Showing posts with label ujiminda. Show all posts
Showing posts with label ujiminda. Show all posts

Monday, May 2, 2016

PERTANDINGAN UJI MINDA, BERCERITA & LEGO 2016




Bismillahirrahmanirrahim.

Situasi yang kami alami sebelum bermulanya raptai Pertandingan Uji Minda, Bercerita & Lego 2016:

Sedang kami berjalan – jalan di aras 2 Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang setelah bertungkus lumus membawa barang dari lori ke dalam dewan, kami dihampiri oleh 2 anggota polis. Cuak juga rasa hati ni, apa agaknya salah yang kami dah buat? Rupa – rupanya mereka hendak menyerahkan brochure berkaitan dengan kepolisian kepada kami, lega hati ini. Tetapi bila kami mula mengatur langkah untuk beredar dari situ, tiba-tiba salah seorang dari anggota polis itu bertanya,

“Cikgu ye?”

Kami semua serentak menganggukkan kepala.

“Cikgu mana?” tanyanya lagi.

“Tadika.. Tadika Pintar Bistari Taman Mawar,” agak tergagap-gagap juga saya menjawab.

“Jumpa di atas nanti,” katanya.

Perut kami kembali kecut. Alamak, ada kami buat silap kah di dewan? Tak boleh kah kami tinggalkan barangan tadika di sana sementara menanti selesai solat Jumaat?

“Anak saya masuk tarian..” katanya sambil tersenyum. Mungkin kerana dia perasan muka panik kami.

Anak anggota polis itu rupanya murid kami juga, dari cawangan Taman Scientex 1. Terima kasih Puan Maznah kerana sempat membuat kami berempat kecut perut. Hah, siapa kata anak-anak murid sahaja yang takut bila berhadapan dengan anggota polis? Cikgu pun sama juga ye..

Sekadar berkongsi cerita, bila sudah memilih cikgu sebagai kerjaya kemana-mana sahaja di muka ini bagai sudah dicop perkataan cikgu. Rasa bangga itu ada. Itu satu sisipan cerita berkaitan dengan acara yang kami jalankan pada 22 dan 23hb April 2016 yang lalu; Pertandingan Uji Minda, Bercerita & Lego 2016.

Untuk tahun ini, pertandingan ini diadakan di dewan yang sudah biasa juga bagi kami, Dewan Besar MPPG, Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang. Seperti  biasa, sehari sebelum pertandingan diadakan, kami akan mengadakan raptai terlebih dahulu. 


Raptai tarian oleh murid-murid Tadika Pintar Bistari Taman Scientex 2
Final acah-acah untuk  hari ini.

Tetapi, bahang raptai amat terasa kerana kehadiran dan sokongan yang diberikan oleh pihak ibubapa seperti pertandingan yang sebenar. Terima kasih kami ucapkan kerana memberikan sokongan kepada kami. Dengan kehadiran yang menggalakkan dari ibubapa, bukan sahaja murid-murid yang bersemangat ketika raptai, kami juga terkena tempiasnya.


Bila semua dah balik, inilah kerja pihak pengurusan..
final touch up untuk pertandingan.
Alhamdulillah, akhirnya selesai juga salah satu acara besar tahunan Mybistari Group, iaitu Pertandingan Uji Minda, Bercerita & Lego 2016.  Agak terkejar-kejar juga masanya kerana acara ini selalunya dijalankan pada semester 2. Bukan setakat kami, pekerja belakang tabir sahaja yang berpeluh bertungkus lumus bekerja untuk menjayakan acara ini, pihak guru-guru dan ibubapa juga sama. Latihan murid diadakan setiap hari, setiap masa yang terluang guru-guru akan gunakan untuk mengasah kepintaran murid-murid yang terpilih. Terhibur juga kami disini, melihat murid-murid membina lego dengan bimbingan guru-guru. Tak kurang juga yang gigih melatih peserta bercerita. Habis dibawa murid keliling tadika, dari kelas ke kelas diminta bercerita, bukan apa, supaya murid hilang rasa malu dan tidak kaku nanti di atas pentas.


Ucapan perasmian oleh Pengerusi Mybistari Group , En. Ahamed Tamizi 
Suasana dewan semasa ucapan perasmian

Para peserta Uji Minda diberi latihan akhir sebelum pertandingan.

Guru-guru mengira jumlah para peserta di bawah jagaan mereka.

Peserta bercerita juga sudah bersiap sedia.

Peserta lego menanti giliran dipanggil untuk beraksi.

Para pembaca soalan Uji Minda dan juga pengerusi majlis.
Gandingan lama dan baru.

Peserta tarian dari Tadika Inovasi Bestari.
Bakal menari lagu arab, Wassini.
Kagum kami di sini, bila murid 5 tahun, yang baru beberapa bulan bersekolah, dapat menghafal dan menggayakan cerita mereka. Kalaulah saya ada keberanian seperti mereka, alangkah bagusnya. Ditambah pula dengan peruntukan masa yang agak singkat bagi murid- murid ini berlatih hasil yang ditunjukkan oleh mereka sangat kami kagumi. Peserta tarian menari dengan baik sekali, cukup menghiburkan. Peserta bercerita juga tiada yang kaku, berani dan yakin mereka di atas pentas. 
Hasil ciptaan Lego juga bervariasi, tidak hanya tertumpu pada objek-objek tertentu sahaja seperti robot dan dinosaur. Tabik dan tahniah kepada semua murid-murid yang terlibat dalam menjayakan program ini. Cikgu bangga dengan kamu semua.


Antara para peserta Uji Minda di atas pentas.

Sedang menanti soalan yang akan dibacakan.

Betul tak agaknya jawapan yang diberi oleh kumpulan lain tu?

Aktif bercerita, bergerak ke kiri dan ke kanan.

Waaahh.. kali ini siap bawa buaian!! 

Wajah sang juara sedang bercerita.
Peserta lego di tapak pertandingan.
Hmmm... saya nak yang kecil sikit dari yang ini.
Alamak! Saya seorang saja kah yang dah siap?
Wajah-wajah ceria pemenang yang terpilih.
Bagi ibu bapa yang tidak dapat menghadiri pertandingan ini, di sini saya sertakan senarai pemenang bagi setiap kategori pertandingan.


Para pemenang Pertandingan Uji Minda 2016
Juara: Muhammad Faris Zuhry Bin Mohd Helmy 
(TPB Taman Scientex 2) 
Naib juara:  Muhammad Arif Irfan Bin Mohd Shafaril 
(Tadika Nur Pintar Bestari) 
Ketiga: Muhammad Irfan Haikal Bin Mohd Izani 
( Tadika Minda Pintar Bestari.)

Wah.. tahun ini, hero-hero yang sapu bersih tiga tempat teratas. Tahniah juga diucapkan kepada Tadika Minda Pintar Bestari, cawangan baru yang dapat menonjolkan bakat anak muridnya dengan baik.


Pemenang Pertandingan Uji Minda 2016
Bagi pertandingan bercerita pula, agak sengit dan sukar untuk ditentukan kedudukan nombornya. Hampir keseluruhan peserta memberikan persembahan yang baik. Pihak juri bertungkus lumus dalam memilih siapa yang layak bagi tiga tempat teratas. Jika Uji Minda disapu bersih oleh murid lelaki, bercerita pula didominasi oleh peserta perempuan. 


Para pemenang Pertandingan Bercerita 2016
Pertama: Nur Shazmeen Erinna Binti Mohd Rushdi 
(Tadika Nur Pintar Bestari) 
Kedua: Nur Aira Batrisyia Binti Mohd Reza 
( TPB Taman Kota Masai 2)
Ketiga: Khalisoh Binti Ishak 
(TPB Taman Scientex 1)

Para pemenang Pertandingan Bercerita 2016
Satu-satunya pertandingan yang dikhaskan untuk murid 5 tahun adalah Pertandingan Lego. Pertandingan yang sangat digemari oleh semua murid-murid. Mana taknya, ketika cikgu-cikgu sedang melatih murid-murid di cawangan masing-masing, ramai juga murid yang tidak terlibat ingin turut serta bermain lego. Siap beri komen ikhlas lagi.

"Eleh cikgu, kita boleh buat lebih cantik, cuma mak kita aje tak nak hantar borang!"

"Kenapa mesti kaki ni semua warna biru, campur-campur warna kan cantik."

Ada nada cemburu di situ, kan?

Para pemenang Pertandingan Lego
Pertama: Wan Ilman Firhan Bin Wan Hairy Madzuan 
(Tadika Nur Pintar Bestari)
Kedua: Darwisy Rayqal Bin Alfian Zahlean Shah 
(TPB Taman Mawar) 
Ketiga: Erryna Qhalisha Binti Mohd Iman Izwan 
(TPB Taman Kota Masai 2)  
Peserta bidan terjun: Shafiq Ghazi Al Fatih Bin Ahamed Tamizi 


Tahniah adik-adik 5 tahun yang memenangi Pertandingan Lego 2016!
Sebagai penghargaan, inilah hadiah-hadiah untuk semua penyertaan




Sebenarnya ada banyak gambar yang ingin kami kongsikan dengan para ibu bapa dan penjaga sekalian, tetapi jika semua diletakkan di sini, maka akan jadi panjang lebarlah entri pada kali ini. Jadi untuk para ibu bapa yang ingin melihat gambar-gambar berkaitan dengan Pertandingan Uji Minda, Bercerita & Lego 2016, bolehlah klik di sini.

Tahniah sekali lagi kami ucapkan kepada para pemenang. Bagi cawangan yang kurang menyerlah tahun ini, tidak mengapa, masih ada lagi pertandingan yang dapat ditebus semula iaitu Pertandingan Mental Aritmetik pada bulan September nanti. Jom sama-sama kita latih anak-anak murid kita bermula dari sekarang!!


~Cikgu Norifah~

Thursday, April 7, 2016

APRIL PENUH AKTIVITI

Assalamualaikum

Alhamdulillah, merasa juga kita semua kali ini untuk  berada di bulan April 2016. Sedar tak sedar kita sudah semakin menghampiri ke akhir semester 1 2016. Beberapa aktiviti yang ingin saya kongsikan dengan ibu bapa sekalian selain daripada Ujian 2 (K2) yang dijalankan semalam adalah 


1) Lawatan K1 ke Sanrio Puteri Harbour (Hello Kitty Town)

Alhamdulillah, untuk tahun ini kami menerima 195 penyertaan murid dari semua cawangan. dan 4 bas telah disediakan untuk lawatan esok. Bersama-sama dengan 35 orang guru pendamping dan 4 orang dari pihak pengurusan, mudah-mudahan lawatan esok berjalan lancar dan anak-anak K1 seronok serta berpeluang untuk belajar banyak perkara. Insyaalllah. Segala persediaan sedang dibuat oleh pihak pengurusan dan merewang akan dibuat di tadika masing-masing petang nanti. 

Kepada ibubapa yang anak-anak mereka menyertai lawatan esok, update terkini akan dibuat oleh gurubesar melalui sosmed WhatApp. Insyaallah, minggu depan saya akan kemaskini aktiviti lawatan ini diblog. 

Sedikit gambar saya kongsikan di sini dari lawatan K1 tahun lepas. 


Tu dia...penuh bath tub...

Aktiviti membuat biskut Hello Kitty

Bergambar bersama Bunny
Persembahan Thomas And Friends....amat menghiburkan anak-anak



2) Pertandingan Uji Minda, Bercerita dan Lego 2016

Pada tahun ini pertandingan ini diawalkan dalam semester 1, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya. Ini disebabkan Jun dan Julai, kita semua akan berpuasa dan berhari raya lebih awal. Jadi aktiviti ini perlu diselaraskan walaupun kami agak "semput" bagi menyediakan segala keperluan. Pesanan untuk ibubapa sekalian, 
  • Bagi murid K1 yang telah menghantar borang untuk menyertai pertandingan Lego, digalakkan membuat latihan di rumah terlebih dahulu kerana pihak kami akan mengadakan saringan di cawangan masing-masing untuk memilih murid yang layak.
  • Bagi murid-murid yang telah menghantar borang penyertaan untuk menyertai pertandingan bercerita, ibu bapa dikehendaki memilih cerita dan melatih murid di rumah. Markah akan dikira dari segi penyampaian cerita, props dan juga kostum.
Saya kongsikan juga beberapa gambar tahun lepas.

Pertandingan bercerita
Terserlah kreativiti

Pertandingan Ujiminda

Pertandingan lego
Diselangselikan dengan persembahan tarian oleh anak-anak K1

Sebagai penghargaan kepada semua peserta
PAUTAN APRIL MEMBUKA TIRAI

~Cikgu Norifah~                                                                            

Tuesday, July 17, 2012

2012 PERTANDINGAN UJIMINDA, BERCERITA DAN LEGO

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Usai sudah pertandingan ujiminda, bercerita dan lego untuk tahun 2012 ini. Dan pertandingan ini membuka tirai bagi aktiviti pertandingan untuk semester kedua. Kehadiran ibubapa juga menggalakkan. Seawal 7.30 pagi dah ada yang datang dan mereka tetap menunggu hingga ke akhir majlis. Saya teruja bila melihat ibubapa yang bersemangat untuk memberi perangsang dan motivasi kepada anak-anak yang mengambil bahagian. Alhamdulillah



Seperti tahun-tahun lepas, untuk ujiminda 4 kategori dipertandingkan iaitu B.Malaysia, English & Mathematics, Science dan Pendidikan Islam / Jawi. Macam-macam gelagat yang dapat dilihat pada anak-anak ini. Berebut-rebut nak menekan buzzer untuk menjawab soalan. Bila dapat peluang menjawab, lupa pulak soalan...!!



Dalam masa yang sama dengan pertandingan ujiminda, pertandingan lego juga dijalankan. Pertandingan lego hanya untuk anak-anak K1 sahaja dan tahun ini 50 orang yang mengambil bahagian dan pertandingan dibahagikan kepada 2 bahagian. Macam-macam yang dibuat oleh anak-anak ini.

Setengah jam masa yang diperuntukkan agak lama bagi mereka.

Buat robot

Dah siap buat keretapi. Panjang tu!
Yang menariknya, pertandingan bercerita tahun ini mendapat banyak sambutan. Seramai 16 penyertaan yang kami dapat dan semuanya hebat-hebat belaka. Sebab apa saya katakan mereka ini hebat, dalam masa kurang 2 minggu, anak-anak cilik ini dapat menghafal cerita-cerita. Apatah lagi cerita yang panjang-panjang tu seperti cerita Cinderella. Bukan sekadar tu, siap dengan aksi, intonasi dan props sekali. Tahniah kepada ibubapa yang turut sama bekerja keras dan memberi semangat kepada anak-anak ini. 

Semua pererta pertandingan bercerita yang mengambil bahagian





Sambil menunggu peringkat akhir, ibubapa dihiburkan dengan nasyid dari anak-anak K1 Taman Mawar dengan tajuk nasyid Ummiku Sayang bimbingan Cikgu Aini dan Cikgu Hanun Arina.


Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi semua peserta pertandingan. Tiada yang pulang dengan tangan kosong.

Peserta pertandingan bercerita

Tahniah kepada johan, naib johan dan ketiga pertandingan bercerita



Kecil-kecil cili padi. Walaupun kecil, petah sekali!

Tahniah kepada johan, naib johan dan ketiga keseluruhan pertandingan ujiminda

Peserta pertandingan lego

Tahniah kepada johan, naib johan dan ketiga pertandingan lego
Terimakasih kepada semua yang terlibat dalam program ini. 




Para pengadil yang terdiri dari ibu-ibu yang sanggup meluangkan masa untuk majlis ini.
Pengerusi majlis Cikgu Qaidah dan Cikgu Rahayu
 
Pembaca soalan Cikgu Azlia

Pengarah program Cikgu Hasiah

Pengerusi TPB Cikgu Tamizi

Dan semua yang tersayang.
Layang-layang terbang melayang,
Terbang melayang di tepi perigi,
Kalau ada umur yang panjang,
Insyaallah kita bersua lagi.