Wednesday, January 25, 2017

SEHARI DI MAJLIS ILMU



Bismillahirrahmanirrahim.

Dari Abu Hurairah r.a berkata Rasulullah s.a.w bersabda :
“Barangsiapa yang menempuh suatu perjalanan dalam rangka untuk menuntut ilmu maka Allah akan mudahkan baginya jalan ke syurga. Tidaklah berkumpul suatu kaum di salah satu masjid di antara masjid-masjid Allah, mereka membaca Kitabullah serta saling mempelajarinya kecuali akan turun kepada mereka ketenangan dan rahmat serta diliputi oleh para malaikat. Allah menyebut-nyebut mereka di hadapan para malaikat”

Pada hari Sabtu, 21hb Januari 2017 yang lalu program Sesi Penerangan Bacalah Anakku dan Sempoa telah pun berjaya dilaksanakan. Terima kasih kami ucapkan kepada pihak ibu bapa yang sudi meluangkan masa untuk hadir dan sama-sama meramaikan majlis ilmu ini. Program yang saban tahun kami adakan ini adalah untuk memberi penerangan lebih lanjut dan berkongsi teknik-teknik membaca dan juga penggunaan sempoa kepada ibu bapa.

Alhamdulillah penyertaan untuk Sesi Bacalah, ibu bapa memberikan sambutan yang amat menggalakkan. Saya berkesempatan hadir pada awal pagi untuk menyediakan bahan dan memasang pa sistem, kagum saya pada ibu bapa yang hadir awal ke TS Hotel, sanggup mengorbankan waktu cuti mereka demi pendidikan anak-anak. 

Pengisian slot pada pagi itu dimulakan dahulu dengan sedikit motivasi dari Encik Ahamed Tamizi. Maklumlah, kalau nak terus masuk ke teknik-teknik membaca di awal pagi, takut masih ada mereka-mereka yang masih belum panas enjinnya. Jadi masa itu diisi dengan slot motivasi yang bertajuk “Peranan Ibubapa Dalam Pembentukan Keperibadian Anak”. Banyak permasalahan dan info yang dikongsikan bersama dengan para ibu bapa. Sesi Penerangan Bacalah Anakku berakhir pada pada pukul 12.30 tengah hari. Terima kasih kepada ibu bapa yang sudi meluangkan masa  bersama kami.

En. Tamizi menunjuk ajar cara bacaan sukukata.


Kehadiran dari pihak bapa juga amat memberangsangkan.

Khusyuk mendengar penerangan dari En. Tamizi.

Gandingan orang kuat MyBistari Group.

Sesi motivasi dari En. Tamizi

Cik Farah dan Puan Atikah sedia menunggu kehadiran tetamu.

Masa rehat dipergunakan untuk beramah mesra sesama guru dan para ibu. 

Sesi kedua bermula pada pukul 2.15 petang. Agak mendukacitakan kami, penyertaan dari ibu bapa bagi Sesi Penerangan Sempoa tidak begitu menggalakkan, penyertaan hanya 43 peserta, dan tidak kesemuanya yang hadir pada petang itu. Mungkin ada perkara penting yang tidak dapat dielakkan. 

Ada ibu bapa yang agak terkejut dengan pengajaran sempoa yang diajar oleh Encik Tamizi, tapi kami terangkan yang ini dikira kursus jangka yang sangat pendek. Apa yang dipelajari petang itu boleh dikatakan merangkumi subjek sempoa sepanjang semester, barulah mereka menarik nafas lega.  Bermacam ragam ketika aktiviti sempoa dijalankan. Berbanding dengan sesi pada waktu pagi tadi, slot sempoa ini memerlukan para ibu bapa untuk duduk sama dan belajar mengira menggunakan sempoa. Biasalah, ada yang baru pertama kali memegang sempoa jadi bermacam gaya pegangannya. Teknik untuk memegang pensel juga adalah salah satu cabaran bagi mereka, tak mengapa, kami cikgu-cikgu yang mengajar sempoa pun mengalami masalah yang sama ketika mula-mula kenal sempoa.

Walaupun cuma beberapa jam sahaja belajar, ibubapa sudah boleh mengira secara mental dengan membayangkan manik-manik sempoa. Hebat...


Sudah semakin lancar kiraannya. 
Antara para bapa yang datang untuk belajar sempoa.



Penerangan dari En. Tamizi.


Terima kasih di atas komen dan cadangan yang diberikan. Kami akan cuba perbaiki segala kekurangan dalam pengisian slot kami. Terima kasih sekali lagi kerana sudi meluangkan masa hujung minggu untuk hadir ke majlis ilmu kami. 

~Cikgu Norifah~

Monday, January 16, 2017

JOM AYAH IBU...KITA TAMBAH ILMU

Assalamualaikum
Encik Ahamed Tamizi sedang memberi penerangan

Pernah suatu ketika para sahabat sedang duduk berkumpul, Abdullah bin Mubarak ditanya ; “ Kenapa kamu tidak mahu duduk dan berkumpul dengan kami?” lalu dia berkata kepada mereka; “Saya lebih senang duduk dan berkumpul bersama Baginda SAW dan para sahabat (iaitu lebih senang bersama buku-bukunya), kerana setiap kali berkumpul di dalam majlis, kamu selalu mengumpat dan membicarakan orang lain.”

Sudah hampir sebulan sesi 2017 bermula. Bermacam ragam murid-murid baru dan lama yang dipertontonkan. Alhamdulillah, tadika kembali meriah. Kerusi-kerusi cikgu pun mula sejuk, melambangkan yang cikgu pun tak cukup masa menangani murid-murid. Biasalah, murid baru, kerenah baru, pengurusan masa pun perlu yang baru.

Jika guru-guru kelas sibuk menguruskan anak-anak murid, kami di bahagian pengurusan juga turut sama sibuk. Ada yang sibuk menguruskan stok yang keluar masuk dan ada juga yang sibuk memantau perjalanan silibus di tadika-tadika yang berada di bawah pengurusan MyBistari Group. Bermulanya sesi yang baru ini, bermakna bermula jugalah program-program yang kami akan adakan sepanjang tahun 2017. Diharap para ibu bapa dan penjaga dapat turut serta dan memberi sokongan kepada kami dalam menjayakannya.

Untuk program pembukaan bagi tahun 2017, Sesi Penerangan Bacalah Anakku & Sempoa akan diadakan di TS Hotel, Tmn Scientex pada 21hb Januari 2017, Sabtu yang mendatang ini. Masih terdapat banyak lagi ruangan yang kosong sekiranya pihak ibu bapa berkeinginan untuk menghadirkan diri.

Bagi Sesi Bacalah Anakku, penyertaan kami buka untuk para ibu bapa murid K1. Ketika program ini dijalankan, penceramah akan berkongsi dengan ibu bapa progress anak-anak sepanjang sebulan pertama persekolahan. Tips dalam mendidik anak-anak juga akan dikongsikan bersama. Beberapa guru dari setiap cawangan juga akan berada bersama ketika program, jadi gunakanlah peluang ini sebaik mungkin untuk bertanya dan berkongsi pendapat berkenaan anak masing-masing. Di hari lain mungkin tak berkesempatan untuk berbual mesra dengan para guru.Banyak ilmu yang akan dipelajari sekiranya turut serta dalam program ini.  

Mengenalkan carta sukukata kepada ibu bapa

Para ibu bapa yang meluangkan masa pada tahun lepas.

Khyusuk mendengar ceramah yang disampaikan.

Bagi Sesi Sempoa pula, ibu bapa dari kalangan murid K2 pula yang digalakkan menyertai program. Jangan lupa bawa sempoa sendiri ya! Ketika inilah ibu bapa berpeluang merasai hebatnya penangan sempoa yang dipelajari anak-anak mereka. Beberapa jam yg para ibu bapa akan peruntukkan ketika menghadiri program ini, manfaatnya Insyaallah selamanya selagi ilmu itu diamalkan.

Terima kasih kerana hadir dan memberi sokongan.

Kami disini masih mengharapkan lagi penyertaan dari pihak ibu bapa. Seperti yang saya nyatakan terdahulu, banyak ilmu yang akan dikongsikan untuk manfaat bersama di kemudian hari nanti.

Jom jengah sebentar posting yang terdahulu berkenaan program  Sesi Penerangan Bacalah & Sempoa


Opss.. pada masa yang sama, ketika ini sedang berlangsung sesi bergambar kelas semester 1, jangan keliru ya, ibu dan bapa.. sesi bergambar yang ini tak dikenakan bayaran dan gambar-gambar kelas yang diambil adalah untuk dipaparkan di website tadika. Pastikan anak-anak hadir ke tadika untuk bergambar ya!!

~Cikgu Norifah~

Wednesday, January 4, 2017

2017 SESI PERSEKOLAHAN BERMULA



Berdiri tegak menanti arahan seterusnya dari guru kelas.

“Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.” Surah Adh-Dhariyat : 55

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, sudah masuk minggu kedua kami berada dalam Sesi Persekolahan 2017 tetapi baru sekarang ini saya berkesempatan untuk berkongsi cerita. Tiada banyak perbezaan dengan tahun-tahun yang terdahulu, ragam anak-anak murid yang baru tidak jauh beza dengan yang sebelumnya. Guru-guru lama pun sudah masak dengan karenah yang bakal dipertontonkan oleh anak-anak murid mereka yang baru ini. 

Berurusan di kaunter van (TIB)

Bersabar menunggu giliran untuk berurusan dengan pihak van (TM)

Wahhhh... semakin hebat kasut sekolah anak-anak sekarang.

Untuk kali ini, seperti juga tahun yang lepas, kami di bahagian pengurusan setia menanti kehadiran murid-murid di Tadika Pintar Bistari Taman Mawar. Debaran yang kami rasa walaupun tidak menguruskan kelas, tetap sama seperti guru-guru yang menanti kedatangan murid baru di kelas. Untuk hari-hari yang sebegini, kami menggelarkan diri kami “Special Task Force” kerana pada hari yang pertama ini,  pejabat kami tinggalkan kosong dan tumpuan kami adalah membantu mana-mana bahagian yang memerlukan pertolongan kami.

Peluang ini memang kami tunggukan kerana masa inilah selalunya kami akan dapat  bertemu dan beramah mesra dengan ibu bapa. Lagilah kalau yang menghantar anak itu adalah terdiri dari ibu bapa yang pernah menghantar anak-anak mereka ke Pintar Bistari. Ketika inilah kelihatan pihak-pihak pengurusan berada di meja pendaftaran, di dalam kelas, di halaman luar dan juga di bilik air, membantu guru-guru dan para ibu bapa menguruskan anak-anak murid menghadapi hari pertama persekolahan. 

Cikgu Azreen sedang membantu mengawal
kelas.

Pn Shawariah membantu proses
pendaftaran pada sesi pagi.

Kami di bahagian pengurusan juga pencinta anak-anak tadika sama seperti cikgu-cikgu yang lain. Walaupun tanpa sebarang arahan atau permintaan sedar-sedar sahaja Cikgu Azreen dan Cikgu Shawariah sudahpun berada di dalam kelas, tolong memujuk mana-mana murid yang menangis. Paling cepat risau adalah Puan Shawariah, pantang terdengar suara murid yang menangis, bergegas dia bangun meninggalkan mejanya dan mencari punca tangisan. Jika tak juga berhenti menangis, kami akan keluarkan sebentar anak-anak ini agar tidak mempengaruhi murid-murid lain untuk ikut menangis. Topik perbualan kami di pejabat juga berkisar dengan anak-anak baru ini.

Seperti biasa juga, ramai ibu bapa yang agak sukar untuk melepaskan anak-anaknya di dalam kelas. Ketika saya keluar untuk mengunci pintu pagar tadika masih terdapat beberapa ibu bapa yang masih terjengah-jengah dan setia menanti anaknya di luar tadika. Sekadar berbasa basi saya bertanya kenapa tidak balik dahulu?

“Risau ni cikgu, tu dengar suara menangis.. macam suara anak saya, tadi masa saya hantar dia tak menangis,” katanya sambil terjengah-jengah lagi cuba untuk mengecam suara yang menangis itu.

“Tak apa encik, biasalah macam tu, Insyaallah pandailah cikgu-cikgu kami memujuk murid yang menangis tu..”  itu lah jawapan yang sampaikan padanya. Untuk berbual lebih lama tak dapat kerana perlu bergegas mengunci pintu grill tadika pula, tidak mahu ada yang berlari meluru keluar. Sehabis baik kami cuba untuk mengelakkan dari acara pecut 100 meter bersama anak murid.

Bagi ibu bapa, jangan risau, memang untuk hari atau minggu pertama nampak keadaan agak kucar kacir dengan murid yang menangis dan yang memerlukan perhatian, tetapi itu sudah menjadi kebiasaan bagi kami. Beri kepercayaan kepada kami dalam menangani mereka-mereka yang menangis. Kami faham bukan mudah bagi anak-anak ini untuk meletakkan kepercayaan kepada kami, orang luar yang asing bagi mereka.

Melihat kali terakhir sebelum meninggalkan anak di bawah jagaan guru.

Tekun menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru kelas.

Jom kita nyanyi sama-sama!!

Murid-murid yang mengikuti pra tadika sudah faham
dengan etika di sekolah.

Bagi pihak van pula, untuk seminggu awal persekolahan ini, memang anak-anak akan sampai ke rumah agak lewat. Berilah masa kepada pihak van untuk membiasakan diri dengan jalan- jalan dan lorong-lorong yang ada di sekitar Pasir Gudang. Walaupun ada yang menghubungi kami dan memberitahu, 

“Van yang sama aje ni cikgu..yang anak saya naik tahun lepas, takkan lambat juga?”

Harus diingat, walaupun van dan pemandu yang sama, jumlah murid berbeza, begitu juga bagi murid baru yang menggunakan khidmat van tersebut. Sekiranya pihak van tidak menjawab telefon, berkemungkinan besar ketika itu mereka sedang memandu van, bahaya ya bagi mereka untuk menjawab panggilan . Ibu bapa memang berhak untuk merasa risau, tetapi hubungilah pihak van sekiranya anak tak juga sampai dalam masa sejam, kalau lewat dalam 15 minit atau setengah jam tu, harap bersabarlah ya!

Seperkara lagi, jangan lupa ya untuk serahkan kembali surat peraturan tadika dan juga surat kebenaran renang yang lengkap berisi maklumat yang diperlukan ke tadika masing-masing sebelum 12 Januari 2017 (Khamis). Jangan sampai anak-anak tuan puan terlepas peluang untuk bermandi manda di kolam dengan rakan-rakan mereka kerana borang tidak dihantar ya!

~Cikgu Norifah~