Tuesday, September 27, 2016

LATIHLAH JARI JEMARIMU


Bismillahirrahmannirahim.

Sedar tak sedar kita sudah pun menghampiri hujung tahun 2016, maknanya hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi murid-murid 6 tahun berada di bawah jagaan kami. Ada guru-guru yang mula terasa akan kehilangan kerana sayangnya mereka pada anak-anak yang mereka bentuk. Sayang dan risau memikirkan progres mereka nanti apabila sudah masuk sekolah kebangsaan di mana keadaan murid yang lebih ramai di dalam kelas dan murid-murid perlu lebih berdikari. Lebih-lebih lagi ketika ini guru-guru di setiap cawangan sedang gigih melatih murid-murid untuk Pertandingan Sempoa dan Congak yang bakal diadakan pada hari Sabtu minggu ini (1 Oktober 2016) di Atrium Pusat Bandar Pasir Gudang. 

Setiap cawangan akan diwakili oleh murid-murid yang terpilih dan calon yang terbaik akan dihimpunkan di atas pentas untuk diuji kemampuan masing-masing. Kagum saya melihat kebolehan mereka, bukan sahaja murid 6 tahun, murid-murid 5 tahun juga. Bayangkan bagi murid-murid 5 Bistari yang baru mengenali apa itu sempoa dan baru mempelajarinya tak sampai tempoh 4 bulan, dapat menguasai ilmu sempoa mengikut tahap mereka dengan baik. Syabas saya ucapkan kepada guru-guru yang gigih mengajar dan juga ibu bapa yang memberi sokongan kepada anak-anak ini untuk menguasai sempoa.

Seperkara lagi yang hebat mengenai mereka yang mewakili tadika masing-masing adalah dalam kategori congak. Hebatnya mereka ini, bila sahaja soalan siap dibaca oleh guru yang melatih mereka, terus sahaja tangan diangkat untuk memberi jawapan, bila masa dan bagaimana agaknya mereka mengira ya?

“Hebatkan budak-budak ni kak?” soal Cikgu Norieza ketika saya menyaksikan latihan mereka.

Saya menganggukkan kepala sahaja kerana tumpuan lebih kepada melihat jari mereka yang pantas mengira soalan yang dibaca oleh guru.

“Macam mana agaknya nanti bila masuk ke sekolah rendah? Kalau kat sini boleh lah kita tolong check homework dan permasalahan dia orang kan? Sayangnya kalau dah pantas mengira macam ni.. harapnya nanti dapat diteruskan selamanya kan?” kerisauan seorang guru memikirkan keadaan anak didiknya.

Insyaallah.. jika sudah ada penerapan dari awal, dan minat terhadap pembelajaran itu ada, ditambah pula dengan sokongan dari ibu bapa, mereka akan tetap hebat seperti sekarang ini.

Itu ketika sesi latihan congak, ketika sesi latihan sempoa pula, naik berbelit lidah guru yang membaca soalan melayan permintaan murid.

“Cikgu lagi laju baca cikgu!” dia tak tahu yang bukan mudah bagi gurunya menyebut nombor dalam lingkungan ribu dalam Bahasa Inggeris, ini kan pula set soalan itu ada tiga nombor yang perlu disebut, laju pula tu. Nak tahu selaju mana bacaan guru dan sepantas mana mereka mengira dengan sempoa? Nantikan pada pertandingan yang bakal diadakan hujung minggu ini.

Ibu bapa yang sudah hantar borang penyertaan, siap sedia ya untuk bertanding dengan anak-anak kecil ni!

Pertandingan antara ibubapa tahun lepas. 
Mudah-mudahan tahun ini lebih hebat lagi
Kepada semua ibubapa, bawalah anak-anak menyaksikan pertandingan ini. Mudah-mudahan dapat memberikan inspirasi kepada mereka juga agar tidak taku masuk pertandingan disamping memberi sokongan moral kepada kawan-kawan mereka yang lain.

Sementara itu, jom tengok himpunan gambar-gambar ketika pertandingan pada tahun lepas.


~ Cikgu Norifah~

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana meninggalkan komen anda samada negatif @ positif. Sila berikan nama anda agar ukhwah terus terjalin.