Monday, April 2, 2012

APRIL MEMBUKA TIRAI

Alhamdulillah, kita masih bernafas sehingga saat ini sehingga dapat melihat keindahan ciptaan Allah walaupun cuaca semenjak akhir-akhir ini tidak menentu dan ramai di antara anak-anak kita yang tidak sihat. Demam, selsema dan batuk itu adalah sakit yang biasa. Dengan itu, ibubapa beralih dari satu klinik ke satu klinik untuk mendapatkan ubat yang terbaik untuk anak-anak agar cepat sembuh seperti biasa. Biasanya ramai ibu-ibu berkata, biar ibu yang sakit, jangan anak yang sakit. Kalau anak yang sakit, ibu pun terasa sama sakitnya.
Alhamdulillah, saya diberikan rezeki kesihatan yang baik. Itulah kurniaan Allah yang tiada taranya. Anak-anak yang demam, saya ada petua sendiri. 
Dah lama kami tidak berkunjung ke klinik mengambil ubat demam dan antibiotik. Bila anak-anak demam, saya berikan madu 3 jam sekali menggantikan ubat demam dan antibiotik. Saya membeli madu Khaula yang saya rasakan serasi. Berikan air masak secukupnya dan basahkan badan dan kepala dengan tuala basah. Insyaallah, 3 hari dah sihat seperti biasa. Agak memakan masa bagi sesetengah orang tapi bagi saya, sekurang-kurangnya saya tidak memasukkan ubat-ubatan moden dalam badan anak-anak. Insyaallah, makanan sunnah seperti madu, habbat, kurma dan kismis, jika diamalkan mendatangkan khasiat yang bukan sedikit untuk badan kita. 


Sepanjang April ini, banyak aktiviti di tadika selain renang yang sentiasa dinanti-nantikan oleh anak-anak. Lawatan anak-anak dengan KTM ke Gunung Lambak yang dibatalkan saya gantikan dengan lawatan ke Tropical Village di Air Hitam. Sepatutnya tahun ini giliran lawatan sekitaran Johor Bahru seperti Muzium Sultan Abu Bakar dan Zoo Johor tapi kedua-dua tempat ini ditutup. Muzium ditutup sehingga tahun depan untuk penambahbaikan sementara Zoo Johor pula ditutup untuk pembersihan. Menurut pegawai bertugas selama 2 minggu dan akan dibuka bila mendapat perkenan Sultan.
Nak juga ke Petrosains Playsmart Johor tapi dengan jumlah murid yang ramai, mereka tidak sanggup untuk menerima kunjungan kami. Lagipun kebetulan tarikh yang dipilih bertembung pula dengan program mereka yang lain, jadi cadangan lawatan ke situ saya terpaksa tundakan ke tahun depan. Surat lawatan ke Tropical Village telahpun diedarkan minggu lepas dan tarikh tutupnya 4 April (Rabu) nanti. Anak-anak teruja nak pergi sebab dapat naik bas yang jarang-jarang mereka dapat pengalaman sebegitu.      

Marina yang tidak jauh dari Pantai Kok, Langkawi
Seminggu selepas murid berlawatan, guru-guru pula berlawatan ke Pulau Langkawi. Wah! seronoknya dapat berjalan. Dan insyaallah pada 26 April, 2 guru saya (Cikgu Madinah TS1 dan Cikgu Qaidah TKM1) akan berangkat ke Tanah Suci menunaikan umrah. Semoga mereka sihat di sana dan dapat menjalankan ibadah dengan sempurna. Dan mudah-mudahan Allah memberikan rezeki kepada saya dan suami agar tahun-tahun mendatangpun kami dapat menghantar guru-guru mengerjakan umrah. Aminnn.
Masjid Nabawi

Kenangan Haji 2009

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana meninggalkan komen anda samada negatif @ positif. Sila berikan nama anda agar ukhwah terus terjalin.