula, lawatan K1 ke Sanrio Hello Kitty Town sedang setia menanti kami. Berjalan sahajalah ya, cikgu-cikgu.

Ada juga diantara kenalan merangkap para ibu bapa yang menghantar anaknya ke tadika kami bertanya,

“Memang untuk 5 tahun ni, sampai bila-bila ke Hello Kitty sahaja ke?”

“Taknak cuba bawa ke Legoland?”

“Angry Birds Park dekat JBCC pun ok jugalah, Cikgu Norifah..”

Iya.. memang buat masa ini tempat lawatan bagi 5 tahun adalah di Hello Kitty. Sebelum membuat apa-apa keputusan, kami memikirkan dahulu buruk baiknya tempat-tempat yang akan dilawati, lebih-lebih lagi ini melibatkan murid 5 tahun.

Sanrio Hello Kitty Town pada kami setakat ini adalah tempat yang paling sesuai untuk aktiviti lawatan ini. Berbanding dengan Legoland yang lebih luas dan terbuka, Hello Kitty Town adalah sebuah tempat yang tertutup dan pembahagian aktiviti di setiap level dalam bangunan itu pada kami amat bersesuaian. Murid-murid lebih selesa dan keaktifan mereka semasa bermain lebih mudah dikawal guru. Permainan dan aktiviti yang disediakan di Hello Kitty juga pada kami bersesuaian dengan peringkat umur anak-anak ini. Memang betul Angry Birds Park itupun adalah di dalam kawasan tertutup, tetapi ada beberapa jenis permainan yang pada kami kurang bersesuaian dengan tahap umur anak-anak ini. Jadinya pilihan yang terbaik pada kami adalah Hello Kitty Town.

Jom kita imbas kembali betapa cerianya anak-anak murid tahun lepas semasa lawatan diadakan!

Pakai tag dahulu sebelum masuk ya!

Ikut betul-betul cara nak buat kotak.

Khusyuk mendengar cerita.

Gambar kenangan sedang disusun oleh Puan Fiza.

Bergambar dahulu sebelum memulakan permainan.

Antara watak kartun yang ada di sini.

Ok, boleh terus dimakan ye biskut ni!

Kitty dan Daniel sedang beraksi di atas pentas.

Contoh gambar cenderahati.

Terpaku melihat aksi Kitty.

Jom kita susun bongkah ni ramai-ramai!!
Mari baca cerita tahun lepas

Sudah cukup teruja tak dengan gambar-gambar yang saya kongsikan? Hehe.. bagi ibu bapa murid K1 yang telah menghantar borang penyertaan, terima kasih kami ucapkan kerana mengizinkan anak-anak anda menyertai lawatan kami pada kali ini. Insyaalah untuk tahun ini lawatan ke Sanrio Hello Kitty Town akan diadakan pada hari Jumaat ini, 21hb April 2017. Sama-samalah kita nantikan gelagat dan cerita mereka ya!! Semoga segala urusan kami nanti dipermudahkanNya..

~Cikgu Norifah~

Thursday, April 13, 2017

SAHABAT SINGA DATANG LAGI!!

Bismillahirrahmanirrahim.



Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a dia berkata , “Rasulullah s.a.w bersabda : Jika aku tidak menjadikan berat umatku, maka sungguh aku perintahkan bersiwak (gosok gigi) setiap hendak solat.” – HR Al Bukhari

Lily dan Mira. Itulah watak yang dibawa kali ini oleh kakak-kakak Kodomo Lion kita. Sofia sudah penat barangkali. Namun begitu ianya tetap menggembirakan murid-murid yang setia mendengar cerita dari kakak-kakak Kodomo Lion. 

Topiknya tak banyak lari dari cerita-cerita yang terdahulu, cerita tentang anak kecil yang nakal dan degil tidak mahu mendengar kata untuk tidak makan terlalu banyak makanan manis dan menggosok gigi. Pengakhirannya, gigi sakit dan terpaksa berjumpa dengan doktor gigi. Cerita yang pada kami memang dekat dengan anak-anak murid memandangkan pada tahap umur begini mereka memang gemar makan jajan. Tetapi kerana mereka bercerita menggunakan papan cerita dan gambar-gambar yang menarik, ianya membuatkan para murid dan guru terpaku di tempat masing-masing.


Memperkenalkan watak baru, Lily dan Mira 
(Tadika Pintar Bistari, Tmn.Mawar)

Uhhh.. tengok tu gigi Lily dah rosak!!
(Tadika Pintar Bistari Tmn Kota Masai)


Khusyuk mendengar cerita. (Tadika Inovasi Bestari)

Walaupun jumlah murid tak ramai, mereka tetap menyampaikan
cerita dengan bersungguh-sungguh.(Tadika Intelek Minda Bestari)

Bukan cuma anak-anak murid sahaja yang seronok mendengar cerita,
cikgu-cikgu pun sama. (Tadika Pintar Bistari Tmn Scientex 1)

Sesi soal jawab, beri tepukan
dahulu kepada yang berani ke hadapan. 

(Tadika Pintar Bistari Tmn Mawar)

Yeay!! Kami dapat jawab!! (Tadika Pintar Bistari Tmn Scientex 2)

Tengok ni! Kami dapat hadiah!
(Tadika Intelek Minda Bestari)

Syuusshhh.. Jangan bantu beri jawapan ya!
(Tadika Pintar Bistari, Tmn. Scientex 1)

Lebih teruja bila berus gigi besar dikeluarkan. Ternganga-nganga mulut mereka kerana tak pernah melihat berus gigi sebesar itu. Apabila set gigi gergasi pula dikeluarkan, sambutan dari pihak anak-anak murid bercampur baur, ada yang seronok dan ada yang takut.

“Eiiii… gigi siapa dia guna tu? Kenapa besar sangat? Raksasa punya ke?” soalnya sambil bersembunyi di balik tiang.

“Itu kan mainan punya aja..” kawannya mencelah sambil menariknya dari terus bersembunyi di balik tiang.

“Oh.. bukan raksasa punya eh?” soalnya sambil tersenyum.

“Raksasa mana ada…kan semua mati dah Ultraman Zero bunuh,” 

Tepuk dahi mendengar perbualan mereka. Ya lah anak.. besar sungguh pengaruh cerita dalam hidup kamu-kamu semua ya!


Memang besar replika gigi yang mereka bawa 
(Tadika Pintar Bistari, Tmn. Kota Masai)

Aktiviti seterusnya, penerangan cara memberus gigi dengan betul.
 (Tadika Nur Pintar Bestari)

"Atas.. bawah.. atas.. bawah.." ulang di semua bahagian gigi.
(Tadika Nur Pintar Bestari)

Seperti tahun-tahun yang sudah, skuad Kodomo Lion ini akan bergerak ke semua tadika di bawah MyBistari Group. Tapi untuk kali ini, masa lawatan diperkecilkan sedikit di atas permintaan mereka, Almaklumlah, kami faham, tadika kami bukannya sedikit, agak memenatkan bagi mereka untuk berulang alik dari satu cawangan ke cawangan yang lain. Merekalah orangnya yang akan menyediakan bahan, bercerita dan melayan anak-anak murid, mereka juga yang akan memandu ke sana sini. 

Lawatan mereka dimulakan pada hari Isnin, 3hb April 2017 ke Tadika Pintar Bistari Taman Scientex 1 dan Tadika Inovasi Bestari. Hari kedua pula terus 3 tadika yang diziarahi ; Tadika Pintar Bistari Taman Scientex 2, Tadika Intelek Minda Bestari dan juga Tadika Minda Pintar Bestari. Hari yang seterusnya lawatan dilanjutkan ke Tadika Pintar Bistari Taman Mawar dan juga Tadika Nur Pintar Bestari. Ketika inilah kami dapat curi masa sebentar untuk turun dan sama-sama mendengar cerita dari mereka. Seperti juga anak-anak kecil dan guru-guru yang lain, kami turut terhibur. Hari terakhir dalam rangka jelajah skuad Kodomo Lion, mereka ke Tadika Ilmu Pintar Bestari dan juga Tadika Pintar Bistari Kota Masai. Secara keseluruhannya, anak-anak murid dan juga para guru terhibur dan dapat peroleh ilmu yang bermanfaat.

Terima kasih kami ucapkan kepada Puan Nor Azrah dan kakitangan Kodomo Lion yang lainnya kerana sudi datang dan meluangkan masa untuk menghiburkan anak-anak murid kami dan juga atas pemberian cenderahati dari pihak Kodomo Lion. Kami semua terhibur dengan cerita yang disampaikan.

CERITA TERDAHULU

http://mybistari.blogspot.my/2016/03/destinasi-terakhir-sang-singa.html
http://mybistari.blogspot.my/2016/03/wow-besarnya-gigi.html

Habis sudah janjitemu kami semua dengan sahabat sang singa, lepas ini akan ada janjitemu yang lain pula, kita bakal bertemu dengan si kucing dan sahabat-sahabatnya yang lain!! Bukan hanya anak-anak murid K1 sahaja yang teruja untuk ke Sanrio Hello Kitty, guru-guru yang sudah beberapa kali bertugas membawa anak-anak murid saban tahun juga terasa keseronokkannya.

Jom jumpa di Hello Kitty Town!

~Cikgu Norifah~