Showing posts with label 6 bistari. Show all posts
Showing posts with label 6 bistari. Show all posts

Wednesday, October 19, 2016

AMALI SOLAT 2016


Khusyuk menunaikan solat

Bismillahirrahmanirrahim

“Sesungguhnya yang pertama sekali akan dihisab ke atas seorang hamba pada hari kiamat adalah perkara solat.  Jika solatnya baik, maka baiklah seluruh amal ibadah lainnya, kemudian semua amalannya akan dihitung atas hal itu,” (Hadith Riwayat An Nasa’i)

Seringkali ibu bapa yang datang untuk mendaftar anak di tadika kami akan bertanya,

“Cikgu, kat sini ada belajar Fardhu Ain tak ?  Mengaji ada termasuk sekali tak dalam pelajaran anak nanti? Saya nak anak saya umur 5 tahun dah pandai solat, bab membaca atau mengira saya tak kisah sangat, yang penting didikan agama.”

Itu antara pertanyaan dan harapan yang diberikan oleh pihak ibu bapa ketika datang untuk mendaftarkan anak-anak mereka di sini.

Ingin saya mengambil kesempatan disini untuk menerangkan yang kami tidak menawarkan kelas 
Fardhu Ain ataupun kelas Iqra di dalam silibus kami. Tetapi tidak bermaksud murid-murid di sini tiada penekanan agama langsung.

Bagi murid K2, ketika semester 1 mereka akan didedahkan dengan mata pelajaran Pendidikan Islam yang fokusnya adalah dalam bab akidah. Murid akan diperkenalkan dengan Rukun Iman. . Setiap rukun yang terkandung di dalam Rukun Iman akan diajar kepada murid-murid. Dalam semester ini juga murid-murid diwajibkan untuk menghafal surah-surah lazim dan juga doa-doa harian. Hafalan mereka akan direkodkan oleh guru kelas dan sekiranya hafalan tidak memuaskan hati guru, murid dikehendaki mengulangi hafalan itu lagi. Begitu juga dengan murid K1, ada bacaan dan doa yang perlu dihafalkan mengikut tahap mereka.

Pada semester 2 pula mereka akan didedahkan dengan bab ibadah. Rukun Islam akan diperkenalkan kepada murid-murid. Ketika ini juga niat-niat solat akan diajarkan kepada mereka.  Bacaan-bacaan dalam solat juga dimasukkan dalam hafalan bulanan mereka dan seperti juga semester 1, di semester 2 bacaan ini juga direkodkan.

Amali solat hanya akan dilakukan apabila peperiksaan semester 2 tamat. Murid-murid akan dipantau dari cara mengambil wuduk sehinggalah bacaan doa selepas solat. Punyalah seronok apabila guru mereka menyampaikan pesan untuk membawa telekung, songkok dan sejadah, habis keluar semua cerita pengalaman mereka menunaikan solat bersama keluarga tercinta.


Bersedia untuk mengambil wuduk (TIPB)

Jangan lupa di bahagian celah-celah jari ye (TIB)

Rapatkan saf semua!! (TIB)

Sejuk hati bila tengok sudah pandai imamkan solat (TIPB)

Pastikan cara duduk antara dua solat betul (TIPB)

Alhamdulillah, lancar bacaan doa qunut (TS2)

Yang belum lancar, dapat melancarkan lagi 
dengan baca bersama-sama(TS2)

Duduk antara 2 sujud (TS1)

Jangan ada yang tertidur masa sujud (TS2)

Bacaan doa selepas solat (TS1)

Selesai sudah solat (TS1)

Salam bersalaman 

Alhamdulillah amali ibadah wajib ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan baik. Harapan kami agar ibadah ini tetap diterapkan juga di rumah. Anak-anak suka apabila dibawa ke surau atau masjid untuk solat. Ini daripada apa yang saya dengar perbualan mereka ketika bersiap untuk amali solat di tadika. Pupuk dan binalah semangat cintakan ibadah dari kecil. Sekadar ingatan bagi ibu bapa, doa dari anak-anak inilah nanti yang menjadi bekalan kita nanti, nak harapkan ilmu bermanfaat yang disampaikan dan sedekah jariah yang kita lakukan, itu tak pasti lagi di sisi Allah. Jadi bentuklah anak-anak ini agar menjadi anak yang soleh dan solehah yang dapat mendoakan kita suatu hari nanti. 

~Cikgu Norifah~

Tuesday, September 20, 2016

PROGRAM SIMULASI HAJI CILIK 2016

Ibadah Tawaf sedang dijalankan

Dari Abu Hurairah r.a berkata :

“Rasulullah saw pernah berkhutbah di tengah-tengah kami. Beliau bersabda, ‘Wahai sekalian manusia, Allah telah mewajibkan haji bagi kalian, maka berhajilah.’ Lantas ada yang beranya, ‘ Wahai Rasulullah, apakah setiap tahun kami mesti berhaji?” Beliau lantas diam, sampai orang tadi bertanya hingga tiga kali. Rasulullah saw lantas bersabda, ‘Seandainya aku mengatakan IYA maka tentu haji akan diwajibkan bagi kalian setiap tahun dan belum tentu kalian sanggup. (HR Muslim)

Pada 31hb Ogos 2016 yang lalu, ketika rakyat Malaysia sedang sibuk dengan sambutan hari Kebangsaan, kami warga MyBistari Group juga sedang bertungkus lumus menjayakan program yang julung-julung kalinya diadakan, iaitu Program Simulasi Haji Cilik. Kalau diikutkan, ini adalah kali kedua bagi kami terlibat dalam program ini, tetapi yang pertamanya dahulu di bawah Persatuan Tadika Johor dengan kerjasama PERTIM. Untuk tahun ini adalah tahun percubaan bagi kami melaksanakan acara ini sendiri kerana kami yakin kami mampu untuk menjalankannya dengan baik. Bukannya apa, tenaga kerja yang sedia ada di dalam MyBistari Group adalah antara yang terbaik kali ini.

Berdebar itu jangan kiralah, kerana untuk beberapa minggu, kami tak nampak bayang perjalanan program ini. Lagi bertambah ngeri apabila kedengaran talbiah yang dialunkan oleh anak-anak murid, tanda persiapan dari pihak cikgu-cikgu juga sudah mula digerakkan. Dalam masa yang sama, agak meremang bulu roma mendengar kelantangan suara mereka:

Ù„َبَّÙŠْÙƒَ اللَّÙ‡ُÙ…َّ Ù„َبَّÙŠْÙƒَ، Ù„َبَّÙŠْÙƒَ لاَ Ø´َرِÙŠْÙƒَ Ù„َÙƒَ Ù„َبَّÙŠْÙƒَ
Ø¥ِÙ†َّ الْØ­َÙ…ْدَ ÙˆَالنِّعْÙ…َØ©َ Ù„َÙƒَ ÙˆَالْÙ…ُÙ„ْÙƒَ لاَ Ø´َرِÙŠْÙƒَ Ù„َÙƒَ


“Aku memenuhi panggilanMu Ya Allah, aku memenuhi panggilanMu. Aku memenuhi panggilanMu, tiada sekutu bagiMu aku memenuhi panggilanMu. Sesungguhnya pujian dan nikmat adalah milikMu begitu juga kerajaan tiada sekutu bagiMu.”

Mendengar dan memahami bait-bait ucapan talbiah itu, hati ini juga menjadi sayu. Teringat akan peluang menerima panggilan dariNya hampir 8 tahun yang lepas bersama-sama dengan Puan Shawariah.

Ada sedikit cerita hendak saya kongsikan. Seminggu sebelum program ini diadakan, ketika itu saya baru sahaja mengalihkan kereta kerana hujan lebat, memberi ruang bagi van sekolah untuk masuk ke dalam perkarangan sekolah nanti ketika waktu balik, seorang murid datang mendekati saya.

“Cikgu Ifah.. nanti masa pergi haji tu, kena pakai kain aje kan?”soalnya apabila sudah berada di sebelah saya. Saya mengiyakan dan duduk bersila di sebelahnya.

"Cukup ke pakai kain? Kalau tertanggal nanti?” tak berkedip matanya memandang saya. Itu rupanya
yang dirisaukan murid ini. Mungkin di rumah sudah mula bercerita tentang program yang bakal disertainya ini.

“Takkan nak jalan tak pakai apa-apa cikgu kalau kain dah tercabut?”

“Sebab tu kalau yang sebenarnya, akan pakai tali pinggang supaya kain ihram tak tercabut. Tapi, untuk haji yang tadika buat ni, kan cikgu ada pesan suruh pakai seluar panjang kan, jadi kalau tercabut kain ihram, masih ada seluar panjang,” mendengar itu barulah dia tersenyum.

Rupanya murid ini terkeliru dengan info yang diberi oleh ayahnya di rumah. Ayahnya menerangkan tentang pemakaian ihram untuk umrah dan haji, yang memerlukan hanya pemakaian kain ihram tanpa pakaian lain yang berjahit. Info itu mungkin terlalu difikirkannya sangat sehingga terlupa pada pesanan yang telah diberi di surat makluman dan juga pesanan cikgu di kelas. Punyalah hebat penangan Program Simulasi Haji Cilik ni.

Macam-macam juga yang sampai ke telinga saya setiap kali lalu di kawasan kelas murid 6 tahun.

“Kita nak baling batu kat syaitan!”

“Ada naik kapal terbang tak?”

“Betul ke syaitan tu mati kalau kena baling dengan batu?”

Dan bermacam-macam lagi persoalan dan perbualan sesama mereka yang menambah kecut perut kami. Kenapa? Kerana keterujaan mereka untuk mengikuti program ini membuatkan kami rasa kami perlu lakukan yang terbaik untuk mereka.

Semangat itu semakin bertambah apabila pada pagi Jumaat beberapa hari sebelum program ini dilaksanakan, kain ihram dan telekung peserta sampai di tadika. Kagum kami dengan usaha bos kami yang memandu dari Johor ke Kuala Lumpur kemudian pulang semula ke Johor dalam masa sehari untuk mengambil barang keperluan ini.

Tempat program juga telah berubah dari perancangan yang awal. Alhamdulillah, tempat yang dipilih lebih selesa dan terkawal. Program ini akhirnya dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4.

Pagi masa hari kejadian, apabila murid mula datang memenuhi kawasan berkumpul di kantin sekolah, semakin sejuk rasa hati ini. Putih bersih lengkap berihram dan bertelekung. Jika kami yang menunggu di sekolah rasa terharu, apatah lagi ibu bapa yang menyiapkan anak-anak ini di rumah, pasti lebih terharu kan?

Alhamdulillah, untuk program yang julung-julung kalinya diadakan ini juga kami mengalu-alukan pihak ibu bapa untuk menjadi mutawwif (bagi ibu bapa yang ada pengalaman menunaikan umrah atau haji). Terima kasih sekali lagi kami ucapkan kepada :

  • Pn Ani Binti Ahmad mutawwif bagi kumpulan haji cilik Taman Mawar.
  • En Abdul Syukur Bin Abd Wahab mutawwif bagi kumpulan haji cilik Taman Scientex 2.
  • En Zambri Bin Ngali mutawwif bagi kumpulan haji cilik Taman Scientex 1 dan Tadika Minda Pintar Bestari.
  • En Mohamad Ghazali Bin Ashaari mutawwif bagi kumpulan haji cilik Tadika Nur Pintar Bestari.
  • Pn Azian Binti Ibrahim mutawwif bagi kumpulan haji cilik Tadika Inovasi Bestari dan Taman Kota Masai 2.
  • Pn Rahimah Binti Mohd Khalid mutawwif bagi kumpulan haji cilik Taman Kota Masai 1 dan Tadika Ilmu Pintar Bestari.

Kehadiran mereka ini sangat membantu kami dalam melancarkan perjalanan program.  Kami juga dibantu oleh Pn Intan Juliana Binti Md Daud di bahagian urusetia. Cuaca juga sangat baik sepanjang program, takut juga kalau hujan atau panas yang terlalu terik, kasihan para jemaah cilik yang hendak menunaikan haji.

Keterujaan ibu bapa dapat dilihat sejak dari awal jemaah sampai ke perkarangan sekolah lagi. Ada juga jemaah yang siap bawa datuk dan nenek untuk menyaksikan mereka menunaikan ibadah haji. Tersenyum bangga datuk dan nenek melihat cucunya lengkap mengenakan ihram.

Perjalanan program berjalan dengan lancar mengikut tentatif yang diperbincangkan. Laungan talbiah dari corong speaker dan juga dari para jemaah cilik menaikkan lagi semangat mereka mengerjakan haji. Senyuman tak lekang kelihatan dari ibu bapa yang bangga dengan anak-anak mereka.


Kit Simulasi Haji Cilik 2016

Model Kaabah siap dinaikkan.

Berjalan menuju ke tapak perkumpulan.

 Wajah-wajah jemaah yang penuh keyakinan.

Para mutawwif yang akan membimbing para jemaah.

Berkumpul menanti arahan seterusnya.

Di Checkpoint Pertama (Wukuf di Arafah)

Beratur untuk mendapatkan cop.

Di Checkpoint Kedua (Mabit), mengumpul batu untuk ibadah melontar 3 jamrah

Pastikan cukup 21 batu ye untuk lontaran.


Beratur untuk mendapatkan cop.

Melontar Jamrah.

Mendengar arahan mutawwif sebelum melakukan lontaran.

Tawaf mengelilingi Kaabah.

Pn Shawariah memantau perjalanan program.

Tapak Saei masih lagi kosong.

Ibu bapa memerhatikan jemaah melaksanakan Saei.

Rukun yang terakhir, tahallul. Hati-hati ye cikgu, jangan tergunting telinga.

Menunggu giliran untuk bertahallul.

Hmmm.. mana ye rambut awak ni?

Alhamdulillah.. ini mudah bagi cikgu.

Subhanallah.. ini sangat mencabar.

Berkumpul sekali lagi untuk upacara penyampaian sijil pernyertaan.

Sijil penyertaan diserahkan kepada peserta.

Jemaah bersama sijil masing-masing.

Alhamdulillah! Kami berjaya menunaikan ibadah haji!!

Alhamdulillah, program berjaya dihabiskan seperti dalam tentatif. Berkat usaha guru-guru yang terlibat dan juga sokongan yang baik dari pihak ibu bapa, program dapat dilaksanakan dengan jayanya. Percubaan pertama yang sukses bagi kami. Tahniah ye Haji dan Hajjah cilik, Insyaallah tahun hadapan giliran adik-adik kamu pula yang dipanggil untuk menyertai program ini.

~Cikgu Norifah~

p/s : Terima kasih juga kepada pihak Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4, terutamanya Gurubesar Pn. Hajjah Rohaya kerana memberi kami peluang untuk menggunakan ruang perhimpunan sekolah untuk program simulasi ini. 
Terima kasih daun keladi, tahun depan nak guna lagi. :)

Sunday, August 7, 2016

JOM BUAT SANDWICH TELUR!


Jemput makan ayah ibu, jemput makan cikgu, jemput makan kawan-kawan !!
Bismillahirrahmanirrahim.

Anak yang sedang membesar menjadi lebih aktif dan bersikap ingin tahu. Pada masa ini mereka memerlukan lebih tenaga dan makanan yang berzat. Tabiat makan cara sihat perlu dipupuk sejak kecil lagi. Tiada satu jenis makanan yang dapat membekalkan semua zat yang diperlukan oleh tubuh.  Ibu bapa dan penjaga perlu tahu dan mempelbagaikan lauk pauk yang disediakan dalam diet anak-anak ini.

Oleh sebab itu, kami tidak menggalakkan pemberian makanan ringan atau jajan kepada anak-anak. Lebih-lebih lagi ‘goodies’ yang sering diberi oleh ibu bapa ketika sambutan hari lahir di tadika. Jika anak-anak sudah terbiasa dengan makanan yang sebegitu, sila kurangkan pemakanannya.

Kami di tadika juga beusaha untuk mendidik anak-anak ini supaya lebih peka kepada pemakanan yang sihat. Topik di dalam subjek-subjek yang mereka pelajari juga menekankan perkara ini. Contohnya seperti aktiviti membuat salad buah dan sandwich telur. Murid- murid bukan sahaja diterangkan berkenaan khasiat dan zat bahan-bahan yang digunakan, mereka juga berpeluang membuat sendiri hidangan tersebut.


Minggu lepas, murid-murid ini berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman menghasilkan sandwich telur bersama-sama dengan guru masing-masing. Jom kita jengah aktiviti ini.

Bahan-bahan yang diperlukan untuk buat sandwich telur (TS2)

Pecahkan telurnya perlahan-lahan supaya tak terlompat keluar nanti (TS2)

Murid menanti giiliran dipanggil cikgu untuk buat sendiri sandwich telur (TS2)

Teruja menanti proses pembuatan sandwich telur (TM)

Tadaaaaaaaaaaaaa!! Telur yang telah siap dihancurkan! (TM)

Bismillah.. kami makan dulu ye!! (TNPB)

Nak rasa tak? (TNPB)

Hmmm.. sedapnya.. (TM)
Seronokkan? Tak sabar rasanya menanti aktiviti yang seterusnya.  Apa menu yang bakal dihasilkan oleh anak-anak ini.

Oppss.. jangan lupa ya, ibu ayah..minggu ini minggu lawatan ke Perpustakaan Awam Pasir Gudang. Hari ini dimulakan dahulu dengan Tadika Nur Pintar Bestari (sesi pagi sahaja). Nanti akan saya muat naik keseronokkan mereka di sana ye!

~Cikgu Norifah~


Monday, February 22, 2016

UJIAN 1 MURID K2 2016

Assalamualaikum..

Seperkara lagi yang berlaku pada minggu ini adalah Ujian 1 bagi murid 6 tahun dan juga 6 Bistari. Ujian yang bukan sahaja mendebarkan pihak ibu bapa, tetapi kami juga terasa tempiasnya. Risau memikirkan dapat tak murid-murid jawab soalan yang kami sediakan? Terlalu susahkan soalan yang pertama kali ini?

 Rata-rata maklumbalas yang kami dapat dari pihak guru yang memantau ujian di kelas, murid-murid boleh menjawab soalan yang kami sediakan dan terdapat juga murid yang memerlukan lebih pantauan dari guru. Maklumlah, ujian pertama bagi mereka.

Sebagaimana berdebarnya ibu bapa yang menunggu keputusan ujian ini, berdebar lagi guru yang mengajar dan juga guru yang menanda kertas ujian. Ujian pertama yang bukan sahaja menguji keupayaan murid, tetapi juga keberkesanan pengajaran guru. 

Harapan kami agar pihak ibu bapa tidak meletakkan harapan terlalu tinggi pada ujian kali ini, kerana ini adalah yang pertama kalinya bagi mereka menjalaninya, masih lagi kurang faham dan agak terpinga-pinga walaupun sebelum ini pernah menjalani peperiksaan ketika 5 tahun.


Oleh itu, mari kita bersama-sama menunggu keputusan ujian ini. Bagi ibu bapa, kami akan memuat naik keputusan Ujian 1 pada 23 Februari 2016 (Selasa). Sila layari laman web kami pintarbistari.edu.my untuk menyemak keputusan anak masing- masing.

~Cikgu Norifah~