Showing posts with label pertandingan MA. Show all posts
Showing posts with label pertandingan MA. Show all posts

Thursday, September 28, 2017

DISEBALIK TABIR PECUTAN TERAKHIR


Bismillahirrahmanirrahim.

“Pada awalnya berfikir menumbuhkan perasaan ingin tahu, ingin tahu melahirkan perbuatan, dan perbuatan yang dilakukan berulang-ulang membentuk kebiasaan.” (Ibnu Qayyim al-Jauziyah)

Itulah yang kami peroleh sepanjang tempoh latihan menuju ke pertandingan sempoa dan congak setiap tahun. Dari kata-kata,

“Cikgu.. slowlah sikit baca, laju sangat!!” pada awal latihan dan kini ayat bertukar,

“Cikgu, lajulah lagi cikgu, laju..” 

Lebih senang hati cikgu-cikgu apabila mereka sesama sendiri ketika menunggu waktu latihan, menyoal sesama mereka, soalan yang dicipta sendiri. Ini menunjukkan yang mereka ada daya untuk berlatih dan memperbaiki teknik mengira sempoa dan congak.

Sedang pihak guru dan anak murid sibuk berlatih sempoa, congak dan tarian, kami di sudut lain pula sibuk juga menyiapkan segala keperluan yang diperlukan untuk digunakan ketika pertandingan dijalankan. Trofi-trofi perlu dipasang satu persatu bagi setiap kategori, makanan dan minuman semua yang terlibat perlu dibungkus dan juga segala kelengkapan lain perlu disediakan dan disemak semula.

Tapi rasa penat itu hilang apabila menjengah anak-anak murid yang sedang berlatih. Hebat, laju dan lancar. Bak kata Pn Shawariah, “Penat mulut ni, berpusing-pusing lidah nak baca soalan, dalam Bahasa Inggeris pula tu!” 

Jadi bukan sahaja para peserta yang perlu asah kelajuan jari, para pembaca soalan juga perlu mengasah kelancaran bacaan soalan, lebih-lebih lagi bagi kategori ribu 6 Bistari, jika tidak nanti akan jadi baca soalan ala-ala ‘rapping’ pula di hari kejadian.

Sebelum kita sama-sama fokus pada pecutan akhir latihan pertandingan sempoa dan congak, mari kita jengah sebentar kerja-kerja belakang tabir sebelum pertandingan. 

En. Hafidz dipertanggungjawabkan untuk memasang
trofi para peserta.

Kemas tersusun trofi yang siap dipasang.

Langkah seterusnya, tampal logo tadika.

Antara trofi yang siap dipasang logo tadika.
Cik Azreen sedang memeriksa trofi bagi tempat ketiga, naib juara,
dan juara bagi setiap kategori.

Roti dan air kotak sedang menanti untuk dibungkus.

Persiapan akhir, masing-masing fokus dengan tugasan mereka.

Begitulah di antara kejadian yang dapat saya kongsikan untuk tatapan kali ini. Masing-masing berusaha untuk berikan yang terbaik, baik dari segi latihan murid, mahupun kerja-kerja di belakang tabir. Besar harapan kami kiranya pihak ibu bapa dapat meluangkan masa untuk hadir dan memberi sokongan sehingga ke akhir pertandingan nanti. Kita jumpa di Atrium Kompleks Pusat Bandar pagi Sabtu ni ya!!

~Cikgu Norifah~









Thursday, September 21, 2017

LATIHAN SEMAKIN RANCAK

Peserta sedang menulis jawapan di kertas yang disediakan

Bismillahirahmanirrahim.

Seminggu sahaja lagi tempoh yang tinggal bagi guru-guru dan juga ibu bapa untuk melatih murid-murid yang terpilih untuk mewakili tadika masing-masing di dalam Pertandingan Sempoa dan Congak 2017. Semakin hari semakin terserlah kesungguhan guru-guru melatih anak didik mereka. Hinggakan ada guru yang leka menyoal murid, terlepas masa loceng balik sudah berbunyi.

“Eh, dah balik eh?” soalnya apabila melihat murid-murid lain sudah beratur turun ke tapak perhimpunan. 

Bukan sahaja guru-guru yang fokus ketika berlatih, anak-anak murid juga tak kalah. Terkejut saya semasa membuka pintu surau selepas solat, ada seorang murid tercegat di tepi pintu sambil memegang sempoa. Bila ditanya buat apa disitu, jawabnya menanti dipanggil untuk latihan sempoa. Ini situasi yang saya lihat dan alami di Tadika Pintar Bistari Taman Mawar, harapnya di tadika yang lain juga para guru dan anak murid bersemangat membuat persediaan menuju minggu terakhir. 

Alhamdulillah tanggungjawab yang diamanahkan kepada guru-guru dijalankan dengan baik. Masa dan giliran latihan murid juga teratur. Mudah bagi guru-guru mencatur perjalanan kerja mereka di tadika.

Contoh jadual latihan sempoa dan congak di tadika (TM)
Sementara menanti berlalunya seminggu lagi menuju ke Pertandingan Sempoa Dan Congak 2017, mari kita imbas semula perjalanan pertandingan ini pada tahun lepas.
Pemandangan dari atas pentas

Tekun menjawab soalan

Panel penanda kertas

Wakil dari pihak ibu bapa
Tempat yang sama digunakan pada tahun ini, Atrium
Pusat Bandar Pasir Gudang

Backdrop belum dinaikkan ketika raptai

Tahun lepas backdropnya comel sahaja
Cerita di blog berkenaan Pertandingan Sempoa & Congak 2016



Jadi diharap sepanjang 3 hari bercuti ini, para peserta ada juga membuat latihan di rumah ya! Tak perlu lama-lama, cukuplah sekadar dalam 20 minit sehari. Itu pun sudah banyak membantu. Jom kita sedia kelajuan mengira dan kepantasan jari jemari menari di atas manik-manik sempoa!!

~ Cikgu Norifah~


Thursday, September 14, 2017

SESI LATIHAN PERTANDINGAN SEMPOA & CONGAK 2017



Latihan sempoa sedang dijalankan (TNPB)

Bismillahirrahmanirrahim.

 “Tahun ni.. kita tak pastilah nak target siapa untuk pertandingan sempoa dan congak.. masih samar-samar,” teringat lagi saya pada keluhan Cikgu Azlia awal tahun yang lalu.

Bayangkan, sesi persekolahan baru sahaja bermula dalam seminggu, pihak guru besar dan juga guru-guru cawangan sudah memikirkan aktiviti dan pertandingan yang bakal diadakan sepanjang tahun 2017.

Berbeza dengan Pertandingan Uji Minda dan Bercerita yang dijalankan pada bulan Julai yang lalu, para peserta yang terpilih untuk mewakili cawangan masing-masing untuk Pertandingan Sempoa dan Congak memerlukan latihan dan penguasan teknik dengan baik. Teknik kiraan cepat dan menghafal formula sempoa, tak semua murid dapat kuasainya.

Di setiap cawangan sekarang ini para guru sedang rancak membuat latihan sempoa dan congak.  Tak kurang juga yang membuat latihan tarian.  Gerak tari dan pakaian untuk persembahan sibuk menari-nari dalam minda mereka yang diamanahkan  dengan tugasan ini.

Masing-masing fokus dengan tugasan memantapkan lagi peserta-peserta mereka yang terpilih untuk mewakili cawangan masing-masing.  Para peserta juga kelihatan teruja untuk membuat latihan. Ada yang seawal sampai ke tadika, terus keluarkan sempoa dan letak atas meja, tunggu dipanggil oleh guru-guru yang diamanahkan melatih mereka.

Alhamdulillah, setakat ini latihan intensif bagi setiap cawangan pada pandangan kami amat memberangsangkan. Dalam pada itu kami amat mengharapkan para ibu bapa juga turut sama membantu anak- anak yang terpilih ini untuk membuat latihan di rumah. Yang dikhuatiri, takut nanti ketika semasa pertandingan dijalankan, para pembaca soalan akan terbelit lidahnya membaca soalan telalu laju.

Nak lihat betapa bersemangatnya mereka membuat latihan? Jom kita!!

Sesi latihan sedang berjalan (TM)

Peserta sedang mengisi jawapan di kertas
yang disediakan (TM)

Serius sahaja wajah-wajah mereka mendengar soalan yang dibaca (TMPB)

Tepuk meja, bayangkan itu adalah buzzer (TNPB)

Latihan congak (TM)

Cukup tak jari nak kira? (TM)

Yes!! Saya dapat jawapannya!! (TM)

Alamak! Apa soalannya tadi cikgu? (TNPB)
Video latihan murid-murid :

ADA BRANI?




Bila melihat kepada kesungguhan anak-anak ini membuat latihan di tadika, pihak kami amat berharap agar ibu bapa dapat juga membantu mereka membuat latihan di rumah. Sayang sekiranya kesungguhan di tadika tidak dapat diteruskan di rumah. Kita sama-sama latih anak-anak ini ya!!

~Cikgu Norifah~













Tuesday, September 27, 2016

LATIHLAH JARI JEMARIMU


Bismillahirrahmannirahim.

Sedar tak sedar kita sudah pun menghampiri hujung tahun 2016, maknanya hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi murid-murid 6 tahun berada di bawah jagaan kami. Ada guru-guru yang mula terasa akan kehilangan kerana sayangnya mereka pada anak-anak yang mereka bentuk. Sayang dan risau memikirkan progres mereka nanti apabila sudah masuk sekolah kebangsaan di mana keadaan murid yang lebih ramai di dalam kelas dan murid-murid perlu lebih berdikari. Lebih-lebih lagi ketika ini guru-guru di setiap cawangan sedang gigih melatih murid-murid untuk Pertandingan Sempoa dan Congak yang bakal diadakan pada hari Sabtu minggu ini (1 Oktober 2016) di Atrium Pusat Bandar Pasir Gudang. 

Setiap cawangan akan diwakili oleh murid-murid yang terpilih dan calon yang terbaik akan dihimpunkan di atas pentas untuk diuji kemampuan masing-masing. Kagum saya melihat kebolehan mereka, bukan sahaja murid 6 tahun, murid-murid 5 tahun juga. Bayangkan bagi murid-murid 5 Bistari yang baru mengenali apa itu sempoa dan baru mempelajarinya tak sampai tempoh 4 bulan, dapat menguasai ilmu sempoa mengikut tahap mereka dengan baik. Syabas saya ucapkan kepada guru-guru yang gigih mengajar dan juga ibu bapa yang memberi sokongan kepada anak-anak ini untuk menguasai sempoa.

Seperkara lagi yang hebat mengenai mereka yang mewakili tadika masing-masing adalah dalam kategori congak. Hebatnya mereka ini, bila sahaja soalan siap dibaca oleh guru yang melatih mereka, terus sahaja tangan diangkat untuk memberi jawapan, bila masa dan bagaimana agaknya mereka mengira ya?

“Hebatkan budak-budak ni kak?” soal Cikgu Norieza ketika saya menyaksikan latihan mereka.

Saya menganggukkan kepala sahaja kerana tumpuan lebih kepada melihat jari mereka yang pantas mengira soalan yang dibaca oleh guru.

“Macam mana agaknya nanti bila masuk ke sekolah rendah? Kalau kat sini boleh lah kita tolong check homework dan permasalahan dia orang kan? Sayangnya kalau dah pantas mengira macam ni.. harapnya nanti dapat diteruskan selamanya kan?” kerisauan seorang guru memikirkan keadaan anak didiknya.

Insyaallah.. jika sudah ada penerapan dari awal, dan minat terhadap pembelajaran itu ada, ditambah pula dengan sokongan dari ibu bapa, mereka akan tetap hebat seperti sekarang ini.

Itu ketika sesi latihan congak, ketika sesi latihan sempoa pula, naik berbelit lidah guru yang membaca soalan melayan permintaan murid.

“Cikgu lagi laju baca cikgu!” dia tak tahu yang bukan mudah bagi gurunya menyebut nombor dalam lingkungan ribu dalam Bahasa Inggeris, ini kan pula set soalan itu ada tiga nombor yang perlu disebut, laju pula tu. Nak tahu selaju mana bacaan guru dan sepantas mana mereka mengira dengan sempoa? Nantikan pada pertandingan yang bakal diadakan hujung minggu ini.

Ibu bapa yang sudah hantar borang penyertaan, siap sedia ya untuk bertanding dengan anak-anak kecil ni!

Pertandingan antara ibubapa tahun lepas. 
Mudah-mudahan tahun ini lebih hebat lagi
Kepada semua ibubapa, bawalah anak-anak menyaksikan pertandingan ini. Mudah-mudahan dapat memberikan inspirasi kepada mereka juga agar tidak taku masuk pertandingan disamping memberi sokongan moral kepada kawan-kawan mereka yang lain.

Sementara itu, jom tengok himpunan gambar-gambar ketika pertandingan pada tahun lepas.


~ Cikgu Norifah~

Thursday, January 15, 2015

IBU AYAH...MARI BELAJAR

Assalamualaikum,

Insyaallah, Sabtu ini akan diadakan kursus Bacalah Anakku bagi ibubapa anak-anak K1 pada sebelah pagi dan K2 pada sebelah petang untuk program sempoa. Oleh kerana kuota penyertaan masih ada lagi, maka penyertaan masih dibuka kepada semua ibubapa yang berminat sehingga Khamis esok. Mudah-mudahan dengan menghadiri kursus ini, ibubapa akan dapat mencedok ilmu-ilmu dan dapat dimanfaatkan kepada anak-anak kita nanti. Insyaallah. Di bawah ini saya sertakan gambar-gambar program pada tahun lepas. 





Pada tahun-tahun sebelumnya, kami buat program ini pada bulan Februari tetapi dari feedback ibubapa, ramai yang minta diawalkan agar mereka juga dapat mengajar anak-anak dengan cara yang betul sejak awal lagi. Oleh sebab itu, pada tahun ini kami kami buat pada minggu ke 3 Januari. 

Saya juga teruja dengan penyertaan dari para bapa. Walaupun tidak seramai para ibu, tetapi mereka memberikan satu komitmen yang baik ke arah pendidikan anak-anak. Syabas.



Waktu rehat digunakan ibubapa untuk beramah mesra dengan guru-guru dan melihat buku-buku yang kami gunakan di tadika. 



Untuk sesi petang, program bersama ibubapa K2..Jom kita belajar sempoa. 


Sifu berkongsi pengalaman dalam pembelajaran sempoa



Walaupun baru kali pertama, namun semuanya hebat-hebat belaka.


Dan inilah hasilnya..........ibubapa yang menyertai program ini tanpa segan silu menyahut cabaran di pertandingan mental aritmetik dan congak yang kami adakan pada semester 2.

Menang kalah bukan pertaruhaan, tetapi semangat mencuba amat digalakkan.




Jadi kalau ada ibubapa yang masih ingin menyertai program Sabtu ini, sila hubungi GB cawangan masing-masing ya. 

Monday, September 10, 2012

AGENDA SEPTEMBER 2012

Assalamualaikum,

Sepertiga September telah meninggalkan kita. Syawal juga dah kepenghujung tapi sana sini masih ada jemputan rumah terbuka. Sebulan berpuasa dan sebulan juga berpesta makan. Kalau tidak dijemput untuk rumah terbuka, jauh sekali untuk berziarah. Inilah realiti kehidupan di waktu ini. Makin kita dijauhkan dengan kehidupan Islam. Wallahua'alam.

Anak-anak di tadika telah menjalani pembelajaran seperti biasa, Bila telah memasuki semester 2 ini, alhamdulillah, kemajuan anak-anak ini makin terserlah. Apatah lagi anak-anak di kelas Bistari. Bagi September ini, event besar adalah Pertandingan Mental Aritmetik dan Congak yang akan berlangsung pada 23 September (Ahad) nanti di Dewan Raya Masai. Dianggarkan seramai 220 orang murid yang akan turut serta dalam pertandingan tersebut dalam berbagai kategori.



Bagi memeriahkan majlis, tarian juga akan dipersembahkan oleh anak-anak K1. Maka mereka ini sibuk berlatih langkah-langkah tarian mengikut muzik yang telah ditetapkan. Mesti comel anak-anak ni yang dah sedia comel.


 Rasanya akan bertambah gamat pertandingan tahun ini kerana buat pertama kali akan diadakan pertandingan sempoa untuk ibubapa. Ibubapa yang menang akan bertanding dengan anak-anak yang menang. Jom kita lihat siapa yang lebih hebat. Insyaallah akan ada hadiah yang hebat juga. Jangan menidakkan keupayaan ibubapa-ibubapa ini kerana mereka dahpun diberikan penerangan dan latihan sempoa yang secukupnya pada bulan Januari dan Mei lepas.

Gambar-gambar ini sebagai buktinya. Lihatlah betapa khusyuknya mereka...



 Bukan saja kaum ibu, kaum bapa juga apa kurangnya...



Selasa hingga Khamis ini, UPSR akan berlangsung. Bagi semua bekas murid Tadika Pintar Bistari, cikgu mengharapkan kamu semua dapat melakukan yang terbaik dalam UPSR nanti. Termasuk juga anak ke-3 saya Syafina yang menduduki UPSR ni. Dan sewaktu saya posting entri ni, Nana masih sibuk. Bukannya sibuk menelaah di saat akhir tapi sibuk di dapur membuat kek oreo utk cikgu dan kawan2nya esok. Tak apalah, sahur nanti bolehlah ibu makan kek Kak Nana ya. Mungkin ini air tangan terakhir sebelum berangkat belajar ke seberang laut (hee, hee...) Ke Indon saja pada hari Isnin minggu depan, 17 September. Bon voyage!

Nah, inilah hasilnya. Kira okeylah ni. Masa ibu sebaya Kak Nana, tak ada peluang nak buat macam ni. Sibuk tolong nenek mengumpul susu getah. Pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Semoga semua murid 6 Perdana dapat 5A


Insyaallah, usaha tangga kejayaan

Pada Khamis, 13 September nanti, anak-anak K2 juga akan ambil ujian 4. Soalannya dah siap. Senang aje. Ibu-ibu, bapa-bapa, dont worry, be happy .

Tengok kat luar ajelah ya!