Showing posts with label selamat hari raya. Show all posts
Showing posts with label selamat hari raya. Show all posts

Sunday, July 16, 2017

HARI UNTUK BERGEMBIRA


Bismillahirrahmanirrahim.

Rasulullah s.a.w bersabda, “ Wahai Abu Bakar, setiap kaum mempunyai hari perayaan untuk bergembira, dan hari ini adalah hari perayaan untuk kita,” (Hadith Riwayat Muslim)

Dan bergembiralah kita pada hari yang telah pihak tadika tetapkan iaitu 9hb Julai 2017 yang lalu. Bukan sahaja anak-anak murid yang bersemangat untuk hadir ke tadika pada hari Ahad yang lepas, guru-guru juga turut merasainya. Hiasan-hiasan tadika yang sudah dinaikkan sebelum cuti hari raya diperkemaskan, dan juga ada yang menambah hiasan yang sedia ada.

“Baru ada feel nak sambut raya kak!” balas cikgu apabila ditegur tentang hiasan yang meriah di halaman luar tadika.

Rasanya ini adalah salah satu hari di mana ke semua murid-murid hadir ke tadika dengan senyuman yang meleret-leret. Mana taknya, pada hari inilah masing-masing dapat melaram dengan baju raya, paling seronok apabila terkena warna baju yang dipakai sama dengan rakan sekelas, lagilah kembang kuncup hidung masing-masing. Terus terang, ketika ini, fokus tiada pada ilmu yang sedang disampaikan oleh guru-guru di hadapan kelas.

Paling seronok ketika ini adalah guru-guru yang ditugaskan menjaga pagar dan menyambut murid. Seronok melihat anak-anak murid turun dari van tadika atau kenderaan ibu bapa mereka, sambil membawa bekalan hari raya yang mahu dikongsi bersama kawan-kawan yang lain. 

“Cikgu!! Kita bawa kuih raya!!” van tak berhenti lagi, sudah mula kedengaran suara-suara teruja mereka.

Alhamdulillah, terima kasih kepada pihak ibu bapa dan penjaga kerana sudi berkongsi rezeki yang ada. Terima kasih juga kerana ada ibu bapa yang mengirimkan duit raya untuk diagih-agihkan kepada rakan sekelas anak. Cuma ingin saya ingatkan di sini, sila maklumkan kepada guru kelas sekiranya ingin meyumbang kepada rakan sekelas anak, kerana ada terjadi yang anak sangat teruja dan telah membahagi-bahagikan sampul raya di dalam van. 

Secara keseluruhannya, dari gambar-gambar dan video yang dikongsikan oleh Puan Zainun dan juga guru besar cawangan, jelas kelihatan sambutan yang meriah di setiap cawangan. Alhamdulillah.

Wajah ceria murid-murid dan guru-guru TIB

Menunggu makanan diedarkan (TIB)

Ada gaya YB tu Firas.. (TM)

Kembar yang sentiasa menceriakan suasana (TM)

Acara makan-makan sudah bermula (TS2)

Tertib menikmati juadah yang disediakan (TS2)

Guru-guru TS1 sedang mengagihkan makanan

Sedia menanti aktiviti seterusnya (TS1)

Yang bukan Islam juga teruja menyambut
hari raya (TIPB)

Mari sini cikgu betulkan tudung awak (TIPB)

Antara juadah yang disumbangkan oleh
ibubapa (TNPB)

Berselera mereka makan (TNPB)

Cantik berpakaian sedondon (TNPB)

Acara bersama guru dan murid (TNPB)

Wahh... kerusi beracun pun ada (TKM)

Terima kasih atas sumbangannya!! (TKM)

Ada juga sambutan hari lahir (TMPB)

Cikgu nak tolong saya habiskan? (TIMB)

Antara perkongsian ibubapa di laman sosial

Terima kasih atas perkongsiannya
Video sambutan hari raya

Sambutan hari raya sudahpun lepas, fokus utama sekarang ini adalah Pertandingan Uji Minda 2017 yang bakal diadakan pada 22hb Julai 2017 (Sabtu). Tak lama lagi tu, kira-kira dalam seminggu sahaja lagi. Bagi anak-anak murid yang terpilih sama ada untuk Uji Minda, Bercerita, ataupun Lego, selamat berlatih ya!! Kita jumpa nanti masa hari pertandingan!!

~Cikgu Norifah~


Thursday, July 6, 2017

SELAMAT HARI RAYA DARI KAMI


Bismillahirrahmanirrahim.

Selamat Hari Raya!!! Rasanya masih belum terlambat lagi untuk memberi ucapan hari raya pada seluruh warga Mybistari. Alhamdulillah Allah masih lagi memberi kesempatan bagi kita semua untuk berjumpa lagi setelah cuti raya yang agak panjang.

Cuti panjang, cerita pun panjanglah kan? Seperkara yang menyeronokkan kami apabila berjumpa dengan anak-anak murid setelah naik bercuti ini adalah cerita mereka yang tak ada penghujungnya. 

“Cikgu, jalan jammed.. kita bangun tidur empat kali tak sampai-sampai kampung, selalunya tidur sekali aje dah sampai.” Entah berapa jam agaknya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas tu ye?

“Sepupu kita dengan abang kita main mercun, kita tengok aje, sebab bau mercun busuk.” Ye, memang tak dinafikan, bau belerang tak wangi.

“Cikgu tahu tak kita boleh masak nasi dalam buluh? Sedap cikgu, saya tolong Pak Ngah letak beras.” Pengalaman pertama bakar lemang yang pastinya akan diingati sampai bila-bila.

“Raya kali ni tak best, sebab Tok Mak masuk hospital. Raya kat hospital je. Ketupat dengan rendang pun tak buat cikgu.” Mungkin selama ini neneknya yang sibuk menyediakan juadah hari raya, jadi bila terjadi perkara seperti ini, semangat rayanya hilang. 

“Abah kata duit raya kita tak cukup lagi RM2 nak beli PSP, jadi abah simpan dulu dalam bank, raya tahun depan mesti cukup.” Mungkin si ayah tak mahu anaknya membazir beli barangan yang tak bermanfaat.

Dan bermacam-macam lagi cerita yang disampaikan kepada kami. Alhamdulillah, cuti raya kali ini dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi semua, Insyaallah.

Walaupun sudah hampir seminggu sesi persekolahan bermula, bahang sambutan itu masih lagi terasa. Hiasan di setiap cawangan juga masih lagi meriah. 

Masa terluang digunakan cikgu untuk menghias cawangan (TIB)

Ucapan hari raya dari cikgu-cikgu TIPB

Kemas dan cantik hiasan di TIPB

Nampak tak ketupat gergasi tergantung tu? (TM)

Tangga naik ke tingkat atas juga dihias cantik (TNPB)

Pelita dijadikan hiasan di kelas (TS2)

Selamat hari raya dari kami murid-murid TS2
Disini juga saya kongsikan video hari raya yang sempat dibuat sebelum cuti tempohari.



Jangan lupa sambutan hari raya yang akan diadakan pada 9hb Julai 2017 (Ahad) di tadika masing-masing. Tak sabar rasanya menanti masa anak-anak murid kami hadir dengan berbaju raya.

~Cikgu Norifah~

Thursday, July 28, 2016

REZEKI DI HARI RAYA

Bismillahirrahmanirrahim.

SELAMAT HARI RAYA

“Kalau rezeki dari Allah itu lambat, maka beristigfarlah kepada Allah dan bermohon semoga melapangkan rezekiNya bagi anda. Kunci syurga adalah sabar. Kunci kemuliaan adalah rendah hati. Dan kunci kebaikan (kehormatan) adalah taqwa.” Ali Bin Abi Talib r.a

Alhamdulillah, masih lagi diberi oleh Allah untuk merasai nikmat kehidupan untuk hari ini. Degup jantung yang masih kita rasai hari ini juga adalah salah satu dari rezeki yang Allah sudi berikan kepada kita. Nampak mudah bukan? Ada ketikanya kita tak terfikir pun itu juga adalah salah satu dari sumber rezeki kerana selalunya konsep rezeki itu kita lihat dari perkara-perkara atau benda yang kita nampak dengan mata kasar.

Kali ini, ingin saya kongsikan sedikit cerita berkenaan rezeki yang melimpah ruah banyaknya yang kami perolehi ketika sambutan hari raya pada hari Ahad yang lalu. Alhamdulillah, sumbangan dari pihak ibu bapa dan penjaga sangat-sangat menggalakkan. Terima kasih kami ucapkan bagi pihak MyBistari Group. Seronok melihat anak-anak murid dan juga cikgu-cikgu teruja melihat meja yang penuh dengan pelbagai jenis juadah, sehingga ramai juga anak murid yang rambang mata untuk memilih makanan.

Seperti biasa juga, suasana untuk sambutan kali ini, dapat saya nikmati di Taman Mawar sahaja. Puan Suhaila, Puan Norafizah, dan Puan Noorfaridah yang bergerak ke setiap cawangan seliaan masing-masing untuk  sama-sama menyambut hari raya bersama guru dan anak murid. Mesti seronokkan? Terbayang-bayang kemeriahan sambutan dan kegembiraan anak-anak murid. Mana kan tidak, di sini sahaja tak menang tangan kami melayan gelagat anak-anak murid yang tak sabar-sabar hendak berhari raya bersama rakan-rakan sekelas.

Segak dan cantik. Itu yang dapat saya katakan ketika melihat mereka turun dari van atau menyambut mereka yang sampai dihantar oleh ibu bapa. Yelah, bukan selalu kami dapat lihat mereka berpakaian lain selain dari baju uniform tadika. Kembang kuncup hidung mereka apabila menghulurkan sumbangan yang dibawa dari rumah.

“Makan tau cikgu, mi ni mak kita yang masak.. sedap!!”

“Cikgu, karipap inti sardin ni kita nak nanti tau!”

“Kita tak bawa bekal.. mak kata mesti ada banyak makanan hari raya..” ada juga yang berkata begini, dengan muka sedihnya. Tak apa.. untuk memberi sumbangan itu tidak wajib, seikhlas hati. Rezeki yang ada kita kongsi bersama-sama.

Sayangnya, masih ada juga murid yang hadir ke tadika dengan berbaju uniform. Mungkin ibu bapanya terlupa. Tak apalah, yang penting mereka juga merasai keseronokkan sambutan hari raya.


Sambutan diadakan bermula pada waktu rehat, yang mana murid-murid dikumpulkan beramai-ramai di halaman luar. Makanan kemudian diagihkan, untuk memudahkan perjalanan majlis, cikgu-cikgu memainkan peranan dengan menyuap murid-murid makanan yang ada. Selepas kenyang, barulah aktiviti permainan dan sambutan sebenarnya bermula. Bermacam-macam permainan dimainkan di setiap cawangan, kami yang berada di bahagian pengurusan juga teruja melihat gambar-gambar yang dikongsikan oleh Guru Besar dari srtiap tadika MyBistari Group.

Nak tengok gelagat mereka berhari raya di tadika? Ada saya kongsikan di Photo Galery. Oleh kerana jumlahnya agak banyak, untuk tatapan di sini, saya himpunkan beberapa keping gambar mengikut cawangan.


Suasana berhari raya di TKM1

Meriahnya sambutan di TIB

Kemas dan tersusun di TIPB

Banyak permainan baru di TKM2

Tak kurang meriahnya TM

Sambutan di TMPB

Wajah-wajah ceria warga TNPB

Ukhwah guru dan murid di TS1

Suasana sambutan di TS2





~Cikgu Norifah~

Thursday, June 30, 2016

PROJEK HARI RAYA 2016




Bismillahirrahmanirrahim

“Dalam kerendahan hati, ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta, ada kekayaan jiwa. Dalam kelembutan lidah, ada juga keterlanjuran kata. Dalam gurau senda, tentu ada khilaf dan dosa. Mohon ampun dan maaf di atas segalanya. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Moga silaturrahim diberkati Allah.”

Minggu ini minggu terakhir sebelum semuanya bercuti untuk sama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri. Terasa cepatnya masa yang berlalu. Baru sekejap sahaja melayan kerenah murid-murid yang menahan lapar dikelas. Tak kurang juga yang mengaku berpuasa, padahal nampak bekalan yang dibawa dari rumah. Bermacam gaya dari mereka yang sering membuatkan kami tak kering gusi.

Dugaan terhebat, bukan sahaja bagi anak murid, tetapi juga bagi kami, bukannya terik matahari atau panas bahangnya kelas, tetapi dugaan yang terhebat adalah apabila tiba waktu rehat. Ketika itu, biskut kering yang dibawa murid juga kelihatan sangat menyelerakan, terbayang ayam golek pula. Apatah lagi bila murid yang membawa nugget ataupun nasi, bau yang terbit seiring dengan bekal yang dibuka, ada ketikanya menggugat iman kami juga.

Teringat pula pada satu komen murid yang berpuasa ketika waktu rehat apabila bekalan dibuka.

“Cikgu.. bau makanan ni.. masuk ke hidung, terus ke perut saya. Batal tak puasa saya cikgu?” kembang kuncup hidungnya menghidu bauan yang datang dari kelas sebelah. 

Oh, untuk pengetahuan ibu bapa, setiap kali waktu rehat di bulan Ramadhan, kami akan asingkan murid yang membawa bekal dengan murid yang tidak membawa bekal. Jadi bayangkan, betapa hebatnya kuasa bau itu boleh melayang masuk ke kelas sebelah dan menggugat iman mereka yang sedang berpuasa. Hebatkan?

Dan seperti biasa, minggu terakhir ini, guru-guru akan sibuk dengan perhiasan hari raya di cawangan masing-masing. Kalau boleh setiap sudut yang ada di tadika mahu dihias sempena dengan sambutan hari raya nanti. Ini saya kongsikan serba sedikit persiapan guru-guru di cawangan.

Cantiknya bola tu Cikgu Marlina (Tadika Minda Pintar Bestari)

Seriusnya Cikgu Nurul dan Cikgu Syasya mewarna (Tmn. Mawar)

Meriah tangga Tadika Nur Pintar Bestari tahun ni!

Hati-hati Cikgu Hayatul, jangan terjatuh! (Tmn. Kota Masai 1)

Cikgu Faridah dan Cikgu Mas Ardilla buat apa tu? Lemang ke meriam buluh? (Tadika Inovasi Bestari)

Sempat lagi Cikgu Juliana berposing di atas tangga,
nasib baik ada Cikgu Syikhah tolong pegangkan tangga. (Tadika Inovasi Bestari)

Cepat Cikgu Has.. ramai lagi orang yang order ketupat untuk raya ni! (Tadika Nur Pintar Bestari)
Untuk tahun ini, kami juga diberi tanggungjawab untuk melaksanakan satu projek hari raya. Projek apa agaknya ya?

Pihak atasan menginginkan sebuah video ucapan hari raya dari keluarga besar kami, MyBistari Group. Dalam jangkamasa yang agak suntuk, dan berkat kerjasama yang diberikan oleh semua warga MyBistari, maka terhasillah sebuah video untuk tatapan ibu bapa semua.

Murid-murid dari Taman Kota Masai 2 sedang memberi ucapan.

Wakil dari Taman Kota Masai 1.

Istimewa ucapan Bahasa Inggeris dari Tadika Ilmu Pintar Bestari.

Penuh gaya cikgu-cikgu didikan Pn Hasiah menyampaikan ucapan hari raya.

Ceria wajah guru-guru dan murid-murid memberi ucapan.
Nak tengok hasilnya? Silalah layari akaun Youtube kami. Jangan lupa komen ya! Mana tahu boleh cam kan anak masing-masing menyampaikan ucapan.

Akhir kata, kami warga MyBistari Group sekali lagi mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri". Bagi yang akan pulang ke kampung halaman, berhati-hati semasa memandu, basahkan bibir dengan zikir jika terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, semoga perjalanan pergi dan pulang sentiasa di dalam lindunganNya. Jangan lupa jalan balik ke sini ya!!

~Cikgu Norifah~