Thursday, May 31, 2018

API!! API!! CEPAT SELAMATKAN DIRI!!


Bismillahirrahmanirrahim.

Hati-hati turun tangga tu.. (TKM)

Apa itu latihan? Latihan bermaksud melakukan atau melaksanakan secara berulang-ulang sesuatu halangan atau tugasan untuk mencapai keinginan dan kesempurnaan yang diingini. Tugasan ini akan menjadi lebih mudah sekiranya kita mengulanginya beberapa kali.

Untuk makluman para ibu bapa, beberapa tadika kami sebelum ini pernah dilanda musibah, antaranya kes pecah masuk dan juga banjir kilat. Alhamdulillah, ketika kedua-dua musibah ini berlaku, tiada anak murid di tadika. Ini membuatkan kami terfikir, bagaimana sekiranya berlaku musibah ketika anak-anak murid berada di dalam tadika? Bolehkah para guru mengawal situasi dengan keadaan anak-anak murid yang ramai dan juga suasana yang pastinya kelam kabut? Oleh kerana itu, kami mengambil langkah untuk melatih bukan sahaja anak-anak murid, tetapi juga diri kami sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini berlaku di tadika.

Latihan kebakaran. Ini adalah latihan pertama yang kami adakan untuk memberi pendedahan kepada warga MyBistari sekiranya perkara ini berlaku. Secara teorinya sudah ada kami laksanakan di mana di setiap tadika kami ada pelan kebakaran, tangga kecemasan ada disediakan dan juga alat pemadam api yang saban tahun kami perbaharui, tetapi belum pernah melakukan latihan praktikal.

Contoh pelan kebakaran yang ada di tadika (TS2)

Tangga kecemasan di TS2

Alat pemadam api yang siap dengan cara
penggunaannya. (TS2)

Hasil perbincangan dengan pihak guru besar, kami sepakat untuk mengadakan latihan kebakaran di setiap cawangan MyBistari Group. Untuk yang pertama kali ini, tiada penggunaan alat pemadam api kerana tiada wakil dari pihak bomba yang turut serta dalam latihan kami. Latihan kali ini lebih kepada membiasakan diri anak-anak murid dan juga guru dengan laluan yang telah kami aturkan di pelan kebakaran.

Mungkin kerana sudah namanya guru tadika, apabila dikeluarkan arahan kepada cikgu untuk berlakon kononnya ada kebakaran, tak perlu nak buat latihan lakonan, secara spontan mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik.

Suasana aman tenteram sebelum latihan (TKM)

Sesi P&P berjalan seperti biasa sebelum loceng kecemasan dibunyikan (TS2)

“Api!! Api!! Cepat ada api ni!!” jerit cikgu sambil membunyikan loceng tadika. Walaupun suasana bertukar panik, tetapi cikgu tetap dapat mengawal kelas dengan baik. Anak-anak murid juga memberikan kerjasama yang baik dengan mengikut segala arahan yang diberikan oleh guru mereka.

Sini.. cepat ke sini!! (TIB)

Tak perlu bawa beg! Cepat keluar
dari kelas!! (TIB)


Eh.. kan cikgu suruh kita tutup hidung dengan mulut! (TIMB)

Menunggu giliran untuk keluar dari bangunan (TIMB)

Alhamdulillah.. selamat kami keluar (TIMB)
Kami tak perlu tangga kecemasan, cuma lalu ikut pintu belakang sahaja (TIPB)

Cuba tengok sekeliling, cukup tak kawan-kawan sekelas? (TIPB)
Betul tak cara kami tutup hidung ni? (TKM)

Mana anak-anak murid kelas cikgu? Mari sini.. (TKM)

Dapat juga kami merasa turun guna tangga ni (TM)

Ok, semua cukup.. kita duduk semua (TM)
Turun seorang demi seorang (TMPB)

Alamak cikgu! Perut saya memulas pula!! (TMPB)

Cepat selamatkan diri!! (TNPB)

Ahhhhh.. akhirnya udara yang segar!! (TNPB)

Bangun semua! Itu bunyi loceng kecemasan!! (TS2)


Semua pergi berkumpul di tapak perhimpunan! (TS2)


Lucu juga kerana anak-anak murid sudah terbiasa apabila disuruh keluar dan beratur, mereka akan capai kasut yang tersusun di rak, tetapi untuk kali ini bila dapat arahan untuk tinggalkan kasut, ada juga yang terpinga-pinga dan tetap mahu mengambil kasut mereka.

Insyaallah latihan begini akan diadakan lagi. Diharap pada latihan yang seterusnya murid-murid akan lebih terkawal dan faham apa yang perlu mereka lakukan dan kemana arah yang patut mereka tuju. Practice makes perfect!

~Cikgu Norifah~

Thursday, May 24, 2018

SELAMAT HARI GURU, CIKGU!!


Bismillahirrahmanirrahim.

Cikgu Zuraidah (TNPB) mengabadikan kenangan bersama anak-
anak muridnya.

"Menjadi guru itu adalah suatu kenikmatan. Nikmat berada di dalam kelas. Nikmat menyampaikan ilmu. Nikmat bila berada di kalangan anak-anak murid. Nikmat apabila murid faham apa yang diajar. Nikmat yang hanya dirasai apabila guru itu merasa ikhlas dengan tanggungjawab yang digalas."

Pada hari Selasa 15 Mei 2018, MyBistari Group telah mengadakan sambutan Hari Guru di semua tadika dibawah naungan kami. Kami awalkan sehari sambutan dari tarikh yang sebenar kerana sebagai persediaan untuk menyambut Ramadhan.

Antara gambar kelas guru-guru dan anak-anak murid TNPB

Pelbagai aksi dari guru-guru dan anak-anak murid TS2
Dari awal lagi kami telah berpesan kepada guru-guru kami, ini adalah antara hari yang ditunggu-tunggu bukan sahaja oleh para guru, tetapi juga anak-anak murid, dan bakal menjadi hari yang memeningkan para ibu bapa. Kenapa kami pesan begitu? Kerana ini adalah hari bagi menghargai sesiapa sahaja yang bergelar guru, tak semua profesion ada hari yang ditetapkan untuk dirai. Bagi anak-anak murid pula dalam pemikiran mereka sudah ligat memikirkan apa yang hendak dihadiahkan kepada guru-guru mereka dan yang pastinya ibu bapalah yang akan pening melayan kerenah anak-anak mereka.

 Suatu ketika dahulu semasa saya masih lagi mengajar di Tadika Pintar Bistari Taman Scientex 1, siap ada ibu yang ambil beberapa keping gambar dan hantar ke saya, pening katanya memikirkan hadiah mana yang saya berkenan kerana katanya setiap satu yang dipilih anaknya akan kata nanti Cikgu Norifah tak suka.

“Dah tiga kedai pergi ni cikgu..” mesej yang dihantar ke saya. Rasa bersalah juga kerana telah meyusahkan ibu bapa sampai begitu sekali.  Keesokan harinya saya beritahu di dalam kelas, cikgu-cikgu  memang suka kalau kamu semua nak beri hadiah, tapi.. kalau tak ada pun tak apa, janji semuanya belajar rajin-rajin dan jadi anak yang baik, dan kalau nak juga beri hadiah, cikgu-cikgu semua terima apa sahaja walaupun sekeping nugget. Dan untuk beberapa hari selepas itu setiap kali saya masuk ke dalam bilik saya selepas mengajar, akan ada beberapa nugget yang diletakkan di atas meja saya.

Berbalik kepada sambutan hari guru,  kami di bahagian pengurusan juga mahu turut serta merasa nikmatnya sambutan hari guru pada tahun ini, jadi kami ambil masa untuk keluar dan ziarah tadika yang terdekat dengan pejabat di Taman Mawar. Semasa sampai, suasana sudahpun meriah dengan guru-guru yang mengawal keadaan anak murid di bahagian perhimpunan. Terima kasih kami ucapkan kepada ibu bapa yang secara tak langsung turut sama dalam sambutan ini dengan menghantar pelbagai jenis makanan dan minuman, Alhamdulillah.. semoga Allah membalas dengan pahala yang besar kerana membawa keseronokan sambutan hari guru  anak-anak kecil ini.

Jom kita makan!! (TIMB)


Menanti rakan-rakan lain yang tak keluar lagi dari kelas (TM)

Alhamdulillah, boleh mula makan!! (TM)

Dah boleh mula makan ke cikgu? (TKM)

Jangan berebut.. semua dapat makanan yang cikgu letak ni.. (TKM)

Sedapnya kuih ni.. siapa eh yang bawa tadi? (TKM)
Cikgu Marlina menyusun atur makanan di atas meja (TS2)

Terima kasih dari kami untuk ibu bapa yang menyumbangkan makanan.. (TS2)


Ada yang ambil kesempatan untuk sambut hari lahir sekali ya (TMPB)

Meriah brownies ni.. (TIMB)

Terima kasih.. (TS2)

Lagi bertambah seronok apabila melihat murid-murid yang baru pertama kali menyambut hari guru berjalan ke hulu dan ke hilir dengan beg plastik mengandungi hadiah yang hendak diberikan kepada guru-guru mereka. Hinggakan ada yang mungkin masih kurang faham dan menghulurkan hadiah kepada saya, terkejut juga pada mulanya, bila ditanya, jawabnya mama suruh kasi pada semua cikgu. Setelah dilihat tiada nama guru yang ditulis pada kotak tersebut, saya hulur semula kepada anak kecil itu, saya ucapkan terima kasih dan katakan kepadanya hadiah ini bukan untuk cikgu, beri pada Cikgu Azlia, nanti dia tolong awak ye. Dia tersenyum sebelum berlari mencari Cikgu Azlia.


Sempatlah juga kami menyaksikan beberapa permainan yang telah dirancang oleh para guru untuk berhibur dengan anak-anak murid mereka. Murid-murid yang tidak terpilih untuk terlibat di dalam permainan-permainan itu tak kurang bersemangat juga memberi sokongan kepada kawan-kawan dan guru mereka. Meriah! 

Ehhh.. cikgu yang tolong tampalkan? (TM)

Antara cikgu yang paling bersemangat sambut
hari guru (TM)

Lepas ni boleh cuba terbang ye Cikgu Sal! (TM)

Model-model promosi surat khabar lama untuk
di recycle - Go Green!! (TM)

Eh.. yang awak pegang tu tangan kitalah!! (TNPB)

Biar cikgu pula yang cuba.. hmmm.. takkan kapal
terbang pula kan? (TNPB)

Ada pertandingan karaoke kah? (TS2)

Jangan ikat kuat-kuat sangat, rosak maskara I .. (TS2)

Err.. cikgu.. kami semua kat sini.. cikgu buat apa tu kat sana? (TS2)

Macam gini gayanya, sampai esok tak pecah cikgu!! (TIPB)

Cikgu nak solek awak cantik-cantik, macam Siti Nurhaliza. (TIPB)

Wow!! Panjang tu leretannya!! (TIPB)

Cikgu-cikgu mempraktikkan cara pakai shawl yang selalu
dilihat di Facebook. (TIB)

Jangan lari belon!! Mari sini!! (TIB)

Hati-hati cikgu, habis lagu jangan berebut sangat, nanti patah kerusinya (TS1)

Giliran anak-anak murid pula. (TS1)

Cepat!! siapa yang paling pantas lepas gelung ni!! (TS1)

Tinggi sangat ni cikgu.. (TKM)

Aaaaaaaaa.. (TKM)

Kenapa asyik kempis semula belon ni? (TIMB)

Ahhh.. saya give up ah nak tiup lagi. (TIMB)

Gaya terbaru main kerusi beracun. (TIMB)
Semangat memberi sokongan!! (TIMB)

Cepat!! Cepat!! Cepat!! (TMPB)
Terhibur kami melihat keletah anak-anak murid dan guru-guru berlumba untuk menjadi pemenang. Memang mereka memanfaatkan masa sambutan ini sebaiknya, almaklumlah, kalau di hari-hari persekolahan biasa mereka pastinya berada di dalam kelas di waktu-waktu begini. 

Seperkara lagi, pada hari Sabtu (26hb Mei 2018) akan diadakan Sesi Penerangan Kelas Bistari & Sempoa di TS Hotel. Terima kasih kami ucapkan kepada ibu bapa yang sudi untuk meluangkan masa untuk hadir ke sesi penerangan ini. Insyaallah kita berjumpa di TS Hotel!!

~ Cikgu Norifah ~