Monday, November 7, 2016

HARI TERBUKA SEMESTER 2 2016



Bismillahirrahmannirahim.

Alhamdulillah 2016 sudah hampir ke penghujungnya. Segala macam aktiviti tadika telahpun kami dan anak-anak murid lalui. Terasa cepat pula masa berlalu. Kami guru-guru di tadika menghitung hari untuk melepaskan murid-murid K2 ke alam persekolahan yang baru. Sedih dan berat rasanya. Dua tahun bersama mereka, bermacam-macam rasa, pelbagai kerenah yang kami lalui bersama. Terima kasih ya ibu dan ayah, kerana memberi kepercayaan kepada kami untuk mendidik anak-anak anda. Terima kasih juga kerana memberi ruang dua tahun mereka bersama kami, setiap satu dari mereka ini memberi kenangan dan impak yang berbeza pada setiap guru yang ada mengajar mereka. 

Minggu lepas baru sahaja kami melalui hari terbuka di setiap tadika kami. Walaupun hari terbuka kami adakan pada hari Khamis, Alhamdulillah sambutan dari pihak ibu bapa amat menggalakkan. Sokongan yang diberi oleh pihak ibu bapa amat kami hargai. Terima kasih kerana sudi datang untuk berbincang mengenai prestasi anak didik kami. Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon kemaafan sekiranya ada kesilapan dan kekurangan dalam menyampaikan ilmu kepada anak tuan dan puan. Sesungguhnya tak pernah puas luangkan masa dengan mereka di tadika.

Antara cikgu yang paling teruja dengan hari terbuka ini adalah Guru Besar Tadika Nur Pintar Bestari, Puan Noorhasiah. Mana tidaknya, dia adalah antara guru lama yang masih lagi berkhidmat dengan kami di Mybistari Group. Bila dah namanya guru lama, bermakna pengalaman mengajar adik beradik yang bergenerasi juga ada. Seronoknya hari terbuka bukan setakat berjumpa dan berbincang dengan ibu bapa yang baru pertama kali menghantar anak-anak ke tadika ini, tetapi juga peluang untuk berjumpa dengan bekas murid yang pernah kami ajar di tadika, kalau tidak pun bila ibu bapa bercerita berkenaan dengan prestasi mereka di sekolah rendah dan menengah. Itulah yang dirasai oleh Puan Noorhasiah. Terbayang keceriaan  di wajahnya apabila bercerita dengan saya pertemuannya dengan anak-anak muridnya yang lama. Anak-anak murid yang kami sama-sama didik ketika di Taman Scientex 1 dahulu. Cemburu juga apabila dia menghantar gambarnya bersama-sama dengan bekas anak didik kami itu. Bagi kami cikgu-cikgu tadika, salah satu topik yang sering memberi semangat kepada kami dalam mendidik anak-anak kecil ini adalah bercerita berkenaan dengan bekas anak murid kami. Tak kiralah pencapaiannya di sekolah rendah dan menengah bagus atau tidak, tetapi apabila bekas anak-anak murid tegur dan masih ingat pada kami, itu sudah cukup menggembirakan hati. 

Satu perasaan yang sukar kami gambarkan apabila di hari terbuka, kami hulurkan fail peribadi dan gambar murid K2 ke tangan ibu atau bapa bermakna waktu yang diperuntukkan untuk kami bersama mereka semakin suntuk. Akankah mereka ingat kepada kami seperti bekas anak murid yang lain? Bagaimana nanti prestasi mereka di sekolah rendah? Kawan-kawan yang macam mana nanti akan mereka dampingi? Mahu tak mahu peringkat ini akan kami sentiasa lalui saban tahun. Semoga anak-anak didikan Mybistari Group menjadi insan yang hebat dan cemerlang, dunia dan akhirat.

Tahniah kami ucapkan kepada murid-murid yang dapat top 3 pada peperiksaan kali ini. Bagi murid-murid yang lain, tak apa.. tak dapat nombor 1, 2, atau 3 tak bermakna tak pandai, mungkin nasib tidak menyebelahi kali ini. Jangan putus asa, cuba lagi dan lagi!

Nak tahu suasana perjalanan hari terbuka semester 2 tahun ini? Di sini saya kongsikan beberapa gambar untuk tatapan semua. Jika mahu lihat yang selebihnya boleh lah ke photo gallery kami ya!

Bersungguh Cikgu Najwa memberikan penerangan (TKM1)

Tinggalkanlah pesanan untuk kami ya (TNPB)

Cak!!! Comelnya Cikgu Juliana dan Cikgu Syikhah (TIB)

Tenaga pengajar TIB 2016

Meja cikgu semua full house (TNPB)


Bersungguhnya Cikgu Atikah menerangkan prestasi murid (TNPB)

Apa yang diperbincangkan tu ya? (TMPB)

Jom kita bergambar dahulu sebelum balik! (TKM2)

Apa agaknya yang merisaukan ibu ini ya? (TM)

Wajah-wajah ceria (TM)

Meriah dengan tetamu di cawangan ini (TMPB)

Khusyuk mendengar penerangan Cikgu Farah (TS2)

Hmmmm.. nak tulis apa ye, ibu? (TS2)
Tersenyum lega berkongsi cerita dengan guru kelas (TS1)
Ooppss.. sebelum terlupa, ada lagi satu perkara yang sangat dinanti-nantikan ketika hari terbuka. Perkara yang membuatkan para guru besar dan guru-guru tak lena tidur memikirkan apa yang perlu dibuat, benda apa yang hendak digunakan, cantik atau tak? Papan notis cawangan yang dihasilkan oleh mereka. Tema kali ini adalah animasi. Cawangan mana agaknya kali ini yang akan membawa pulang piala pusingan bagi Papan Notis Terbaik?

TNPB dengan tema mereka Snow White and the seven dwarfs

Aladin di TIB

TS1 dengan tema mereka Strawberry on shortcakes

Ada duyung di TS2 (Little Mermaid)

Jom naik kereta kuda di TMPB (Cinderella)

TKM2 dengan tema mereka Hansel and Gretel

Jaga-jaga! Ada serigala di TKM1 (Little Red Riding Hood)

Alice in wonderland di TIPB

Bell ada di mana Beast? Beauty and the Beast di TM
Itu sebahagian dari gambar-gambar yang dapat saya kongsikan di sini. Kami masih ada satu lagi program yang perlu dijalani dengan murid-murid K2. Program kemuncak yang sangat ditunggu-tunggu oleh anak-anak murid kerana mereka akan membuat persembahan di atas pentas; Hari Anugerah Cemerlang 2016. Bagi ibu bapa yang telahpun menghantar borang penyertaan untuk anak-anak, pastikan mereka hadir ke sekolah ya.. Latihan persembahan sudah pun bermula.

Akhir sekali, silalah like page FB kami ; Mybistari Group . Terima kasih!

~Cikgu Norifah~





Thursday, November 3, 2016

SPELL IT RIGHT, PLEASE!



Pentas pertandingan
Bismillahirrahmanirrahim.

Surat dari PAPG berkaitan pertandingan ini telah kami terima beberapa minggu lepas. tapi dek kerana aktiviti yang bersilih ganti iaitu Pertandingan Sempoa dan Congak serta Penilaian Akhir Semester, maka yang mana dulu, didahulukan. Seusai peperiksaan, maka 5 orang wakil dicari untuk menjadi wakil untuk pertandingan anjuran PAPG tu.”

Pertandingan anjuran PAPG? Tergaru juga kepala ni sekejap. Pertandingan Spell It Right; mengeja di dalam Bahasa Inggeris. Pertandingan yang julung-julung kalinya diadakan oleh Perpustakaan Awam Pasir Gudang.Terdetik hati ini, boleh ke tidak ye, anak-anak kami bertanding dengan murid-murid dari tadika lain. Almaklumlah, penguasaan Bahasa Inggeris anak-anak murid kami sejujurnya adalah pada tahap sederhana. Tapi itu tak menghalang kami untuk mencuba juga kan? Potensi anak-anak ini harus kami kembangkan. Yang penting biar mereka biasa berhadapan dengan orang awam dan punya keyakinan diri serta berani.  

Mulanya kami ingin menghantar wakil dari semua tadika MyBistari bagi memberikan pendedahan baru kepada anak-anak ini.  Tapi bila ditanyakan kepada pihak PAPG, hanya tadika yang menerima surat dari mereka sahaja yang dijemput. Berkaitan dengan perjalanan pertandingan yang bakal diadakan ini, tidak banyak info yang saya perolehi, sekadar cara perjalanan pertandingan dan juga jumlah penyertaan dari tadika-tadika yang lain. Rupanya cuma beberapa tadika di sekitar Pasir Gudang dan Seri Alam sahaja yang dipilih untuk turut serta dalam pertandingan ini. Semakin berdebar dan teruja rasanya.

Setelah berbincang dan bertanyakan pendapat Guru Besar Taman Mawar, Pn Azlia, maka lima peserta yang menonjol keterampilannya kami pilih. Mereka-mereka yang pada kami mudah dan cepat faham arahan yang diberi. Bagi yang tak terpilih tak bermaksud tidak bagus, memandangkan jangkamasa yang diberikan agak suntuk, kami memerlukan murid-murid yang sebegini sebagai wakil pihak tadika. 

Tetapi beberapa hari sebelum pertandingan diadakan, ketika Pn Zainun menghantar borang penyertaan ke PAPG, pihak mereka meminta kami untuk menambah jumlah peserta kerana ada tadika yang tidak berminat untuk menyertai pertandingan ini. Maka dalam keadaan yang suntuk itu berjaya juga kami mendapatkan 5 lagi peserta. Kali ini wakil dari tadika yang agak jauh dari PAPG, Tadika Nur Pintar Bestari. Terima kasih ye kepada Cikgu Noorhasiah kerana memberikan kerjasama yang baik dalam masa yang sangat suntuk ini. Terima kasih juga kepada ibubapa yang terlibat,  sedia bekerjasama dengan kami.

Jadi pada 25hb Oktober 2016 (Selasa), saya membawa 10 murid Mybistari Group dari Tadika Pintar Bistari Taman Mawar dan Tadika Nur Pintar Bestari ke Pertandingan Spell It Right.

Wakil dari Tadika Pintar Bistari Taman Mawar.
1) Adam Irfan bin Norfaizal
2) Nurul Suraya binti Syaiful
3) Cahaya Ramadhania Adrieyani binti Muazamsyah
4) Muhammad Taufiq Rafie bin Mohd Khairy
5) Dayang Nurafrina Auni binti Mohd Fauzi

 Wakil dari Tadika Nur Pintar Bestari.
1) Dhea Nurfarisya binti Zulfadli
2) Nureen Batrisyia binti Adnan
3) Muhammad Hadif Zahin bin Hasni
4) Muhammad Arif Irfan bin Mohd Shafaril
5) Nur Aina Qaisara binti Ahmad Nawawi

Seperti yang diberitahu sebelum ini, penyertaan tadika amatlah terhad, hanya ada 8 tadika sahaja yang turut serta; Tadika Sistem, Tadika Menara Berkembar, Genius Qayyum, Smart Reader, Iq Iqram, Tadika Khalifah Mulia dan dua tadika kami.  Apabila sampai sahaja ke meja pendaftaran, saya perlu mencabut nombor bagi memastikan turutan pertandingan bagi setiap peserta. Baju tshirt peserta diagihkan dan selepas bersarapan mereka menyalin baju yang diterima.


Petugas sedang menyusun atur peserta mengikut giliran.

Muhd Arif Irfan (TNPB) sedang menanti perkataan yang
perlu diejanya.


Peserta sedang memilih perkataan dari mangkuk.

Muhd Taufiq Rafie (TM) sedang menanti giliran.

Makan sementara menunggu ke peringkat seterusnya.

Nur Aina Qaisara (TNPB) antara peserta yang layak
ke peringkat medium.

Peserta tunggal MyBistari yang berjaya ke peringkat hard,
Dhea Nurfarisya (TNPB)

Tahniah Dhea (tempat ke 5)


Sijil penyertaan yang diterima oleh para peserta.

Pertandingan dibahagikan kepada 3 peringkat; easy, medium, hard. Bagi easy, setiap perkataan mengandungi 4 huruf dan peserta perlu memilih sendiri perkataan tersebut dari mangkuk yang disediakan. Bagi peringkat medium 5 huruf dan hard 7 huruf. Begitulah perjalanan pertandingan bagi peringkat yang seterusnya.

Pencapaian yang agak baik pada pandangan saya apabila wakil dari MyBistari ada yang dapat ke peringkat medium dan hard. Dhea Nurfarisya binti Zulfadli, wakil dari Tadika Nur Pintar Bestari berjaya berada di dalam lingkungan Top 10 Spellers di kedudukan ke 5. Tahniah ya Dhea!!

~Cik Norifah~

Wednesday, October 19, 2016

AMALI SOLAT 2016


Khusyuk menunaikan solat

Bismillahirrahmanirrahim

“Sesungguhnya yang pertama sekali akan dihisab ke atas seorang hamba pada hari kiamat adalah perkara solat.  Jika solatnya baik, maka baiklah seluruh amal ibadah lainnya, kemudian semua amalannya akan dihitung atas hal itu,” (Hadith Riwayat An Nasa’i)

Seringkali ibu bapa yang datang untuk mendaftar anak di tadika kami akan bertanya,

“Cikgu, kat sini ada belajar Fardhu Ain tak ?  Mengaji ada termasuk sekali tak dalam pelajaran anak nanti? Saya nak anak saya umur 5 tahun dah pandai solat, bab membaca atau mengira saya tak kisah sangat, yang penting didikan agama.”

Itu antara pertanyaan dan harapan yang diberikan oleh pihak ibu bapa ketika datang untuk mendaftarkan anak-anak mereka di sini.

Ingin saya mengambil kesempatan disini untuk menerangkan yang kami tidak menawarkan kelas 
Fardhu Ain ataupun kelas Iqra di dalam silibus kami. Tetapi tidak bermaksud murid-murid di sini tiada penekanan agama langsung.

Bagi murid K2, ketika semester 1 mereka akan didedahkan dengan mata pelajaran Pendidikan Islam yang fokusnya adalah dalam bab akidah. Murid akan diperkenalkan dengan Rukun Iman. . Setiap rukun yang terkandung di dalam Rukun Iman akan diajar kepada murid-murid. Dalam semester ini juga murid-murid diwajibkan untuk menghafal surah-surah lazim dan juga doa-doa harian. Hafalan mereka akan direkodkan oleh guru kelas dan sekiranya hafalan tidak memuaskan hati guru, murid dikehendaki mengulangi hafalan itu lagi. Begitu juga dengan murid K1, ada bacaan dan doa yang perlu dihafalkan mengikut tahap mereka.

Pada semester 2 pula mereka akan didedahkan dengan bab ibadah. Rukun Islam akan diperkenalkan kepada murid-murid. Ketika ini juga niat-niat solat akan diajarkan kepada mereka.  Bacaan-bacaan dalam solat juga dimasukkan dalam hafalan bulanan mereka dan seperti juga semester 1, di semester 2 bacaan ini juga direkodkan.

Amali solat hanya akan dilakukan apabila peperiksaan semester 2 tamat. Murid-murid akan dipantau dari cara mengambil wuduk sehinggalah bacaan doa selepas solat. Punyalah seronok apabila guru mereka menyampaikan pesan untuk membawa telekung, songkok dan sejadah, habis keluar semua cerita pengalaman mereka menunaikan solat bersama keluarga tercinta.


Bersedia untuk mengambil wuduk (TIPB)

Jangan lupa di bahagian celah-celah jari ye (TIB)

Rapatkan saf semua!! (TIB)

Sejuk hati bila tengok sudah pandai imamkan solat (TIPB)

Pastikan cara duduk antara dua solat betul (TIPB)

Alhamdulillah, lancar bacaan doa qunut (TS2)

Yang belum lancar, dapat melancarkan lagi 
dengan baca bersama-sama(TS2)

Duduk antara 2 sujud (TS1)

Jangan ada yang tertidur masa sujud (TS2)

Bacaan doa selepas solat (TS1)

Selesai sudah solat (TS1)

Salam bersalaman 

Alhamdulillah amali ibadah wajib ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan baik. Harapan kami agar ibadah ini tetap diterapkan juga di rumah. Anak-anak suka apabila dibawa ke surau atau masjid untuk solat. Ini daripada apa yang saya dengar perbualan mereka ketika bersiap untuk amali solat di tadika. Pupuk dan binalah semangat cintakan ibadah dari kecil. Sekadar ingatan bagi ibu bapa, doa dari anak-anak inilah nanti yang menjadi bekalan kita nanti, nak harapkan ilmu bermanfaat yang disampaikan dan sedekah jariah yang kita lakukan, itu tak pasti lagi di sisi Allah. Jadi bentuklah anak-anak ini agar menjadi anak yang soleh dan solehah yang dapat mendoakan kita suatu hari nanti. 

~Cikgu Norifah~

Tuesday, October 18, 2016

MINGGU PERAH OTAK

Mana satu ya jawapannya? (TM)
Bismillahirrahmanirrrahim.

Bermula dari minggu lepas, suasana di semua cawangan Tadika Pintar Bistari sibuk. Cikgu tak menang tangan membuat kerja dan tak cukup tanah mengejar masa. Memang beginilah keadaan yang kami hadapi saban tahun apabila semester sudah semakin sampai ke penghujungnya.

Minggu lepas seperti yang sedia maklum, peperiksaan akhir tahun dijalankan di semua cawangan kami. Sekejap sahaja rasanya semester 2 ini berlalu, sudah hampir cecah ke akhir tahun. Pada pandangan mata ini seperti baru sahaja terdengar-dengar suara cikgu di kelas 5 Bistari mengajar dan memperkenalkan sempoa, subjek yang pada awalnya bukan sahaja memberi tekanan kepada murid, bahkan kepada ibu bapa dan juga guru yang mengajar. Mana taknya, jika kelas 5 tahun biasa, murid-murid akan diperkenalkan sedikit demi sedikit dengan sempoa, tetapi tidak bagi murid 5 Bistari, mereka akan didedahkan dengan pengajaran sempoa yang setaraf dengan murid 6 tahun. Sama sahaja seperti tahun-tahun yang sudah, bila masuk sahaja ke semester kedua, ada ketikanya suasana akan kembali seperti pada awal tahun kemasukkan mereka. Jangan pelik, ini kerana bagi murid 5 tahun, mereka diasingkan mengikut tahap pencapaian mereka. Tak semua dari mereka yang dapat menyesuaikan diri dengan rakan-rakan dan guru yang baru, bermulalah kembali episod berkejaran dan pujuk memujuk untuk masuk ke kelas.

Itu semua antara kenangan yang tak dapat dilupakan. Ketika meluangkan masa memantau perjalanan peperiksaan akhir tahun di kelas-kelas, hati ini dijentik dengan rasa sayu, lebih-lebih lagi apabila ke kelas 6 tahun dan 6 bistari. Masa kami bersama mereka sudah hampir ke penghujungnya. Terlalu cepat rasanya masa berlalu. Dari tidak pandai memegang pensel sehinggalah pandai menulis dan melukis, dari kegeraman asyik menangis yang akhirnya berbual mesra dengan guru, aduh.. kami bakal merindui mereka. 

Penerangan sedang dibuat sebelum murid-murid menjawab soalan (TKM1)

Membaca soalan dengan teliti sebelum memberikan jawapan (TNPB)

Masing-masing fokus menjawab soalan (TIB)

"Soalan ni nak apa sebenarnya cikgu?" (TIPB)

"Eii.. jangan tengok jawapan kitalah!" (TS1)

Kemahiran mengira diperlukan dalam soalan ini (TMPB)

Baca doa dahulu sebelum memulakan peperiksaan (TMPB)

"Hmmmm.. soalan ni nak jawab macamana ye?" (TM)

Minggu ini pula, adalah minggu penandaan dan juga memasukkan markah peperiksaan. Minggu yang paling genting bagi guru-guru kami. Bermacam gaya menanda yang dapat kami lihat, ada yang tersengih-sengih ketika menanda, senang hati barangkali dengan pencapaian anak didiknya. Ada yang berkerut-kerut sambil menggelengkan kepala, tanda kurang puas hati, dan ada juga yang pada awalnya tersenyum, tetapi akhirnya muncung, kenapa rasanya?

"Kita dah target dia ni Cik Ifah.. awal-awal tu cantik aje dia jawab, dah nak akhir ni ada pulak salahnya," masam mencuka jadi mukanya.

Biasalah, dah namanya pun peperiksaan, walaupun ada ketikanya kita merasakan yang anak murid kita tu boleh menjawab soalan dengan baik, kesilapan dan kecuaian boleh berlaku.

Ada juga cikgu yang tak jangka pencapaian anak muridnya,

"Cik Ifah.. percaya tak kalau saya cakap yang dia ni dalam ranking top 5? Tak sangka kan? Dalam kelas tak banyak cakap, kalau nak suruh ke depan untuk jawab pun kena pujuk,"

Ye.. itu saya percaya kerana anak-anak murid kita ni bermacam ragamnya. Tak semestinya anak murid yang pasif itu kurang cerdik, cuma mungkin belum tergerak hatinya untuk menunjukkan bakat dan kelebihannya. Saya pernah berhadapan dengan anak murid yang sepanjang Semester 1 tak mahu berbual dan belajar, tetapi semua kerja sekolahnya akan dihantar keesokkan harinya, bila sudah masuk Semester 2, baru tergerak hatinya untuk menegur saya dan mula membaca Bacalah, pandai budaknya, dalam masa sebulan lebih perkembangannya amat memberangsangkan. Bekerja dengan anak-anak kecil ini, silalah "expect the unexpected". 

Jika ditolak dengan cuti hujung minggu dan cuti-cuti yang lain, cuma tinggal tak sampai sebulan sahaja lagi murid 6 tahun bersama-sama dengan kami. Selesainya peperiksaan ini, ada dua lagi program yang melibatkan mereka yang perlu kami laksanakan; Hari Terbuka dan juga Hari Anugerah Cemerlang. Ibu, ayah.. jangan lupa datang ke tadika anak masing-masing ye pada 27 Oktober 2016 (Khamis) minggu hadapan untuk berjumpa dengan guru kelas mereka. Manfaatkanlah masa yang ada ini untuk datang dan berbincang dengan kami, kita tak tahu entah bila akan dapat bersua muka lagi.

~Cikgu Norifah~