Showing posts with label semester 2. Show all posts
Showing posts with label semester 2. Show all posts

Thursday, October 12, 2017

2017 PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN

Suasana peperiksaan di Tadika Intelek Minda Bestari.

Bismillahirrahmanirrahim.

“Bertemu dan berpisah adat manusia biasa
Hilang di mata tapi di hati tidak lupa
Berdoalah kita agar aman dan sentosa
Semoga kita berjumpa lagi di lain masa”

Antara bait lirik lagu “Bertemu dan Berpisah”. Lirik yang senang cerita agak sensitif bagi majoriti guru-guru di tadika sekarang ini. Bukannya apa, kami faham situasi ini tetap akan berlaku setiap tahun, tetapi setiap tahun itu jugalah kami kalah untuk berhadapan dengan situasi yang bakal berlaku tak lama lagi.

Minggu ini adalah minggu terakhir murid-murid menjalani peperiksaan akhir tahun, ujian terakhir bagi murid-murid K2 sebelum mereka melangkah masuk ke alam persekolahan yang lain. Bila kami melangkah masuk ke kelas-kelas untuk memantau dan melihat perjalanan peperiksaan, terselit juga rasa bangga dengan hasil yang ditunjukkan oleh kebanyakan anak-anak ini, dalam masa yang sama risau juga, bagaimana agaknya nanti prestasi mereka apabila di sekolah rendah? 

Jika anak-anak murid yang cerdik pandai pun kami risaukan, apatah lagi anak-anak murid kami yang aktif di dalam kelas, tidak dapat memberi tumpuan dalam sesi P&P dan yang kurang menyerlah akademiknya, itu lagilah membimbangkan kami. Tetapi kami yakin, mereka akan Insyaallah baik-baik sahaja apabila ke sekolah rendah.

Alhamdulillah, peperiksaan akhir tahun dapat berjalan dengan lancar, cikgu-cikgu pun sudah sampai ke peringkat menyemak semula penandaan dan permarkahan kertas soalan. Sebagaimana para ibu bapa tidak sabar menanti keputusan peperiksaan, kami juga sama. Jadi kita sama-samalah menunggu ya, sementara menunggu tu jom kita lihat beberapa gambar yang dikongsikan oleh pihak guru besar semasa peperiksaan dijalankan!

Duduk ikut keselesaan semasa menjawab soalan (TIPB)

Masing-masing tenang menjawab soalan (TIPB)

Baca soalan baik-baik sebelum jawab ye (TIPB)

Alah.. kacang aje soalan ni.. (TIPB)

Apa ya jawapannya? Tadi macam ingat,, (TIMB)

Alamak, dia nak jawab habis dah tu.. saya masih di muka surat awal lagi (TIMB)

Sempat lagi dia pandang kamera cikgu (TNPB)

Kertas soalan ni kena letak bawah sempoa.(TNPB)

Ok, semua dah sedia untuk jawab peperiksaan? (TNPB)

Boleh buat tak tu? Kalau tak boleh buat soalan lain dulu (TNPB)

Ish... saya ada buat ulangkaji dengan mak malam
tadi soalan yang macam ni (TIB)

Yea.. yea.. dah siap, boleh simpan semua alatulis! (TIB)
Di sini juga kami kongsikan video Pertandingan Sempoa dan Congak 2017 yang tak sempat kami kongsikan pada posting yang terdahulu.


Untuk tahun ini, cuma tinggal satu acara sahaja lagi, acara yang paling gemilang sekali iaitu Hari Anugerah Cemerlang 2017. Selain dari bertungkus lumus menyiapkan penandaan dan juga persiapan hari terbuka, para guru juga sedang sibuk memilih lagu dan juga persembahan yang bakal dipersembahkan nanti pada hari anugerah tersebut.

Semoga berjumpa nanti di Hari Anugerah Cemerlang 2017!

~Cikgu Norifah~ 



Thursday, June 15, 2017

DI SEBALIK TABIR SESI FOTOGRAFI 2017

Bismillahirahmanirrahim.

Kembar tiga, penyeri tadika sudah berada di tahun akhir
di Taman Mawar.

Alhamdulillah, dengan berkat dariNya, murid-murid dan juga guru-guru kini berada di dalam Semester 2 2017, cerita semester 1 sudahpun tertutup rapat dan segala kenangan dan pengalaman yang kami lalui bersama anak-anak didik kami tersemat cantik dalam ingatan.

Permulaan untuk semester 2 pada tahun ini agak mencabar kerana kami memulakan semester baru ini dalam bulan puasa. Bermacam-macam ragam yang kami terima dari anak-anak murid. Mungkin kerana sebelum ini mereka berada di rumah, jika penat dan lapar ketika berpuasa, boleh mereka berehat ataupun tidur, tetapi tidak apabila sesi persekolahan telah bermula.

Bermula dengan minggu ini juga Sesi Fotografi 2017 diadakan. Seperti biasa, Cikgu Azreen diamanahkan untuk ke seluruh tadika MyBistari Group untuk mengambil gambar murid. Jika untuk semester 1, cuma gambar kelas dan gambar individu murid K1 sahaja yang diambil, kali ini, keadaannya agak rumit sedikit, dijalankan sekali sesi fotografi graduasi murid K2. Kami faham kepayahan yang dihadapi oleh Cikgu Azreen, jika hendak menyusun atur murid untuk bergambar kelas sahaja sudah mencabar, apatah lagi murid yang perlu kami sediakan berpakaian jubah graduasi, perbetulkan cara berdiri dan cara memegang skrol. Jadi kami memang mengharapkan jasa baik pihak ibu bapa supaya menghadirkan anak-anak anda mengikut tarikh yang telah ditetapkan. Tidaklah sukar bagi Cikgu Azreen untuk datang semula ke cawangan untuk mengambil gambar murid.

Duduk dulu, nanti cikgu susun semula (TM)

Syuusshhh.. tak boleh buat bising, ada kelas lain yang sedang belajar (TM)

Duduk betul-betul, jangan main-main (TIB)

Baju ni memang besar eh cikgu? (TIB)

Tempat sebelah ni saya dah simpankan untuk kawan saya. (TNPB)

Saya posing macam ni ok tak cikgu? (TNPB)

Ok.. sedia semua..!! (TKM)

Wahhh.. cantiknya awak pakai jubah ni!! (TKM)

Jadual sesi fotografi kali ini lebih panjang dari biasa kerana kami juga mengambil kira kudrat cik jurufoto kami di bulan puasa. Hanya satu cawangan sahaja yang diperuntukkan dalam sehari bagi kedua-dua sesi. Buat masa ini cawangan yang sudah selamat menjalani sesi fotografi adalah Tadika Pintar Bistari Taman Mawar, Tadika Inovasi Bestari, Tadika Nur Pintar Bestari dan juga Tadika Pintar Bistari Tmn Kota Masai. Di sini saya sertakan sekali baki jadual bergambar mengikut cawangan yang akan dilaksanakan minggu hadapan:

  • 18/6/17 ( Ahad ) – Tadika Ilmu Pintar Bestari
  • 19/6/17 ( Isnin ) – Tadika Pintar Bistari Taman Scientex 1
  • 20/6/17 ( Selasa ) – Tadika Pintar Bistari Taman Scientex 2
  • 21/6/17 ( Rabu ) – Tadika Minda Pintar Bestari
  • 22/6/17 ( Khamis ) – Tadika Intelek Minda Bestari

Pastikan anak tuan dan puan berpakaian seragam tadika yang lengkap. Sekiranya tidak dapat hadir kerana kurang sihat atau pun ada permasalahan yang tidak dapat dielakkan, sila berhubung dengan Guru Besar. Gambar yang diambil kali ini akan diberikan kepada ibu bapa semasa perjumpaan di hari terbuka semester 2 nanti.

Dalam pada itu, jangan lupa untuk terus memberikan semangat kepada anak-anak kita untuk berpuasa ya! Semoga mereka tidak merasakan puasa ini sebagai satu bebanan, tetapi sebagai satu kejayaan bila dapat bertahan hingga ke azan Maghrib!

~Cikgu Norifah~

Tuesday, October 18, 2016

MINGGU PERAH OTAK

Mana satu ya jawapannya? (TM)
Bismillahirrahmanirrrahim.

Bermula dari minggu lepas, suasana di semua cawangan Tadika Pintar Bistari sibuk. Cikgu tak menang tangan membuat kerja dan tak cukup tanah mengejar masa. Memang beginilah keadaan yang kami hadapi saban tahun apabila semester sudah semakin sampai ke penghujungnya.

Minggu lepas seperti yang sedia maklum, peperiksaan akhir tahun dijalankan di semua cawangan kami. Sekejap sahaja rasanya semester 2 ini berlalu, sudah hampir cecah ke akhir tahun. Pada pandangan mata ini seperti baru sahaja terdengar-dengar suara cikgu di kelas 5 Bistari mengajar dan memperkenalkan sempoa, subjek yang pada awalnya bukan sahaja memberi tekanan kepada murid, bahkan kepada ibu bapa dan juga guru yang mengajar. Mana taknya, jika kelas 5 tahun biasa, murid-murid akan diperkenalkan sedikit demi sedikit dengan sempoa, tetapi tidak bagi murid 5 Bistari, mereka akan didedahkan dengan pengajaran sempoa yang setaraf dengan murid 6 tahun. Sama sahaja seperti tahun-tahun yang sudah, bila masuk sahaja ke semester kedua, ada ketikanya suasana akan kembali seperti pada awal tahun kemasukkan mereka. Jangan pelik, ini kerana bagi murid 5 tahun, mereka diasingkan mengikut tahap pencapaian mereka. Tak semua dari mereka yang dapat menyesuaikan diri dengan rakan-rakan dan guru yang baru, bermulalah kembali episod berkejaran dan pujuk memujuk untuk masuk ke kelas.

Itu semua antara kenangan yang tak dapat dilupakan. Ketika meluangkan masa memantau perjalanan peperiksaan akhir tahun di kelas-kelas, hati ini dijentik dengan rasa sayu, lebih-lebih lagi apabila ke kelas 6 tahun dan 6 bistari. Masa kami bersama mereka sudah hampir ke penghujungnya. Terlalu cepat rasanya masa berlalu. Dari tidak pandai memegang pensel sehinggalah pandai menulis dan melukis, dari kegeraman asyik menangis yang akhirnya berbual mesra dengan guru, aduh.. kami bakal merindui mereka. 

Penerangan sedang dibuat sebelum murid-murid menjawab soalan (TKM1)

Membaca soalan dengan teliti sebelum memberikan jawapan (TNPB)

Masing-masing fokus menjawab soalan (TIB)

"Soalan ni nak apa sebenarnya cikgu?" (TIPB)

"Eii.. jangan tengok jawapan kitalah!" (TS1)

Kemahiran mengira diperlukan dalam soalan ini (TMPB)

Baca doa dahulu sebelum memulakan peperiksaan (TMPB)

"Hmmmm.. soalan ni nak jawab macamana ye?" (TM)

Minggu ini pula, adalah minggu penandaan dan juga memasukkan markah peperiksaan. Minggu yang paling genting bagi guru-guru kami. Bermacam gaya menanda yang dapat kami lihat, ada yang tersengih-sengih ketika menanda, senang hati barangkali dengan pencapaian anak didiknya. Ada yang berkerut-kerut sambil menggelengkan kepala, tanda kurang puas hati, dan ada juga yang pada awalnya tersenyum, tetapi akhirnya muncung, kenapa rasanya?

"Kita dah target dia ni Cik Ifah.. awal-awal tu cantik aje dia jawab, dah nak akhir ni ada pulak salahnya," masam mencuka jadi mukanya.

Biasalah, dah namanya pun peperiksaan, walaupun ada ketikanya kita merasakan yang anak murid kita tu boleh menjawab soalan dengan baik, kesilapan dan kecuaian boleh berlaku.

Ada juga cikgu yang tak jangka pencapaian anak muridnya,

"Cik Ifah.. percaya tak kalau saya cakap yang dia ni dalam ranking top 5? Tak sangka kan? Dalam kelas tak banyak cakap, kalau nak suruh ke depan untuk jawab pun kena pujuk,"

Ye.. itu saya percaya kerana anak-anak murid kita ni bermacam ragamnya. Tak semestinya anak murid yang pasif itu kurang cerdik, cuma mungkin belum tergerak hatinya untuk menunjukkan bakat dan kelebihannya. Saya pernah berhadapan dengan anak murid yang sepanjang Semester 1 tak mahu berbual dan belajar, tetapi semua kerja sekolahnya akan dihantar keesokkan harinya, bila sudah masuk Semester 2, baru tergerak hatinya untuk menegur saya dan mula membaca Bacalah, pandai budaknya, dalam masa sebulan lebih perkembangannya amat memberangsangkan. Bekerja dengan anak-anak kecil ini, silalah "expect the unexpected". 

Jika ditolak dengan cuti hujung minggu dan cuti-cuti yang lain, cuma tinggal tak sampai sebulan sahaja lagi murid 6 tahun bersama-sama dengan kami. Selesainya peperiksaan ini, ada dua lagi program yang melibatkan mereka yang perlu kami laksanakan; Hari Terbuka dan juga Hari Anugerah Cemerlang. Ibu, ayah.. jangan lupa datang ke tadika anak masing-masing ye pada 27 Oktober 2016 (Khamis) minggu hadapan untuk berjumpa dengan guru kelas mereka. Manfaatkanlah masa yang ada ini untuk datang dan berbincang dengan kami, kita tak tahu entah bila akan dapat bersua muka lagi.

~Cikgu Norifah~

Tuesday, June 21, 2016

DETIK ITU TERAKAM


“We don’t remember days, we remember moments. What we have caught on film is captured forever.”

20hb Jun 2016

Bismillahirrahmannirahim.

Ketika sampai ke tadika awal pagi tadi, dalam fikiran sudah diaturkan apa yang akan dilakukan nanti. Ada beberapa agenda yang perlu diselesaikan hari ini. Tapi seperti yang pernah saya katakan dalam posting terdahulu, kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan.

Sebaik sahaja saya meletakkan beg laptop di atas meja, Cikgu Azreen meluru datang sambil tersenyum.

“Kak Ifah, hari ni akak kena bawa kita ke cawangan untuk sesi penggambaran kelas, arahan Pn 
Zainun,” terkebil-kebil sebentar saya mendengar kata-katanya.

“Eh.. ye ke, jangan bergurau.. Pn Zai tak ada beritahu apa-apa pun,” jawab saya was-was.

“Ye lah.. kereta kita rosak, kita tak tahu bawa kereta manual, alza tu kan manual,” panjang lebar penerangan Cikgu Azreen.

“Ok lah kalau macam tu, nak pergi pukul berapa?”

“9 pagi.”

Dan bermulalah setengah hari saya mengikuti Cikgu Azreen ke cawangan-cawangan saya dahulu, Tadika Pintar Bistari Tmn Kota Masai 1, Taman Kota Masai 2, dan Tadika Ilmu Pintar Bestari.

Paginya kami mulakan dengan Tadika Ilmu Pintar Bestari terlebih dahulu. Terasa seperti orang baru pula bila kehadiran kami menimbulkan persoalan murid-murid di sana.

“Cikgu baru eh.. cikgu baru kan?” soalan dari murid-murid setiap kali keluar untuk diambil gambar mereka.

Menanti murid-murid dan guru TIPB bersiap.

Kenapa tak butang baju ni..?

Sedia semua.. 1..2..3..!!

Ni kedudukannya tak betul ni, ikut yang cikgu dah susun.

Selesai di Tadika Ilmu Pintar Bestari, kami ke Kota Masai 2 dan akhir sekali ke Kota Masai 1.

Susun atur kerusi sebelum murid-murid turun. (TKM2)


ikut susunan ya, .. perempuan duduk, lelaki berdiri..

Sini.. sini.. jangan tengok tempat lain!..ujar Cikgu Azreen jurugambar kami

Cikgu.. cepat sikit.. hari dah mula panas.

Eh,, kenapa macam ni? Cikgu kan dah susun tadi..(TKM1)

Pagi.. masih bersemangat lagi kami melayan dan mengatur murid-murid untuk sesi penggambaran. Saya membantu sekadar yang mampu. Pening juga sebenarnya mengatur anak-anak ini untuk bergambar, bayangkan sahaja bagaimana hendak melayan mereka yang aktif di kelas, ini hendak suruh mereka berdiri atau duduk diam untuk diambil gambarnya. Perlu sabar. Sekali petik gambar takkan cukup untuk satu kelas, paling kurang 3 kali. Mana taknya jika barisan hadapan duduk cantik, barisan belakang akan ada yang tidak beri tumpuan, berbual, pandang ke tempat lain, dan ada juga yang tidak mahu bergambar. Takkan ada gambar yang sempurna keadaan mereka kesemuanya.

Pelbagai ragam mereka yang perlu dilayan. Gigih Cikgu Azreen mengatur kedudukan dan menegur murid-murid. Bersabarlah ya, saya faham penat dan sukarnya mengatur sesi fotografi ini kerana pernah juga di pertanggungjawabkan untuk perkara yang sama. Lagilah di bulan puasa ni, kena extra sabar.

Kami berehat sambil menyiapkan tugasan masing-masing di Kota Masai 1 sementara menunggu pertukaran sesi. Suasana agak berbeza kerana bermula tahun ini, Kota Masai 1 cuma ada satu bangunan sahaja, sudah terbiasa dengan ruangan lama yang luas dan lebih selesa.


Setelah selesai permulaan kelas bagi sesi tengahari, barulah kami sambung ambil gambar murid-murid. Seronok kerana diberi kesempatan untuk membantu Cikgu Azreen kali ini. Agak lama sudah tidak berjumpa dengan murid-murid dari cawangan lain.

Kira-kira dalam pukul 1.30 petang selesai semua urusan fotografi dan kami pun bertolak pulang ke Taman Mawar. Antara pengalaman yang menarik bagi diri saya sendiri. Ada hikmahnya juga kereta Cikgu Azreen rosak, kalau tak entah bila saya dapat ziarah ke cawangan-cawangan lain.

Minggu hadapan adalah minggu terakhir persekolahan. Di harap para ibu bapa masih lagi menghantar anak-anak ke tadika seperti biasa ya! Tiada istilah cuti tambahan atau pun cuti awal kecuali yang betul- betul memerlukan. Baju raya dah beli? Kuih dah buat? Semangat raya makin terasa sudah ni, apatah lagi lagu raya semakin rancak berkumandang. Seronok seronok juga, jangan terlalu memikirkan persiapan raya sehingga terlupa satu nikmat yang cuma ada ketika Ramadhan, iaitu solat terawih dan menggapai malam lailatulqadar dalam malam-malam 10 terakhir ramadhan ini. Semangat !!
. Jom tambah pahala!

~Cikgu Norifah~