Thursday, July 28, 2016

REZEKI DI HARI RAYA

Bismillahirrahmanirrahim.

SELAMAT HARI RAYA

“Kalau rezeki dari Allah itu lambat, maka beristigfarlah kepada Allah dan bermohon semoga melapangkan rezekiNya bagi anda. Kunci syurga adalah sabar. Kunci kemuliaan adalah rendah hati. Dan kunci kebaikan (kehormatan) adalah taqwa.” Ali Bin Abi Talib r.a

Alhamdulillah, masih lagi diberi oleh Allah untuk merasai nikmat kehidupan untuk hari ini. Degup jantung yang masih kita rasai hari ini juga adalah salah satu dari rezeki yang Allah sudi berikan kepada kita. Nampak mudah bukan? Ada ketikanya kita tak terfikir pun itu juga adalah salah satu dari sumber rezeki kerana selalunya konsep rezeki itu kita lihat dari perkara-perkara atau benda yang kita nampak dengan mata kasar.

Kali ini, ingin saya kongsikan sedikit cerita berkenaan rezeki yang melimpah ruah banyaknya yang kami perolehi ketika sambutan hari raya pada hari Ahad yang lalu. Alhamdulillah, sumbangan dari pihak ibu bapa dan penjaga sangat-sangat menggalakkan. Terima kasih kami ucapkan bagi pihak MyBistari Group. Seronok melihat anak-anak murid dan juga cikgu-cikgu teruja melihat meja yang penuh dengan pelbagai jenis juadah, sehingga ramai juga anak murid yang rambang mata untuk memilih makanan.

Seperti biasa juga, suasana untuk sambutan kali ini, dapat saya nikmati di Taman Mawar sahaja. Puan Suhaila, Puan Norafizah, dan Puan Noorfaridah yang bergerak ke setiap cawangan seliaan masing-masing untuk  sama-sama menyambut hari raya bersama guru dan anak murid. Mesti seronokkan? Terbayang-bayang kemeriahan sambutan dan kegembiraan anak-anak murid. Mana kan tidak, di sini sahaja tak menang tangan kami melayan gelagat anak-anak murid yang tak sabar-sabar hendak berhari raya bersama rakan-rakan sekelas.

Segak dan cantik. Itu yang dapat saya katakan ketika melihat mereka turun dari van atau menyambut mereka yang sampai dihantar oleh ibu bapa. Yelah, bukan selalu kami dapat lihat mereka berpakaian lain selain dari baju uniform tadika. Kembang kuncup hidung mereka apabila menghulurkan sumbangan yang dibawa dari rumah.

“Makan tau cikgu, mi ni mak kita yang masak.. sedap!!”

“Cikgu, karipap inti sardin ni kita nak nanti tau!”

“Kita tak bawa bekal.. mak kata mesti ada banyak makanan hari raya..” ada juga yang berkata begini, dengan muka sedihnya. Tak apa.. untuk memberi sumbangan itu tidak wajib, seikhlas hati. Rezeki yang ada kita kongsi bersama-sama.

Sayangnya, masih ada juga murid yang hadir ke tadika dengan berbaju uniform. Mungkin ibu bapanya terlupa. Tak apalah, yang penting mereka juga merasai keseronokkan sambutan hari raya.


Sambutan diadakan bermula pada waktu rehat, yang mana murid-murid dikumpulkan beramai-ramai di halaman luar. Makanan kemudian diagihkan, untuk memudahkan perjalanan majlis, cikgu-cikgu memainkan peranan dengan menyuap murid-murid makanan yang ada. Selepas kenyang, barulah aktiviti permainan dan sambutan sebenarnya bermula. Bermacam-macam permainan dimainkan di setiap cawangan, kami yang berada di bahagian pengurusan juga teruja melihat gambar-gambar yang dikongsikan oleh Guru Besar dari srtiap tadika MyBistari Group.

Nak tengok gelagat mereka berhari raya di tadika? Ada saya kongsikan di Photo Galery. Oleh kerana jumlahnya agak banyak, untuk tatapan di sini, saya himpunkan beberapa keping gambar mengikut cawangan.


Suasana berhari raya di TKM1

Meriahnya sambutan di TIB

Kemas dan tersusun di TIPB

Banyak permainan baru di TKM2

Tak kurang meriahnya TM

Sambutan di TMPB

Wajah-wajah ceria warga TNPB

Ukhwah guru dan murid di TS1

Suasana sambutan di TS2





~Cikgu Norifah~

Thursday, July 21, 2016

5 BISTARI SEBULAN BERLALU



Bismillahirrahmanirrahim.

“Semulia-mulia manusia ialah orang yang mempunyai adab yang merendah diri ketika berkedudukan tinggi, memaaf ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat.” – Khalifah Abdul Malik Marwan.

Pernah dengar cerita murid menangis sebab tak nak balik rumah? Jarang kan berlaku perkara ni? Hahaha.. tapi itulah yang terjadi di Taman Mawar hari ini.  Bergegas Puan Shawariah keluar untuk melihat siapa yang menangis. Naluri seorang ibu mungkin, terpanggil untuk datang memujuk murid yang menangis itu. Tak lama selepas itu terdengar suaranya ketawa. Eh.. dah kenapa pula Puan Shawa gelak masa dalam proses memujuk tu? Oleh sebab teringin nak tahu, akhirnya saya juga turut ke kelas murid terbabit.

Rupa-rupanya, ada seorang murid 5 tahun yang tidak mahu pakai kasut sekolah. Bila ditanya, dalam tangisnya dia menjawab, “Tak nak balik rumah!! Nak tinggal kat sekolah!!” Pada awalnya agak terpinga-pinga juga kami hendak memahami butir bicara murid ini, almaklumlah.. bercakap ketika menangis. Puas Cikgu Alya memujuk, masih juga dia menangis dengan alasan yang sama, tak mahu pulang ke rumah dan mahu tinggal di sekolah dengan cikgu.

Tiba-tiba teringat dan terindu pula pada murid-murid di Taman Scientex 1 ketika zaman saya menjadi Guru Besar di sana (ketika itu masih lagi di Jalan Kancil).  Bermacam alasan yang mereka berikan apabila disuruh ambil kasut untuk balik ke rumah. Ada ketikanya sehingga Encik Ezam, pemandu van, terpaksa tunggu sebentar. Sehingga terpaksa bersuara, “Siapa yang beratur untuk balik dulu, esok cikgu peluk dan cium pipi bila sampai sekolah.” Barulah berebut mereka beratur untuk balik. Ingat tak lagi gelagat mereka tu, Cikgu Noorhasiah?  Itu semua tinggal kenangan.

Ada juga kes sekarang ini, murid yang menangis kerana bertukar kelas. Seperti yang dilakukan saban tahun, ada beberapa cawangan yang akan ada pertukaran kelas; 5 Bistari dan juga 5 tahun normal. Suasananya seakan-akan awal tahun yang lalu. Menangis kerana ditukarkan kelas, cikgu yang baru dan juga rakan sekelas yang baru. Tapi Insyaallah, sedikit demi sedikit, anak-anak ini akan dapat menerima suasana yang baru bagi mereka. Ibu dan ayah tak perlu risau kerana kami sudah mula dapat aduan berkenaan hal ini, prestasi anak menurun, takut anak tidak fokus belajar dan sebagainya. Setiap aduan yang diberikan berkenaan kelas 5 Bistari tidak kami pandang ringan. Dan bagi ibubapa yang menghadiri Sesi Penerangan 5 Bistari pada 14 Mei 2016 yang lalu, telah kami dedahkan dengan perancangan dan silibus yang bakal dilalui oleh murid-murid ini.

Saban tahun juga kami kagum dengan kredibiliti murid-murid kelas 5 Bistari. Kenapa? Kerana dalam masa sebulan, peningkatan yang ditunjukkan oleh murid-murid kelas 5 Bistari amat mengagumkan. Baik dari segi P&P mahupun keyakinan diri, nampak perubahan yang positif dan ketara pada mereka. Tapi jangan salah anggap ye, tak semua yang kami janjikan masuk 5 Bistari akan terus cemerlang, masih ada yang memerlukan bantuan dan bimbingan guru, dan begitu juga dengan kelas 5 tahun normal, tak semestinya murid-murid yang tidak terpilih ini tidak bagus, setiap murid ada keistimewaan mereka yang tersendiri. Apa yang perlu dilakukan adalah cari dan cerna keistimewaan itu dari dalam diri murid-murid.


Untuk kali ini, ingin saya kongsikan prestasi yang ditunjukkan oleh murid-murid 5 Bistari dari semua cawangan yang mempunyai kelas ini.

Sudah faham teknik penulisan garis 3 (TNPB)

Menyiapkan tugasan yang diberi (TNPB)

Sudah pandai jawab soalan sendiri (Taman Mawar)

Mendengar soalan lisan yang diberi oleh guru (Taman Mawar)

Kemaskan tulisannya? (TKM2)


Itu sebahagian dari gambar-gambar yang dikongsikan oleh Guru Besar kepada kami. Selainnya saya satukan bersama dengan video yang juga dikirimkan oleh Guru Besar kepada kami.

Selamat menonton!!


~Cikgu Norifah~

Thursday, June 30, 2016

PROJEK HARI RAYA 2016




Bismillahirrahmanirrahim

“Dalam kerendahan hati, ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta, ada kekayaan jiwa. Dalam kelembutan lidah, ada juga keterlanjuran kata. Dalam gurau senda, tentu ada khilaf dan dosa. Mohon ampun dan maaf di atas segalanya. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Moga silaturrahim diberkati Allah.”

Minggu ini minggu terakhir sebelum semuanya bercuti untuk sama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri. Terasa cepatnya masa yang berlalu. Baru sekejap sahaja melayan kerenah murid-murid yang menahan lapar dikelas. Tak kurang juga yang mengaku berpuasa, padahal nampak bekalan yang dibawa dari rumah. Bermacam gaya dari mereka yang sering membuatkan kami tak kering gusi.

Dugaan terhebat, bukan sahaja bagi anak murid, tetapi juga bagi kami, bukannya terik matahari atau panas bahangnya kelas, tetapi dugaan yang terhebat adalah apabila tiba waktu rehat. Ketika itu, biskut kering yang dibawa murid juga kelihatan sangat menyelerakan, terbayang ayam golek pula. Apatah lagi bila murid yang membawa nugget ataupun nasi, bau yang terbit seiring dengan bekal yang dibuka, ada ketikanya menggugat iman kami juga.

Teringat pula pada satu komen murid yang berpuasa ketika waktu rehat apabila bekalan dibuka.

“Cikgu.. bau makanan ni.. masuk ke hidung, terus ke perut saya. Batal tak puasa saya cikgu?” kembang kuncup hidungnya menghidu bauan yang datang dari kelas sebelah. 

Oh, untuk pengetahuan ibu bapa, setiap kali waktu rehat di bulan Ramadhan, kami akan asingkan murid yang membawa bekal dengan murid yang tidak membawa bekal. Jadi bayangkan, betapa hebatnya kuasa bau itu boleh melayang masuk ke kelas sebelah dan menggugat iman mereka yang sedang berpuasa. Hebatkan?

Dan seperti biasa, minggu terakhir ini, guru-guru akan sibuk dengan perhiasan hari raya di cawangan masing-masing. Kalau boleh setiap sudut yang ada di tadika mahu dihias sempena dengan sambutan hari raya nanti. Ini saya kongsikan serba sedikit persiapan guru-guru di cawangan.

Cantiknya bola tu Cikgu Marlina (Tadika Minda Pintar Bestari)

Seriusnya Cikgu Nurul dan Cikgu Syasya mewarna (Tmn. Mawar)

Meriah tangga Tadika Nur Pintar Bestari tahun ni!

Hati-hati Cikgu Hayatul, jangan terjatuh! (Tmn. Kota Masai 1)

Cikgu Faridah dan Cikgu Mas Ardilla buat apa tu? Lemang ke meriam buluh? (Tadika Inovasi Bestari)

Sempat lagi Cikgu Juliana berposing di atas tangga,
nasib baik ada Cikgu Syikhah tolong pegangkan tangga. (Tadika Inovasi Bestari)

Cepat Cikgu Has.. ramai lagi orang yang order ketupat untuk raya ni! (Tadika Nur Pintar Bestari)
Untuk tahun ini, kami juga diberi tanggungjawab untuk melaksanakan satu projek hari raya. Projek apa agaknya ya?

Pihak atasan menginginkan sebuah video ucapan hari raya dari keluarga besar kami, MyBistari Group. Dalam jangkamasa yang agak suntuk, dan berkat kerjasama yang diberikan oleh semua warga MyBistari, maka terhasillah sebuah video untuk tatapan ibu bapa semua.

Murid-murid dari Taman Kota Masai 2 sedang memberi ucapan.

Wakil dari Taman Kota Masai 1.

Istimewa ucapan Bahasa Inggeris dari Tadika Ilmu Pintar Bestari.

Penuh gaya cikgu-cikgu didikan Pn Hasiah menyampaikan ucapan hari raya.

Ceria wajah guru-guru dan murid-murid memberi ucapan.
Nak tengok hasilnya? Silalah layari akaun Youtube kami. Jangan lupa komen ya! Mana tahu boleh cam kan anak masing-masing menyampaikan ucapan.

Akhir kata, kami warga MyBistari Group sekali lagi mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri". Bagi yang akan pulang ke kampung halaman, berhati-hati semasa memandu, basahkan bibir dengan zikir jika terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, semoga perjalanan pergi dan pulang sentiasa di dalam lindunganNya. Jangan lupa jalan balik ke sini ya!!

~Cikgu Norifah~

Tuesday, June 21, 2016

DETIK ITU TERAKAM


“We don’t remember days, we remember moments. What we have caught on film is captured forever.”

20hb Jun 2016

Bismillahirrahmannirahim.

Ketika sampai ke tadika awal pagi tadi, dalam fikiran sudah diaturkan apa yang akan dilakukan nanti. Ada beberapa agenda yang perlu diselesaikan hari ini. Tapi seperti yang pernah saya katakan dalam posting terdahulu, kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan.

Sebaik sahaja saya meletakkan beg laptop di atas meja, Cikgu Azreen meluru datang sambil tersenyum.

“Kak Ifah, hari ni akak kena bawa kita ke cawangan untuk sesi penggambaran kelas, arahan Pn 
Zainun,” terkebil-kebil sebentar saya mendengar kata-katanya.

“Eh.. ye ke, jangan bergurau.. Pn Zai tak ada beritahu apa-apa pun,” jawab saya was-was.

“Ye lah.. kereta kita rosak, kita tak tahu bawa kereta manual, alza tu kan manual,” panjang lebar penerangan Cikgu Azreen.

“Ok lah kalau macam tu, nak pergi pukul berapa?”

“9 pagi.”

Dan bermulalah setengah hari saya mengikuti Cikgu Azreen ke cawangan-cawangan saya dahulu, Tadika Pintar Bistari Tmn Kota Masai 1, Taman Kota Masai 2, dan Tadika Ilmu Pintar Bestari.

Paginya kami mulakan dengan Tadika Ilmu Pintar Bestari terlebih dahulu. Terasa seperti orang baru pula bila kehadiran kami menimbulkan persoalan murid-murid di sana.

“Cikgu baru eh.. cikgu baru kan?” soalan dari murid-murid setiap kali keluar untuk diambil gambar mereka.

Menanti murid-murid dan guru TIPB bersiap.

Kenapa tak butang baju ni..?

Sedia semua.. 1..2..3..!!

Ni kedudukannya tak betul ni, ikut yang cikgu dah susun.

Selesai di Tadika Ilmu Pintar Bestari, kami ke Kota Masai 2 dan akhir sekali ke Kota Masai 1.

Susun atur kerusi sebelum murid-murid turun. (TKM2)


ikut susunan ya, .. perempuan duduk, lelaki berdiri..

Sini.. sini.. jangan tengok tempat lain!..ujar Cikgu Azreen jurugambar kami

Cikgu.. cepat sikit.. hari dah mula panas.

Eh,, kenapa macam ni? Cikgu kan dah susun tadi..(TKM1)

Pagi.. masih bersemangat lagi kami melayan dan mengatur murid-murid untuk sesi penggambaran. Saya membantu sekadar yang mampu. Pening juga sebenarnya mengatur anak-anak ini untuk bergambar, bayangkan sahaja bagaimana hendak melayan mereka yang aktif di kelas, ini hendak suruh mereka berdiri atau duduk diam untuk diambil gambarnya. Perlu sabar. Sekali petik gambar takkan cukup untuk satu kelas, paling kurang 3 kali. Mana taknya jika barisan hadapan duduk cantik, barisan belakang akan ada yang tidak beri tumpuan, berbual, pandang ke tempat lain, dan ada juga yang tidak mahu bergambar. Takkan ada gambar yang sempurna keadaan mereka kesemuanya.

Pelbagai ragam mereka yang perlu dilayan. Gigih Cikgu Azreen mengatur kedudukan dan menegur murid-murid. Bersabarlah ya, saya faham penat dan sukarnya mengatur sesi fotografi ini kerana pernah juga di pertanggungjawabkan untuk perkara yang sama. Lagilah di bulan puasa ni, kena extra sabar.

Kami berehat sambil menyiapkan tugasan masing-masing di Kota Masai 1 sementara menunggu pertukaran sesi. Suasana agak berbeza kerana bermula tahun ini, Kota Masai 1 cuma ada satu bangunan sahaja, sudah terbiasa dengan ruangan lama yang luas dan lebih selesa.


Setelah selesai permulaan kelas bagi sesi tengahari, barulah kami sambung ambil gambar murid-murid. Seronok kerana diberi kesempatan untuk membantu Cikgu Azreen kali ini. Agak lama sudah tidak berjumpa dengan murid-murid dari cawangan lain.

Kira-kira dalam pukul 1.30 petang selesai semua urusan fotografi dan kami pun bertolak pulang ke Taman Mawar. Antara pengalaman yang menarik bagi diri saya sendiri. Ada hikmahnya juga kereta Cikgu Azreen rosak, kalau tak entah bila saya dapat ziarah ke cawangan-cawangan lain.

Minggu hadapan adalah minggu terakhir persekolahan. Di harap para ibu bapa masih lagi menghantar anak-anak ke tadika seperti biasa ya! Tiada istilah cuti tambahan atau pun cuti awal kecuali yang betul- betul memerlukan. Baju raya dah beli? Kuih dah buat? Semangat raya makin terasa sudah ni, apatah lagi lagu raya semakin rancak berkumandang. Seronok seronok juga, jangan terlalu memikirkan persiapan raya sehingga terlupa satu nikmat yang cuma ada ketika Ramadhan, iaitu solat terawih dan menggapai malam lailatulqadar dalam malam-malam 10 terakhir ramadhan ini. Semangat !!
. Jom tambah pahala!

~Cikgu Norifah~

Thursday, June 16, 2016

HARI JALINAN KASIH SEMESTER 1 2016


“Janganlah berprasangka buruk kepada kata-kata yang tidak baik dari mulut seorang muslim, sementara engkau mungkin mendapatkan kemungkinan baik daripadanya.”
-Saidina Umar Al Khattab-

Bismillahirrahmanirrahim.

“Tak lena tidur kita malam tadi kak, berdebar tunggu parents nak datang ni,” Cikgu Zalikha membuka bicara apabila saya datang duduk di hadapannya.

“Dalam ramai-ramai, parents mana yang mendebarkan?” soal saya padanya.

“Yang ini,” jari telunjuknya disuakan ke beberapa barisan nama murid di tangga akhir analisa pemarkahan.

Situasi yang kami, guru-guru hadapi saban tahun. Berdebar untuk berhadapan dengan ibu bapa yang keputusan anaknya kurang memuaskan. Rasa bersalah dan segan beraja dalam diri kami. Selama hampir 6 bulan, anak-anak di amanahkan kepada kami, jika boleh kami mahu semuanya mendapat keputusan yang cemerlang dan memuaskan hati ibu bapa. Usaha dari pihak guru tak pernah putus dalam mendidik anak-anak murid mereka.

Dari Cikgu Zalikha, saya ke Cikgu Aliyah pula. Mahu juga dengar pandangan guru yang baru pertama kali turut serta dalam hari terbuka. Cikgu Aliyah ini terkenal dengan sikapnya yang bersungguh dalam bekerja dan juga bercerita. Semasa saya turun ke bawah untuk melihat suasana hari terbuka, bersemangat saya nampak dia sedang bercerita dengan Encik Tamizi. Teringin juga nak tahu cerita apa yang menyebabkan Encik Tamizi tekun mendengarnya.

“Ni lah Cikgu Ifah, kita cerita pasal anak murid kita yang bermasalah pada dia. Keluar masuk kelas sesuka hati. Ingat tak sampai ada yang kita kejar keluar tadika dalam hujan awal tahun dulu?” penuh gaya dia bercerita.

Saya tersenyum dan menganggukkan kepala. Itu juga antara resam aktiviti awal tahun kami, mengejar murid yang tak mahu masuk kelas. Teringat pula pengalaman sendiri yang sama-sama duduk di atas bumbung kereta wira apabila murid tersebut lari dan memanjat bumbung kereta ayahnya. Alhamdulillah selepas kejadian itu kami jadi kamceng, berkat duduk bersembang atas bumbung kereta mungkin.

“Habis tu ayah dia cakap apa?” berbalik semula pada cerita Cikgu Aliyah.

“Ayah dia cuma diam, angguk-angguk kepala aje. Suruh tulis dekat borang komen pun taknak,” balas Cikgu Aliyah.

“Ada juga parents yang agak susah nak berbincang pasal anak mereka, kan?” tambahnya lagi.

“Biasalah tu.. cara setiap orang berbeza. Ni tak jumpa lagi jenis parents yang suka bercerita, kita pula yang terdiam nanti,” tersengih dia mendengar kata-kata saya.

“Tapikan, best juga hari terbuka ni. Permasalahan murid-murid kita dapat bincang terus dengan ibu bapa, sebab ada masanya macam kurang puas berbincang di telefon. Baru dapat tahu, ada murid yang lain perangainya di sekolah dan di rumah. Macam tak percaya bila parents beritahu kat rumah anaknya tak banyak cakap, sedangkan kat kelas dialah wartawan kelas. Ada yang diam, tapi bila kat rumah suka ajuk cara cikgu mengajar, rasa macam nak pergi aje ke rumah tengok gaya mereka,” dia menyuarakan pendapatnya.

“Sedap berbincang kalau anak dapat keputusan ok, kalau dapat yang kurang ok tu yang berpeluh nak menerangkannya,” sampuk Cikgu Zalikha yang duduk di meja sebelah.

“Konsep ikhlas, Ika..” balas Cikgu Nurul yang turut serta bersama kami.

Waktu-waktu begini tak ramai ibu bapa yang hadir, jadi cikgu-cikgu dapatlah melawat meja rakan-rakan yang lain, berbincang tentang permasalahan yang ada.

“Ye betul.. ikhlas, tapi ada masa ikhlas tu macam lari bila dengar komen-komen yang negatif. Kita cuba follow up dengan parents ni bila ada masalah, jawapannya ya.. cikgu ya.. tapi bila anaknya tak dapat buat dengan baik, kita pula yang dipersalahkan, sedihlah hati ni,” terpancar rasa sedih di raut wajahnya.

Itu antara situasi yang dapat saya kongsikan untuk tatapan ibu bapa. Sedikit luahan dan perasaan cikgu setiap kali berhadapan dengan ibu bapa ketika hari terbuka. Hari yang sangat-sangat mendebarkan bagi semua tenaga pengajar di MyBistari Group. Tidak bermakna kami tidak terbuka untuk menerima komen dan kritikan, tetapi diharap apa yang diucapkan dan dilontarkan kepada cikgu-cikgu adalah dalam keadaan yang berhemah dan tenang.

Seperkara lagi yang amat ditunggu-tunggu oleh ibu bapa dan guru-guru yang lain ketika hari terbuka adalah hiasan papan notis. Sudah menjadi seperti satu pertandingan, saban semester setiap cawangan akan cuba menghasilkan papan notis yang menarik dan kreatif untuk tatapan semua. Kali ini seperti tahun yang terdahulu Tadika Pintar Bistari Kota Masai 2 berjaya mengungguli juara papan notis. Tahniah kami ucapkan! Bagi cawangan yang lain, jangan putus asa, teruskan lagi usaha!! Setiap papan notis yang dihasilkan cantik dan kreatif bagi kami, cuma sang juara lebih menarik perhatian dan hati kami.

Top 3 Taman Kota Masai 2

Cantiknya 3D ni..

Thomas & Friends.. kreatif landasan dibuat dari cotton bud

Musim salji di Taman Mawar

Princess Sofia di Taman Kota Masai 1

Keseluruhan papan notis Taman Kota Masai 1

Boboiboy datang ke Tadika Ilmu Pintar Bestari

Super wings di Tadika Nur Pintar Bestari

Ana dan Elsa melawat Tadika Pintar Bistari Taman Mawar


Rasanya cukuplah setakat itu cerita yang dapat saya kongsikan pada entri kali ini.


Jom, kita tengok gelagat tetamu dan juga cikgu-cikgu di hari terbuka!  

Apa agaknya yang dibincangkan oleh mereka berdua ye!

Tersenyum Cikgu Ainol kita, berpuas hati mungkin perbincangan dengan ibu murid.
 Minggu ini semester 2 2016 memulakan kembaranya. Seperti yang sedia maklum, bagi murid 5 tahun ada pertukaran yang berlaku. Ada murid yang ditempatkan di kelas 5 Bistari dan ada juga murid yang ditempatkan di 5 normal, jadi jangan terkejut jika anak-anak memberitahu mereka dapat kawan yang baru di dalam kelas. Insyaallah nanti akan saya kongsikan perkembangan pertukaran kelas ini.

~Cikgu Norifah~