Tuesday, October 24, 2017

SEHARI DI SELANGOR

Bismillahirrahmanirrahim.

Bergambar di hadapan Masjid Putra, Putrajaya

“Bila dah travel sama-sama macam ni baru akak tahu, cikgu-cikgu ni semua lagi hantu dari hantu yang ada dalam rumah hantu tu!!”

Ya, memang ayat itu yang terbit dari mulut saya ketika sama-sama bercuti sehari ke Selangor pada 18 Oktober 2017 yang lalu. Jangan salah anggap ucapan saya itu ya, nak tahu kenapa? Mari dengar cerita saya.

Seperti biasa, antara acara tahunan yang diadakan di Mybistari Group adalah acara jalan-jalan para guru. Keutamaan diberikan kepada guru-guru yang senior dan akan ditawarkan kepada guru-guru baru sekiranya ada di antara guru lama yang tidak dapat ikut serta. Aktiviti inilah yang ditunggu-tunggu oleh para guru yang kaki jalan. Almaklumlah, ada di antara guru kami yang hanya dapat berjalan jauh bila ada lawatan yang sebegini.  

Segala tentatif perjalanan juga telah disiapkan oleh Puan Zainun, guru-guru hanya perlu ikut pada segala aturcara yang yang telah pun diberi. Pada tengah malam 17 Oktober 2017, guru-guru yang terlibat dengan lawatan mula berkumpul di perkarangan tempat letak kenderaan di hadapan Dewanraya Taman Mawar, menanti bas yang akan membawa kami ke Selangor. Tak berapa lama menunggu, bas pun tiba, masa ini jugalah keterujaan para guru mula kelihatan, itu baru nampak bas, belum lagi tiba di tempat-tempat yang menarik di Selangor.

Menanti bas untuk ke Selangor.
Tepat jam 12:15 tengah malam bas memulakan perjalanan. Ingatkan masa bawa anak-anak murid sahaja perjalanan akan jadi kecoh, rupanya bila bawa cikgu-cikgu pun boleh tahan kecohnya. Berbagai cerita dan macam-macam jenis bekalan dikongsikan sebaik sahaja bas mula bergerak, belum lepas Taman Mawar lagi masa tu.  Tapi keadaan tu tak lama, selepas bas meluncur laju di lebuhraya, masing-masing pun meluncur laju ke alam mimpi.

Masing-masing tak tahu duduk diam.. excited!!
Kira-kira jam 5:30 pagi kami selamat tiba di Masjid Putra di Putrajaya untuk membersihkan diri dan solat Subuh. Subhanallah, sungguh gah senibina dan reka bentuk masjid ini. Kami meluangkan masa di sini kira-kira selama dua jam sebelum keluar meninggalkan masjid untuk ke tempat lain dan sarapan pagi. 
Masjid Putra yang juga dikenali dengan nama Masjid Pink

Berehat sebentar menanti yang lainnya bersiap dan solat subuh.

Eh.. dah kenapa ni semua?

Lapar sangat ni sampai tak boleh duduk dan berdiri tegak

Ikut perancangannya, untuk bersarapan pagi kami akan ke The Souq, tetapi Allah punya rancangan yang lain untuk kami, tempat itu belum dibuka lagi.

Mengikut perancangan awal, disinilah kami akan bersarapan.
Sementara Pn Shawa dan saya mencari tempat lain untuk sarapan,
mereka sempat lagi berposing.
Setelah berbincang dan memikirkan tentang tentatif yang lainnya, kami tukar sedikit jadual yang sedia ada, kami ke Masjid Besi dahulu kemudian baru akan ke medan selera Presint 8 untuk sarapan. Nasiblah ada adik Puan Shawariah dan Puan Suhaila yang sudi meluangkan masa membantu kami di sana, dia membantu kami mencari tempat untuk bersarapan dan dalam masa yang sama menjadi pemandu pelancong, menerangkan berkenaan sejarah dan fungsi beberapa tempat di Putrajaya itu, setiap satu rekaan dan bangunan yang dibina ada fungsinya tersendiri. Jadi sewaktu Puan Suhaila dan Puan Fiza memantau guru-guru bersiar-siar di sekitar Masjid Putra dan The Souq, saya, Puan Shawariah dan adiknya jalan keliling kawasan mencari tempat makan.  Pada awalnya berpusing-pusing juga kami untuk mencari tempat sarapan, semua tempat di kawasan tersebut masih belum buka lagi, yang ada pun restoran mamak, dan tak semua guru (termasuk pemandu bas) yang mahu makan di restoran itu. Jadinya, kami ke medan selera Presint 8 sahaja yang lebih banyak pilihan.

Sementara menunggu kami siap berbincang, cikgu masih lagi sempat berposing.

Setelah bersarapan, kami meneruskan perjalanan ke GM Klang. Kebanyakkan guru tidur sepanjang perjalanan ke sana, kumpul tenaga untuk tawaf keliling GM yang luas dan bertingkat-tingkat. Apabila tiba sahaja di GM Klang, suka saya melihat mata cikgu-cikgu yang bulat berkaca-kaca, mesti dalam fikiran tu ligat rancang bahagian mana nak pergi dan apa yang nak dibeli. Selesai sahaja Puan Suhaila memberi penerangan berkenaan waktu yang diperuntukkan di sini, para guru masing-masing bergerak ke arah tujuan yang diingini, situasinya seumpama anak-anak ikan yang baru dilepaskan ke lautan luas, ligat dan bertempiaran. Memang tersangat besar tempat ini, bayangkan selama hampir 3 jam di sana, saya tidak terserempak dengan kumpulan guru-guru yang lain. Bila melihatkan barang-barang yang dibeli oleh para guru ketika masing-masing sampai ke bas, kami turut tersenyum puas, memang sakan berbelanja ya! Kami yang tidak membeli belah inipun turut bantu bawakan barang kawan-kawan yang rancak membeli belah.

Apa agaknya tu yang menarik hati Puan Shawa
dan Cik Haziqah?

Cukup ke shopping banyak tu aje?

Masih sempat lagi berjumpa dengan bekas cikgu TPB, Puan Madinah di GM Klang

Kira-kira pukul 1:45 petang kami meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir, destinasi yang paling havoc di antara kesemua tempat yang tersenarai dalam acara jalan-jalan kali ini, kami ke i-City Shah Alam. Ramai yang kata, kenapa tak pergi malam, suasana lebih cantik dan meriah dengan lampu-lampu dan permainan di sana, tak apalah, i-City di siang hari juga tak kurang hebatnya. Kami tiba agak awal kerana  semasa penebusan tiket, pekerja di kaunter itu terangkan mengikut pakej promosi yang diambil, cuma Snow Walk sahaja yang sudah beroperasi, House of Horror dan Trick Art Museum akan dibuka pada pukul 3 petang, bagi Ferris Wheel dan Super Swing pula akan bermula pada pukul 5 petang.

Kepenatan Puan Juliana menanti tiket dan pembahagian kumpulan.

Setelah membahagikan tiket ikut kumpulan ( 1 tiket 10 guru ) dan memberi penerangan, kami memulakan lawatan di i-City. Pada awalnya bila melihatkan para pelawat diberikan baju sejuk yang tebal, terdetik hati ini, ‘tebalnya jaket.. sejuk sangat macam kat kutub utara ke?’ rupanya bila sudah berada di dalam Snow Walk, kalau boleh nak sarung lagi sehelai baju sejuk tu! Sejuk ya amat! Paling kelakar bila bersua sesama cikgu, bukan ‘attraction’ di dalam Snow Walk itu yang mereka hiraukan, sibuk mereka bertanyakan,

“ Akak nampak tak wap keluar dari mulut kita bila bercakap? Ada tak kak?”

“Macam kat oversea tak kita bila bercakap keluar wap?”

“Kak.. apasal kita tak nampak wap keluar ni? Sejuk tahap beku dah ni.”

Itu sebenarnya yang ingin mereka tahu dan lihat, wap keluar dari mulut.

Baru jalan sedikit sudah rasa sejuk.

Guru-guru TNPB.

Management, kurang seorang, Pn Faridah tidak dapat turut serta
kerana menjaga ibunya yang kurang sihat.

Bersama sebahagian dari guru-guru Taman Mawar.

Sejuk sampai muka kami jadi merah!!

Lama juga kami berada di dalam Snow Walk, hampir di setiap bahagian gambar diambil sebagai kenangan. Seperti yang dipesan oleh Puan Zainun, perlu pakai kasut yang bersesuaian untuk masuk ke dalam Snow Walk, jalannya agak licin. Memang betul, kasut yang masih cantik bunganya ini pun beberapa kali hampir tergelincir. Ada juga beberapa jenis permainan yang boleh dicuba, tetapi kebanyakkan guru-guru hanya berani naik kereta apinya sahaja,dua-dua slide yang ada tak berani dicuba. Bila melangkah keluar dari Snow Walk, macam-macam aksi guru yang kami dapat lihat, ada yang tetap berdiri tegak,menunggu otot-otot kembali longgar, ada yang duduk sambil picit kepala,perubahan keadaan dari sejuk ke panas membuatkan mereka pening, ada juga yang pantas terus ke gerai untuk mencari air panas, dan ada yang beli aiskrim, geram tengok ais di dalam Snow Walk tu tapi tak boleh dimakan katanya. Bermacam gelagat yang mereka tunjukkan.

Dah keluar pun masih sejuk!!
Waktu keluar itu sudah cukup cantik kerana jam sudah menunjukkan pukul 3 petang, jadinya kami berpecah ikut kemahuan kumpulan, sama ada mahu ke Trick Art Museum atau pun ke House of Horror. Kami pilih ke House of Horror, kumpulan pertama yang masuk ke rumah hantu. Baru jejak kaki ke tangga sahaja sudah menjerit-jerit bila dengar suara hantu mengilai, belum lagi masuk ke dalam. Bila sudah melangkah masuk ke dalam, saya dan Puan Shawariah yang berjalan di depan tiba-tiba sahaja diasak oleh guru-guru yang lain, untunglah Puan Shawa sempat melarikan diri ke belakang dari dijadikan benteng oleh mereka, kurang beruntung saya yang ditolak, ditarik, dijerit di telinga, dihempas ke dinding, menjadi tempat cikgu-cikgu melepaskan ketakutan, nasiblah jubah dan tudung saya tidak koyak, cuma Puan Suhaila yang berada di belakang saya kasutnya hampir tertanggal. Dalam hati ini, memanglah.. cikgu-cikgu aku ni lebih menakutkan dari hantu dalam rumah hantu ni. Dah tahu kan sekarang kenapa saya kata cikgu-cikgu ni lagi hantu dari hantu?

Guru-guru TIB dan TNPB bergambar dengan cik hantu.

Alhamdulillah, lepas juga habiskan bersiar-siar di rumah hantu.

Bila berbual dengan kumpulan guru TIB, Cikgu Syikhah beritahu, siap ada yang nak patah balik keluar dari rumah hantu tu, tapi hantu dalam rumah tu suruh mereka teruskan juga sambil melambai-lambai suruh berjalan maju ke hadapan. Hahaha.. peramah kan hantu-hantu tu? Mengalu-alukan tetamu.

Destinasi yang seterusnya adalah ke Trick Art Museum, selepas semua berehat melepaskan lelah menjerit dan bergusti dalam House of Horror. Ada juga cikgu yang dah surrender, cukup dah pening pertukaran cuaca di Snow Walk, tekanan emosi di House of Horror, tak sanggup nak hadapi yang lain-lain lagi. Alhamdulillah, keadaan di dalam muzium ini lebih tenang berbanding dua tempat yang kami masuk sebelum ini.

Wakil cikgu cawangan Taman Scientex

Tu call suami ke nak beritahu dah sampai Amerika?

Kami cuma nak cari susu unta aje..

Yang lain masih bersemangat, tapi ada yang dah terkulai layu.
Kami kemudiannya ke Ferris Wheel, agak menapak juga dari Trick Art Museum ke sana, dan sepanjang perjalanan tu nampaklah guru-guru kami yang sudah pun tewas, duduk berehat di bangku yang disediakan sambil menanti kawan-kawan datang membawakan air minuman.

“Tak larat kak.. bergoyang dah kepala lutut..”

“Nak naik tu kak? Gayat.. tinggi.. tak sanggup..”

Dan kami pilih untuk naik juga ke Ferris Wheel, bila lagi nak cuba kan? Mula-mula naik tu boleh tahan lagi gayatnya, tapi bila sudah mula sampai ke puncak, geraknya semakin perlahan, Cikgu Azreen dan Cikgu Haziqah yang naik bersama kami sudah mula keras kaku, takut ah tu.. Puan Shawa lah yang memang semangat dari awal sehingga akhir, siap buat live FB lagi.  Bila sudah turun dari Ferris Wheel, barulah terasa dahaga dan penat, masa yang diperuntukkan juga semakin sedikit. Setelah bertanya kepada guru-guru lain dan mereka kata tak sanggup untuk naik Super Wings yang berpusing-pusing itu, kami ambil keputusan untuk turun ke bawah menunggu bas.

Pukul 6:30 petang kami bertolak balik ke Pasir Gudang. Masing-masing sudah kepenatan, jadi suasana di dalam bas tidak semeriah awal perjalanan malam tadi. Kami kemudiannya berhenti di Dengkil untuk solat jamak Maghrib dan Isya, dan juga untuk makan malam. Bila segala urusan  penting sudah selesai, kami kembali meneruskan perjalanan pulang ke Pasir Gudang. Masing-masing di dalam bas hanyut dalam dunia masing-masing, ada yang imbas kembali aktiviti yang dilakukan sambil tengok gambar-gambar yang diambil dan ramai juga yang menggunakan masa perjalanan balik itu untuk tidur. Penat, nasib baik Puan Zainun bermurah hati memberi cuti keesokkan harinya, jika tidak sudah pasti semua yang ikut lawatan ini akan tersengguk-sengguk di tadika esok.

Makan malam dan solat jamak Maghrib dan Isya sebelum terus
balik ke Pasir Gudang.
Alhamdulillah kami selamat sampai ke Pasir Gudang pada pukul 12 tengah malam. Percutian yang singkat tapi amat menyeronokkan bagi kami. Tahun depan nanti kita kemana pula ya Pn Zainun?

~Cikgu Norifah~

Thursday, October 12, 2017

2017 PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN

Suasana peperiksaan di Tadika Intelek Minda Bestari.

Bismillahirrahmanirrahim.

“Bertemu dan berpisah adat manusia biasa
Hilang di mata tapi di hati tidak lupa
Berdoalah kita agar aman dan sentosa
Semoga kita berjumpa lagi di lain masa”

Antara bait lirik lagu “Bertemu dan Berpisah”. Lirik yang senang cerita agak sensitif bagi majoriti guru-guru di tadika sekarang ini. Bukannya apa, kami faham situasi ini tetap akan berlaku setiap tahun, tetapi setiap tahun itu jugalah kami kalah untuk berhadapan dengan situasi yang bakal berlaku tak lama lagi.

Minggu ini adalah minggu terakhir murid-murid menjalani peperiksaan akhir tahun, ujian terakhir bagi murid-murid K2 sebelum mereka melangkah masuk ke alam persekolahan yang lain. Bila kami melangkah masuk ke kelas-kelas untuk memantau dan melihat perjalanan peperiksaan, terselit juga rasa bangga dengan hasil yang ditunjukkan oleh kebanyakan anak-anak ini, dalam masa yang sama risau juga, bagaimana agaknya nanti prestasi mereka apabila di sekolah rendah? 

Jika anak-anak murid yang cerdik pandai pun kami risaukan, apatah lagi anak-anak murid kami yang aktif di dalam kelas, tidak dapat memberi tumpuan dalam sesi P&P dan yang kurang menyerlah akademiknya, itu lagilah membimbangkan kami. Tetapi kami yakin, mereka akan Insyaallah baik-baik sahaja apabila ke sekolah rendah.

Alhamdulillah, peperiksaan akhir tahun dapat berjalan dengan lancar, cikgu-cikgu pun sudah sampai ke peringkat menyemak semula penandaan dan permarkahan kertas soalan. Sebagaimana para ibu bapa tidak sabar menanti keputusan peperiksaan, kami juga sama. Jadi kita sama-samalah menunggu ya, sementara menunggu tu jom kita lihat beberapa gambar yang dikongsikan oleh pihak guru besar semasa peperiksaan dijalankan!

Duduk ikut keselesaan semasa menjawab soalan (TIPB)

Masing-masing tenang menjawab soalan (TIPB)

Baca soalan baik-baik sebelum jawab ye (TIPB)

Alah.. kacang aje soalan ni.. (TIPB)

Apa ya jawapannya? Tadi macam ingat,, (TIMB)

Alamak, dia nak jawab habis dah tu.. saya masih di muka surat awal lagi (TIMB)

Sempat lagi dia pandang kamera cikgu (TNPB)

Kertas soalan ni kena letak bawah sempoa.(TNPB)

Ok, semua dah sedia untuk jawab peperiksaan? (TNPB)

Boleh buat tak tu? Kalau tak boleh buat soalan lain dulu (TNPB)

Ish... saya ada buat ulangkaji dengan mak malam
tadi soalan yang macam ni (TIB)

Yea.. yea.. dah siap, boleh simpan semua alatulis! (TIB)
Di sini juga kami kongsikan video Pertandingan Sempoa dan Congak 2017 yang tak sempat kami kongsikan pada posting yang terdahulu.


Untuk tahun ini, cuma tinggal satu acara sahaja lagi, acara yang paling gemilang sekali iaitu Hari Anugerah Cemerlang 2017. Selain dari bertungkus lumus menyiapkan penandaan dan juga persiapan hari terbuka, para guru juga sedang sibuk memilih lagu dan juga persembahan yang bakal dipersembahkan nanti pada hari anugerah tersebut.

Semoga berjumpa nanti di Hari Anugerah Cemerlang 2017!

~Cikgu Norifah~ 



Sunday, October 8, 2017

2017 PERTANDINGAN SEMPOA DAN CONGAK

Bismillahirrahmanirrahim.



“Kecemerlangan adalah hasil daripada sikap yang ingin sentiasa melakukan yang terbaik”

Dan yang terbaik itulah yang telah para peserta dan warga Mybistari Group berikan. Walaupun suasana tempat pertandingan terbuka dan mudah bagi para peserta hilang fokus, tetapi apabila para pembaca soalan mula membaca soalan, mereka memberikan tumpuan yang sepenuhnya. Kagum kami melihatnya.

Manakan tidak, transisi dari keadaan peserta yang sibuk melambai-lambai ke arah ibu bapa dan keluarga yang hadir memberi sokongan kepada tumpuan seratus peratus ke sempoa masing-masing apabila soalan mula dibaca. Bagus, fokus mereka tak lari.

Fokus kami yang lari. Kenapa lari? Sebab tak terjangkau pemikiran kami bagaimana anak-anak ini dapat tangkap dan ingat nombor-nombor yang disebut begitu laju oleh para pembaca soalan. Terus terang, kami para guru juga cuba untuk menjawab setiap kali soalan-soalan dibaca, tapi selalunya bila soalan 6 dan seterusnya, selalunya kami cuma dapat tangkap hanya pada nombor kedua sahaja, masuk pada set nombor ketiga yang sempat tertangkap di telinga kami hanyalah “answer!!”

Sempat juga saya bertanya kepada para peserta yang menunggu giliran untuk naik ke atas pentas pertandingan, faham ke soalan yang dibaca oleh pembaca soalan, antara jawapan yang saya terima adalah;

“Lagi laju lagi bagus cikgu, cepat habis.. takut naik atas tu,”

“Biasa aje ni, latihan kat sekolah lagi laju,”

“Cikgu tak faham ke cikgu tu baca soalan? Saya faham aje..”

Tak kurang juga yang berdarah gemuruh, minta semangat untuk naik ke atas pentas, sambil menunggu giliran sempat tangan saya digenggamnya,

“Sejuk.. kenapa cikgu tu baca laju sangat..”

Yang lebih berani ada yang siap tepuk lengan saya dan bertanya,

“Dia baca laju-laju tu nak pergi mana eh cikgu?”

“Cikgu tu guna Bahasa Inggeris ke bahasa apa eh cikgu?”

Itulah antara soalan dan gelagat para peserta yang turut bersama kami di tepi pentas menanti giliran untuk bertanding. Para peserta ibu bapa juga tak kurang yang gementar. Ada yang duduk berteleku menanti giliran, ada yang tersengih-sengih cuba atasi rasa berdebar, dan ada yang tak senang duduk menanti giliran. Lebih-lebih lagi yang kena duduk di barisan paling hadapan dan yang diarahkan naik ke atas pentas, ha… baru tahu macamana perasaan anak-anak yang sebelum ini naik ke pentas.

Buzzer sedang diperiksa oleh unit peralatan.

En.Hafidz dan En.Afizi sedang menaikkan backdrop pertandingan.

Pemandangan keseluruhan tempat pertandingan.

Pemudahcara pertandingan kali ini, Cik Siti Aminah dan Puan Noorfaridah.

Unit peralatan yang bertungkus lumus sepanjang pertandingan.

Hadiah yang setia menanti para peserta.

Para penari yang bakal menghiburkan para tetamu.

Para peserta menanti pertandingan dimulakan.

Panel penanda kertas, keadaan masih lagi tenang sebelum sibuk menanda kertas.

En. Tamizi sedang memberi ucapan perasmian.

Persembahan pembukaan dari murid TS1, Joget Berhibur.

Pertandingan sudahpun bermula.

Khusyuk menulis jawapan.

En. Tamizi sedang memantau perjalanan majlis.

Pn Zainun sedang merakam aktiviti penandaan kertas jawapan.

Sedang menanti soalan dibaca.

Pemandangan dari tingkat atas.


Wakil pihak ibu bapa, eh.. ada Puan Ratnawati, mantan guru TPB!!

Puan Hasiah dan Puan Azlina (mantan guru TPB) turut datang memberi sokongan.
Terima kasih ya!!

Murid menjawab soalan di peringkat separuh akhir.

Persembahan tarian Pesona Jiwa (TS2).

Tampi apa tu dik? Persembahan joget Lodeh Hai Mak Lodeh dari TNPB.

Persembahan tarian Zapin Pusaka yang kemas dari TIB.
Pertandingan peringkat akhir sempoa 6 Bistari.

Pertandingan ibu bapa vs anak.

Antara para peserta sempoa.

Ada juga cenderahati yang akan dibawa pulang.

Pn Zainun bersama para penanda kertas.

Terima kasih kami ucapkan kepada pihak ibu-ibu yang sudi menjadi pengadil dan penanda kertas pada pertandingan kali ini. Terima kasih sekali lagi diucapkan kepada,

Para pengadil :
Pn Rohana Binti  Abdul Razak (TM)
Pn Wan Mazrinayanti Binti Wan Mansor (TNPB)

Panel penanda kertas :
Pn Noreta Binti Abd Latif  (TIPB)
Pn Mariatulasni Binti Miskam (TS1)
Pn Rosmawati Binti Abdullah (TMPB)
Pn Azieana Binti Jamean (TIB)
Pn Masazlyza Binti Razali (TS2)

Di sini kami kongsikan senarai pemenang bagi Pertandingan Sempoa & Congak 2017.

Sempoa ribu 6 Bistari


Johan – Nur Laila Arissa Bt Mohd Faizal (TMPB)
Naib johan – Anaqi Thaqif Bin Faizul (TS2)
Ketiga - Muhammad Rayyan Daniel Bin Huzaimi (TS2)

Sempoa ratus 6 Tahun


Johan – Nurul Fatanah Bt Noor Azman (TIPB)
Naib johan – Nur Aryanna Qhairasa Bt Joharmi (TS2)
Ketiga - Muhd Irfan Bin Saipol Anuar (TIPB)

Sempoa ratus 5 Bistari


Johan – Putri Airyssha Insyirah Bt Abd Rahim (TIPB)
Naib johan – Nur Iffah Zinnirah Bt Suhaide (TNPB)
Ketiga - Nur Faiqah Bt Saiful Azmi (TNPB)

Congak 6 Tahun & 6 Bistari


Johan – Aisyah Hafiya Bt Md Razali (TM)
 Naib johan – Wan Batrisyia Bt Md Nor Arif (TNPB)
Ketiga - Muhd Zayyan Bin Saifullizan (TM)

Ibubapa vs anak


Johan – Puan Nor Idayu Bt Wagiman
Naib johan – Nur Laila Arissa Bt Mohd Faizal

Ketiga - Muhammad Rayyan Daniel Bin Huzaimi

Ibubapa
Johan – Puan Nor Irdayu Bt Wagiman 
Naib johan – Puan Ummu Naqibah Bt Ostadi
Ketiga - Puan Farah Zunurain Bt Abd Latif

Video keseluruhan Pertandingan Sempoa Dan Congak 2017 masih lagi dalam pembikinan, bila sudah siap nanti akan saya kongsikan, jadi kali ini kami kongsikan dahulu video persembahan semasa pertandingan diadakan.

Joget Berhibur (TS1)


Pesona Jiwa (TS2)


Lodeh Hai Mak Lodeh (TNPB)


Zapin Pusaka (TIB)

Tahniah sekali lagi kepada semua para pemenang yang berjaya pada kali ini. Terima kasih juga kepada para ibu bapa yang turut sama membantu anak-anak mempersiapkan diri menghadapi pertandingan ini. 

Untuk minggu ini dan minggu hadapan murid-murid sedang sibuk menghadapi peperiksaan akhir tahun. Jangan lupa buat ulangkaji di rumah ya!!

~Cikgu Norifah~