Thursday, November 9, 2017

MELAKA : SETAHUN YANG LEPAS

Bismillahirrahmanirrahim.
Wajah ceria geng jalan-jalan.
“Jauh perjalanan, luas pemandangan, bertambah pengalaman.” 

Bila sudah semakin hampir ke hujung tahun, kerja-kerja untuk tahun ini Insyaallah semakin berkurangan. Waktu yang sebeginilah yang digunakan untuk menenangkan fikiran dan merasai suasana di tempat orang. Ketika saya menulis posting untuk kali ini, beberapa Guru Besar kami, Puan Umaisah (TMPB), Cik Siti Aminah (TIPB), Cik Noorfazlini (TNPB) dan juga Cik Nor Nadirah (TS2) sedang dalam rangka bercuti dengan pengurus kami, Puan Zainun di Bogor, Indonesia. Bermacam juga cerita dan gambar yang dikongsikan di grup whatsapp kami, nak tunggu cerita selebihnya kita tunggu mereka semua pulang ke Malaysia ye.

Untuk kali ini, saya nak bawa semua ke tahun lepas, nak bercerita sedikit tentang aktiviti jalan-jalan Guru Besar dan pihak pengurusan, tak jauh.. kami ke Melaka sahaja. Dekat sahaja, tapi pengalaman yang kami peroleh sangat berharga. Kami bertolak ke Melaka dengan 2 buah kereta, terima kasih ya Pn Zainun, percayakan saya untuk pandu kereta baru Puan Zai, kecut juga perut, tapi tu lah.. bila bawa kereta baru, sedap je meluncur laju di lebuhraya.

Wajah-wajah ceria berjalan-jalan.

Destinasi pertama kami adalah Freeport A’Farmosa Outlet, tempatnya sama sahaja macam Johore Premium Outlet. Dalam hati ni dah mula berfikir-fikir, apa ya yang hendak dilakukan di sini, saya ni bukannya kaki shopping. Duit pun bawa cukup-cukup sahaja untuk perbelanjaan makan dan minum sepanjang aktiviti jalan-jalan ni. Sahabat-sahabat yang lain ada yang mula merancang kedai apa yang ingin mereka kunjungi. Tak lama kemudiannya Puan Zainun memanggil kami untuk berhimpun sebentar, ada sedikit taklimat katanya. Rupanya ada rezeki lagi untuk kami, Puan Zainun meminta kami memilih sampul duit hari raya yang ada padanya dan perlu menggunakan jumlah yang ada untuk membeli belah. Ahhh.. sudah.. ketika yang lain-lain semakin rancak berbincang barangan yang ingin dibeli dan kedai mana yang hendak dituju, saya terkebil-kebil sambil memegang sampul yang diberi. Nasiblah ada Cikgu Seri Rahayu Nengsih yang faham permasalahan saya, tak tahu nak beli apa. Otak ni fikir, nanti pulangkan sahajalah bila Puan Zainun minta tunjukkan barangan yang dibeli. Jadi setelah berbincang sedikit dengan Cikgu Ayu, kami masing-masing ikut hala tuju mencari barangan yang dihajati.

Freeport A'Farmosa Outlet

Tersenyum bahagia dengan hasil tangkapan masing-masing yang cukup berbaloi.

Setelah penat membeli belah, perut masing-masing pun sudah mula berkeroncong, kami pun bergerak meninggalkan outlet terbabit. Semua yang berada di dalam kereta diam sahaja, penat barangkali ulang alik keliling outlet tu, cari barangan yang berkenan. Ada juga yang menggunakan masa sekejap itu untuk melelapkan mata. Nasiblah saya kena pandu kereta, kalau tidak, sama juga akan lelapkan mata. Untuk makan tengahari, kami dijamu di Rumah Makan Cibiuk. Orang selalu kaitkan Melaka dengan asam pedas kan? Tapi kami di sini tak cari asam pedas, kami makan masakan Sunda, sedap juga. Terima kasih sekali lagi ye Puan Zainun, beri kami peluang untuk rasa lauk pauk orang Sunda, tak perlu ke Indonesia untuk merasainya.

Bergambar di hadapan restoran.

Sempat lagi check handphone time nak makan.

Jom serbu!!!

Kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke tempat penginapan kami, boleh tahan jauh juga tempatnya, hampir setiap kali signal diberi kami mengharapkan sudah sampai, tetapi tak juga. Hahaha. Rupa-rupanya kami akan bermalam di sebuah banglo besar dalam sebuah resort. Juga, sesuatu yang kami tak jangkakan.  Walaupun Agrofarmstay ini agak terpencil dari bandar, tetapi suasananya  cukup selesa. Setelah siap menurunkan barang, berehat dan solat, kami pun bersedia untuk agenda seterusnya iaitu berstimbot dan berbarbeque untuk makan malam. Sempat juga kami merayau-rayau di dalam resort pada waktu malam untuk mencari air. Masing-masing berlagak berani pada mulanya, tapi bila suasana semakin sunyi dan gelap, apa lagi, buka langkah seribu semua lari kembali ke rumah banglo di atas bukit tu. Entah pukul berapa mereka tidur, saya pun tak pasti kerana saya sudah masuk tidur dahulu. Perlukan rehat yang lebih kerana esok akan sambung memandu.

Tempat kami bermalam.

Jom bergambar sebelum balik!!

Keesokkan harinya kami bersarapan dengan nasi lemak air tangan bonda. Alhamdulillah sedap. Kami kemudiannya bersiap-siap untuk check out. Aktiviti jalan-jalan kami diteruskan lagi  ke Bayou Lagoon Park Resort, ke salah satu tarikan yang ada di sana, Magic Art Museum. Pada awalnya agak kaku juga gaya cikgu-cikgu berposing di lukisan-lukisan yang ada, tapi itu semua tak lama, selepas beberapa minit, bermacam-macam aksi yang mereka tunjukkan. Agak lama juga masa yang kami habiskan di Magic Art Music, bayangkan, satu lukisan tu paling kurang akan ada 3 posing yang berbeza.
Bergambar di bahagian luar Magic Arts Museum

Masih awal lagi.. posing pun tak cantik lagi.

Syuusshhh..jangan di kejut beruang kutub tu!!

Jarang dapat tengok orang yang bahagia bila kena tendang macam
Puan Fiza ni.. err.. Puan Azlia, buat apa tu ye? 
Hati-hati!! jangan jatuh!!!



Rasa-rasa ada buaya tak kat bawah tu?

Ishhh.. macam-macam gaya ada kat sini.

Wahhh!! Cover front page!!!

Jangan bising.. harimau ada tunggu kat situ!!

Sepatutnya gaya macamana yang kena buat di sini?

Macam ringan aje ikan paus tu.

Dua beranak ni tak kurang hebatnya, menangkap ketam gergasi.
Kami kemudiannya ke Bandar Hilir sebentar untuk membeli belah. Sakan berjalan-jalan, buah tangan untuk yang ditinggalkan di Johor perlu dicari juga. Berbotol-botol cencaluk yang dibeli, belacan pun berplastik-plastik, harumlah nanti kita semua dalam kereta ya.

Perhentian terakhir kami adalah di RnR Pagoh, untuk makan dan juga solat. Seterusnya kami meneruskan perjalanan pulang ke Pasir Gudang. Sepanjang perjalanan para penumpang lebih banyak diam dari bersuara, penatlah tu semuanya. Petangnya kami selamat tiba di Taman Mawar. Perjalanan yang pendek tetapi sangat memuaskan hati kami. Terima kasih sekali lagi kami ucapkan kepada Puan Zainun dan Encik Ahamed Tamizi.

Sesi pemulangan kereta bos.. Alhamdulillah selamat sampai.
Berbalik pada situasi sekarang ini, didoakan semoga percutian Guru Besar dan Puan Zainun di Bogor, Indonesia di dalam perlindunganNya dan selamat kembali kepada kami di sini!!

~Cikgu Norifah~

Wednesday, November 1, 2017

HARI JALINAN KASIH SEMESTER 2 2017

Bismillahirrahmanirrahim.

Ambil peluang bergambar di papan notis peperiksaan (TM)
Bismillahirrahmanirrahim..

“Tidak ada kebaikan ibadah yang tidak ada ilmunya dan tidak ada kebaikan ilmu yang tidak difahami dan tidak ada kebaikan bacaan kalau tidak ada perhatian untuknya.” 
(Saidina Ali Bin Abi Talib)

Semoga segala ilmu yang kami curahkan kepada anak-anak murid dapat keberkatan dariNya. Itulah nikmat yang paling utama dalam proses pembelajaran anak-anak yang diamanahkan kepada kami.

Bila kenang kembali segala macam pengalaman yang kami sama-sama harungi sepanjang tahun ini, dari minggu suai kenal hinggalah ke hari ini, antara minggu –minggu terakhir dengan mereka, sibuk dengan latihan untuk persembahan di Hari Anugerah Cemerlang yang bakal berlangsung pada akhir bulan nanti, Alhamdulillah.. kami mampu tersenyum dengan rasa bangga.

Minggu lepas telahpun kami adakan Hari Terbuka Semester Akhir 2017. Kehadiran para ibu bapa dan penjaga pada kami amat memuaskan. Terima kasih kerana datang untuk luangkan masa berbincang dan berkongsi prestasi anak-anak walaupun ada diantara mereka yang tidak akan bersama kami lagi untuk tahun hadapan.

Maaf dari pihak kami sekiranya ada jawapan dari guru-guru kami yang kurang memuaskan hati para ibu bapa. Terus terang, sebagaimana gementarnya ibu bapa hendak  lihat pencapaian anak-anak, begitu jugalah gementarnya para guru kami untuk berhadapan dan menjawab segala persoalan yang ibubapa sediakan untuk mereka. Kami guru-guru lama pun masih ada rasa gementar tu. Bukan mudah untuk memberi penjelasan kepada para ibu bapa sekiranya apa yang mereka harapkan tidak tercapai. Ada di antara para ibubapa yang secara terus memarahi anak-anak di hadapan guru apabila prestasinya kurang memuaskan. Ibu, ayah.. anak juga ada rasa malu dan maruah mereka sendiri, kalau nak marah, tunggulah sehingga berada di dalam kereta ataupun di rumah. Kami di sini juga sebolehnya mahu menggilap segala potensi yang ada pada anak-anak yang diamanahkan kepada kami. Mungkin ada murid yang kurang menyerlah dalam bidang akademik, tetapi dari segi pengurusan diri dan bersosial, ada peningkatannya. Cuba kita sama-sama cari sisi positif dalam diri anak-anak kita ya.

Sambutan yang memuaskan dari ibu bapa (TIB)

Apa yang dibualkan tu ya Pn Amalina? (TIB)

Ini puan boleh tengok prestasi hafalan bulanannya. (TM) 
Mari saya kongsikan berkenaan anak puan. (TS1)


Semangat tu Cik Rabiatul terangkan pada ibu tu. (TS1)

Suasana yang meriah di TIPB.

Seriusnya tu Cik Yasmin. (TNPB)

Adalah tu yang menggelikan hati ya. (TS1)

Terima kasih atas sokongan yang diberi. Satu keluarga datang
untuk hari terbuka.(TMPB)

Suasana perjumpaan di TIMB.

Masih sempat berposing lagi. (TIMB)
Terima kasih kami ucapkan kepada ibubapa yang memberikan hadiah dan penghargaan kepada guru-guru yang mengajar anak-anak mereka. Bukan itu yang kami harapkan, apa yang lebih menggembirakan kami adalah apabila dapat turut sama membantu proses perkembangan anak-anak yang di bawah jagaan kami. Lebih gembira lagi apabila ada pihak ibubapa yang sudi berkongsi kasih sayang anak mereka dengan kami, rajin bercerita tentang anak-anak mereka, samada yang masih belajar di tadika mahupun yang berada di sekolah kebangsaan dan menengah. Ketika hari terbuka ini jugalah masa untuk kami berjumpa dengan para ibubapa lama, ibubapa yang pernah ada anaknya bersama dengan kami dahulu. Tiada yang lebih membanggakan para guru dari dapat tahu anak-anak murid yang sudah berbelas tahun tak jumpa masih ingat pada cikgu tadikanya.
Kata-kata penaik semangat untuk cikgu. (TNPB)

Bunga untuk para guru. (TIB)

Hadiah tanda ingatan dari
guru kepada murid yang
cemerlang.

Terima kasih keknya ya! (TIB)

Ini yang paling win! (TMPB)
Seperti biasa, antara perkara yang ditunggu-tunggu setiap kali hari terbuka adalah papan notis keputusan anak-anak murid, tempat di mana para guru menyerlahkan kreativiti mereka. Cantik-cantik semuanya, berbaloi penat lelah guru membahagikan masa diantara tugasan wajib harian di tadika dan juga tugasan menyiapkan papan notis keputusan peperiksaan. Terima kasih dan tahniah dari kami pihak pengurusan kepada guru-guru kami. Mungkin berkat bawa pergi jalan-jalan hari itu dapat suntik semangat semua untuk hasilkan yang terbaik ya? Jalan-jalan tu sebenarnya penting untuk menaikkan semangat, sesekali nak juga tengok dunia luar dari Pasir Gudang kan? Bab kenangan bercuti tu nanti akan saya ceritakan dalam posting yang lain ya.

Photo booth di TS2

Papan notis di TKM

Meriah papan notis TKM
Tema taman permainan (TNPB)



Ibu bapa sedang menelek papan notis (TNPB) 

Comel naga tu tersenyum (TS1) 

Puas tengok papan notis ni besar (TS1)

Comel sahaja papan notis TIMB
  
Kreatif cikgu-cikgu kami (TIPB)

Suka tengok gelongsor tu (TMPB) 

Bergambar dengan semua guru TIMB


Bila anak-anak murid dijadikan watak kartun (TM)

Bergambar dahulu sebelum balik (TNPB)

Masih ada beberapa lagi aktiviti yang murid K2 lalui sebelum pergi meninggalkan tadika. Kita masih ada lagi lawatan ke Perpustakaan Awam Pasir Gudang, Majlis Akhir Tahun dan juga Hari Anugerah Cemerlang 2017. Sekarang ini pun murid-murid yang telah menghantar borang penyertaan persembahan sedang rancak berlatih. Kami amat berharap bagi baki ketiga-tiga aktiviti itu murid-murid K2 dapat turut serta. Saya nak sambung tengok anak-anak murid buat latihan bergendang ni, jom kita berjumpa di Hari Anugerah Cemerlang 2017.

~Cikgu Norifah~