Sunday, March 20, 2016

WOW! BESARNYA GIGI!

9 Mac 2016 (Rabu)

Bismillahirrahmannirrahim..

Sebelum ke Tadika Pintar Bistari Taman Mawar, skuad Kodomo Lion ke Tadika Nur Pintar Bestari terlebih dahulu, tadika kami yang terletak di Taman Rinting. Maklumbalas yang kami dapat dari sana, tidak kurang hebatnya.

Murid-murid memberikan tindakbalas yang baik ketika sesi soal jawab dan kerjasama yang bagus sepanjang sesi penerangan itu dijalankan. Jika sebelum ini, sesi bercerita diadakan di halaman luar tadika, pada tahun ini pihak tadika telah mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi ini di dalam tadika. 

Almaklumlah, cuaca semakin panas dan sekiranya diadakan di luar, tumpuan murid agak kurang kerana lebih tertarik dengan kenderaan yang lalu lintas. 

Tahniah TNPB!

Wow! Besarnya gigi tu!

Ok dik.. lagi satu contoh makanan yang tak baik untuk gigi..

Khusyuknya dia...

Walaupun tempat agak sempit berbanding di luar, tetapi murid selesa kerana tidak panas.

Yes!! kami semua dapat jawab soalan yang diberi!!
Kakak Azrah dan Kakak Fariza, jangan lupa datang lagi ke cawangan ini ye tahun depan!!

~Cikgu Norifah~

CIKGU.. LION TU SINGA KAN?

9 Mac 2016 (Rabu)

Sedang saya sibuk buat persiapan untuk Program Pemantapan Guru yang bakal dijalankan ketika cuti sekolah nanti, tanpa saya sedar ada seorang murid datang dan duduk di hadapan saya.

“Cikgu.. lion tu singa kan cikgu?” soalnya.
Saya berhenti menaip dan alihkan sebentar laptop saya ke tepi.
“Iya.. kenapa?”
“Lion tu.. gosok gigi ke cikgu?” terlihat kekeruhan di wajahnya. Keliru mungkin.
Saya tersenyum, mesti ini berkaitan dengan lawatan yang bakal diadakan oleh skuad Kodomo Lion ke tadika hari ini nanti.
“Tak.. singa tak gosok gigi,” jawab saya.
“Habis tu.. kenapa guna nama singa tu kalau nak datang check gigi?” soalnya.
Hmmmm.. terfikir.. cara yang mudah untuk dia faham.
“Rasanya.. singa tu kuat tak?”
Dia anggukkan kepalanya.
“Gigi kita.. nak kuat ke tak?”
Di angguk lagi kepalanya.
“Sebab tu kita guna singa.. sebab singa tu haiwan yang kuat dan gagah.. kita pun nak gigi kita kuat dan sihat,” dia menganggukkan kepalanya, tanda faham dengan penerangan saya.
“Saya nak gigi saya kuat macam lion!” katanya sebelum berlalu pergi.

Anak-anak murid, selagi tak sampai pihak Kodomo Lion, selagi itulah pelbagai soalan yang berkaitan dengan agenda Kodomo Lion ini berlegar-legar di fikiran mereka.

Itulah yang terjadi juga di Tadika Pintar Bistari Taman Mawar. Rasanya hampir keseluruhan murid, fikiran mereka menerawang keluar semasa sesi P & P.


Ini adalah antara gambar-gambar yang sempat diambil ketika sesi lawatan Kodomo Lion ke Taman Mawar.

Nyum nyum nyum... sedapnya Bella makan.. 
Cikgu Azlia merakam cerita Bella

Cakap kuat sikit dik, akak tak dengar..

Tepuk tangan!! jawapannya betul!!

Bestlah cerita ni!!

Selepas ni bolehlah cikgu-cikgu ikut gaya mereka bercerita ye!!

~Cikgu Norifah~


MURID GURU SENYUM MELEREK...!

8 Mac 2016 (Selasa)

“Hari ini kakak ada bawa seorang kawan baru untuk adik-adik. Ok jom.. kita jumpa dengan kawan kakak."
“Hai kawan-kawan!! Sayalah kawan baru kawan-kawan. Nama saya Bella, saya berumur 7 tahun. Saya ada seekor binatang peliharaan. Saya ada seekor kucing. Comel tak kucing Bella ni?”

“Ok kawan-kawan, perkara yang pertama sekali Bella buat bila bangun pagi adalah gosok gigi, mandi dan kemudian bersiap sedia pergi sekolah. Ok jom, kita join Bella pergi sekolah sama-sama!”

Itu adalah diantara dialog cerita yang disampaikan oleh skuad Kodomo Lion ke murid-murid yang tekun mendengar penerangan mereka. Masing-masing duduk diam menanti cerita yang seterusnya.

Bukan setakat anak-anak murid sahaja yang seronok mendengar cerita, cikgu-cikgu pun sama turut menghayati cerita Bella ini.


Mari kita layan bersama-sama lawatan skuad Kodomo Lion ke cawangan Taman Scientex 2!

Murid tersusun rapi.. menanti cerita dari skuad Kodomo Lion

Ok!! Cerita dah mula!

Fokus mendengar celoteh kakak-kakak Kodomo Lion

Apa yang kelakar tu sehingga cikgu dan anak murid tersenyum

Alhamdulillah, sesi lawatan di TS2 berjalan dengan baik sekali. Terima kasih kepada guru-guru dan para murid kerana memberikan kerjasama yang baik sepanjang masa sesi lawatan diadakan.

Jom kita jengah cawangan lain pula!

~Cikgu Norifah~


TERBAIKLAH TMPB!

8 Mac 2016 (Selasa)

Bismillahirrahmanirrahim..

Kali ini skuad ini bukan sahaja menghiburkan murid-murid di TS2 sahaja, mereka juga berkesempatan untuk ke cawangan Tadika Minda Pintar Bestari yang juga terletak di Taman Scientex.


Oleh kerana masa dan jadual yang agak terhad, mereka hanya dapat hadir pada sesi petang sahaja. Walaupun jumlah murid-murid di cawangan ini antara yang sedikit, sambutan yang diberikan oleh anak-anak ini tetap hebat. 

Terbaiklah TMPB!

Ok semua.. sedia.. akak nak mulakan cerita ni..

Tumpuan diberikan seratus peratus

Ye! kami janji akan jaga gigi kami baik-baik!
Terima kasih kepada skuad Kodomo Lion. Walaupun jumlah pendengar yang sedikit, mereka tetap sudi hadir dan menghiburkan anak-anak murid kami. 

~Cikgu Norifah~


MAAFKAN SAYA...LUPA JAWAPANNYA..

7 Mac 2016 (Isnin)

Bismillahirrahmannirrahim..


Jika terdahulu saya ada bercerita tentang kemunculan kawan-kawan Sang Singa di Tadika Pintar Bistari Taman Scientex 1, skuad ini juga sempat singgah di tadika kami yang lainnya juga, iaitu di Tadika Inovasi Bestari. Sayangnya bagi cawangan ini, skuad Kodomo Lion hanya berkesempatan beramah mesra dengan murid-murid sesi petang sahaja. 

Tetapi cenderahati tetap diberikan juga kepada murid-murid sesi pagi. 

Tak jauh beza dengan murid-murid di TS1, murid-murid di Tadika Inovasi Bestari juga teruja dan seronok menerima kehadiran skuad ini ke tadika mereka.

Bismillah.. cerita dimulakan 


Alamak! Gigi Bella banyak yang rosak!


Khusyuk mendengar cerita

Jom ikut cara gosok gigi yang betul

Murid yang terpilih untuk menjawab soalan

Aduh.. tadi saya ingat jawapannya.. sekarang dah tak ingat..

Itulah antara aktiviti skuad Kodomo Lion yang datang singgah di tadika kami, Tadika Pintar Bistari Taman Scientex 1 dan Tadika Inovasi Bestari. Esok mereka akan meneruskan penjelajahan mereka ke tadika-tadika yang lain pula!

Tunggu ya!!

~Cikgu Norifah~


SIAPA TEMAN SANG SINGA?

7 Mac 2016 (Isnin)

Bismillahirrahmannirrahim..

“Auuummmmm!!!”
“Cikgu, itu macam bunyi harimaulah cikgu!”
“Bukan.. ni bunyi singa.. nak tau kenapa cikgu buat bunyi macam tu?”
“Kenapa?”
“Sebab.. minggu depan ada kawan-kawan singa nak datang melawat kamu semua di sekolah,”
“Takutlah cikgu, taknak!!”
“Jangan takut, kawan-kawan singa ni baik.. mereka nak ajar kamu semua tentang penjagaan gigi yang betul,”
“Oooo.. nanti gigi kita jadi kuat macam gigi singa eh cikgu?”
“Iya.. sihat dan kuat! Jadi minggu depan datang sekolah tau! Siapa yang datang, akan dapat hadiah dari Kodomo Lion!”

Itu antara dialog yang sempat saya dengar semasa guru-guru memberitahu dan mengingatkan murid-murid agar datang ke tadika. Kata-kata cikgu tersebut disambut meriah oleh anak-anak muridnya. Ada yang terlalu teruja dengan berita tersebut, masih ada juga yang was-was dengan ‘kawan-kawan cik singa’ yang bakal hadir, malah ada juga yang takut kerana giginya rosak.

Sempat lagi seorang murid menarik jubah saya sambil tutup mulutnya,

“Cikgu, saya tak nak kena cabut gigi.. sakit..” katanya sambil menggeleng-gelengkan kepala.
“Tak cabut gigilah Raiqal.. cuma nanti kakak-kakak tu nak bercerita dan nak kasi hadiah aje pada siapa-siapa yang baik dan dengar cakap,” barulah dia tersenyum puas hati.

Macam-macam gelagat murid-murid apabila diberitahu yang Kodomo Lion mahu datang jengah mereka di tadika.

Dalam Siri Jelajah Kodomo Lion kali ini, destinasi awal mereka adalah Tadika Pintar Bistari Taman Scientex 1 dan Tadika Inovasi Bestari.

Skuad Kodomo Lion tiba di Tadika Pintar Bistari Taman Scientex 1 kira-kira pada pukul 10 pagi. Seperti biasa, anak-anak murid sudah sedia menanti kehadiran mereka di perkarangan tadika. Senang cerita, bukan sahaja murid-murid sahaja yang teruja, cikgu-cikgu pun sama, lebih-lebih lagi cikgu-cikgu yang baru. Ini merupakan pengalaman pertama mereka.

Ini antara aksi-aksi mereka melayan anak-anak murid.

Tekun mendengar cerita
Sama-sama menggayakan cara menggosok gigi dengan betul

Cerita tentang Bella

Sesi soal jawab.. siapa dapat jawab, akan dapat hadiah!

Rasa-rasanya.. dapat tak jawab tu?

Macam buat silap mata, letak gambar makanan dalam mulut Bella, boleh hilang gambarnya.

Bagus.. diam mendengar cerita

Ini baru satu cawangan, nanti akan saya kongsikan lawatan skuad ini di cawangan-cawangan yang lain.

~Cikgu Norifah~


Thursday, March 3, 2016

TADIKA INOVASI BESTARI SELANGKAH MAJU KE DEPAN

Bismillahirrahmannirrahim.

Cepat rasanya masa berlalu. Sedar tak sedar kita sudah pun berada di dalam bulan ketiga untuk tahun ini. Rasanya seperti baru semalam menerima kehadiran murid-murid ke tadika kami. Rindu pula rasanya nak berkejaran dengan anak-anak baru keliling tadika  kerana tidak mahu masuk ke dalam kelas.

Alhamdulillah, hampir keseluruhan murid-murid K1 sudah faham rentak persekolahan. Walaupun masih ada lagi yang menangis, mereka sudah tidak meraung seperti sebelumnya. Dengan linangan air mata, mereka merelakan langkah ke kelas. Sekejap sahaja tu, bila dah berjumpa dengan kawan-kawan dan cikgu, hilanglah air mata.

Peningkatan perkembangan juga sudah mula kelihatan, baik dari segi menulis, membaca, mengira dan juga sahsiah murid. Terima kasih kami ucapkan kepada ibu bapa yang memberi bantuan dan sokongan dalam proses pembelajaran anak-anak ini.

Tidak ketinggalan juga peningkatan bagi guru-guru. Contoh terdekat yang boleh saya kongsikan kali ini adalah kelas multimedia di Tadika Inovasi Bestari. Jika sebelum ini mereka hanya bergantung kepada komputer riba yang disediakan di tadika, murid kini lebih selesa dengan adanya projektor yang dapat membantu mereka memahami proses pembelajaran. 

Sebelum ini, guru perlu bergerak dari satu komputer riba ke satu komputer riba untuk menunjuk ajar cara kepada murid, kini guru dapat membimbing murid-murid melalui paparan di skrin yang disediakan. Alhamdulillah, hampir sebulan menggunakan teknik ini, nampaknya ia banyak menjimatkan masa guru dari segi mengendalikan semua komputer riba murid dan dapat memberikan lebih penerangan tentang topik yang diajar.

Tadika Inovasi Bestari sudah selangkah maju ke hadapan dalam penggunaan teknologi di kelas mereka. 

Jom intai kelas multimedia mereka!

Murid-murid tekun mendengar penerangan dari guru


Nampak lebih jelas dengan penggunaan projektor

Murid-murid khusyuk belajar

Contoh lebih besar dan jeals kelihatan

Guru mengawal penggunaan projektor

Ok, itu sahaja perkongsian saya untuk minggu ini. Insyaallah minggu hadapan akan ada perkongsian yang lain pula.

Ibu dan ayah.. minggu hadapan akan ada lawatan dari pihak Kodomo Lion ke setiap tadika. Mereka akan memberikan penerangan tentang penjagaan gigi kepada murid-murid. Pastikan anak-anak datang ke tadika ye agar tidak terlepas aktiviti yang menyeronokkan ini. dan pastinya ada CENDERAHATI untuk mereka.

~Cikgu Norifah~



FESTIVAL LAYANG-LAYANG SEDUNIA 2016



Bismillahirrahmanirrahim

Seperti yang telah saya janjikan terdahulu, untuk kali ini saya akan bercerita berkenaan dengan Festival Layang-Layang Sedunia 2016. Agak mengecewakan kerana pada tahun ini tidak banyak gambar dan aktiviti yang dapat dikongsikan bersama kerana keadaan cuaca yang kurang elok.

Pada hari pertama festival, selain dari penyertaan murid-murid dalam pertandingan mewarna, terdapat juga beberapa cawangan iaitu Tadika Nur Pintar Bestari, Tadika Inovasi Bestari dan TPB Taman Mawar telah dijadualkan untuk membuat lawatan ke tapak pesta. 

Alhamdulillah.. hadiah telah sampai ke tuannya.
Adik Nurin Maisarah Binti Muhammad Zakir dari TNPB
Sayangnya pada pagi hari pertama tiada layang-layang yang dinaikkan. Suasana padang masih lagi ‘sejuk’. Nasib baik cikgu-cikgu sudah fikirkan ‘backup plan’ untuk mengisi masa yang kosong. Murid-murid dibekalkan dengan buih sabun. Seronok lihat mereka terhibur mengejar dan meniup buih-buih sabun. Sekurang-kurangnya murid rasa terhibur ketika berada di tapak pesta.

Bermain buih sabun untuk mengisi masa yang ada

Cepat cepat naik.. hujan dah mula turun
Ketika menunggu murid-murid sesi petang sampai ke Bukit Layang-Layang hujan mula turun dengan lebatnya. Hati jadi serba salah sama ada hendak melepaskan murid-murid ataupun menangguhkan waktu lawatan. Akhirnya setelah berbincang dengan Pn Zainun, kami tetap meneruskan lawatan. Murid-murid diturunkan di bahagian belakang tasik, lebih dekat ke khemah berbanding dengan tempat drop off biasa.
Setelah urusan penurunan murid selesai, kami tidak tunggu lama di sana, sekadar datang menyapa murid-murid dan guru yang sedang menjamu selera di bahagian khemah kemudian terus ke kereta kerana Pn Suhaila dan saya sudah menggigil kesejukkan.

Hujan reda seketika semasa memanti bas murid sesi petang sampai

Ruang agak sempit, tetapi untuk kemudahan murid-murid,
pakcik bas redah juga agar murid tak basah kena hujan

Nasib lebih baik bagi cawangan yang hadir keesokkan harinya. Alhamdulillah, cuaca cerah dan berangin, keadaan yang sesuai untuk menaikkan layang-layang. Jadi murid-murid dari cawangan TPB Kota Masai 1 dan 2, Tadika Ilmu Pintar Bestari, TPB Tmn Scientex 1 dan 2, dan juga Tadika Minda Pintar Bestari dapat merasa kegembiraan Festival Layang-Layang Sedunia.

Teruja menanti bas 
Ok! Bas dah sampai... jom beratur!
Ambil ni makan.. nanti lapar..

Bye semua!! Kami dah nak balik dah!
Murid-murid teruja melihat layang-layang yang pelbagai corak dan berwarna warni terbang di langit Pasir Gudang. Ramai juga anak-anak murid yang tak puas berada di sana, mereka inginkan masa yang lebih lama di tapak pesta. Tapi apakan daya, permintaan itu tak dapat kami penuhi. Pujuklah ayah dan ibu untuk datang lagi ye.

Angin bertiup kuat.. Alhamdulillah
Ada juga layang-layang yang terbang di udara
Naiklah layang-layang.. kami tunggu ni..
Antara gerai-gerai yang ada di tapak pesta
Secara keseluruhannya, tak kira waktu hujan ataupun cerah, murid-murid tetap terhibur dengan lawatan yang telah diadakan. Walaupun hujan, mereka tetap seronok dapat naik bas dengan kawan-kawan, dapat berlari-lari ke dalam khemah mengelak hujan sambil bergelak ketawa. Betapa mudahnya dunia kanak-kanak, dalam setiap satu peristiwa yang kita rasa terbeban dan sukar, mereka masih dapat lihat sisi yang positif. It’s a blessing in disguise.


Sebelum saya terlupa, kami telah edarkan surat makluman bulan Mac dan sampul yuran kepada anak-anak murid. Masih ada lagi murid yang meyimpan surat dan sampul di dalam beg. Nanti tolong tengokkan ye dalam beg anak-anak. 

~Cikgu Norifah~