Showing posts with label 5 bistari. Show all posts
Showing posts with label 5 bistari. Show all posts

Thursday, July 21, 2016

5 BISTARI SEBULAN BERLALU



Bismillahirrahmanirrahim.

“Semulia-mulia manusia ialah orang yang mempunyai adab yang merendah diri ketika berkedudukan tinggi, memaaf ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat.” – Khalifah Abdul Malik Marwan.

Pernah dengar cerita murid menangis sebab tak nak balik rumah? Jarang kan berlaku perkara ni? Hahaha.. tapi itulah yang terjadi di Taman Mawar hari ini.  Bergegas Puan Shawariah keluar untuk melihat siapa yang menangis. Naluri seorang ibu mungkin, terpanggil untuk datang memujuk murid yang menangis itu. Tak lama selepas itu terdengar suaranya ketawa. Eh.. dah kenapa pula Puan Shawa gelak masa dalam proses memujuk tu? Oleh sebab teringin nak tahu, akhirnya saya juga turut ke kelas murid terbabit.

Rupa-rupanya, ada seorang murid 5 tahun yang tidak mahu pakai kasut sekolah. Bila ditanya, dalam tangisnya dia menjawab, “Tak nak balik rumah!! Nak tinggal kat sekolah!!” Pada awalnya agak terpinga-pinga juga kami hendak memahami butir bicara murid ini, almaklumlah.. bercakap ketika menangis. Puas Cikgu Alya memujuk, masih juga dia menangis dengan alasan yang sama, tak mahu pulang ke rumah dan mahu tinggal di sekolah dengan cikgu.

Tiba-tiba teringat dan terindu pula pada murid-murid di Taman Scientex 1 ketika zaman saya menjadi Guru Besar di sana (ketika itu masih lagi di Jalan Kancil).  Bermacam alasan yang mereka berikan apabila disuruh ambil kasut untuk balik ke rumah. Ada ketikanya sehingga Encik Ezam, pemandu van, terpaksa tunggu sebentar. Sehingga terpaksa bersuara, “Siapa yang beratur untuk balik dulu, esok cikgu peluk dan cium pipi bila sampai sekolah.” Barulah berebut mereka beratur untuk balik. Ingat tak lagi gelagat mereka tu, Cikgu Noorhasiah?  Itu semua tinggal kenangan.

Ada juga kes sekarang ini, murid yang menangis kerana bertukar kelas. Seperti yang dilakukan saban tahun, ada beberapa cawangan yang akan ada pertukaran kelas; 5 Bistari dan juga 5 tahun normal. Suasananya seakan-akan awal tahun yang lalu. Menangis kerana ditukarkan kelas, cikgu yang baru dan juga rakan sekelas yang baru. Tapi Insyaallah, sedikit demi sedikit, anak-anak ini akan dapat menerima suasana yang baru bagi mereka. Ibu dan ayah tak perlu risau kerana kami sudah mula dapat aduan berkenaan hal ini, prestasi anak menurun, takut anak tidak fokus belajar dan sebagainya. Setiap aduan yang diberikan berkenaan kelas 5 Bistari tidak kami pandang ringan. Dan bagi ibubapa yang menghadiri Sesi Penerangan 5 Bistari pada 14 Mei 2016 yang lalu, telah kami dedahkan dengan perancangan dan silibus yang bakal dilalui oleh murid-murid ini.

Saban tahun juga kami kagum dengan kredibiliti murid-murid kelas 5 Bistari. Kenapa? Kerana dalam masa sebulan, peningkatan yang ditunjukkan oleh murid-murid kelas 5 Bistari amat mengagumkan. Baik dari segi P&P mahupun keyakinan diri, nampak perubahan yang positif dan ketara pada mereka. Tapi jangan salah anggap ye, tak semua yang kami janjikan masuk 5 Bistari akan terus cemerlang, masih ada yang memerlukan bantuan dan bimbingan guru, dan begitu juga dengan kelas 5 tahun normal, tak semestinya murid-murid yang tidak terpilih ini tidak bagus, setiap murid ada keistimewaan mereka yang tersendiri. Apa yang perlu dilakukan adalah cari dan cerna keistimewaan itu dari dalam diri murid-murid.


Untuk kali ini, ingin saya kongsikan prestasi yang ditunjukkan oleh murid-murid 5 Bistari dari semua cawangan yang mempunyai kelas ini.

Sudah faham teknik penulisan garis 3 (TNPB)

Menyiapkan tugasan yang diberi (TNPB)

Sudah pandai jawab soalan sendiri (Taman Mawar)

Mendengar soalan lisan yang diberi oleh guru (Taman Mawar)

Kemaskan tulisannya? (TKM2)


Itu sebahagian dari gambar-gambar yang dikongsikan oleh Guru Besar kepada kami. Selainnya saya satukan bersama dengan video yang juga dikirimkan oleh Guru Besar kepada kami.

Selamat menonton!!


~Cikgu Norifah~

Saturday, May 21, 2016

SESI PENERANGAN KELAS BISTARI & SEMPOA 2016





Sebelum abahnya bersilat setengah hari...anaknya dah bersilat terlebih dahulu. 

Bismillahirrahmanirrahim.

Lawatan sudah, peperiksaan pun sudah. Kali ini giliran untuk agenda seterusnya yang sememangnya menjadi acara tahunan bagi MyBistari Group; Sesi Penerangan Kelas Bistari & Sempoa. Program seumpama ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada ibu bapa bagi murid-murid yang terpilih untuk masuk ke kelas 5 Bistari.

Bukan calang-calang murid yang kami pilih untuk berada di dalam kelas ini. Sebelum peperiksaan semester 1 dijalankan, kami terlebih dahulu telah menguji anak-anak ini. Jadi, keputusan ujian penilaian kelas bistari itu kami nilaikan sekali dengan keputusan peperiksaan mereka. Selain dari itu, ada juga beberapa kriteria yang kami ambil kira dalam pemilihan saban tahun ini.

Murid-murid yang terpilih hendaklah :
  • Melepasi buku 6 Bacalah Anakku.
  • Penilaian khas (huruf A-Z dan mengenal nombor).
  • Kerja rumah / worksheet disiapkan dalam waktu yang ditetapkan
  • Memberi tindakbalas yang positif dan memberangsangkan ketika sesi P&P dijalankan.

Bertempat di TS Hotel, Taman Scientex pada 14 Mei 2016 yang lalu, Sesi Penerangan Kelas Bistari & Sempoa bagi tahun ini telah dijalankan. Alhamdulillah, penyertaan dari pihak ibu bapa memberangsangkan. Terima kasih kami ucapkan kerana sudi meluangkan masa cuti ibu bapa untuk menghadiri program ini. Seawal pagi, jam 7.45 sudah ada ibu bapa yang hadir walaupun telah diberitahu bahawa program akan bermula pada pukul 9.00 pagi. Teruja katanya.

Antara ibu bapa yang hadir sedang mendengar penerangan berkenaan
kelas bistari oleh En. Ahamed Tamizi.


Program dimulakan dengan penerangan kelas bistari. Ibu bapa diberi pendedahan tentang tujuan kelas ini diadakan, kriteria pemilihan anak murid dan perbezaan antara kelas ini dengan kelas normal yang sedia ada. Setelah sesi soal jawab diadakan, program direhatkan seketika dan ibu bapa dijamu dengan sedikit kudapan. Isi perut dahulu sebelum acara perah otak bermula. Dalam pada itu juga, ibu bapa berkesempatan untuk melihat buku-buku yang digunakan dalam sesi P&P murid di ruangan yang disediakan di belakang dewan.

Ibu bapa mengambil peluang untuk melihat buku-buku yang digunakan
dalam sesi P&P.

Setelah berehat kira-kira dalam setengah jam, program kelas sempoa pun dimulakan. Disinilah keseronokkan itu bermula. Berbagai kerenah ibu bapa yang dapat kami saksikan. Tak mengapa, kami faham, silibus anak-anak yang sepanjang satu semester ini perlu dipelajari oleh ibu bapa dalam masa dua jam.

"Berpinar biji mata tengok nombor dan manik sempoa ni cikgu!"
"Leceh pegang pensel macam ni, naik berpeluh tapak tangan."
"Dah tua-tua ni cikgu, otak jem."

Itu antara komen yang saya sendiri dapat ketika membantu mereka dalam sesi latihan. Tak apa, tujuan kelas ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan  kepada ibu bapa tentang subjek sempoa yang bakal dijalankan bila semester 2 nanti. 

Fokus.. cuba siapkan latihan yang diberi.

Guru-guru turut membantu ibu bapa bagi memudahkan proses
pembelajaran.

Cuba bayangkan manik sempoa tu.. jangan sentuh ye manik di sempoa..

Antara ibu bapa yang hadir berpasangan, sama-sama ingin belajar demi
pendidikan anak.

Wakil dari Tadika Ilmu Pintar Bestari, Terima kasih kerana sudi
meluangkan masa.

Seperti yang telah diberitahu oleh En Tamizi, sekiranya ada sebarang permasalahan atau pertanyaan, ibu bapa sangat dialu-alukan untuk menghubungi pihak tadika dan juga boleh datang terus ke tadika untuk belajar lebih lanjut, tapi sila hubungi Guru Besar terlebih dahulu sebelum datang, biar pihak guru dapat sediakan masa. Kami tunggu ya!

~ Cikgu Norifah ~