Thursday, June 15, 2017

DI SEBALIK TABIR SESI FOTOGRAFI 2017

Bismillahirahmanirrahim.

Kembar tiga, penyeri tadika sudah berada di tahun akhir
di Taman Mawar.

Alhamdulillah, dengan berkat dariNya, murid-murid dan juga guru-guru kini berada di dalam Semester 2 2017, cerita semester 1 sudahpun tertutup rapat dan segala kenangan dan pengalaman yang kami lalui bersama anak-anak didik kami tersemat cantik dalam ingatan.

Permulaan untuk semester 2 pada tahun ini agak mencabar kerana kami memulakan semester baru ini dalam bulan puasa. Bermacam-macam ragam yang kami terima dari anak-anak murid. Mungkin kerana sebelum ini mereka berada di rumah, jika penat dan lapar ketika berpuasa, boleh mereka berehat ataupun tidur, tetapi tidak apabila sesi persekolahan telah bermula.

Bermula dengan minggu ini juga Sesi Fotografi 2017 diadakan. Seperti biasa, Cikgu Azreen diamanahkan untuk ke seluruh tadika MyBistari Group untuk mengambil gambar murid. Jika untuk semester 1, cuma gambar kelas dan gambar individu murid K1 sahaja yang diambil, kali ini, keadaannya agak rumit sedikit, dijalankan sekali sesi fotografi graduasi murid K2. Kami faham kepayahan yang dihadapi oleh Cikgu Azreen, jika hendak menyusun atur murid untuk bergambar kelas sahaja sudah mencabar, apatah lagi murid yang perlu kami sediakan berpakaian jubah graduasi, perbetulkan cara berdiri dan cara memegang skrol. Jadi kami memang mengharapkan jasa baik pihak ibu bapa supaya menghadirkan anak-anak anda mengikut tarikh yang telah ditetapkan. Tidaklah sukar bagi Cikgu Azreen untuk datang semula ke cawangan untuk mengambil gambar murid.

Duduk dulu, nanti cikgu susun semula (TM)

Syuusshhh.. tak boleh buat bising, ada kelas lain yang sedang belajar (TM)

Duduk betul-betul, jangan main-main (TIB)

Baju ni memang besar eh cikgu? (TIB)

Tempat sebelah ni saya dah simpankan untuk kawan saya. (TNPB)

Saya posing macam ni ok tak cikgu? (TNPB)

Ok.. sedia semua..!! (TKM)

Wahhh.. cantiknya awak pakai jubah ni!! (TKM)

Jadual sesi fotografi kali ini lebih panjang dari biasa kerana kami juga mengambil kira kudrat cik jurufoto kami di bulan puasa. Hanya satu cawangan sahaja yang diperuntukkan dalam sehari bagi kedua-dua sesi. Buat masa ini cawangan yang sudah selamat menjalani sesi fotografi adalah Tadika Pintar Bistari Taman Mawar, Tadika Inovasi Bestari, Tadika Nur Pintar Bestari dan juga Tadika Pintar Bistari Tmn Kota Masai. Di sini saya sertakan sekali baki jadual bergambar mengikut cawangan yang akan dilaksanakan minggu hadapan:

  • 18/6/17 ( Ahad ) – Tadika Ilmu Pintar Bestari
  • 19/6/17 ( Isnin ) – Tadika Pintar Bistari Taman Scientex 1
  • 20/6/17 ( Selasa ) – Tadika Pintar Bistari Taman Scientex 2
  • 21/6/17 ( Rabu ) – Tadika Minda Pintar Bestari
  • 22/6/17 ( Khamis ) – Tadika Intelek Minda Bestari

Pastikan anak tuan dan puan berpakaian seragam tadika yang lengkap. Sekiranya tidak dapat hadir kerana kurang sihat atau pun ada permasalahan yang tidak dapat dielakkan, sila berhubung dengan Guru Besar. Gambar yang diambil kali ini akan diberikan kepada ibu bapa semasa perjumpaan di hari terbuka semester 2 nanti.

Dalam pada itu, jangan lupa untuk terus memberikan semangat kepada anak-anak kita untuk berpuasa ya! Semoga mereka tidak merasakan puasa ini sebagai satu bebanan, tetapi sebagai satu kejayaan bila dapat bertahan hingga ke azan Maghrib!

~Cikgu Norifah~

Sunday, June 11, 2017

HARI CERMIN DIRI

Bismillahirrahmanirrahim.

Papan notis keputusan peperiksaan semester 1 (TIMB)

Dari Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “ Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya (kebaikannya) maka bersilaturrahimlah.” (HR Al – Bukhari)

Dua hari yang dipenuhi dengan pelbagai rasa. Itu yang dapat saya katakan berkenaan dengan Hari Terbuka Semester 1 2017 yang baru sahaja berlalu pada Selasa dan Rabu minggu lepas.

Ada juga yang bertanya kenapa mesti sampai dua hari buat hari terbuka ni cikgu? Kenapa mesti nak pisahkan untuk 5 tahun dan 6 tahun? Jawapannya mudah, walaupun kami buat pengasingan hari untuk hari terbuka ini, sekiranya ibu bapa tidak dapat hadir pada hari yang ditetapkan, tiada masalah untuk hadir pada hari yang lain. Seperkara lagi, memanglah mudah sekiranya diadakan pada satu hari sahaja, tetapi permasalahan selalunya akan berlaku di kaunter pembayaran. Yang diasingkan hari ini pun selalunya akan ada sesi menunggu yang agak lama untuk pembayaran, apatah lagi jika kami adakan cuma sehari sahaja hari terbuka, pastinya ramai yang tak senang duduk menanti giliran.
Hari Terbuka pada tahun ini jatuh pada bulan Ramadhan, terasa kelainannya dari tahun-tahun yang terdahulu. Kami di bahagian pengurusan hanya dapat melihat suasana hari terbuka di cawangan Taman Mawar sahaja, jadi bila ada kesempatan bertemu dengan para penyelia yang berjalan dari cawangan ke cawangan seliaan mereka, dapatlah sedikit gambaran suasana di setiap cawangan hasil dari penceritaan mereka.

Di waktu lapang, saya keluar dan berjalan ke setiap kelas dan halaman luar, menanti jika ada ibu bapa dan murid-murid lama yang saya kenali, tiada nasib saya mungkin untuk tahun ini, yang saya jumpa kesemuanya ahli Mybistari Group yang baru. Bila jengah ke kelas Cikgu Yusnaidah, kelihatan kedua-dua pihak, cikgu dan ibu bapa saling mengangguk-anggukkan kepala, apa agaknya yang mereka bincangkan ye? Tiada kedengaran suara, mungkin hanya berbicara dalam bisikan, tak larat nak cakap kuat-kuat kerana puasa.

Pn Faridah sedang berurusan dengan ibu murid (TKM2)

Apa yang diterangkan bersungguh tu Cikgu Akashah? (TKM2)

Dua-dua kaunter penuh (TIPB)

Cikgu Nurli Alia melayan ibu bapa (TMPB)

Bergambar kenangan dengan Cikgu Nurli Alia,
untuk semester 2 ni, Cikgu Alia akan berpindah ke cawangan TKM

Cikgu baru tetapi pandai melayan ibu bapa yang datang. (TS2)

Sempat juga saya bertanya kepada salah seorang penyelia Mybistari, Puan Faridah, apa yang menjadi kerisauan ibu bapa di cawangannya, tak mahu tahu yang manisnya sahaja, mahu juga kami tahu kekurangan pihak kami. Bagi cawangan Kota Masai, ramai juga ibu bapa yang risau kerana guru-guru di sana untuk semester 2 kebanyakannya terdiri dari guru-guru baru. Insyaallah, guru besar baru yang ditugaskan disana adalah guru lama dari Tadika Minda Pintar Bestari, Cikgu Nurli Alia, seorang guru yang bagus prestasinya. Cikgu Faridah juga turut berada di sana untuk membantu dan memberi tunjuk ajar kepada cikgu-cikgu baru.

Sebenarnya setiap tahun apabila adanya hari terbuka, salah satu perkara yang menjadi tumpuan bukan sahaja ibu bapa, tetapi juga guru-guru adalah keceriaan di luar tadika dan juga papan notis. Tema untuk papan notis akan diberi dan guru-guru cawangan perlu menghiasnya mengikut tema yang dipilih. Tahun ini temanya adalah sarkas. Mencurah-curah idea yang ingin dizahirkan oleh guru-guru di setiap cawangan, tahniah ya.. kerana dapat menghasilkan papan notis yang kreatif dan menarik!

Papan notis TKM

Uhh.. lebarnya senyuman badut sarkas tu.. (TIPB)

Comel-comel watak yang dilukis (TIPB)

Telitinya cikgu-cikgu ni susun kekacang untuk hiasan (TIPB)

Singa yang ceria!! (TMPB) 
Hasil kreativiti cikgu-cikgu TS2

Para pelajar terbaik naik belon udara panas!! (TS2)

Kelihatan meriah hiasan di TIB

Ramai-ramai berbaris nak tengok sarkas ke tu?

Secara keseluruhan perbincangan dan pertanyaan dari pihak ibu bapa tak lari jauh dari soalan-soalan dan pandangan yang kami terima saban tahun. Setiap komen dan cadangan yang kami terima akan kami perbincangkan sesama kami untuk memperbaiki dan memantapkan lagi tadika ini. Terima kasih kami ucapkan kerana sudi meluangkan masa untuk hadir dan berjumpa dengan guru anak tuan dan puan.

Sedar tak sedar dah dua minggu anak-anak bercuti sekolah, hari ini mereka sudah mula bersekolah semula. Bagaimanalah agaknya mereka berpuasa di tadika ye? Sama-samalah kita nantikan ragam puasa mereka.

~Cikgu Norifah~

Monday, June 5, 2017

MARI ERATKAN LAGI SILATURRAHIM!

Bismillahirrahmanirrahim.

Ibu sedang khusyuk melihat keputusan anak. (TIPB)

“Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makanan, sambungkanlah tali silaturrahim, dan dirikanlah solat pada malam hari ketika manusia tertidur, nescaya kamu masuk syurga dengan selamat.” (HR Bukhari)

Hari Terbuka Semester 1( 2017) - Hari yang membawa pelbagai rasa kepada bukan sahaja tenaga pengajar di MyBistari Group, tetapi juga kepada ibubapa dan penjaga murid-murid di sini juga. Hari di mana penilaian besar pertama yang diadakan bagi tahun ini. Sebagaimana kecut perutnya ibubapa melihat keputusan anak-anak di laman web, begitulah kecut perut dan berpeluhnya guru-guru menanti kunjungan ibubapa ke tadika masing-masing.

Risau membayangkan persoalan yang bakal mereka terima berkenaan prestasi anak-anak didik mereka. Bila duduk berbual sesama guru-guru lama dan juga kami angkatan yang sudah tidak mengajar lagi, terkeluar macam-macam cerita berkenaan hari terbuka. Paling dirisaukan sekiranya jawapan yang kami berikan tidak dapat memuaskan hati ibubapa. Muka guru-guru memang penuh dengan senyuman manis, tetapi sebenarnya di sebalik itu lutut terketar-ketar, berpeluh-peluh, dan hati berdebar-debar, hanya Allah sahaja yang tahu. Itu bagi guru-guru lama, bagi guru-guru yang baru lagilah mereka tak senang duduk, tak lena tidur dibuatnya. Jadi, minta maaf ya, sekiranya mereka-mereka ini kelihatan kurang mesra dan agak kaku bila berbicara.

Teliti sungguh notis keputusan tahun yang sudah. (TKM2)

Contoh papan notis tahun 2016, kita tunggu hasil kreativiti
untuk kali ini pula ya!

Suasana perjumpaan tahun lepas, penuh semua kaunter (TNPB)

Tahun lepas siap ada booth untuk bergambar,
kita tunggu apa yang ada untuk tahun ini (TM)


Antara ibu bapa murid K1 dan K2, biasanya ibu bapa K1 lah yang paling bersemangat apabila tiba hari terbuka, mahu melihat prestasi anak-anak mereka yang baru mengenal alam persekolahan. Ingin kami peringatkan di sini, walau apa pun keputusan yang anak-anak anda, terimalah dengan hati yang terbuka, jika ada kelemahan, sama-samalah kita perbaiki. Prestasi anak-anak bukan sahaja kita lihat dari segi akademik, tetapi juga dari segi sahsiah. Sama-sama kita cuba untuk tidak membandingkan prestasi anak dengan adik beradik yang lain dan juga sesama rakan sekelas. Ada murid yang agak lemah dalam segi bacaan, tetapi dari segi pengurusan diri ada perubahan yang bagus. Itu juga penting ya ibu dan bapa, agar disiplin dalam diri anak-anak terbentuk dari kecil lagi. Perjumpaan pada hari terbuka ini lebih kepada kita sama-sama berbincang berkenaan anak didik kami dan juga dalam usaha kami untuk mengeratkan lagi silaturrahim antara ibu bapa dan pihak tadika.

Sementara menanti berlakunya Hari Terbuka pada esok hari :
  • K1 - 5hb Jun 2017 (Isnin)
  • K2 - 6hb Jun 2017 (Selasa)
Jom kita imbas kembali Hari Terbuka tahun yang terdahulu!!



Jangan lupa ya, ibu bapa.. sila kosongkan waktu untuk berjumpa dan berbincang berkenaan anak-anak anda dengan kami!

~Cikgu Norifah~