Showing posts with label latihan. Show all posts
Showing posts with label latihan. Show all posts

Wednesday, July 17, 2019

PERTANDINGAN UJI MINDA, KAMI DAH SEDIA NI!


Bismillahirrahmanirrahim.

Latihan persembahan murid K1. (TS2)

“Siapa PM Malaysia?” soal seorang daripada tiga murid yang duduk di ruang menunggu tadika.

Saya yang turut berada di situ, sedang mengemas kelengkapan fotografi memasang telinga sahaja, tidak mahu mengganggu perbualan mereka.

“Yang pm, pm tepi tu ya? Orang jual coklatlah kan, kat Facebook?” salah seorang dari mereka menyoal semula.

“Bukanlah, semalam kan cikgu ada tanya siapa PM.. PM tu Perdana Menteri.”

Kali ini saya ikut ketawa apabila mereka bertiga gelak.

Pada mulanya apabila melihat mereka bertiga masuk ke ruangan menunggu, terkejut juga kerana murid yang ketinggalan untuk bergambar kerana kurang sihat pada minggu yang terdahulu sudah saya selesaikan. Rupanya mereka adalah wakil-wakil tadika mereka untuk Pertandingan Uji Minda, Bercerita & Lego 2019 yang bakal diadakan pada 27hb Julai, Sabtu nanti.

Alhamdulillah, hampir setiap tadika yang saya singgah sibuk dengan latihan pertandingan ini. Bagi pertandingan uji minda, murid yang terlibat adalah murid-murid 6 tahun dan 6 bistari. Mereka akan diuji tahap pemahaman mereka dalam subjek-subjek yang telah mereka pelajari di tadika dan juga pengetahuan am mereka. Jadi bagi murid-murid yang terpilih ini, diharap pihak ibubapa / penjaga tidak terkejut jika tiba-tiba anak di rumah bertanyakan berkenaan sungai yang terpanjang di Malaysia ataupun diminta ajar mengeja perkataan-perkataan yang panjang. Itu adalah sebahagian dari latihan yang diberi kepada murid untuk mempersiapkan diri mereka dengan pertandingan ini.

Hmmm.. semalam cikgu dah soal ni.. harini lupa lak jawapannya. (TIB)

Saya tahu jawapannya!! (TIB)


Cikgu ulang semula soalan ni, dengar betul-betul, ya. (TIMB)

Tunggu, cikgu nak cari soalan yang susah sikit. (TIMB)

2 + 2 + 5 x 0 , siapa tahu jawapannya? (TIPB)

Ok semua, dengar sini. Cikgu nak mula baca soalan (TKM)

Eh, alamak, maaf, cikgu salah ambil set soalan, tunggu cikgu tukar kertas. (TKM)

Cikgu, saya tahu, saya tahu!! (TM)

Sedia jari semua, kira apa yang cikgu nak sebut ni. (TMPB)

Boleh tolong ulang semula cikgu perkataan tadi? (TMPB)

Dengar sini, kalau awak semua jadi juara kumpulan, cikgu belanja sundae
McD tiga hari berturut-turut. (TNPB)
Cepatlah cikgu soal kami, tak sabar ni. (TS1)

K.U.A.N.T.I.T.I .. betul tak saya eja cikgu? (TS2)

Untuk anak-anak murid 5 tahun pula, ada 2 aktiviti yang dikhususkan untuk mereka yang terlibat, pertandingan lego dan juga persembahan selingan. Sama juga dengan murid-murid 6 tahun, mereka akan dilatih di tadika. Namun begitu, bagi pertandingan lego, dialu-alukan jika pihak ibubapa / penjaga turut serta dalam melatih anak-anak di rumah.

Eh, mana lagi satu yang warna merah ni? (TIB)

Cuba teka saya nak buat apa ni? (TIMB)

Kita tengok siapa siap dulu. (TIPB)

Kita tolong cikgu simpan lego ni ya. (TIPB)

Ni saya buat tapaknya dulu. (TKM)

Khusyuk dalam mencipta imaginasinya. (TKM)

Yang ini pasang kat sini.. (TM)

Alamak, cikgu rakam ke? Saya segan..(TM)

Mula-mula kita rapatkan yang dua ni dulu. (TMPB)

Kacang goreng aje ni. (TNPB)

Jangan ikut bentuk kita ok.. (TS1)

Kena tekan kuat-kuat, kalau tak nanti boleh patah ni. (TS2)

Yang lain belum ada, kita berlatih menari sendiri dululah.. (TM)

Lepas berlatih menari, kita ukur badan untuk tempah baju tarian pula. (TMPB)

Tepuk kuat sikit tangannya tu. (TNPB)

Tangan kena bengkokkan sikit macam ni lah.. (TS2)

Satu-satunya pertandingan yang terbuka bagi kedua-dua tahap, K1 dan K2 adalah pertandingan bercerita. Diantara semua bahagian pertandingan yang ada, bagi kami pertandingan berceritalah yang paling mencabar. Para peserta bukan sahaja perlu mengatasi rasa malu untuk beraksi di pentas, malah usaha dalam menyiapkan props, sound effect dan kostum juga perlu diambil kira. Kami betul-betul ‘tabik’ pada murid yang menyertai pertandingan bercerita ini.

Ok, saya dan ready nak bercerita. (TIB)

Semangatnya dia bercerita. (TIMB)
Rasanya ini gaya jadi burung atau sedang lompat? (TIPB)

Jom semua!! Cikgu tahan motor aiskrim kat luar tu! (TMPB)

Apa agaknya tajuk cerita adik ni? (TNPB)

AaaaaAAAAaaaaa.. test suara.. (TS1)

Awak hafal dulu perenggan yang ni, cikgu nak check kerja cikgu kejap. (TS2)

Di sini kami kongsikan cerita berkenaan pertandingan uji minda dari tahun-tahun yang terdahulu.




Kami juga kongsikan video pertandingan tahun sebelumnya.


Insyaallah minggu hadapan akan kami kongsikan video-video pertandingan bercerita dan persembahan dari tahun yang sudah.

Minggu hadapan adalah minggu terakhir mereka berlatih untuk setiap bahagian pertandingan. Semoga dipermudahkan urusan mereka semua yang sedang sibuk berlatih. Kita jumpa nanti ya di Atrium Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang pada Sabtu,  27hb Julai 2019!

~Cikgu Norifah~

Wednesday, October 17, 2018

USAHA DAN TAWAKAL TANGGA KEJAYAAN.


Bismillahirrahmanirrahim.

BBM yang digunakan untuk sesi PdP pelajar dari UNITAR,
Cik Nursyafiqah bt Rahmad.

“Jangan berharap segalanya akan lebih mudah. Berharaplah segalanya akan lebih baik.”

Ada benarnya juga kata-kata dari pakar motivasi, Jim Rohn berkenaan dengan usaha. Setiap dari kita wajib rajin berusaha untuk mendapatkan apa yang kita mahukan.

Usaha berkenaan dengan peperiksaan akhir tahun dari pihak ibu bapa, guru-guru dan anak-anak murid sudah pun berakhir, sekarang ini hanya berdoa dan berserah menanti keputusan. Jangan lupa ya, hari terbuka di setiap tadika kami pada Ahad 21 Oktober 2018. Kedatangan para ibu bapa penjaga amat kami nanti-nantikan. Para guru juga sedang sibuk berusaha menyemak penandaan, markah dan kedudukan murid dan juga papan notis untuk dipamerkan pada hari terbuka nanti.

Pada masa yang sama, guru-guru juga sedang sibuk memikirkan kostum dan juga step tarian yang bakal diajarkan kepada anak-anak murid yang terlibat dengan persembahan akhir tahun nanti. Huh, banyak benda nak dilakukan menjelang bulan-bulan terakhir semester 2 2018 ini.

Sedang sibuk menyiapkan itu dan ini, Puan Shawariah menerima satu panggilan telefon dari pelajar Unitar yang memerlukan tempat untuk menjalankan tugasan yang diberi.  Untuk pengetahuan semua, kami menerima dan mengalu-alukan sekiranya ada pelajar dari mana-mana institut pengajian yang ingin membuat latihan ilmiah atau pun tugasan di tadika kami.  Kita sama-sama memudahkan urusan mereka.

Memandangkan murid-murid sudahpun habis menduduki peperiksaan pada minggu yang sebelumnya, kami menyediakan ruang selama sejam bagi pelajar terbabit untuk menyelesaikan tugasan yang diberi.

Pada 17 Oktober 2018 (Rabu), Cik Nursyafiqah Binti Rahmad dari UNITAR telahpun hadir ke tadika untuk menjalankan 'micro teaching' nya. 

Seperti biasa, yang teruja pastilah anak-anak murid semua dengan kehadiran 'cikgu baru' mereka.

Sedikit penerangan dari Cik Nursyafiqah sebelum aktiviti dimulakan.

Cikgu buat apa tu cikgu?

Saya cikgu, saya nak jawab!!

Aktiviti menjejaki tapak haiwan, tapak kaki haiwan apakah ini?


Aktiviti seterusnya, kolaj buah-buahan.


Cikgu.. saya nak buat..

Koyak besar-besar, cepat sikit siap kerja ni, hehe.

Biasalah, bila masih dalam proses belajar, akan ada kesilapan yang dilakukan. Tak mengapa, itulah tujuan latihan ini diadakan, agar ada mereka yang lebih faham dan biasa dengan dunia pendidikan awal kanak-kanak ini dapat menegur dan memberi maklum balas. Usaha tangga kejayaan. Sila war-warkan kepada sesiapa yang memerlukan tempat untuk latihan ilmiah berkenaan dengan pendidikan anak-anak kami ok!!

Terima kasih kami ucapkan kepada Puan Shawariah dan Puan Norafizah kerana sudi meluangkan sedikit masa memantau tugasan Cik Nursyafiqah. Terima kasih juga kami ucapkan kepada Cik Nursyafiqah kerana memilih tadika kami untuk menjalankan tugasan anda. Semoga perkongsian selama sejam itu memberi ilmu yang bermanfaat kepada kedua belah pihak.

Seperkara lagi, Ahad minggu depan, 21hb Oktober 2018 (Ahad) adalah hari terbuka semester 2 2018 bagi 5 dan 6 tahun. Guru-guru di setiap cawangan sedang sibuk berusaha menyiapkan segala keperluan untuk hari terbuka baik dari segi sijil, keputusan dan juga papan notis keputusan. Di harap segalanya dapat berjalan dengan lancar.

~Cik Norifah~