Wednesday, January 27, 2016

TADIKA INI UNIK !





Assalamualaikum

Alhamdulillah, masih diberi waktu untuk saya ‘update’ blog tadika. Maklumlah, bila mula sesi persekolahan, bukan hanya ibu bapa dan cikgu-cikgu sahaja yang sibuk dengan tugasan masing-masing, kami yang di belakang tabir juga ada tugasan yang sedia menanti untuk disiapkan. Maaf jika ada yang menunggu kami mengemaskini blog minggu lepas, ceritanya ada cuma tak berkesempatan untuk dikongsikan bersama. 

Untuk kali ini, mari kita bercerita berkenaan salah satu tadika unik yang berada dalam Mybistari Group. Kenapa saya kata unik? Kerana hanya tadika ini sahaja yang berbeza dari adika-tadika Mybistari yang lain. Bagi ibu bapa yang telah lama dengan kami, mungkin tahu berkenaan dengan tadika ini, tetapi bagi ibu bapa yang baru bersama dengan kami, mari kami perkenalkan Tadika Inovasi Bestari.




Apa uniknya Tadika Inovasi Bestari?
Uniknya tadika ini, kerana ia adalah satu-satunya tadika kami yang tiada subjek sempoa. Di sini, kami tawarkan subjek Bahasa Arab sebagai alternatif. Disamping itu, program bacaan murid juga ada penambahan, bukan setakat Bacalah Anakku, Read Easy dan Jawi, mereka juga ada buku bacaan Lughatul Jannah bagi memantapkan bahasa Arab.
Apa lagi yang menarik? Di sini juga ada dijalankan kelas multimedia, kelas yang amat ditunggu-tunggu oleh anak-anak murid. Program yang kami gunakan untuk kelas ini dinamakan Program Pembelajaran eDaya Multimedia.

Apakah itu Program Pembelajaran eDaya Multimedia?

Program Pembelajaran eDaya Multimedia adalah program pembelajaran yang direka khas dan dibangunkan berdasarkan Kurikulum Prasekolah oleh Kementerian Pelajaran, untuk meningkatkan pembelajaran tradisional dengan bantuan teknologi multimedia. Pengajaran dalam Program Pembelajaran eDaya Multimedia dijalankan dengan cara yang menyeronokkan dan interaktif, serta lebih kreatif untuk mencapai hasil pembelajaran.

Program Pembelajaran eDaya Multimedia secara meluas diperkenalkan kepada tadika di seluruh negara dan maklum balas yang amat menggalakkan kerana ia membuktikan bahawa anak-anak boleh belajar dengan lebih cepat dengan semua alat pembelajaran dan aplikasi multimedia yang disediakan dalam Program Pembelajaran eDaya Multimedia.

Pengajaran yang dibentangkan dengan bantuan alat-alat multimedia di dalam kelas, yang menarik dan interaktif untuk kanak-kanak dan penggunaannya adalah untuk menggantikan papan putih.

Mudah untuk beroperasi
Pembelajaran interaktif dan menyeronokkan
Cerita dan lagu yang tersedia
Animasi yang menarik

Mari kita tengok cara kelas ini dijalankan...

A untuk apa ye?

Awak.. tau tak ni huruf apa?

Mari cikgu bantu..

Hmmm... what to do next..

Cikgu.. gambar ni gerak-gerak!!

Murid-murid 5 tahun teruja nak mulakan kelas 


KOLEKSI GAMBAR-GAMBAR 2011










Begitulah sedikit perkongsian berkenaan Tadika Inovasi Bestari. Insyaallah di lain posting akan kami kongsikan lagi aktiviti-aktiviti yang dijalankan di tadika ini dan juga cawangan-cawangan yang lain.

Sebelum saya terlupa, sekiranya ada sebarang komen atau cadangan yang ingin dikongsikan bersama, sila manfaatkan ruangan komen yang disediakan. 

Wassalam.

~Cikgu Norifah~



Thursday, January 14, 2016

MINGGU KEDUA SESI 2016



Assalamualaikum

Hari ini genap dua minggu kami menerima murid-murid bagi sesi 2016. Melihat gelagat-gelagat mereka, hati rasa terhibur dan hilang sedikit rindu pada murid-murid yang telah pun meninggalkan kami untuk meneruskan sesi persekolahan di sekolah kebangsaan.

Tidak dinafikan, masih ada segelintir kecil murid yang masih menangis, tapi tidaklah seperti hari-hari yang terdahulu. Tangisannya bermusim, waktu baru sampai sebab susah nak lepaskan ibunya, waktu makan sebab teringatkan ibunya yang sering suapkan makanan ketika makan, waktu balik mungkin teruja dan terharu bakal dipertemukan semula dengan ibu tercinta. Biasalah tu, asam garam permulaan frasa baru dalam hidup anak-anak kecil ini.


Ibu bapa pun akan bertambah sibuk kerana kerja sekolah telahpun mula diberi kepada murid-murid. Kena rajin tegok-tengokkan beg anak-anak sebab akal budak-budak sekarang ni panjang sikit. Bila ditanya ada tak kerja sekolah, jawapannya tak ada, padahal dalam beg tu sedia menanti buku-buku untuk disiapkan. Ada juga kes, murid yang sorokkan buku latihan di bawah katil, belakang rak kasut, mesin basuh dan macam-macam tempat yang kita tak terfikirkan. Jadi ibu dan ayah, bersedialah untuk panjangkan akal dua kali ganda lebih dari anak-anak.

 Bagi murid-murid K1, guru- guru akan cop buku menandakan ada tugasan yang perlu disiapkan oleh anak murid.


Homework yang telah siap ditanda oleh guru

Homework yang telah disiapkan oleh murid K1

Bagi murid-murid K2, mereka telah dilatih dari tahun lepas untuk menulis sendiri tanda kerja sekolah mereka.

Sempoa K2 sudah mula ada homework ye...

Alhamdulillah... tulisan jawi masih kemas lagi

Selain daripada itu, pihak tadika telah mengambil keputusan untuk mengadakan kembali hafalan permulaan kelas. Untuk bulan yang pertama ini, hafalan yang perlu dihafal oleh murid-murid adalah 'Anggota Badan Saya'. Disini saya sertakan hafalan yang perlu dibaca oleh anak-anak pada setiap awal sesi P&P. 

Seronok tengok mereka menghafal beserta dengan gaya sekali


Jangan lupa, rekod bacalah juga sudah mula direkodkan seperti biasa. Jika hendak menyemak rekod bacaan anak-anak, bolehlah singgah di laman web kami.

Ibu dan ayah yang baru sertai kami, jangan pelik atau keliru dengan 'short form' yang kami gunakan dalam buku bacaan anak-anak anda:
  • BL - belum lancar (murid masih belum lagi menguasai bacaan dan perlu dibaca lagi)
  • SL - sudah lancar  (murid sudah dapat menguasai bacaan dan akan ke muka surat sebelah)



Tahun ini juga merupakan tahun kedua kami menjalankan subjek baru bagi murid 5 tahun, iaitu subjek Sains dan Kreativiti. Seronok tengok gelagat mereka menghasilkan sesuatu objek mengikut arahan guru. Mana taknya, ada yang baru pertama kali bermain dengan warna air. Macam-macam komen yang keluar dari mulut mereka.

Jom tengok hasil kreativiti mereka!!

Check dulu sebelum hantar kat cikgu.. cantik tak kita buat

Cantik tak cikgu? 

Yeay!! Cikgu cakap cantik!!

Tengok ni..!! 
Jangan cemburukan pokok kami ni ye!!

Cikgu,, jari adik sejuk kena ni..

Mama.. tengok ni.. saya hebat tau!

Oppss.. sebelum saya terlupa, borang pink semua dah hantar belum? Diharap pihak ibu bapa dapat memberikan kerjasama dengan menghantar borang tersebut (bagi yang belum hantar). Di dalam borang itu juga ada kebenaran untuk aktiviti renang. Insyaallah aktiviti renang akan dimulakan pada bulan Februari sekiranya tiada masalah air lagi. Oleh kerana itu, kami mengharapkan ibu bapa dapat mengisi dan menghantar borang. Berpandukan kejadian-kejadian dari tahun terdahulu, ada pihak ibu bapa yang tidak menghantar borang walaupun telah dihubungi oleh pihak kami. Jadi kami tidak melepaskan anaknya untuk aktiviti renang. Ada juga yang menyediakan pakaian renang untuk anak mereka tetapi borang tidak diisi dan dihantar, untuk kes sebegini, kami juga tidak akan melepaskan anak ini untuk mengikuti aktiviti renang. Sekali lagi kami harapkan pihak ibu bapa dapat memberikan kerjasama.

Ini contoh borang pink

Rasanya setakat ini sahaja perkongsian saya untuk kali ini. Diharap perkongsian ini dapat memberi sedikit ilmu dan manfaat kepada kita semua.

Sebelum terlupa, minggu hadapan aktiviti bergambar kelas semester pertama 2016 akan diadakan dari 18 Januari hingga 21 Januari 2016. Untuk jadual bergambar, ada disertakan di surat makluman dan juga di laman web tadika. Jangan lupa pakai uniform sekolah!!

~Cikgu Norifah~








Wednesday, January 6, 2016

SESI 2016 BERMULA


“Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang telah mencipta. Menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah! Dan Tuhanmu itu adalah Maha Mulia. Dia yang mengajarkan dengan qalam. Mengajari manusia apa-apa yang tidak tahu.” (Surah Al - 'Alaq)

Assalamualaikum.
Alhamdulillah, hari ini sudah masuk minggu kedua bagi sesi persekolahan 2016. Murid- murid sudah mula serasi dengan kawan-kawan dan juga guru-guru di tadika. Gembira rasanya menyambut mereka yang ceria setiap kali pintu van tadika dibuka. Seronok melayan celoteh mereka yang tak pernah kering dengan cerita. Awas ye ibu dan ayah.. sekarang kena berhati-hati bila bercerita, ada penyampainya di tadika nanti, hehe.

Dalam pada itu, masih juga ada segelintir murid yang sukar untuk melepaskan ibu ayah ataupun adik untuk ke tadika. Mahu tak mahu terpaksa melangkah juga masuk ke tadika dengan raungan dan linangan air mata. Pasrah namanya tu. Tak apa, Insyaallah dalam seminggu dua lagi, ok lah tu.

Sebelum bermulanya sesi persekolahan, sempat juga saya berpesan dengan guru-guru baru yang tak pernah merasai manisnya awal persekolahan. Fizikal dan mental perlu kuat. “Macam askar je, Cikgu Ifah,” katanya. Bukan macam askar, ni lebih hebat dari askar. Jangan tak tahu, hari pertama persekolahan, ada cikgu yang jadi pelari pecut, mengejar murid yang lari keluar tadika. Ada yang jadi ahli bina badan, mengangkat murid yang tak mahu bergerak. Ada jadi integrator, memujuk dan mendamaikan keadaan. Jadi artis tu biasa, menyanyi dan menari untuk menarik perhatian anak-anak murid, tolak ketepi rasa malu, asalkan murid terhibur dan tertarik untuk terus berada di dalam kelas.

Kami faham, ibu bapa teruja bila anak-anak kesayangan melangkah ke alam persekolahan, sehingga ada yang sanggup tunggu sehingga waktu balik, ada yang rakam ragam anak dari awal turun kereta hinggalah ke dalam kelas. Nak buat dokumentari katanya. Tetapi ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa:
Bagi murid-murid K2, diharap ibu bapa tidak melepaskan anak masuk ke tadika begitu sahaja. Ibu bapa perlu masuk ke dalam tadika untuk menghantar murid ke kelas dan juga untuk urusan dengan pihak van. Perkara ini sedikit sebanyak menyukarkan kami lebih-lebih lagi apabila masa pertukaran sesi.
Sekiranya ada pertukaran alamat atau nombor telefon pada saat akhir, sila maklumkan kepada pihak tadika, bukan hanya kepada pihak van. Masih terdapat ramai ibu bapa yang hanya merujuk kepada pihak van dan ini menyukarkan pihak kami untuk menghubungi ibu bapa.
Ibu bapa digalakkan untuk terus meninggalkan anak di dalam kelas selepas menghantarnya. Dari pengalaman yang lepas-lepas, anak murid akan mula menangis apabila ibu atau bapa masuk semula ke dalam kelas untuk mengucapkan selamat tinggal.
Minggu pertama selalunya murid-murid yang menggunakan perkhidmatan van akan lambat sampai ke rumah. Ini adalah kerana pihak van masih mencongak dan menyusun atur jadual perjalanan mereka. Lebih-lebih lagi yang melibatkan murid-murid baru. Pemandu perlu mengenal anak-anak ini,tempat pengambilan dan penghantaran mereka. Pening juga tau jadi pemandu ni. Bila sampai satu destinasi tu, pemandu akan tanya, rumah siapa ni? Ahmad Abu bin Ali (nama contoh) yang mana? Tapi semua tengok aje muka pemandu sambil kelip-kelip mata. Mahu tak mahu, pemandu perlu cari dan semak tanda nama yang dipakai murid-murid. Jadi ibu dan ayah, tanda nama itu sangat penting, pastikan anak anda pakai setiap hari ke tadika.

Panjang pula cerita saya kali ini, maaf saya sekadar berkongsi pengalaman dan info dengan anda semua. Semoga dengan perkongsian ini, kita akan lebih memahami tugasan dan permasalahan masing-masing. Sekali lagi, terima kasih kami ucapkan kerana memberi kepercayaan kepada kami untuk mendidik dan membentuk anak-anak ini.

Jom kita layan video pendek hari pertama persekolahan sesi 2016 ni !



~ Cikgu Norifah ~