Showing posts with label peperiksaan. Show all posts
Showing posts with label peperiksaan. Show all posts

Sunday, May 20, 2018

PEPERIKSAAN SEMESTER 1 2018


Bismillahirrahmanirrahim

Bersedia untuk mendengar arahan yang akan diberikan (TS2)

“Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah bagiku tugasku, dan lepaskanlah simpulan daripada lidahku supaya mereka faham perkataanku..”

Itu antara doa yang sering dilafazkan ketika hendak menduduki peperiksaan.  Bagi warga Mybistari, bukan sekadar para ibu bapa yang mendoakan untuk anak-anak mereka, guru-guru juga sama, mengharapkan anak didik dapat melakukan yang terbaik dan dipermudahkan.

Murid-murid dilatih untuk menyusun beg di luar kelas (TS2)

Jom ambil beg, kita dah habis jawab semua soalan peperiksaan! (TS2)

Peperiksaan semester 1 telahpun berakhir pada minggu lepas. Minggu ini dan seterusnya adalah waktu penandaan dan semak semula kertas jawapan murid.

Debar cikgu dan debar ibu bapa masih juga tak surut walaupun peperiksaan sudah berakhir, yang seronok kelihatannya adalah anak-anak murid. Dari sebelum peperiksaan, hari peperiksaan sehinggalah ke hari ini, mood seronok tak berkurangan. Lagilah bagi murid-murid 5 tahun yang pertama kali menghadapi peperiksaan. Mereka merasakan peperiksaan ini umpama menyiapkan worksheet yang diberi kepada mereka setiap hujung minggu. Siap ada yang mahu tolong kawannya yang tak faham soalan.

Fokus menjawab soalan peperiksaan (TMPB)

Hmmm.. saya rasa betul dah ni.. ok. saya yakin!! (TM)

Kami dah siap tulis nama, cikgu!! (TKM)

Sesiapa yang masih tak tahu nak eja nama kelas, tengok kat sini ya..(TIB)

Guru sedang membantu murid memahami soalan,
jangan terberi jawapan sudah ya.. (TIB)

Bahagian mana tadi yang rasanya saya ada buat silap eh.. (TIMB)

Alhamdulillah, walaupun tarikh peperiksaan terpaksa  kami awalkan dari tarikh yang dirancang, aktiviti ini dapat dijalankan dengan baik. Terima kasih kami ucapkan kepada para guru yang berhempas pulas membuat ulangkaji dengan anak-anak murid dan juga pihak ibu bapa yang juga turut membimbing anak-anak di rumah. Untuk masa sekarang ini, marilah kita sama-sama menanti keputusan peperiksaan ya. 
Insyaallah keputusan peperiksaan akan dapat dilihat pada 24hb Mei nanti di  E-WARIS

Masa exam ni pun ada paparazi.. ok jap saya pose!! (TIPB)

Guru memantau ketika peperiksaan (TS2)

Jangan gerak sempoa.. saya nak tulis jawapan ni.. (TS2)

Yes!! Ada pun soalan yang saya ulangkaji malam tadi! (TIMB)

Hmmm.. sekali soalannya dalam Bahasa Arab daaa.. (TIMB)


Sikit je lagi nak siap kira ni.. (TS1)

Tekun menghadap kertas soalan (TIB)

Peperiksaan paling mudah tetapi yang paling murid cepat penat,
mewarna. (TNPB)

Alamak, kita ni macam kembar tak seiras lah.. (TNPB)

Sikit lagi.. sikit lagi.. (TMPB)

Cikgu, untuk yang ini kalau terwarna sama tak dikira meniru kan? (TMPB)

Alhamdulillah.. siap juga saya warna gambar ni (TNPB)

Pesanan kami kepada para ibu bapa, terimalah apa sahaja keputusan anak-anak anda dengan hati yang terbuka. Akan ada murid yang dapat keputusan cemerlang, dan akan ada murid yang sebaliknya. Jangan anak yang mendapat keputusan cemerlang dirai, tapi anak-anak yang tak mencapai keputusan yang kita inginkan kita biarkan tanpa beri kata-kata semangat padanya. Nampak mudah, tapi dari sekecil inilah kita bentuk keyakinan diri, dan pupuk nilai positif dalam diri mereka. Perlu diingat, anak-anak lebih mudah belajar dari layanan kita kepada mereka berbanding segala macam pesanan yang kita beri pada mereka.


Di kesempatan ini kami warga MyBistari Group ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua. Insyaallah seperti yang dirancang, Hari Terbuka Sem 1 akan diadakan pada 10 dan 11hb Jun 2018, di penghujung Ramadhan. Sila berlapang dada dengan keputusan peperiksaan anak-anak ya, jangan marah-marah sangat, nanti kurang pahala puasanya.

~Cikgu Norifah~

Thursday, October 12, 2017

2017 PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN

Suasana peperiksaan di Tadika Intelek Minda Bestari.

Bismillahirrahmanirrahim.

“Bertemu dan berpisah adat manusia biasa
Hilang di mata tapi di hati tidak lupa
Berdoalah kita agar aman dan sentosa
Semoga kita berjumpa lagi di lain masa”

Antara bait lirik lagu “Bertemu dan Berpisah”. Lirik yang senang cerita agak sensitif bagi majoriti guru-guru di tadika sekarang ini. Bukannya apa, kami faham situasi ini tetap akan berlaku setiap tahun, tetapi setiap tahun itu jugalah kami kalah untuk berhadapan dengan situasi yang bakal berlaku tak lama lagi.

Minggu ini adalah minggu terakhir murid-murid menjalani peperiksaan akhir tahun, ujian terakhir bagi murid-murid K2 sebelum mereka melangkah masuk ke alam persekolahan yang lain. Bila kami melangkah masuk ke kelas-kelas untuk memantau dan melihat perjalanan peperiksaan, terselit juga rasa bangga dengan hasil yang ditunjukkan oleh kebanyakan anak-anak ini, dalam masa yang sama risau juga, bagaimana agaknya nanti prestasi mereka apabila di sekolah rendah? 

Jika anak-anak murid yang cerdik pandai pun kami risaukan, apatah lagi anak-anak murid kami yang aktif di dalam kelas, tidak dapat memberi tumpuan dalam sesi P&P dan yang kurang menyerlah akademiknya, itu lagilah membimbangkan kami. Tetapi kami yakin, mereka akan Insyaallah baik-baik sahaja apabila ke sekolah rendah.

Alhamdulillah, peperiksaan akhir tahun dapat berjalan dengan lancar, cikgu-cikgu pun sudah sampai ke peringkat menyemak semula penandaan dan permarkahan kertas soalan. Sebagaimana para ibu bapa tidak sabar menanti keputusan peperiksaan, kami juga sama. Jadi kita sama-samalah menunggu ya, sementara menunggu tu jom kita lihat beberapa gambar yang dikongsikan oleh pihak guru besar semasa peperiksaan dijalankan!

Duduk ikut keselesaan semasa menjawab soalan (TIPB)

Masing-masing tenang menjawab soalan (TIPB)

Baca soalan baik-baik sebelum jawab ye (TIPB)

Alah.. kacang aje soalan ni.. (TIPB)

Apa ya jawapannya? Tadi macam ingat,, (TIMB)

Alamak, dia nak jawab habis dah tu.. saya masih di muka surat awal lagi (TIMB)

Sempat lagi dia pandang kamera cikgu (TNPB)

Kertas soalan ni kena letak bawah sempoa.(TNPB)

Ok, semua dah sedia untuk jawab peperiksaan? (TNPB)

Boleh buat tak tu? Kalau tak boleh buat soalan lain dulu (TNPB)

Ish... saya ada buat ulangkaji dengan mak malam
tadi soalan yang macam ni (TIB)

Yea.. yea.. dah siap, boleh simpan semua alatulis! (TIB)
Di sini juga kami kongsikan video Pertandingan Sempoa dan Congak 2017 yang tak sempat kami kongsikan pada posting yang terdahulu.


Untuk tahun ini, cuma tinggal satu acara sahaja lagi, acara yang paling gemilang sekali iaitu Hari Anugerah Cemerlang 2017. Selain dari bertungkus lumus menyiapkan penandaan dan juga persiapan hari terbuka, para guru juga sedang sibuk memilih lagu dan juga persembahan yang bakal dipersembahkan nanti pada hari anugerah tersebut.

Semoga berjumpa nanti di Hari Anugerah Cemerlang 2017!

~Cikgu Norifah~ 



Tuesday, October 18, 2016

MINGGU PERAH OTAK

Mana satu ya jawapannya? (TM)
Bismillahirrahmanirrrahim.

Bermula dari minggu lepas, suasana di semua cawangan Tadika Pintar Bistari sibuk. Cikgu tak menang tangan membuat kerja dan tak cukup tanah mengejar masa. Memang beginilah keadaan yang kami hadapi saban tahun apabila semester sudah semakin sampai ke penghujungnya.

Minggu lepas seperti yang sedia maklum, peperiksaan akhir tahun dijalankan di semua cawangan kami. Sekejap sahaja rasanya semester 2 ini berlalu, sudah hampir cecah ke akhir tahun. Pada pandangan mata ini seperti baru sahaja terdengar-dengar suara cikgu di kelas 5 Bistari mengajar dan memperkenalkan sempoa, subjek yang pada awalnya bukan sahaja memberi tekanan kepada murid, bahkan kepada ibu bapa dan juga guru yang mengajar. Mana taknya, jika kelas 5 tahun biasa, murid-murid akan diperkenalkan sedikit demi sedikit dengan sempoa, tetapi tidak bagi murid 5 Bistari, mereka akan didedahkan dengan pengajaran sempoa yang setaraf dengan murid 6 tahun. Sama sahaja seperti tahun-tahun yang sudah, bila masuk sahaja ke semester kedua, ada ketikanya suasana akan kembali seperti pada awal tahun kemasukkan mereka. Jangan pelik, ini kerana bagi murid 5 tahun, mereka diasingkan mengikut tahap pencapaian mereka. Tak semua dari mereka yang dapat menyesuaikan diri dengan rakan-rakan dan guru yang baru, bermulalah kembali episod berkejaran dan pujuk memujuk untuk masuk ke kelas.

Itu semua antara kenangan yang tak dapat dilupakan. Ketika meluangkan masa memantau perjalanan peperiksaan akhir tahun di kelas-kelas, hati ini dijentik dengan rasa sayu, lebih-lebih lagi apabila ke kelas 6 tahun dan 6 bistari. Masa kami bersama mereka sudah hampir ke penghujungnya. Terlalu cepat rasanya masa berlalu. Dari tidak pandai memegang pensel sehinggalah pandai menulis dan melukis, dari kegeraman asyik menangis yang akhirnya berbual mesra dengan guru, aduh.. kami bakal merindui mereka. 

Penerangan sedang dibuat sebelum murid-murid menjawab soalan (TKM1)

Membaca soalan dengan teliti sebelum memberikan jawapan (TNPB)

Masing-masing fokus menjawab soalan (TIB)

"Soalan ni nak apa sebenarnya cikgu?" (TIPB)

"Eii.. jangan tengok jawapan kitalah!" (TS1)

Kemahiran mengira diperlukan dalam soalan ini (TMPB)

Baca doa dahulu sebelum memulakan peperiksaan (TMPB)

"Hmmmm.. soalan ni nak jawab macamana ye?" (TM)

Minggu ini pula, adalah minggu penandaan dan juga memasukkan markah peperiksaan. Minggu yang paling genting bagi guru-guru kami. Bermacam gaya menanda yang dapat kami lihat, ada yang tersengih-sengih ketika menanda, senang hati barangkali dengan pencapaian anak didiknya. Ada yang berkerut-kerut sambil menggelengkan kepala, tanda kurang puas hati, dan ada juga yang pada awalnya tersenyum, tetapi akhirnya muncung, kenapa rasanya?

"Kita dah target dia ni Cik Ifah.. awal-awal tu cantik aje dia jawab, dah nak akhir ni ada pulak salahnya," masam mencuka jadi mukanya.

Biasalah, dah namanya pun peperiksaan, walaupun ada ketikanya kita merasakan yang anak murid kita tu boleh menjawab soalan dengan baik, kesilapan dan kecuaian boleh berlaku.

Ada juga cikgu yang tak jangka pencapaian anak muridnya,

"Cik Ifah.. percaya tak kalau saya cakap yang dia ni dalam ranking top 5? Tak sangka kan? Dalam kelas tak banyak cakap, kalau nak suruh ke depan untuk jawab pun kena pujuk,"

Ye.. itu saya percaya kerana anak-anak murid kita ni bermacam ragamnya. Tak semestinya anak murid yang pasif itu kurang cerdik, cuma mungkin belum tergerak hatinya untuk menunjukkan bakat dan kelebihannya. Saya pernah berhadapan dengan anak murid yang sepanjang Semester 1 tak mahu berbual dan belajar, tetapi semua kerja sekolahnya akan dihantar keesokkan harinya, bila sudah masuk Semester 2, baru tergerak hatinya untuk menegur saya dan mula membaca Bacalah, pandai budaknya, dalam masa sebulan lebih perkembangannya amat memberangsangkan. Bekerja dengan anak-anak kecil ini, silalah "expect the unexpected". 

Jika ditolak dengan cuti hujung minggu dan cuti-cuti yang lain, cuma tinggal tak sampai sebulan sahaja lagi murid 6 tahun bersama-sama dengan kami. Selesainya peperiksaan ini, ada dua lagi program yang melibatkan mereka yang perlu kami laksanakan; Hari Terbuka dan juga Hari Anugerah Cemerlang. Ibu, ayah.. jangan lupa datang ke tadika anak masing-masing ye pada 27 Oktober 2016 (Khamis) minggu hadapan untuk berjumpa dengan guru kelas mereka. Manfaatkanlah masa yang ada ini untuk datang dan berbincang dengan kami, kita tak tahu entah bila akan dapat bersua muka lagi.

~Cikgu Norifah~

Monday, May 9, 2016

DEBARAN MASIH TERASA


Berdoa dulu sebelum jawab soalan

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah berakhir juga peperiksaan semester 1 bagi tahun ini. Oppsss.. tapi bagi di cawangan-cawangan Tadika Pintar Bistari, Tadika Nur Pintar Bestari, Tadika Ilmu Pintar Bestari dan Tadika Minda Pintar Bestari sahaja ye.. murid- murid di Tadika Inovasi Bestari masih ada dua kertas lagi yang perlu mereka jalani. Ini semua kerana mereka telah dicutikan pada hari Rabu yang lalu disebabkan oleh selenggaraan elektrik oleh pihak TNB. Selamat menjawab soalan ye!!

Dengan berakhirnya peperiksaan ini, guru-guru akan mula sibuk dengan tugasan yang lain; menanda dan menyemak kertas soalan murid. Satu tugasan yang memerlukan perhatian yang serius. Naik berpinar mata cikgu menanda kertas anak-anak murid, mana taknya penandaan bukan sekadar sehelai dua, tapi berpuluh-puluh helai. Tak cukup dengan guru yang menanda, akan ada pula guru yang akan menyemak kembali penandaan yang telah siap dan kemudian, Guru Besar pula yang akan menyemak untuk kali terakhir. Macam nak menghasilkan minyak yang berkualiti tinggi, saringan kertas itu juga berperingkat-peringkat.

Kami sentiasa cuba untuk memberikan yang terbaik, termasuklah dalam proses penandaan kertas soalan. Tetapi ada masanya, bila sudah terlalu banyak kertas yang hendak ditanda dan disemak, guru-guru kami juga tidak lepas dari membuat kesilapan, walaupun telah diperiksa sehingga peringkat yang teratas sekali, pihak Guru Besar. Di sini saya ingin memohon jasa baik ibu bapa, sekiranya nanti terdapat kesilapan dari pihak kami dalam segi penandaaan, harap dapat berbincang dengan baik dan segala pertukaran markah atau kedudukan anak tuan puan sekiranya agak terlewat dari pihak kami, harap maklum mungkin di ketika itu ada perkara lain yang perlu kami utamakan.

Segala perubahan dari segi markah dan kedudukan, itu adalah tugasan kami di bahagian pengurusan, bukan tugasan guru-guru dan Guru Besar di cawangan. Pernah sebelum ini ada ibu bapa yang meminta Guru Besar untuk terus menukar kedudukan di laman web kami pada waktu itu juga. Maaf ye, ibu.. ayah.. mereka tidak dapat berbuat demikian kerana mereka perlu melaporkannya terlebih dahulu kepada kami.

Sebelum terlupa, ingin saya kongsikan serba sedikit gelagat-gelagat yang sempat dirakam ketika peperiksaan dijalankan tempohari. Mari kita tengok siapa yang khusyuk menjawab soalan dan mana yang seperti menunggu jawapan turun dari langit.
Tekun menjawab kertas soalan.

Kuat semangat.. tak sihat pun datang untuk
ambil periksa.


Ehhh... masih sempat lagi posing.. fokus adik fokus!

Alamak! Huruf yang mana satu ye?

Senang aje soalannya ni.

Guru sedang memantau perjalanan peperiksaan.

Ni.. semak betul-betul sebelum hantar kertas pada cikgu.

Cikgu memerhati sahaja jawapan yang ditulis oleh murid.

Penerangan kertas soalan kepada murid-murid sebelum peperiksaan dimulakan.

Cantiknya adik ni mewarna...

Debaran sebenarnya masih belum berakhir lagi bagi pihak guru kerana dengan berakhirnya peperiksaan semester 1 ini, akan ada agenda lain yang menunggu, Hari Terbuka Semester 1. Hari di mana pihak ibu bapa akan datang berjumpa dengan guru-guru, berbincang mengenai prestasi anak-anak bukan sahaja dalam hal peperiksaan, tetapi juga perkembangan JERIS (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek, Sosial) anak-anak sepanjang semester 1. Kita sama-sama nantikan hari yang mendebarkan ini ye! Bila tu?

Untuk K1 ~ Rabu 1 Jun 2016
Untuk K2 ~ Khamis 2 Jun 2016

Tetapi sekiranya tuan puan ada 2 anak diperingkat K1 dan K2, maka boleh memilih mana2 hari yang  dirasakan bersesuaian. 

~Cikgu Norifah~