Friday, June 15, 2012

JOM JAGA GIGI

Pagi tadi di TM1 dan TM2, anak-anak sesi pagi berpeluang mendengar taklimat dari misi gigi berkenaan cara-cara penjagaan gigi dan memberus gigi yang betul. Pastinya mereka teruja dan ada juga yang takut apatah lagi kalau yang rongak tu. Kalau memerlukan rawatan, pergi aje ke Klinik Gigi, Poliklinik Pasir Gudang untuk pemeriksaan lanjut. Dan kebiasaan yang saya lakukan kepada anak-anak, setiap kali musim cuti sekolah pertengahan dan akhir tahun (6 bulan sekali), lawatan dan rawatan ke klinik gigi pastinya ada. Ini bagi membiasakan mereka merawat gigi. Jangan sampai dah sakit, baru nak dapatkan rawatan. Nanti dah terlambat dan gigi tak dapat diselamatkan lagi.

Apa-apa hal, jom kita layan gambar di bawah ini...

Pemeriksaan secara individu

Cara-cara memberus gigi yang betul



Tahniah! Cantiknya gigi




AGENDA SEMESTER 2

Semoga Jumaat ini memberikan seribu keberkatan kepada kita semua. Selamat bersiaran kembali setelah sekian lama blog ini tidak diupdate kerana kondisi saya yang tidak mengizinkan.
Dah pun hari Jumaat ya. Bermakna anak-anak TPB dahpun 5 hari memulakan semester baru ini setelah 2 minggu bercuti. Dan kebiasaannya dalam semester 2 ini, terasa masa terlalu cepat berlalu kerana banyak aktiviti-aktitviti luar yang akan dijalankan terutamanya kepada anak-anak K2. 

Semalam di TS1 dan TS2, misi gigi ke tadika untuk pemeriksaan gigi anak-anak sesi pagi dan hari ini mereka ke Taman Mawar 1 dan 2 pula. 


  
Dan bermula minggu depan, sesi bergambar untuk K1 (gambar kelas) dan K2 (gambar kelas dan individu) akan diadakan. Sila rujuk surat makluman Jun untuk tarikh-tarikh bergambar di setiap cawangan agar anak-anak tidak memakai baju senaman sewaktu sesi bergambar tersebut. 


Dan dalam semester 2 ini ada dua pertandingan akan dijalankan. Pada 15 Julai Pertandingan Ujiminda dan Bercerita akan diadakan. Pertandingan Ujiminda hanya untuk anak-anak K1 dan Bercerita terbuka kepada semua murid. Jadi inilah masanya untuk anak-anak Pintar Bistari menunjukkan bakat bercerita masing-masing. 




Menyusul pada 23 September nanti, Pertandingan sempoa akan diadakan dan pada tahun ini kami bercadang untuk mengadakan Pertandingan Sempoa Peringkat Ibubapa. Jadi kepada semua ibubapa yang berminat untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ini, amat-amatlah dialu-alukan. Dan nampak gayanya dah kena mula praktis sempoa mulai dari sekarang ini. Saya pun taklah risau sangat sebab ramai ibubapa yang dah mahir menggunakan sempoa. Apatah lagi yang dah datang berkursus seperti mereka-mereka di bawah ini.



Inilah sedikit sebanyak agenda di semester 2 agar semua ibubapa dapat sama-sama maklum. Jangan risau, dalam surat makluman bulanan, akan diperincikan lagi. Dan kami, tenaga kerja Pintar Bistari, insyaallah akan menjalankan amanah yang diberikan sebaik mungkin. Cuma kami mengharapkan sedikit perhatian dan bantuan dari ibubapa terhadap anak-anak mereka di rumah agar prestasi anak-anak di semester 2 ini lebih terserlah.   

Monday, May 28, 2012

Thursday, May 24, 2012

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SEM. 1 (2012)

Wah! Ramai ibubapa yang menunggu dalam debaran. Nak tahu dan lihat keputusan exam anak masing-masing. 
Seperti yang telah dimaklumkan dalam website tadika, keputusan dapat dilihat pada 25 Mei 2012 (Jumaat)
Sila ikut arahan berikut:

Klik Ikon E-Waris ( Laman Utama ) -> Klik Login -> Pilih cawangan & Masukkan No. K/P (ibu atau bapa) -> Klik masuk -> Klik laporan akademik (Ikon di bahagian atas) ->Pilih Peperiksaan Semester 1 -> Klik Ikon Print Slip.

Kalau ada kemudahan printer kat rumah, dah boleh cetak keputusan sekali. Tetapi, maaflah, tiada dinyatakan kedudukan di dalam kelas dalam slip tersebut. Kalau nak tahu kedudukan dalam kelas, kenalah datang jumpa cikgu sewaktu hari terbuka nanti pada 6 & 7 Jun. Kami cuma akan masukkan gambar TOP 3 tetapi masih dalam pembikinan dan berpeluh-peluh orang yang diberi tanggungjawab tu. Kesian!

 

TAHNIAH UNTUK BAKAL MURID KELAS BISTARI

TAHNIAH sekali lagi.
Ada di antara ibubapa yang sudah menjawab dan menerima jemputan ke sesi penerangan kelas bistari yang akan diadakan di Hotel Selesa Ahad ini. Untuk pengetahuan, walaupun keputusan peperiksaan akan dikeluarkan pada esok, 25 Mei tapi pemilihan murid untuk kelas bistari telah dibuat terlebih awal dengan mengambil kira kriteria-kriteria berikut.
 
a)    Melepasi buku 6 ‘ Bacalah Anakku’.
b)    Penilaian Khas ( Huruf A ~ Z dan Nombor )
c)    Kerjarumah / worksheet disiapkan dalam waktu yang ditetapkan.
d) Memberi tindakbalas yang memberangsangkan sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran.

Sekiranya ada ibubapa yang anak mereka terpilih tapi masih ragu-ragu samada nak masukkan anak ke kelas bistari @ tidak, datanglah dulu ke sesi penerangan ini dan barulah buat keputusan kemudian. Sebab dalam taklimat tersebut, akan diterangkan kelebihan kelas bistari dan cabaran-cabarannya. Siapkan soalan-soalan yang rasa nak tanya tu, insyaallah, kami akan menjawab.
Juga akan diadakan teknik pengajaran sempoa yang akan membuatkan ibubapa "pening-pening lalat" seketika. Jangan lupa bawa sempoa sekali. Kalau tak ada, kami akan sediakan dan bolehlah dibeli di sana.  Insyaallah, kita jumpa di Hotel Selesa.     

KOLEKSI GAMBAR 2011

"Pening-pening lalat"
Penuh bersemangat cikgu kita ni...

  

 

TEMAN CUTI SEKOLAH

Jarang-jarang 'direct line' saya berbunyi melainkan panggilan yang dibuat oleh guru-guru saya sahaja. Tapi kekadang ada yang tersesat. 

"Dik, akak nak tanya, dah boleh beli buku ya?. Wah, saya dipangil adik oleh parent tersebut! Terasa muda 10 tahun walaupun tak sampai 24 jam mendatang, umur saya dah mencecah 45 tahun. Kelapa tua, banyak santan, makin berisi......makin sarat menunggu hari....
"Jualan buku pada 6 dan 7 Jun nanti puan, sekarang ni belum lagi", terang saya ringkas.
"Kenapa anak akak kata, kawan dia dah beli buku?, tanya ibu tersebut minta kepastian.
Baru saya teringat, buku yang dimaksudkan adalah buku ini.

TEMAN CUTI SEKOLAH

Untuk K1

Untuk K2
Ini adalah buku aktiviti untuk cuti sekolah yang akan muncul beberapa hari lagi. Sudah pihak kami edarkan pada Rabu lepas setelah mengambil kira kot-kot ada anak murid yang membeli buku ini dan bercuti awal. Makluman tentang pembelian buku ini telah dimasukkan dalam surat makluman Mei lepas. Jadi yang dah dapat itu adalah yang membuat pesanan awal. Namun begitu, saya ada lebihkan kuantiti pesanan, jadi jika ada ibubapa yang terlepas pandang dan belum memesan buku ini, bolehlah bertanyakan Gurubesar cawangan masing-masing tentang Teman Cuti Sekolah ini.  5 in 1 dengan harga RM6.00 senaskhah. 
Semoga masa anak terisi dengan TEMAN CUTI SEKOLAH ini. Sambil-sambil tu, bolehlah ibubapa jadi cikgu tolong memeriksa buku tersebut dan kreatifkan diri dengan menampal stiker motivasi agar anak-anak teruja dengan cikgu di rumah. 
  

Friday, April 27, 2012

SELAMAT BERANGKAT

26-04-2012

Semalam, 2 guru saya, Cikgu Qaidah (TKM1) dan Cikgu Madinah (TS1) telah berangkat menunaikan umrah selama lebih kurang 2 minggu di sana. Kami guru-guru semua mendoakan agar mereka berdua dikurniakan umrah yang maqbullah dan kesihatan yang baik sepanjang berada di sana. Almaklumlah, cuaca di sana sekarang ini agak panas dan sudah tentunya berhabuk kerana kalau di Mekah tu, banyak hotel diruntuhkan dan dibangunkan semula hotel yang baru dah menjadi pemandangan yang biasa. Syukur, muda-muda lagi dah dapat mengerjakan umrah. Itu namanya rezeki.
Sama seperti tahun lepas, pada tahun ini juga, saya menggunakan khidmat Andalusia Travels & Tours untuk menghantar cikgu-cikgu mengerjakan umrah. Pakej 13H / 11M dengan harga RM4690.00 seorang. Semasa pergi, mereka akan transit di Muscat, Oman dan balik nanti dapatlah peluang untuk bermalam di Muscat  selama 1 malam lagi. Alhamdulillah, dapat lagi tengok tempat orang. 

Bila mengingatkan Madinah Al-Munawarrah dan Mekah Al-Mukarramah, terbayang-bayang saja persekitaran di sana dan Kaabah seolah-olah melambai menyurah datang. Insyaaallah, ada rezeki, kami akan menyusul.


Monday, April 23, 2012

LAWATAN KE TROPICAL VILLAGE

Beg cenderahati

Alhamdulillah, selesai sudah lawatan anak-anak K2 ke Tropical Village, Air Hitam pada Sabtu lepas. Kesemua murid seramai 223 orang dan guru pengiring seramai 65 orang, happening gitu mereka berkonvoi dengan 5 buah bas ke Air Hitam pada hari tersebut.

Masing-masing teruja nak berlawatan sampaikan jam 6.30 pagi dah ada yang menunggu di tadika, walaupun masa berkumpulnya adalah 7.15 pagi. Bukannya apa, takut ditinggalkan bas....Saya juga agak bimbang kerana cuaca mendung aje pagi tu. Minta-minta janganlah hujan. Kesian anak-anak nak beriadah di Tropical Village.

Cikgu-cikgu juga teruja sama. Sehari sebelum, masing-masing bergotong-royong menyiapkan bekalan untuk anak-anak seperti makanan, minuman dan cenderahati. Sambil-sambil tu sempat juga berposing..





 Sewaktu saya dan Cikgu Tamizi sampai ke Taman Mawar pagi tu, anak-anak ni dah bersiap sedia untuk menaiki bas. Namun begitu, masih ada juga yang terlewat. Cikgu telefon pun tak angkat, macamana ni....



Berdoa sebelum menaiki bas

Beratur sebelum menaiki bas dengan beg masing-masing

Ibu ayah berat hati melepaskan anak-anak pergi.

Alhamdulillah, dapat bas yang selesa. Seronoknya nak naik bas!
Saya tidak ikut sama menaiki bas kerana perlu membawa makanan tengahari mereka. Saya dan Cikgu Tamizi menyusul kemudian. 

Makanan guru

Makanan murid
 Dan sewaktu kami sampai di Tropical Village jam 11 pagi, anak-anak ini sedang menunggu giliran menaiki keretapi. Tak dapat naik keretapi ke Gunung Lambak, naik keretapi kat sini pun, alhamdulillah...



Seronok!!!!

Ada yang 2 pusingan, ada yang 3 pusingan. Rezeki masing-masing.

TIB menunggu giliran. Warna baju cikgu dan anak murid sedondong...


 Ada juga ibubapa termasuk nenek atuk yang sama-sama menyertai lawatan ini. Saja nak beri sokongan sambil beriadah. Sambil-sambil tu, jom kita tengok keletah anak-anak ni...

Wah! sempat mereka bersampan rupanya...

Berpimpinan tangan menuju replika yang ada di atas bukit sana tu..

Bergambar kenangan di depan replika Menara Berkembar Petronas
 Ada juga yang masih menunggu giliran menaiki keretapi

Cikgu Siti, "Lambat pulaklah keretapi ni....

Cikgu Mardhiah, "Kak Siti, sabar tau. Tunggu giliran masing-masing"
Selesai beriadah, mereka menjamu selera, nasi goreng cina dan ayam goreng sebagai makan tengahari.

Group TKM2

Sayang cikgu pada anak murid. "Mari sini cikgu kopekkan ayam tu!"

Group Taman Mawar

Group Taman Scientex 2
Alhamdulillah, hujan sebentar aje semasa dalam perjalanan. Jadi sewaktu di Tropical Village, mereka tidaklah kepanasan sangat. Namun begitu ada yang berpeluh-peluh. Mujur ada tuala cenderahati...dapatlah mengelap peluh tu...

Sebelum anak-anak ni pulang ke Pasir Gudang, mereka dibawa membeli cenderahati lagi di Air Hitam. Dengar khabar, ramai yang membeli bantal Angry Bird. Dapatlah dibuat alas tidur dalam bas kerana masing-masing dah kepenatan. 

KESIAN CIKGU
Alhamdulillah, lawatan berakhir seperti yang dirancang. Masing-masing sampai di tadika jam 3.00 petang seperti yang dijadualkan. Tapi kesian cikgu, ada ibubapa yang datang mengambil lewat. Di Taman Rinting, pukul 4.30 baru cikgu dapat balik. Itupun kena hantar anak murid ke Jalan Bayu. Sepatutnya tidak berlaku perkara sebegini kerana ibubapa perlu mengambil anak-anak mereka di tadika. Kalau tak dapat, kenalah cari alternatif lain menyelesaikan masalah ini.
Di Taman Scientex 1, anak terpaksa dibawa balik ke rumah sewa guru dan jam 4.30 petang, barulah ibubapa datang mengambil di situ. Kesian cikgu..... 


Monday, April 2, 2012

APRIL MEMBUKA TIRAI

Alhamdulillah, kita masih bernafas sehingga saat ini sehingga dapat melihat keindahan ciptaan Allah walaupun cuaca semenjak akhir-akhir ini tidak menentu dan ramai di antara anak-anak kita yang tidak sihat. Demam, selsema dan batuk itu adalah sakit yang biasa. Dengan itu, ibubapa beralih dari satu klinik ke satu klinik untuk mendapatkan ubat yang terbaik untuk anak-anak agar cepat sembuh seperti biasa. Biasanya ramai ibu-ibu berkata, biar ibu yang sakit, jangan anak yang sakit. Kalau anak yang sakit, ibu pun terasa sama sakitnya.
Alhamdulillah, saya diberikan rezeki kesihatan yang baik. Itulah kurniaan Allah yang tiada taranya. Anak-anak yang demam, saya ada petua sendiri. 
Dah lama kami tidak berkunjung ke klinik mengambil ubat demam dan antibiotik. Bila anak-anak demam, saya berikan madu 3 jam sekali menggantikan ubat demam dan antibiotik. Saya membeli madu Khaula yang saya rasakan serasi. Berikan air masak secukupnya dan basahkan badan dan kepala dengan tuala basah. Insyaallah, 3 hari dah sihat seperti biasa. Agak memakan masa bagi sesetengah orang tapi bagi saya, sekurang-kurangnya saya tidak memasukkan ubat-ubatan moden dalam badan anak-anak. Insyaallah, makanan sunnah seperti madu, habbat, kurma dan kismis, jika diamalkan mendatangkan khasiat yang bukan sedikit untuk badan kita. 


Sepanjang April ini, banyak aktiviti di tadika selain renang yang sentiasa dinanti-nantikan oleh anak-anak. Lawatan anak-anak dengan KTM ke Gunung Lambak yang dibatalkan saya gantikan dengan lawatan ke Tropical Village di Air Hitam. Sepatutnya tahun ini giliran lawatan sekitaran Johor Bahru seperti Muzium Sultan Abu Bakar dan Zoo Johor tapi kedua-dua tempat ini ditutup. Muzium ditutup sehingga tahun depan untuk penambahbaikan sementara Zoo Johor pula ditutup untuk pembersihan. Menurut pegawai bertugas selama 2 minggu dan akan dibuka bila mendapat perkenan Sultan.
Nak juga ke Petrosains Playsmart Johor tapi dengan jumlah murid yang ramai, mereka tidak sanggup untuk menerima kunjungan kami. Lagipun kebetulan tarikh yang dipilih bertembung pula dengan program mereka yang lain, jadi cadangan lawatan ke situ saya terpaksa tundakan ke tahun depan. Surat lawatan ke Tropical Village telahpun diedarkan minggu lepas dan tarikh tutupnya 4 April (Rabu) nanti. Anak-anak teruja nak pergi sebab dapat naik bas yang jarang-jarang mereka dapat pengalaman sebegitu.      

Marina yang tidak jauh dari Pantai Kok, Langkawi
Seminggu selepas murid berlawatan, guru-guru pula berlawatan ke Pulau Langkawi. Wah! seronoknya dapat berjalan. Dan insyaallah pada 26 April, 2 guru saya (Cikgu Madinah TS1 dan Cikgu Qaidah TKM1) akan berangkat ke Tanah Suci menunaikan umrah. Semoga mereka sihat di sana dan dapat menjalankan ibadah dengan sempurna. Dan mudah-mudahan Allah memberikan rezeki kepada saya dan suami agar tahun-tahun mendatangpun kami dapat menghantar guru-guru mengerjakan umrah. Aminnn.
Masjid Nabawi

Kenangan Haji 2009