Bismillahirrahmanirrahim
“Dalam kerendahan hati, ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta, ada kekayaan jiwa. Dalam kelembutan lidah, ada juga keterlanjuran kata. Dalam gurau senda, tentu ada khilaf dan dosa. Mohon ampun dan maaf di atas segalanya. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Moga silaturrahim diberkati Allah.”
Minggu ini minggu terakhir sebelum semuanya bercuti untuk sama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri. Terasa cepatnya masa yang berlalu. Baru sekejap sahaja melayan kerenah murid-murid yang menahan lapar dikelas. Tak kurang juga yang mengaku berpuasa, padahal nampak bekalan yang dibawa dari rumah. Bermacam gaya dari mereka yang sering membuatkan kami tak kering gusi.
Dugaan terhebat, bukan sahaja bagi anak murid, tetapi juga bagi kami, bukannya terik matahari atau panas bahangnya kelas, tetapi dugaan yang terhebat adalah apabila tiba waktu rehat. Ketika itu, biskut kering yang dibawa murid juga kelihatan sangat menyelerakan, terbayang ayam golek pula. Apatah lagi bila murid yang membawa nugget ataupun nasi, bau yang terbit seiring dengan bekal yang dibuka, ada ketikanya menggugat iman kami juga.
Teringat pula pada satu komen murid yang berpuasa ketika waktu rehat apabila bekalan dibuka.
“Cikgu.. bau makanan ni.. masuk ke hidung, terus ke perut saya. Batal tak puasa saya cikgu?” kembang kuncup hidungnya menghidu bauan yang datang dari kelas sebelah.
Oh, untuk pengetahuan ibu bapa, setiap kali waktu rehat di bulan Ramadhan, kami akan asingkan murid yang membawa bekal dengan murid yang tidak membawa bekal. Jadi bayangkan, betapa hebatnya kuasa bau itu boleh melayang masuk ke kelas sebelah dan menggugat iman mereka yang sedang berpuasa. Hebatkan?
Dan seperti biasa, minggu terakhir ini, guru-guru akan sibuk dengan perhiasan hari raya di cawangan masing-masing. Kalau boleh setiap sudut yang ada di tadika mahu dihias sempena dengan sambutan hari raya nanti. Ini saya kongsikan serba sedikit persiapan guru-guru di cawangan.
|
Cantiknya bola tu Cikgu Marlina (Tadika Minda Pintar Bestari) |
|
Seriusnya Cikgu Nurul dan Cikgu Syasya mewarna (Tmn. Mawar) |
|
Meriah tangga Tadika Nur Pintar Bestari tahun ni! |
|
Hati-hati Cikgu Hayatul, jangan terjatuh! (Tmn. Kota Masai 1) |
|
Cikgu Faridah dan Cikgu Mas Ardilla buat apa tu? Lemang ke meriam buluh? (Tadika Inovasi Bestari) |
|
Sempat lagi Cikgu Juliana berposing di atas tangga,
nasib baik ada Cikgu Syikhah tolong pegangkan tangga. (Tadika Inovasi Bestari) |
|
Cepat Cikgu Has.. ramai lagi orang yang order ketupat untuk raya ni! (Tadika Nur Pintar Bestari) |
Untuk tahun ini, kami juga diberi tanggungjawab untuk melaksanakan satu projek hari raya. Projek apa agaknya ya?
Pihak atasan menginginkan sebuah video ucapan hari raya dari keluarga besar kami, MyBistari Group. Dalam jangkamasa yang agak suntuk, dan berkat kerjasama yang diberikan oleh semua warga MyBistari, maka terhasillah sebuah video untuk tatapan ibu bapa semua.
|
Murid-murid dari Taman Kota Masai 2 sedang memberi ucapan. |
|
Wakil dari Taman Kota Masai 1. |
|
Istimewa ucapan Bahasa Inggeris dari Tadika Ilmu Pintar Bestari. |
|
Penuh gaya cikgu-cikgu didikan Pn Hasiah menyampaikan ucapan hari raya. |
|
Ceria wajah guru-guru dan murid-murid memberi ucapan. |
Nak tengok hasilnya? Silalah layari akaun
Youtube kami. Jangan lupa komen ya! Mana tahu boleh cam kan anak masing-masing menyampaikan ucapan.
Akhir kata, kami warga MyBistari Group sekali lagi mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri". Bagi yang akan pulang ke kampung halaman, berhati-hati semasa memandu, basahkan bibir dengan zikir jika terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, semoga perjalanan pergi dan pulang sentiasa di dalam lindunganNya. Jangan lupa jalan balik ke sini ya!!
~Cikgu Norifah~
0 comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana meninggalkan komen anda samada negatif @ positif. Sila berikan nama anda agar ukhwah terus terjalin.