Thursday, July 28, 2016

REZEKI DI HARI RAYA

Bismillahirrahmanirrahim.

SELAMAT HARI RAYA

“Kalau rezeki dari Allah itu lambat, maka beristigfarlah kepada Allah dan bermohon semoga melapangkan rezekiNya bagi anda. Kunci syurga adalah sabar. Kunci kemuliaan adalah rendah hati. Dan kunci kebaikan (kehormatan) adalah taqwa.” Ali Bin Abi Talib r.a

Alhamdulillah, masih lagi diberi oleh Allah untuk merasai nikmat kehidupan untuk hari ini. Degup jantung yang masih kita rasai hari ini juga adalah salah satu dari rezeki yang Allah sudi berikan kepada kita. Nampak mudah bukan? Ada ketikanya kita tak terfikir pun itu juga adalah salah satu dari sumber rezeki kerana selalunya konsep rezeki itu kita lihat dari perkara-perkara atau benda yang kita nampak dengan mata kasar.

Kali ini, ingin saya kongsikan sedikit cerita berkenaan rezeki yang melimpah ruah banyaknya yang kami perolehi ketika sambutan hari raya pada hari Ahad yang lalu. Alhamdulillah, sumbangan dari pihak ibu bapa dan penjaga sangat-sangat menggalakkan. Terima kasih kami ucapkan bagi pihak MyBistari Group. Seronok melihat anak-anak murid dan juga cikgu-cikgu teruja melihat meja yang penuh dengan pelbagai jenis juadah, sehingga ramai juga anak murid yang rambang mata untuk memilih makanan.

Seperti biasa juga, suasana untuk sambutan kali ini, dapat saya nikmati di Taman Mawar sahaja. Puan Suhaila, Puan Norafizah, dan Puan Noorfaridah yang bergerak ke setiap cawangan seliaan masing-masing untuk  sama-sama menyambut hari raya bersama guru dan anak murid. Mesti seronokkan? Terbayang-bayang kemeriahan sambutan dan kegembiraan anak-anak murid. Mana kan tidak, di sini sahaja tak menang tangan kami melayan gelagat anak-anak murid yang tak sabar-sabar hendak berhari raya bersama rakan-rakan sekelas.

Segak dan cantik. Itu yang dapat saya katakan ketika melihat mereka turun dari van atau menyambut mereka yang sampai dihantar oleh ibu bapa. Yelah, bukan selalu kami dapat lihat mereka berpakaian lain selain dari baju uniform tadika. Kembang kuncup hidung mereka apabila menghulurkan sumbangan yang dibawa dari rumah.

“Makan tau cikgu, mi ni mak kita yang masak.. sedap!!”

“Cikgu, karipap inti sardin ni kita nak nanti tau!”

“Kita tak bawa bekal.. mak kata mesti ada banyak makanan hari raya..” ada juga yang berkata begini, dengan muka sedihnya. Tak apa.. untuk memberi sumbangan itu tidak wajib, seikhlas hati. Rezeki yang ada kita kongsi bersama-sama.

Sayangnya, masih ada juga murid yang hadir ke tadika dengan berbaju uniform. Mungkin ibu bapanya terlupa. Tak apalah, yang penting mereka juga merasai keseronokkan sambutan hari raya.


Sambutan diadakan bermula pada waktu rehat, yang mana murid-murid dikumpulkan beramai-ramai di halaman luar. Makanan kemudian diagihkan, untuk memudahkan perjalanan majlis, cikgu-cikgu memainkan peranan dengan menyuap murid-murid makanan yang ada. Selepas kenyang, barulah aktiviti permainan dan sambutan sebenarnya bermula. Bermacam-macam permainan dimainkan di setiap cawangan, kami yang berada di bahagian pengurusan juga teruja melihat gambar-gambar yang dikongsikan oleh Guru Besar dari srtiap tadika MyBistari Group.

Nak tengok gelagat mereka berhari raya di tadika? Ada saya kongsikan di Photo Galery. Oleh kerana jumlahnya agak banyak, untuk tatapan di sini, saya himpunkan beberapa keping gambar mengikut cawangan.


Suasana berhari raya di TKM1

Meriahnya sambutan di TIB

Kemas dan tersusun di TIPB

Banyak permainan baru di TKM2

Tak kurang meriahnya TM

Sambutan di TMPB

Wajah-wajah ceria warga TNPB

Ukhwah guru dan murid di TS1

Suasana sambutan di TS2





~Cikgu Norifah~

Thursday, July 21, 2016

5 BISTARI SEBULAN BERLALU



Bismillahirrahmanirrahim.

“Semulia-mulia manusia ialah orang yang mempunyai adab yang merendah diri ketika berkedudukan tinggi, memaaf ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat.” – Khalifah Abdul Malik Marwan.

Pernah dengar cerita murid menangis sebab tak nak balik rumah? Jarang kan berlaku perkara ni? Hahaha.. tapi itulah yang terjadi di Taman Mawar hari ini.  Bergegas Puan Shawariah keluar untuk melihat siapa yang menangis. Naluri seorang ibu mungkin, terpanggil untuk datang memujuk murid yang menangis itu. Tak lama selepas itu terdengar suaranya ketawa. Eh.. dah kenapa pula Puan Shawa gelak masa dalam proses memujuk tu? Oleh sebab teringin nak tahu, akhirnya saya juga turut ke kelas murid terbabit.

Rupa-rupanya, ada seorang murid 5 tahun yang tidak mahu pakai kasut sekolah. Bila ditanya, dalam tangisnya dia menjawab, “Tak nak balik rumah!! Nak tinggal kat sekolah!!” Pada awalnya agak terpinga-pinga juga kami hendak memahami butir bicara murid ini, almaklumlah.. bercakap ketika menangis. Puas Cikgu Alya memujuk, masih juga dia menangis dengan alasan yang sama, tak mahu pulang ke rumah dan mahu tinggal di sekolah dengan cikgu.

Tiba-tiba teringat dan terindu pula pada murid-murid di Taman Scientex 1 ketika zaman saya menjadi Guru Besar di sana (ketika itu masih lagi di Jalan Kancil).  Bermacam alasan yang mereka berikan apabila disuruh ambil kasut untuk balik ke rumah. Ada ketikanya sehingga Encik Ezam, pemandu van, terpaksa tunggu sebentar. Sehingga terpaksa bersuara, “Siapa yang beratur untuk balik dulu, esok cikgu peluk dan cium pipi bila sampai sekolah.” Barulah berebut mereka beratur untuk balik. Ingat tak lagi gelagat mereka tu, Cikgu Noorhasiah?  Itu semua tinggal kenangan.

Ada juga kes sekarang ini, murid yang menangis kerana bertukar kelas. Seperti yang dilakukan saban tahun, ada beberapa cawangan yang akan ada pertukaran kelas; 5 Bistari dan juga 5 tahun normal. Suasananya seakan-akan awal tahun yang lalu. Menangis kerana ditukarkan kelas, cikgu yang baru dan juga rakan sekelas yang baru. Tapi Insyaallah, sedikit demi sedikit, anak-anak ini akan dapat menerima suasana yang baru bagi mereka. Ibu dan ayah tak perlu risau kerana kami sudah mula dapat aduan berkenaan hal ini, prestasi anak menurun, takut anak tidak fokus belajar dan sebagainya. Setiap aduan yang diberikan berkenaan kelas 5 Bistari tidak kami pandang ringan. Dan bagi ibubapa yang menghadiri Sesi Penerangan 5 Bistari pada 14 Mei 2016 yang lalu, telah kami dedahkan dengan perancangan dan silibus yang bakal dilalui oleh murid-murid ini.

Saban tahun juga kami kagum dengan kredibiliti murid-murid kelas 5 Bistari. Kenapa? Kerana dalam masa sebulan, peningkatan yang ditunjukkan oleh murid-murid kelas 5 Bistari amat mengagumkan. Baik dari segi P&P mahupun keyakinan diri, nampak perubahan yang positif dan ketara pada mereka. Tapi jangan salah anggap ye, tak semua yang kami janjikan masuk 5 Bistari akan terus cemerlang, masih ada yang memerlukan bantuan dan bimbingan guru, dan begitu juga dengan kelas 5 tahun normal, tak semestinya murid-murid yang tidak terpilih ini tidak bagus, setiap murid ada keistimewaan mereka yang tersendiri. Apa yang perlu dilakukan adalah cari dan cerna keistimewaan itu dari dalam diri murid-murid.


Untuk kali ini, ingin saya kongsikan prestasi yang ditunjukkan oleh murid-murid 5 Bistari dari semua cawangan yang mempunyai kelas ini.

Sudah faham teknik penulisan garis 3 (TNPB)

Menyiapkan tugasan yang diberi (TNPB)

Sudah pandai jawab soalan sendiri (Taman Mawar)

Mendengar soalan lisan yang diberi oleh guru (Taman Mawar)

Kemaskan tulisannya? (TKM2)


Itu sebahagian dari gambar-gambar yang dikongsikan oleh Guru Besar kepada kami. Selainnya saya satukan bersama dengan video yang juga dikirimkan oleh Guru Besar kepada kami.

Selamat menonton!!


~Cikgu Norifah~