Thursday, March 29, 2018

LAYANG LAYANG TERBANG MELAYANG


Ikan naik ke darat di Festival Layang-Layang Sedunia 2018
Bismilahirrahmanirrahim.

Layang-layang kalau tidak seimbang, tak akan dapat naik ke atas. Sekiranya ke atas sedikit, akan mudah jatuh terjerumus ke tanah. Kerana itu layang-layang perlu diberi keseimbangan. Sama ada diberi ekor yang panjang ataupun diberi penyeimbang di kiri dan kanan layang-layang. Begitu jugalah dalam mendidik anak-anak kecil ini, perlu ada keseimbangan dan cara yang betul. Lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia yang semakin moden dan mencabar ini, para ibubapa dan guru-guru perlu tahu menyeimbangkan bukan sahaja ilmu dunia dan akhirat, tetapi juga emosi semasa mendidik mereka. Insyaallah anak-anak dapat kita bekalkan dengan ilmu yang bermanfaat. Apa ya kaitannya layang-layang dengan cerita yang nak saya ceritakan kali ini?

Pada akhir bulan Februari yang lepas, telahpun berlangsungnya salah satu acara tahunan di Pasir Gudang iaitu Festival Layang-Layang Sedunia. Seperti kebiasaannya, kami akan membawa anak-anak K2 ke tapak festival untuk merasai keseronokkan festival ini. Segala jadual perjalanan dan waktu lawatan telahpun disediakan agar melancarkan pergerakkan lawatan nanti.

Sehari sebelum kami membawa mereka ke tapak festival, beberapa murid dari cawangan kami telahpun kami pilih untuk mewakili tadika di pertandingan mewarna bersempena dengan festival ini. Seawal pagi lagi kami yang ditugaskan untuk membawa para peserta mewarna telah datang ke cawangan untuk mengambil, menghantar dan menjaga mereka di tapak festival.

Pertandingan diadakan di Astaka Di Raja Bukit Layang-Layang

Puan Fiza sedang memeriksa murid yang sedang
menulis nama di belakang kertas.

Bismillah.. kita mulakan ya

Hampir siap dah tu

Cepat sikit dik, kawan yang lain dah mula mewarna tu.

Sepenuh tumpuan mewarna

Hati-hati, jangan di tekan sangat mewarna tu,
kertas ni mudah koyak.

Para peserta yang sudah siap mewarna sedang menunggu rakan-rakan
yang lain.

Wakil dari Tadika Inovasi Bestari

Wakil dari TPB Taman Mawar 

Wakil dari Tadika Nur Pintar Bestari

Contoh cenderahati yang peserta perolehi.

Agak berbeza dengan tahun-tahun yang sebelumnya, kali ini apabila pertandingan dijalankan, pihak ibubapa dan para guru tidak disuruh keluar dari gelanggang pertandingan, hairan juga kami kerana selalunya sebelum pertandingan dimulakan, kami akan diarahkan keluar dan pantau dari tepi sahaja. Jadi apabila pertandingan dimulakan, ada juga sebilangan para ibubapa dan guru pengiring yang membantu para peserta untuk mewarna dan menambah corak pada kertas pertandingan. Selesai sahaja anak-anak ini mewarna, kami kumpulkan di tepi tapak pertandingan, tunggu sehingga semua wakil dari MyBistari habis mewarna baru kami hantar mereka pulang ke tadika masing-masing. Alhamdulillah, ada cenderahati untuk para peserta dari pihak penganjur.

Ketika dalam perjalanan pulang ke tadika bersama mereka, terdengar bualan mereka yang berada di tempat duduk belakang,

“Rasanya ada chance tak kita menang? Ramai je tu yang warna cantik-cantik..”

“Ha’ah yelah.. kita colour biasa-biasa aje kan?”

Terpaksalah saya menyampuk perbualan mereka.

“Yang cantik-cantik tu diorang tu semua buat sendiri ke ada yang bantu?”

“Sebelah kita tu cikgu dia lukis kan corak dengan colour sikit-sikit..”

“Jadinya wau tu cantik sebab budak tu buat sendiri ke atau sebab ada yang bantu?”

“Sebab ada yang bantu..” jawab mereka serentak.

“Kalau cikgulah.. cikgu lebih suka cuba untuk buat sendiri, tak kira cantik atau biasa-biasa je hasilnya, janji itu hasil kerja cikgu sendiri, bukti yang cikgu boleh buat sendiri, tak perlu bantuan orang lain. Barulah hebat!”

Terdiam mereka agak lama juga sehinggalah salah seorang dari mereka bersuara,

“Ha’ah lah.. kita kan hebat..” ye.. semangat itulah yang cikgu cari!!

Dan seperti yang kami duga, untuk kali ini tiada pemenang dari wakil MyBistari Group, tapi Alhamdulillah cenderahati yang diperoleh oleh peserta itupun sudah cukup buat mereka rasa gembira.

Keesokkan harinya adalah hari lawatan bagi murid-murid kami. Memandangkan jumlah murid yang terlalu ramai, kami bahagikan hari lawatan kepada dua hari mengikut sesi pagi dan petang. Pada hari yang pertama, murid-murid dari TPB Taman Mawar, Tadika Nur Pintar Bestari dan Tadika Inovasi yang memulakan lawatan. Alhamdulillah, adalah juga kelibat layang-layang di awal pagi untuk dijadikan santapan mata anak-anak ini. Terujanya mereka apabila layang-layang menari bila ditiup angin hinggakan ada yang minta izin untuk masuk ke kawasan layang-layang untuk berada lebih dekat dengan layang-layang.

Pada sesi petangnya pula, kami hadir ketika waktu rehat. Jadi tidak banyak layang-layang yang dinaikkan. Tetapi Alhamdulillah anak-anak yang hadir tetap terhibur bermain dan meluangkan masa bersama dengan kawan-kawan di tapak festival.


Beratur menaiki bas ke tapak festival

Hati-hati naik tangga bas tu

Alhamdulillah kami selamat sampai ke destinasi!!

Ok jom ramai-ramai panjat bukit layang-layang!

Kita duduk dahulu tunggu yang lain sampai

Meriah juga layang-layang di langit

Seronoknya!!

Isi perut dahulu sebelum bermain

Nampak tak tu layang-layang kat belakang tu?

Besarnya layang-layang tu!!

Kita duduk-duduk dulu ya cikgu?

Yes.. jom meriahkan suasana sini!

Ala.. kenapa tak keluar buih ni?

Bebasnya saya!!

Sibuk dalam dunia masing-masing.

Langit mula penuh dengan layang-layang

Ikan pari dengan ikan paus pun boleh terbang?

Cuba awak pula yang tiup

Bestnya.. taknak balik boleh?

Untuk lawatan yang kedua pula yang melibatkan TPB Tmn Scientex 1, TPB Taman Scientex 2 TPB Taman Kota Masai, Tadika Ilmu Pintar Bestari, Tadika Minda Pintar Bestari dan Tadika Intelek Minda Bestari kami adakan pada hari terakhir festival. Nasib kurang menyebelahi untuk trip yang kedua ini kerana layang-layang yang besar dan menarik sudah tiada. Hari pertandingan sudahpun tamat, jadi para peserta juga sudah ramai yang meninggalkan tapak festival. Terkebil-kebillah anak-anak memerhatikan ruang padang yang kosong. Maafkan kami ye anak-anak, tak sangka pula begini keadaannya pada hari terakhir. 

Tetapi jangan risau, guru-guru semua ada back up plan untuk hilangkan kebosanan anak-anak ini. Bila nampak mood mereka hampir ke laut, segera cikgu-cikgu keluarkan senjata rahsia untuk basmi kebosanan, buih sabun! Nampak sahaja botol buih sabun berada di tangan cikgu mereka, wahhhhh.. terlonjak-lonjak kegembiraan semuanya. Hinggakan ada penjual yang berada di tapak festival teruja melihat kegembiraan memberi pinjam permainan buih sabun yang ada di gerainya. Main sehingga puas kemudian pulangkan semula pistol buih sabun kepadanya. Terima kasih ya encik yang kami tak sempat tanya namanya.Tapi harapnya mereka tetap terhibur dengan lawatan ke tapak festival bersama kawan-kawan yang lain.

Bacaan doa naik kenderaan sebelum naik bas.

Pastikan semua murid dibawah jagaan masing-masing cukup.


Ok dah cukup, jom jalan!!

Seronoknya dapat naik bas!!

Alhamdulillah kami selamat sampai.

Tiup kuat sikit cikgu...

Yeay!! Ada buih sabun!!

Cuba tangkap buih sabunnya!!

Cikgu, saya nak cuba boleh?

Lagi cikgu lagi!!

Hmmm.. betullah cikgu tengok dah ni.. layang-layang takde..

Layang-layang tiada, tengok ni pun cukuplah cikgu..

Kembara menambah ilmu kami tidak berhenti disini sahaja tau. Pada bulan April nanti aka nada lawatan bagi murid-murid K1 pula ke Sanrio Hello Kitty.Penyertaan untuk lawatan masih lagi dibuka. Pihak ibubapa dan penjaga bolehlah dapatkan borang kebenaran berkenaan lawatan ini di surat makluman yang telah kami edarkan.

~Cikgu Norifah~

Monday, March 12, 2018

JAUH PERJALANAN BERTAMBAH PENGALAMAN


Bismillahirrahmanirrahim.

Para guru dan murid-murid Tadika Nur Pintar Bestari

“The world is as large as you let it be. Each step you take into the unknown reveals a thousand more steps of possibility. Earth may not be growing, but your world certainly does with each step you take.”

Antara bait-bait ayat yang suatu ketika dahulu pernah pensyarah ungkapkan. Tapi biasalah ketika itu tak ambil pusing apa yang dikatakannya sebab pada masa itu nampak semuanya sama sahaja. Keadaan berubah apabila masuk ke dalam dunia anak-anak kecil ini. Setiap satu benda baru yang mereka nampak dan alami, adalah satu ilmu yang baru bagi mereka, gedung ilmu mereka juga semakin berkembang. Lebih menyenangkan hati cikgu-cikgu bila anak-anak murid dapat mengaitkan ilmu yang baru ini dengan  ilmu yang sedia ada dan juga keadaan persekitaran mereka.

Oleh sebab itu apabila pihak tadika mengadakan lawatan sambil belajar untuk murid-murid, kami amat menggalakkan ibu bapa untuk memberi kebenaran kepada anak-anak untuk turut serta dalam lawatan ini. Dari pengalaman naik bas bersama-sama dengan guru dan rakan-rakan, sehinggalah pengalaman tertidur kepenatan dalam perjalanan balik ke tadika, itu semua akan menjadi antara pengalaman dan ilmu yang takkan dilupakan oleh murid-murid.

Murid-murid dikumpulkan di halaman luar tadika (TIMB)

Wajah-wajah teruja sebelum lawatan dimulakan. (TIB)

Beratur.. cikgu taknak ada yang tersalah barisan. (TS1)

Kita duduklah dulu sementara menanti bas sampai (TS1)

Hati-hati naik basnya. 

Bagus beratur, tak berebut-rebut. (TS1)

Lebarnya senyuman dia.

Eh, dah siap berbantal? Nak tidur dah ke?

Untuk lawatan murid K2 tahun ini, kita kembali semula ke Tanjung Balau dan juga Ladang Burung Unta. Antara lawatan yang memerlukan perancangan yang lebih teliti kerana murid bukan sahaja datang melawat kawasan yang dinyatakan, mereka juga akan bersukaneka di pantai Tanjung Balau. Jadi seperti yang dilakukan dua tahun yang lepas, kami pihak pengurusan bergerak dahulu ke Tanjung Balau untuk menyiapkan tapak sukaneka. Alhamdulillah, siap sahaja tapak sukaneka, kelibat bas pertama pun muncul di kawasan letak kenderaan.

Selamat sampai ke Tanjung Balau.

Masing-masing sibuk menyiapkan tapak sukaneka.

Ok siap dah. Mana tak sampai lagi ni?
“Fuhh.. naik bas rasa macam naik lori besar, tapi ada aircond!! Kan best kalau dapat naik bas tiap-tiap hari pergi tadika!” jawapan dari seorang murid Taman Scientex 2 apabila saya bertanyakan tentang pengalamannya menaiki bas.

Rata-rata yang turun dari bas ada dua ekspresi di wajah mereka, tersenyum lebar ataupun muncung sedepa. Yang tersenyum lebar itu kerana bangga dapat naik bas dan turun dengan pemandangan indah terhidang di depan mata. Bagi yang muncung pula kerana dikejut bangun oleh para guru kerana telahpun sampai ke destinasi. Sedap dan lena tidur dalam bas.

Bila semua mereka yang terlibat dengan lawatan tiba di tapak sukaneka, terus dibahagikan mengikut jenis permainan yang telah ditetapkan. Meriahnya mereka tak perlu nak dicakap, masing-masing teruja dengan pantai yang luas terbentang di depan mata dan juga dengan tapak sukaneka yang telah kami sediakan.

Disebabkan masa yang agak terhad di sini, kami telah pun membahagikan setiap cawangan dengan permainan sukan yang tertentu :

1) TPB Taman Mawar – Zig zag kangaroo
2) Tadika Nur Pintar Bestari & Tadika Minda Pintar Bestari – Tarik bola dalam gelung
3) Tadika Ilmu Pintar Bestari – Terompah gergasi
4) TPB Taman Scientex 2 & TPB Taman Kota Masai – Bawa pundi kacang di kepala
5) TPB Taman Scientex 1 – Lari dalam guni
6) Tadika Intelek Minda Bestari & Tadika Inovasi Bestari – Masukkan gelung dalam kon

Cepat!! Kawan laju je pusing tu!!

Alamak cikgu, susahnya nak masuk!!

Setelah penat bersukaneka, kita isi perut dahulu.

Laparnya saya..

Untuk ke peringkat seterusnya, juara bagi setiap cawangan akan dipertandingkan bagi melayakkan mereka ke peringkat akhir. Untuk peringkat akhir, cuma 8 peserta sahaja yang terpilih.

Untuk peringkat akhir, permainannya agak sukar berbanding sebelumnya, para peserta perlu memasang manik-manik di tali yang disediakan, kemudian lari lima pusingan keliling kon dan perlu berlari merebut tiga bendera yang disediakan di garisan penamat. Agak lucu juga melihatkan gaya anak-anak ini perlu berlari lurus selepas berpusing-pusing lari keliling kon.

Ini keputusan peringkat akhir sukaneka:

Tempat pertama : Adik Maryam Binti Mohd Rizal (TIB)
Tempat kedua : Adik Akmal Hafiy Bin Mohd Nor Afandi (TIB)
Tempat ketiga : Adik Auni Zuhairah Binti Mohd Azri (TMPB)

Sedang bersiap sedia untuk saringan ke peringkat akhir.

Eh, mana boleh pegang bola pingpong tu lah..

Yeay!! saya menang!!

Sukaneka ini juga melibatkan kategori guru besar, bukan selalu bagi kita nak tengok guru besar yang selalunya tegas dalam menjalankan tugas melompat-lompat di dalam guni.

Bagi kategori guru besar pula, tempat pertama diraih oleh  Cik Noor Fazlini Binti Jusoh dari Tadika Nur Pintar Bestari, tempat kedua Puan Noorhaliyati Binti Mohd Hamdan yang menggantikan guru besarnya dari Tadika Intelek Minda Bestari dan yang tempat ketiga pula Cik Seri Rahayu Nengsih dari Tadika Ilmu Pintar Bestari.

Selepas selesai sesi penyerahan hadiah dan juga makan tengahari, kami semua bertolak ke Ladang Unta yang terletak di Pengerang. Saya dan Puan Shawariah yang menyusul ke sana terlebih dahulu untuk menguruskan pembelian tiket. Maklumlah, jika hendak beli tiket pada masa yang sama dengan kedatangan anak-anak murid, mahu haru biru jadinya kerana ladang ini tidaklah besar sangat, kami terpaksa aturkan kepada dua trip lawatan. Trip yang pertama adalah Bas 1 hingga Bas 3 (TNPB, TIB,TM dan TS1), trip yang kedua Bas 4 hingga Bas 6 (TS2, TKM, TIPB, TMPB, dan TIMB). Untuk pakej kali ini, kami semua akan berpeluang merasa telur dadar burung unta. Rasanya sama sahaja dengan telur dadar biasa, tetapi teringin jugalah mahu rasa telur burung unta.

Apabila trip pertama sampai di lokasi, kami terus dibawa masuk dan berkumpul di bahagian penerangan. Sebelum diberi pelepasan untuk berjalan disekitar ladang, kami dengar dahulu taklimat dan sedikit penerangan berkenaan burung unta oleh para pekerja di situ. Murid-murid amat teruja bila mereka menunjukkan telur burung unta.


“Ya Allah besarnya cikgu!! Betul boleh makan ke ni?” terbeliak mata mereka melihat kebesaran telur burung unta itu.

“Ya.. nanti keluar dari sini kita rasa telurnya ya,” jawab staff di situ yang mungkin terdengar soalan murid kami.

Terus terang sebenarnya tumpuan mendengar taklimat adalah dalam sepuluh minit sahaja kerana selepas itu kepala mereka sudah mula berpusing-pusing memerhatikan persekitaran kawasan. Ada yang siap terus duduk pusing menghadap burung-burung unta yang berada di dalam kepungan di belakang mereka.

Habis sahaja sesi taklimat, guru-guru membawa anak murid jagaan masing-masing ke sekitar ladang. Bermacam-macam ragam, ada guru yang takut anak murid terlebih berani, dan ada juga guru yang berani tetapi anak-anak murid pula yang kecut perut bila berdepan dengan burung unta. Namun begitu mereka tak melepaskan peluang untuk memberi makan burung-burung unta, bergambar sambil berdiri di atas telur burung unta, dan juga memegang burung unta. Seronoknya bukan main. 


Kami sudah sampai!!

Bergambar sebelum memberi makan burung unta. 
Hati-hati, ada yang memerhati di belakang tu!!

Mari cikgu tolong pegangkan.

Alamak, besarnya dia buka mulut!!

Pegang perlahan-lahan, jangan sampai dia terkejut.

Ok..beri laluan.. beri laluan..

Jom bergambar kenangan!!

Ramainya adik-adik comel nak tengok saya!!

Oh.. macam ni rasa bulu pelepah burung unta..

Hebat tak saya? Berdiri atas telur burung unta tapi tak pecah!!

Cikgu, jangan lepaskan.. saya tak yakin ni.

Tak lama selepas itu, trip kedua pula sampai untuk sama-sama merasa keseronokkan di ladang burung unta. Kali ini ada staf juga yang sedia menanti di ruang berkumpul di luar ladang. Sempat juga dia membawa seekor anak burung unta yang baru sehari menetas untuk ditunjukkan kepada anak-anak murid. Dia juga membawa sebiji telur burung unta dan memberi keizinan kepada anak-anak murid untuk menyentuhnya. Apa lagi, berebutlah mereka hendak pegang telur tersebut.

“Haa.. pegang pegang.. kulit telurnya ini sangat tebal dan keras. Sebiji telur ni sama dengan sepuluh biji telur ayam,” terang pakcik yang melayan kerenah murid-murid yang baru sampai.

“Keras? Kalau lepas kat lantai tak pecah eh?” soal seorang murid.

“Tak pecah punya.. lantai tak pecah.. telur pecah..” jawab pakcik itu sambil tertawa. Tersengih-sengih semua yang ada di situ mendengar jawapan yang diberi.

Boleh tahan berat juga telur ni cikgu.

Yes!! dapat juga rasa pegang telur ni!

Tengok ni, sama besar dengan muka dia!!

Oppsss.. hati-hati, jangan sampai jatuh..

Apa yang ada kat dalam ni cikgu?

Ooo.. ini yang baru menetas semalam eh cikgu? Besar juga!!

Setelah puas membelek telur burung unta dan melihat anak burung unta yang berumur sehari, murid-murid diarahkan untuk masuk ke dalam ladang. Sama seperti kumpulan yang pertama, mereka diberi taklimat berkenaan burung unta terlebih dahulu sebelum diberi peluang menjelajah dunia kecil burung unta di ladang ini.

Setelah hampir dua jam di dalam ladang burung unta, secara berperingkat juga kami arahkan guru-guru dan murid-murid untuk naik semula ke bas.  Sebelum itu, kami semua berkumpul dahulu di restoran yang ada di luar ladang untuk merasa kenikmatan telur dadar burung unta. Yang kurang gemar telur cuma merasa sekeping sahaja, tetapi yang memang peminat telur, berkeping-keping dimakannya. Siap tanya, ada lagi tak makcik? kepada pelayan di restoran.

Mari cikgu suapkan telur dadar ni.

Sempat juga cikgu ambil peluang rasa telur dadar.

Jom suap anak murid!!

Perjalanan pulang ke tadika masing-masing Alhamdulillah berjalan dengan 
lancar. Dek kerana kepenatan, murid-murid kebanyakkannya tidur sepanjang perjalanan balik. Cikgu juga ada yang tertidur, kepenatan melayan kerenah anak-anak murid di Tanjung Balau dan di Ladang Burung Unta.

Mimpi bermain pasir di Tanjung Balau atau beri makan
burung unta ni?

Kami amat berharap dengan lawatan ini ada beberapa ilmu baru yang diperolehi oleh anak-anak murid. Ilmu bukan hanya boleh didapati di dalam kelas sahaja, tetapi juga dari semua pengalaman yang mereka lalui sepanjang hidup mereka.

Bulan April nanti akan ada lawatan untuk murid-murid K1 pula. Jom pergi jalan-jalan lagi!!

~Cikgu Norifah~