Wednesday, January 4, 2017

2017 SESI PERSEKOLAHAN BERMULA



Berdiri tegak menanti arahan seterusnya dari guru kelas.

“Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.” Surah Adh-Dhariyat : 55

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, sudah masuk minggu kedua kami berada dalam Sesi Persekolahan 2017 tetapi baru sekarang ini saya berkesempatan untuk berkongsi cerita. Tiada banyak perbezaan dengan tahun-tahun yang terdahulu, ragam anak-anak murid yang baru tidak jauh beza dengan yang sebelumnya. Guru-guru lama pun sudah masak dengan karenah yang bakal dipertontonkan oleh anak-anak murid mereka yang baru ini. 

Berurusan di kaunter van (TIB)

Bersabar menunggu giliran untuk berurusan dengan pihak van (TM)

Wahhhh... semakin hebat kasut sekolah anak-anak sekarang.

Untuk kali ini, seperti juga tahun yang lepas, kami di bahagian pengurusan setia menanti kehadiran murid-murid di Tadika Pintar Bistari Taman Mawar. Debaran yang kami rasa walaupun tidak menguruskan kelas, tetap sama seperti guru-guru yang menanti kedatangan murid baru di kelas. Untuk hari-hari yang sebegini, kami menggelarkan diri kami “Special Task Force” kerana pada hari yang pertama ini,  pejabat kami tinggalkan kosong dan tumpuan kami adalah membantu mana-mana bahagian yang memerlukan pertolongan kami.

Peluang ini memang kami tunggukan kerana masa inilah selalunya kami akan dapat  bertemu dan beramah mesra dengan ibu bapa. Lagilah kalau yang menghantar anak itu adalah terdiri dari ibu bapa yang pernah menghantar anak-anak mereka ke Pintar Bistari. Ketika inilah kelihatan pihak-pihak pengurusan berada di meja pendaftaran, di dalam kelas, di halaman luar dan juga di bilik air, membantu guru-guru dan para ibu bapa menguruskan anak-anak murid menghadapi hari pertama persekolahan. 

Cikgu Azreen sedang membantu mengawal
kelas.

Pn Shawariah membantu proses
pendaftaran pada sesi pagi.

Kami di bahagian pengurusan juga pencinta anak-anak tadika sama seperti cikgu-cikgu yang lain. Walaupun tanpa sebarang arahan atau permintaan sedar-sedar sahaja Cikgu Azreen dan Cikgu Shawariah sudahpun berada di dalam kelas, tolong memujuk mana-mana murid yang menangis. Paling cepat risau adalah Puan Shawariah, pantang terdengar suara murid yang menangis, bergegas dia bangun meninggalkan mejanya dan mencari punca tangisan. Jika tak juga berhenti menangis, kami akan keluarkan sebentar anak-anak ini agar tidak mempengaruhi murid-murid lain untuk ikut menangis. Topik perbualan kami di pejabat juga berkisar dengan anak-anak baru ini.

Seperti biasa juga, ramai ibu bapa yang agak sukar untuk melepaskan anak-anaknya di dalam kelas. Ketika saya keluar untuk mengunci pintu pagar tadika masih terdapat beberapa ibu bapa yang masih terjengah-jengah dan setia menanti anaknya di luar tadika. Sekadar berbasa basi saya bertanya kenapa tidak balik dahulu?

“Risau ni cikgu, tu dengar suara menangis.. macam suara anak saya, tadi masa saya hantar dia tak menangis,” katanya sambil terjengah-jengah lagi cuba untuk mengecam suara yang menangis itu.

“Tak apa encik, biasalah macam tu, Insyaallah pandailah cikgu-cikgu kami memujuk murid yang menangis tu..”  itu lah jawapan yang sampaikan padanya. Untuk berbual lebih lama tak dapat kerana perlu bergegas mengunci pintu grill tadika pula, tidak mahu ada yang berlari meluru keluar. Sehabis baik kami cuba untuk mengelakkan dari acara pecut 100 meter bersama anak murid.

Bagi ibu bapa, jangan risau, memang untuk hari atau minggu pertama nampak keadaan agak kucar kacir dengan murid yang menangis dan yang memerlukan perhatian, tetapi itu sudah menjadi kebiasaan bagi kami. Beri kepercayaan kepada kami dalam menangani mereka-mereka yang menangis. Kami faham bukan mudah bagi anak-anak ini untuk meletakkan kepercayaan kepada kami, orang luar yang asing bagi mereka.

Melihat kali terakhir sebelum meninggalkan anak di bawah jagaan guru.

Tekun menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru kelas.

Jom kita nyanyi sama-sama!!

Murid-murid yang mengikuti pra tadika sudah faham
dengan etika di sekolah.

Bagi pihak van pula, untuk seminggu awal persekolahan ini, memang anak-anak akan sampai ke rumah agak lewat. Berilah masa kepada pihak van untuk membiasakan diri dengan jalan- jalan dan lorong-lorong yang ada di sekitar Pasir Gudang. Walaupun ada yang menghubungi kami dan memberitahu, 

“Van yang sama aje ni cikgu..yang anak saya naik tahun lepas, takkan lambat juga?”

Harus diingat, walaupun van dan pemandu yang sama, jumlah murid berbeza, begitu juga bagi murid baru yang menggunakan khidmat van tersebut. Sekiranya pihak van tidak menjawab telefon, berkemungkinan besar ketika itu mereka sedang memandu van, bahaya ya bagi mereka untuk menjawab panggilan . Ibu bapa memang berhak untuk merasa risau, tetapi hubungilah pihak van sekiranya anak tak juga sampai dalam masa sejam, kalau lewat dalam 15 minit atau setengah jam tu, harap bersabarlah ya!

Seperkara lagi, jangan lupa ya untuk serahkan kembali surat peraturan tadika dan juga surat kebenaran renang yang lengkap berisi maklumat yang diperlukan ke tadika masing-masing sebelum 12 Januari 2017 (Khamis). Jangan sampai anak-anak tuan puan terlepas peluang untuk bermandi manda di kolam dengan rakan-rakan mereka kerana borang tidak dihantar ya!

~Cikgu Norifah~

2 comments:

  1. Assalamulaikum w.b.t . Saya memohon jasa baik dan kemurahan hati pihak Pengurusan Tadika Pintar Bistari Jalan
    Mangga supaya mengadakan beberapa kipas siling di bahagian luar permis (tapak perhimpunan)

    Ini bagi
    memberi keselesaan kepada semua para pelajar terutamanya macam anak saya yg mengidap eczema. Memandangkan
    tempat tersebut hari2 digunakan dan agak panas terutamanya pada tengahari dan ptg. Harap permohonan saya dpt
    di pertimbangkan. Terima Kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam w.b.t .. maaf kerana membalas komen ini agak lewat. Permasalahan ini telahpun kami usulkan kepada pihak atasan.
      Maaf, kami tidak dapat mengadakan kipas siling di bahagian luar premis kami, tetapi alternatif yang dapat kami lakukan adalah mengecualikan anak tuan dari menyertai perhimpunan di luar.
      Terima kasih diatas komen tuan.
      ~Cikgu Norifah~

      Delete

Terima kasih kerana meninggalkan komen anda samada negatif @ positif. Sila berikan nama anda agar ukhwah terus terjalin.