Saturday, April 23, 2011

JOM NAIK KERETAPI (4)

Pagi tadi giliran cawangan TS1, TS2, TKM1 & TKM2 pula menaiki keretapi. Juga dengan 3 buah bas dimana TS2 dan TM2 berkongsi bas yang sama.
Seperti minggu lepas juga, persiapan bekalan makanan juga disediakan untuk setiap orang murid. Beginilah persiapan belakang tabir yang dibuat oleh 2 orang kuat TPB.

Beg cenderahati telah siap untuk dihantar ke cawangan terbabit
Alhamdulillah, mereka sempat sampai ke JB Central tepat masanya. Tapi malangnya keretapi memang lambat sampai disebabkan masalah teknikal. Sambil-sambil menunggu tu, sempat juga cikgu-cikgu pengiring berposing. Lihatlah aksi mereka. Kalau berkenan, bolehlah pilih salah seorang. Jangan pilih yang dah berpunya ya!
Coklat (TKM2), Ungu (TS1), Hijau (TS2) & Biru (TKM1)
Sementara menunggu keretapi yang lambat datang, anak-anak disuruh menjamu juadah sarapan pagi iaitu burger telur (benjo), juga bekalan makanan lain yang dibawa oleh guru masing-masing. Berselera sungguh mereka makan.

Sebelum tu, baca doa makan dulu ya!
9.45 pagi, pengumuman keretapi datang, maka berbaris dan bersiap sedialah anak-anak menaiki keretapi sambil dibantu oleh guru pengiring.

Yee! Keretapi dah sampai.

Beginilah keadaan di dalam keretapi. Ada koc yang selesa, ada yang sebaliknya kerana koc tambahan tidak ada aircond. Jadi anak-anak ni sedikit rimas dan tidak selesa. Namun ada juga yang seronok melihat pemandangan luar dari jendela keretapi. Ada juga yang santai-santai.


Sampai di Gunung Lambak Eko-Resort, makan lagi. Kemudian jalan-jalan sekitar kawasan di situ.

Seronoknya berkelah di bawah pokok dan makan ramai-ramai.

Lihatlah, apa dah jadi dengan mereka ini....

Masing-masing kepenatan terus tidur sewaktu dalam perjalanan balik ke P.Gudang. Lena sungguh!
Bangun tidur, jom makan lagi

Alhamdulillah, mereka sampai di tadika masing-masing dalam keadaan selamat. Syukurlah tidak terbabit sama dengan keadaan seperti ini.


Semoga lawatan kali ini memberikan memori manis kepada anak-anak ini. Tahun depan bila dah darjah 1, tentu akan ada yang pergi lawatan ke tempat yang lebih jauh lagi. Ataupun boleh juga ajak ibu ayah cuti-cuti Malaysia. Yelah, cuti sekolah dah hampir tiba. Apa ditunggu lagi....

Sekianlah episod lawatan untuk tahun ini. Tahun depan nak ke destinasi mana, wallahu'alam. Any suggesstion? Sila ibubapa kemukakan.
Jangan pula ajak naik kapalterbang pulak ya! :)  

Monday, April 18, 2011

JOM NAIK KERETAPI (3)

Seawal 6.30 pagi, deretan kereta-kereta memenuhi jalan di tadika Taman Mawar menghantar anak-anak yang mengikuti lawatan ke KTM JB Central dan Gunung Lambak Eko-Resort, Kluang. Dari gaya  dan keceriaan anak-anak ini, tiada yang nampaknya mengantuk kerana terpaksa bangun awal pagi ini. Dalan perjalanan ke tadika, saya mendapat satu panggilan telefon

"Cikgu, nak tanya, berkumpul kat mana?,
"Kat tadika, kenapa?, tanya saya balik.
"Kat tadika tak ada orang pun", kata ibu tadi agak kecemasan.
"Tadika cawangan mana?", tanya saya minta kepastian.
"TS1", jawabnya ringkas,

Dah sah, salah info, cetus hari saya. Bimbang juga info yang diberi oleh pihak saya yang salah.
'Hari ini yang pergi adalah TM1, TM2, TIB dan Rinting saja, TS1 pergi minggu depan", saya menjawab ringkas.
"Ada ke tulis dalam surat?, si ibu minta kepastian lagi.
"Ada" jawab saya ringkas dan tiada lagi sura di hujumg panggilan.

Nampaknya ada ibu yang tersalah info, mungkin anak-anak kawan sepejabatnya yang pergi hari Sabtu ini, jadi ibu pun teruja, nak menghantar anak lawatan tanpa meneliti surat makluman.

Berbalik kepada keadaan di tadika, bas menunggu anak-anak yang sedang diatur oleh guru-guru pengiring. Sebuah bas lagi terus ke Taman Rinting setelah menaikkan anak-anak dari tadika Inovasi Bestari. Alhamdulillah, tahun ini dapat bas yang baru dan selesa setelah diberi amaran berikutan keadaan bas tahun lepas yang tidak memuaskan hati saya. Sempat juga saya rakamkan ini sebelum mereka naik bas.

Yes, we are ready!
Jam 7.00 pagi bas bergerak. Lewat 15 minit dari perancangan awal. Namun begitu, ada juga seorang murid yang masih belum sampai. Jadi terpaksalah saya arahkan agar ibubapa menghantar terus ke JB Central. Kami tidak dapat menunggu lagi, bimbang jalan jem dan terlewat pula sampai di JB Central. Saya dan Cikgu Tamizi tidak turut serta menaiki keretapi sebab perlu membawa makanan tengahari anak-anak ini. Jadi kami menyusul dari belakang dengan JMA4040.

Alhamdulillah, mereka sampai ke JB Central tepat pada masanya. Disambut oleh petugas KTM dan polis bantuan yang telah awal-awal lagi ditugaskan menjaga keselamatan anak-anak ini sepanjang perjalanan berkeretapi ke Kluang. 3 koc diperuntukkan untuk anak-anak TPB dan TIB ini dan dalam setiap koc ada seorang polis bantuan yang cantik segak memakai pakaian seragam polis. Dek kerana masalah teknikal, keretapi lewat tiba dari Singapura dan anak-anak ini sabar menanti, sambil-sambil itu sempat berposing.


Group Taman Rinting

Group Taman Mawar 2

Murid-murid diberikan keistimewaan!

Group Tadika Inovasi Bestari


Anak-anak juga kagum dengan JB Central. Termasuk juga cikgunya hingga ada yang berkata, "Bangga jadi anak Johor ya, ingatkan kat KL aje ada macam ni". :). Tulah cikgu, kalau ada kesempatan, pergilah berjalan-jalan ya! Jauh berjalan, luas pemandangan, banyak pengetahuan.

Bila pengumuman keretapi datang, ada anak yang berkata kepada cikgu, "Macam kita kat airport aje, nak naik kapalterbanglah cikgu", Mungkin dah ada pengalaman naik kapalterbang. Yelah, anak-anak sekarang, dah biasa dengan perkara-perkara macam ini.

Bila keretapi dah sampai, ada yang berkata, "Cikgu, baru saya tahu, keretapi tak ada tayar". Cikgu tersenyum lebar kerana ini adalah pengetahuan baru bagi anak-anak, yang sebelum ini hanya melihat keretapi dalam gambar sahaja.
Dalam koc keretapi, mereka bersarapan burger benjo. Saya memang bekalkan makanan yang mengenyangkan kerana tahu anak-anak ini tak sempat untuk bersarapan. Kalau adapun ibubapa yang menyediakan sarapan di rumah, tak adanya nak dimakan kerana dah tak sabar nak berombongan. 
Sesampai di stesen Kluang, bas dah sedia menunggu untuk membawa anak-anak ini ke Gunung Lambak Eco-Resort.

Macam biasa, masih dalam barisan untuk mencari tempat landing untuk makan tengahari sambil ramai yang memerhati anak-anak ini.

Jom, cari tempat yangsesuai!

Yum, yum. nasi goreng cina dan ayam goreng sebagai juadah makan tengahari

Licinnnn! Alhamdulillah.

Badanku dah penat, perutku dah kenyang, matapun dah kuyu, alangkah bagusnya kalau dapat landing jap kat sini!
Dalam masa yang sama, sempat juga saya meninjau-ninjau persekitaran di sini.
Dewan serbaguna

Wakaf tempat berehat

Surau bagi yang ingin menjalankan kewajipan

Digunakan sekiranya ada sesuatu program
Waterpark dengan kenyamanan kehijauan hutan

Buat kenang-kenangan


Destinasi terakhir sebelum naik bas.
Akhirnya, saya merakamkan banyak-banyak terimaskasih kepada Encik Kamil, pegawai KTM yang memberikan pekhidmatan istimewa kepada anak-anak ini. Juga Pn.Siti Fadilah, polis bantuan yang menghantar anak-anak ini hingga naik bas di Stesen Kluang. Tidak lupa juga kepada Pn, Mas, petugas Gunung Lambak Eco-Resort. Insyaallah, Sabtu ini berjumpa lagi untuk kumpulan yang kedua pula.

GANGGUAN BEKALAN ELEKTRIK (TADIKA MAWAR SAHAJA)

Kepada :                                                                                      
Ibubapa /Penjaga/Pengendali pengangkutan                                                                                                        
Cawangan Taman Mawar 1 & 2  

Tuan / Puan

PER : NOTIS GANGGUAN BEKALAN ELEKTRIK

Adalah ingin dimaklumkan, tadika akan dicutikan bagi semua sesi pada 20 April 2010 ( Rabu)

2.  Ini adalah kerana pihak tadika menerima surat pekeliling daripada TNB ( No Rujukan : TNBD/SNM/100263) bertarikh 21 Mac 2011 seperti  berikut :

Tarikh gangguan            : 20 April 2011 (Rabu)
Sebab gangguan            : Selenggaraan Tahunan Pencawang TNBD Pasir Gudang melibatkan              alatsuis, alatubah, dan papan pembahagian.
Masa                             : 10.00 pagi hingga 7.00 malam
           
  Sekian, untuk makluman. Terima kasih.

          Yang benar,
   Hjh. Zainun Binti Mat Lazim
           Pengurus 

Friday, April 15, 2011

KETERUJAAN TERAMATNYA...

Situasi di kelas Cikgu Alin hari ini.
"Cikgu, esok kena datang awalkan?, tanya murid
"Ya, esok 6.30 pagi dah kena berkumpul kat tadika tau", kata Cikgu Alin mengingatkan.
"Cikgu, saya rasa tak nak balik rumahlah hari ni. Nak tidur kat tadika."
"Kenapa nak tidur kat tadika?, soal Cikgu Alin lagi
"Yelah, supaya esok tak lambat sampai tadika, kan kita nak naik keretapi" 

Gitulah keterujaan anak-anak nak naik keretapi. Akan ada yang tak lena tidur malam ini. Beginilah senario setiap tahun bila anak-anak ni nak gi lawatan. Apatah lagi tahun ni mencari pengalaman naik keretapi. Kalau naik kereta tu, tak kisah pun. Sama juga dengan guru-gurunya. Ada yang over excited. Pergi buat "lawatan tapak" lagi ke JB Central. Semua persiapan telahpun beres. Insyaallah, kumpulan pertama esok 140 murid dengan 26 orang guru pengiring akan memenuhi JB Central. Semoga selamat pergi dan balik.

KEPUTUSAN UJIAN 2

Mungkin ramai dari ibubapa yang dahpun meneliti keputusan ujian 2 yang telah diuploadkan sejak semalam.Kebanyakan cawangan, markah purata meningkat walaupun soalan sedikit sukar. Tapi alhamdulillah, anak-anak dapat menjawab dan faham apa yang dijawab. Worksheet mingguan banyak membantu anak-anak dalam menjawab soalan ujian. Mana yang ada merah-merah tu, kebanyakannya dah jadi hitam, Syabas, ada peningkatan. Syabas dan terima kasih juga kepada guru-guru yang bertungkus lumus mendidik  anak-anak ini. Semoga terus sukses. 

KHUTBAH JUMAAT

Hari ini hari Jumaat. Jadi untuk lelaki Muslim, kenalah mendengar khutbah Jumaat pada solat Jumaat tengahari nanti. Kat sini bukanlah saya nak berkhutbah pula tapi nak berkongsi cerita tentang Izuddin. (10 tahun). Anak istimewa (mengidap autistik) yang telah pergi mendengar khutbah Jumaat beberapa minggu sudah.
Kali kedua kami bertemu, kebetulan dia bersama ibunya menunggu adiknya balik dari tadika Taman Mawar.
"Still remember me?", sapa saya pada Izuddin. Izzudin seperti mengingati sesuatu.
"Cikgu Zainun, remember, we met before". Kata saya lagi supaya dia dapat recall siapa saya.
"Right, right!, kata Uzuddin mengiyakan.
Izudin diajar oleh ibubapanya menggunakan Bahasa Inggeris sebanyak mungkin kerana anak-anak istimewa menghidap autistik boleh berbahasa Inggeris lebih baik dari bahasa melayu.
"I heard that you went to solat Jumaat last week. Can you tell me about that", saya cuba mengorek sesuatu.
"Cikgu Zainun, zaman Jahiliyyah people kill girl children. Now, people kill girl dan boy children, I like zaman Jahiliyah, katanya penuh yakin.

Ya, kenyataan bertanda merah inilah yang memeningkan kepala ibu Izudin. Itu yang dapat Izudin buat rumusan ketika mendengar khutbah Jumaat, mungkin khutbah mengisahkan tentang permasalahan sosial kritikal yang berlaku sekarang, dimana isu-isu pembuangan bayi yang tidak dikehendaki hasil dari perbuatan zina. Lebih zalim dari zaman Jahiliyah yang menanam anak perempuan hidup-hidup kerana malu.
Ibunya pening lagi nak menjawab bila Izudin menanya, "Ummi, why arak haram? Ustaz said because ada poison ya? Anak-anak seperti Izudin rasa ingin tahu terlalu tinggi yang ibubapa susah nak menjawab persoalan yang kadang-kadang tak sangka keluar dari mulut mereka.

Dalam pertemuan singkat ini saya sempat memberikan buah fikiran kepada ibu Izuddin bagaimana nak menjawab permasalahan ini. Yang tentunya memerlukan pemahaman yang mendalam tentang pokok permasalahan iaitu akibat dari kerosakan sistem kapitalis yang ada sekarang ini dan tiadanya penerapan hukum syarak, di mana penyelesaian sekular diambil untuk menyelesaikan permasalahan kehidupan tanpa berpandukan kepada Al-Quran, Hadis, Qiyas dan Ijmak Sahabat.

Berkenaan dengan anak-anak istimewa ini, sebenarnya bergantung kepada kedua ibubapa bagaimana nak mencorak anak ini, dibantu oleh orang disekeliling samada para guru dan saudara mara. Sebab itu ibu Izudin sanggup bertukar kerjaya dari jurutera Titan kepada tenaga pengajar, semata-mata untuk anak dan bersyukur dengan keputusan yang dibuat itu.
Di TPB, dengan rekod  bacaan, pemerhatian secara berterusan kepada setiap murid, kami dapat mengenalpasti beberapa kes anak-anak istimewa seperti ini samada mereka mengidap ADHD, dislexsia ataupun autism. Jadi ibubapa dipanggil untuk berbincang dengan saya sendiri disamping beberapa langkah dicadangkan untuk mendapat rawatan dari pakar kanak-kanak. Insyaallah, saya akan cuba dapatkan beberapa info tentang penyakit anak-anak ini  dan satu sesi penerangan akan cuba diatur bagi memberi lebih pendedahan kepada semua ibubapa. 
Kepada ibubapa yang mempunyai anak istimewa, Allah akan memberikan ganjaran yang sebesar-besarnya diatas kesabaran tuan/puan dalam menghadapi situasi seperti ini. Ingatlah, setiap orang akan diberikan ujian dan setiap ujian itu tidak akan sama. Dan sesungguhnya, kesenangan hidup sebenarnya adalah ujian yang sentiasa kita lupakan. Fikir-fikirkanlah...

Thursday, April 14, 2011

JOM NAIK KERETAPI (2)

Saya mendapat makluman dari Encik Kamil (KTM) berkenaan dengan perubahan perjalanan keretapi dari JB Central ke Kluang. Awalnya saya dimaklumkan bahawa kami boleh menaiki keretapi ekspress yang akan bertolak jam 9.00 pagi.  Jadi aturcara yang dah diberikan pada ibubapa tu dah cantik dah..
Terkini, KTM tidak dapat menyediakan koc tambahan ekspress. Mereka hanya boleh dapatkan koc tambahan bagi perjalanan shuttle train yang agak awal bertolak dari JB Central iaitu jam 8.11 minit. Jadi sedikit perubahan bagi perjalanan iaitu anak-anak diminta berkumpul di tadika masing-masing jam 6.30 pagi dan bas ke JB Central akan mula bergerak jam 6.45 pagi. AWALNNYA.... Ya, memang agak awal kerana saya risaukan perjalanan Pasir Gudang ke JB Central yang tidak boleh dijangkakan kesesakannya. Nak melalui jalan Permas Jaya Bakar Batu, agak tidak sesuai kerana pembinaan jejantas sepanjang perjalanan itu.(kepada ibubapa yang pernah melewati jalan ini, taulah bagaimana keadaannya) Melalui Jalan Tebrau pulak banyak kenderaan dan trafic light.
So masa yang dijangkakan selama 1 jam tu, saya rasa 'just nice'. Lagipun perjalanan dalam kumpulan yang ramai ini (150 orang murid) memerlukan persediaan yang rapi dari segi fizikal dan mental. 
Menurut En. Kamil, insyaallah, rombongan TPB / TIB ini akan diiringi dengan polis bantuan hingga ke stesyen Kluang.
Makluman tentang pindaan aturcara "JOM NAIK KERETAPI" akan diedarkan kepada anak-anak yang menyertai pada hari ini, beserta dengan nama guru pengiring dan rakan sekumpulan. Jadi saya mengharapkan agar ibubapa tidak ada yang terlambat. Dan sudah pastinya anak-anak tak lena tidur sebab nak naik keretapi! Seronok gitu!!

MASIH ADA PELUANG LAGI.
Terdapat 10 kekosongan tempat bagi lawatan untuk cawangan Taman Mawar. Kepada sesiapa yang berminat samada abang @ kakak yang nak menyertai lawatan ini, sila berhubung dengan Cikgu Suhaila  (07-2517670) secepat mungkin. Cepat, sapa cepat, dia dapat.

Tuesday, April 12, 2011

SELAMAT BERANGKAT

Selamat berangkat ke Tanah suci bagi mengerjakan umrah kepada 2 gurubesar saya, iaitu Pn. Norafizah (TM1) & Cik Asmira (TM2). Mereka akan ke sana pada malam esok jam 8.20 malam dengan menaiki pesawat Gulf Air. Dan petang esok terus aje dari Senai ke KLIA dengan MAS agar tak penat dalam perjalanan.
Alhamdulillah, ini tahun ke-4 Tadika Pintar Bistari menghantar guru-guru mengerjakan umrah. Sebelumnya adalah:
2007 ~ Cikgu Suhaila & Cikgu Norhapipah
2008 ~ Cikgu Norifah & Cikgu Shawariah
2010 ~ Cikgu Noorhasiah dan Cikgu Norhafizah Abdullah
Tahun ini saya menggunakan khidmat Andalusia Travels & Tours. 13hari / 11 malam yang biayanya sebanyak RM4590 seorang. Kalau ok, tahun depan boleh gunakan lagi khidmatnya. Ikutkan schedule, mereka akan transit di Bahrain dan menginap semalaman di sana sebelum menyambung perjalanan ke Jeddah dan seterusnya ke Madinah.
Alhamdulillah sempat juga saya briefing mereka semalam agar mereka lebih jelas pergerakan dan perjalanan di Madinah dan Mekah. Pesan saya pada mereka, bukan aje memperbanyakkan ibadah di sana tetapi dengan membaca buku tentang sejarah Madinah dan Mekah agar kita betul-betul dapat merasai keberadaan di sana, dibumi yang menerima ajaran Islam yang pertama. Juga agar kita menjiwai bagaimana susahnya Rasullullah dan para sahabat cuba menyebarkan Islam. Kalau tidak dengan usaha mereka, tiadalah kita mengenal apa itu Islam.
Semoga mereka selamat pergi dan balik dan dikurniakan umrah yang mabrur. Insyaallah
(Terasa macam saya pulak yang nak pergi. Terbayang-bayang kedua-dua tempat suci tu)

BANTUAN YURAN NKRA 2011 (2)

Walaupun permohonan untuk bantuan yuran ni dah lama tutup, tapi masih ada yang menanyakannya lagi. Semuanya telah diserahkan ke Kementerian dan tunggu ajelah jawapannya samada tahun ni dapat bantuan atau tidak. Saya menyangkakan tahun ini kurang sikit permohonannya tetapi sangkaan saya meleset kerana rupanya tahun ini makin bertambah. Setelah diproses data, inilah angka permohonan yang telah dihantar ke Kementerian.
Tmn. Mawar (1) ~ 46
Tmn. Mawar (2) ~ 25
Tmn. Rinting ~ 29
Tmn.Kota Masai (1) ~ 101
Tmn. Kota Masai (2) ~ 65
Tmn. Scientex (1) ~ 63
Tmn. Scientex (2) ~ 56
Inovasi Bestari ~ 2 sahaja

Menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 387 permohonan.Dan Taman Kota Masai mendahului angka permohonan.

Ada yang menanyakan saya, 
"Cikgu, dengar cerita tahun ini dapat bantuan setahun ya?" Saya: "No komen"
"Cikgu, bantuan ni untuk pancing undi PRU 14 ya? " Saya: "Apa-ape ajelah"
"Cikgu, bila boleh dapat bantuan ni?" Saya: "Doalah lebih-lebih sikit" :)

Friday, April 8, 2011

MAJLIS ILMU

Jom kita ke majlis ilmu pada hujung minggu ini. Berikut adalah perinciannya. 

MINI SEMINAR "NASIBMU WANITA: DIMANAKAH BAHAGIANYA?"

Tarikh: 10 APRIL 2011 (AHAD)
Masa: 8.30 pagi - 12.30 tghr
Tempat: Khilafah Centre, No 20-01, Jalan Putra 1, Taman Sri Putra,
81200 Johor Bahru
Tel: 012-7708229 (Pn Khalida)
Tel: 019-7690545 (Pn Amal)
Muslimah (sahaja) Dijemput Hadir
Masuk adalah percuma

Anjuran Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia dengan kerjasama Khilafah Center

Wednesday, March 30, 2011

ANAK HARIMAU MASUK TADIKA

Dalam blog lama saya pernah buat post tentang biri-biri masuk tadika. Tapi hari ni saya nak cerita pasal anak harimau pulak masuk tadika.
Sebenarnya TPB dan TIB menerima kunjungan dari KODOMO LION dalam program kesihatan gigi bermula dari Khamis lepas hinggalah ke hari ini, dan yang terakhir di cawangan Taman Kota Masai. Program bersama kakak-kakak penglipurlara selama 45 minit ini bukan aje menarik minat kanak-kanak tapi juga cikgu-cikgu. Antaranya story telling tentang Sofia, demontrasi memberus gigi dan kuiz ringkas. Di akhirnya, anak-anak diberikan sampel berus gigi, ubat gigi dan kad jadual waktu. Nak tahu pasal kisah Sofia, suruhlah anak-anak bercerita di rumah pula. Jom kita lihat gambar-gambar sewaktu program tu.

Di TS (1) pada Khamis lepas

Khusyuk sekali
Di TS (2)

Ini dia Sofia dan kawan-kawannya
Di Taman Mawar (1 & 2)

Cik Zeha menunjukkan cara memberus gigi yang betul

Cikgu pun khusyuk mendengar cerita pasal Sofia

Kuiz ringkas selepas mendengar cerita

Ini dia cenderamata pemenang kuiz
Di Tadika Inovasi Bestari

Giliran Cik Leha pula bercerita

Interaksi 2 hala
Wakil Kodomo Lion menerima cenderahati payung tadika dari Pn. Suhaila dan Pn. Shawariah

Monday, March 28, 2011

JOM NAIK KERETAPI (1)

Semenjak akhir bulan lepas, saya dok terfikir, mana nak bawa anak-anak K2 pergi lawatan tahun ini. Kalau ikutkan giliran, tahun ini TPB akan buat lawatan sekitar johor Bahru aje. Pergi zoo (yang binatangnya tak berapa nak sihat) atau melawat Muzium Sultan Abu Bakar ataupun ke Hutan Bandar.  
Apa kata tahun ini buat kelainan? Ya, jom kita naik keretapi tetapi ada masalah sikit kerana jumlah murid yang ramai untuk mengikuti pengalaman ini sekaligus adalah tidak digalakkan kerana kekurangan koc. Seperti tahun yang lepas-lepas, jumlah murid yang akan mengikuti lawatan melebihi 300 orang dengan 6 buah bas. Tapi disebabkan TPB ada ramai guru, jadi seorang guru pengiring akan mengawal 5 orang murid sahaja. 
Bagi memberikan pengalaman baru kepada anak-anak ini, maka keputusan telah diambil untuk membawa mereka menaiki keretapi. Mungkin ramai dari anak-anak ini yang tidak pernah naik keretapi. Sama juga dengan guru-gurunya (saya terkecuali)
Lawatan ini akan dibahagi kepada 2 tarikh yang berlainan. Pada 16 April cawangan TM,TR dan TIB yang akan pergi dulu mannakala pada 23 April cawangan TS (1 &2) dan TKM (1 & 2) pula yang akan menyusul.
Perjalanan dari JB Central ke Kluang dengan keretapi ekspress mungkin akan mengambil masa selama 1 jam. Kemudian mereka akan dibawa berkelah dan berekreasi di Gunung Lambak Eco-resort. 
Makluman tentang lawatan ini telah diedarkan kepada semua murid K2 di semua cawangan. Jadi sapa cepat, dia dapat pergi sebab tempat terhad  dan tarikh tutup tak lama lagi.

30 Mac 2011

Pagi semalam saya berjumpa Encik Ismail dari KTM untuk menyerahkan surat lawatan dan perbincangan seterusnya mengenai lawatan tersebut. Sempat juga saya merakamkan beberapa keping gambar di situ.

Kaunter tiket KTM

Moden dan selesa

Samaada menggunakan eskalator atau tangga

Pemandangan luar menuju ke KTM JB Central

Pembinaan masih giat dijalankan

Bangunan Komtar yang berjiran dengan bangunan JB Central 

City Square
Berikut ini saya sertakan juga link ke Gunung Lambak Eko-resort bagi ibubapa yang ingin mendapatkan info tentang tempat tu. manalah tau, kot-kot nak spend masa bersama famili pada hujung minggu kerana banyak juga tarikan di sana.  Antaranya adalah air terjun, jambatan gantung dan water park (Bayaran masuk RM5 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak)

Friday, March 25, 2011

BANTUAN YURAN NKRA 2011

Isnin lepas, anak-anak telah diberikan borang ini dan Rabu lepas telah dikutip semula. Dan sekarang ini kami dalam proses untuk memasukkan data sebelum dihantar ke Kementerian awal minggu depan.  Tahun ini syaratnya lebih ketat kerana ibubapa yang memohon perlu untuk menyertakan penyata gaji @ borang J bersama-sama borang. Ada rasionalnya dibuat syarat begitu jika dibandingkan dengan tahun lepas.
Dari pemerhatian yang dibuat oleh kementerian tahun lepas sewaktu penyerahan bantuan secara keseluruhannya di semua tempat, ada yang sebenarnya tidak layak menerima bantuan tetapi menerima dan ada yang sebenarnya layak menerima tetapi tidak menerima. Jadi untuk tahun ini, bagi mengelakkkan kejadian yang sama berulang, maka syaratnya diperketatkan. Walaupun begitu, masih ada yang mempertikaikannya. Bila dikenakan syarat sebegini, permohonan bantuan pada tahun ini berkurangan. Jumlah sebenar permohonan masih belum saya perolehi tapi ada juga yang menghantar borang tidak mengikut syarat yang diberikan. Antaranya, tiada cop majikan, jumlah pendapatan kasar dimasukkan sebagai jumlah pendapatan bersih dan ada yang memberikan kenyataan palsu, isteri bekerja tetapi dinyakan tidak bekerja. Anyhow, borang akan tetap diproses dan bergantung kepada pembuat keputusan yang bukannya saya.
Mana tahu, untung sabut timbul.....

TAHNIAH UNTUK SEMUA!

Semalam keputusan SPM telah diumumkan. Bermakna telah hilang debaran di dada anak-anak yang mengambil peperiksaan ini. Keputusan memuaskan atau sebaliknya, bergantung kepada tuan punya diri. Pokok pangkalnya bermula dari usaha yang berterusan, tawakal dan redha dengan keputusan yang keluar. Sekiranya telah berusaha tetapi masih juga tidak mendapat apa yang diidamkan, mungkin ada hikmah yang tersembunyi dan perlu dicari jawapannnya.
Saya teringat anak-anak didik dari Sekolah Rendah Islam Pintar Bistari dulu dan Tadika Pintar Bistari yang baru mendapat keputusan SPM semalam. Macamana agaknya keputusan mereka. Antaranya Izzul Fakri (anak tokey Restoran Zuraimi), Aisyah Amira, Afiq  anak En. Salim (SRF), Wan Saifudin (anak Dr. Wan), Syahmi, Izzati dan beberapa nama lain yang tak berapa nak ingat tapi terbayang wajah-wajah mereka.

Di bawah ini bukan keputusan SPM tapi keputusan PMR Nini tahun lepas, sehari sebelum anniversary ibu abah. Pada hari keputusan keluar, diumumkan keputusan secara keseluruhan oleh guru besar dan sijil ini yang di bawa balik kerumah. Alhamdulillah, berkat usahanya, inilah yang dia dapat.

Pada 12 Februari 2011, pelajar-pelajar cemerlang dari sekolah-sekolah menengah di Pasir Gudang dijemput menerima hadiah dalam satu program iaitu Program Juara Pendidikan Rakyat.

Di Stadium Perbadanan Pasir Gudang



















Kerana tuanpunya diri dah berada di Indonesia, sayalah menjadi wakil menerima sijil. 

Dan juga 2 keping RM50.00. Rezeki untuknya!

Thursday, March 17, 2011

ANAK-ANAK MASIH BERCUTI...KAMI BERAKTIVITI...

Bermula Sabtu lepas sehingga Ahad ini, anak-anak bercuti pertengahan semester 1. Banyak rancangan yang telah dirancang sepanjang cuti ini untuk anak-anak bagi mengelakkan keboringan. Kalau tak pun, mungkin dihantar ke kampung menemani atuk nenek yang mungkinnya tinggal berdua sahaja ketika ini, bila masing-masing anak-anak besar panjang, berkeluarga dan berkarier sendiri. Atau mungkin aje anak-anak dihantar ke perpustakaan bagi menggalakkan mereka membaca dan memanafaatkan bahan bacaan di perpustakaan. Atau mungkin aje ibubapa bawa anak-anak makan angin @ cuti-cuti Malaysia kerana banyak tempat-tempat menarik yang terdapat di Malaysia ini. Yang penting pulusnya saja..
Atau mungkin ada yang membawa anak-anak ke luar negara bercuti. Yelah, sekarang ni nak naik kapalterbang dah semakin mudah dan murah dengan Air Asia, bila saja ada promosi tiket, ditempah awal dan kadang-kadang melawat keluar negara lebih murah dibandingkan dengan melancong di dalam negeri sendiri. Sebagai contoh, Sabtu lepas kami berempat ke Jakarta. Pergi menaiki MAS dengan tambang RM234 seorang dan balik ke KL dengan Air Asia yang tambangnya cuma RM77 seorang sahaja. Murahkan! Tapi yang penting perlu ditempah awal.
Sejak kelmarin (Rabu) guru-guru dah memulakan aktiviti di Taman Mawar dengan aktiviti kemuncak tahunan iaitu  Qiamullai yang akan dibuat pada hari Jumaat malam Sabtu nanti Sepanjang 4 hari berkampung, banyak aktiviti telah dijadualkan dan pemantapan dari segi teknik pengajaran dan pembelajaran banyak didedahkan kepada para guru, terutamanya kepada guru baru. Beginilah cara pihak pengurusan TPB/TIB lakukan agar kualiti pembelajaran dapat dikekalkan walaupun guru silih berganti. 
Hari Khamis sebelum bercuti, murid-murid yang memesan set creative sticker telah mendapat set masing-masing. Rasa-rasanya kalau dah dibuat aktiviti tu, dah siap pun ya. Namun ada yang terkilan bila tidak memesan awal, stok dah kehabisan. Sebenarnya saya memang ada melebihkan tempahan kerana kebiasaannya ada yang memesan selepas itu tapi bila diagih-agihkan ke cawangan, masih tidak mencukupi. Sekejap aje dah habis.
Namun begitu, banyak lagi aktiviti lain yang boleh diberikan kepada anak-anak ini. Yang penting ibu abah perlu kreatif mencari samada di kedai-kedai buku ataupun internet. Selamat bereksplorasi!

Di bawah ini sebahagian gambar sewaktu di Jakarta Sabtu ~ Isnin lepas. Kami sempat ke Taman Safari Indonesia. Sungguh menyeronokkan buat anak-anak!
Seorang adik manis tampil untuk membuat persembahan bersama burung helang!
Nah! seekor burung helang hinggap di tangan adik manis!
Taman Safari Indonesia ~ lets have fun!

Thursday, March 3, 2011

JEMPUTAN KE PERTANDINGAN MEWARNA

Bersempena majlis perasmian pam minyak Esso, Taman Bukit Dahlia (berdekatan Taman Cendana), anak-anak Tadika Pintar Bistari dijemput ke pertandingan tersebut. 
  • Tarikh: 05 Mac 2011 (Sabtu)
  • Waktu: 8.30 pagi  (pendaftaran), 9 ~ 10 pagi. (mewarna)
  • Kategori 1 (5 tahun ke bawah)
  • Kategori 2 (6 ~ 8 tahun)

Para peserta digalakkan membawa alatan sendiri seperti pensel warna, crayon, meja mewarna dan sebagainya yang dirasakan sesuai untuk pertandingan mewarna ini.
Di samping pertandingan ini, terdapat juga pameran-pameran lain.
Disebabkan para guru bekerja pada hari tersebut, jadi kami tidak dapat mengiringi mereka. Anak-anak bolehlah pergi dengan ibubapa masing-masing.
Sebarang pertanyaan, sila berhubung dengan En. Wahab (019-2279282)