Showing posts with label sesi bergambar. Show all posts
Showing posts with label sesi bergambar. Show all posts

Wednesday, July 10, 2019

SAY CHEESE!!


Bismillahirrahmanirrahim.

Kami sudah grad! (TIPB)

Alhamdulillah, sesi persekolahan diteruskan seperti biasa selepas untuk kali keduanya kita bercuti akibat pencemaran udara/ kimia di Pasir Gudang. Tetapi diharap pihak ibubapa tetap memantau kesihatan anak-anak kerana kita tidak tahu sama ada keadaan persekitaran di luar sana sebenarnya sudah kembali pulih atau tidak. Di tadika, aktiviti yang telah kami tetapkan sebelum ini, kami jalankan seperti biasa. Bagi cawangan-cawangan yang masih belum menjalani sesi fotografi semester 2, masing-masing menunggu giliran untuk bergambar.

“Alamak, tu orang nak ambil gambar dah ada lah!” terdengar suara murid berbual sesama mereka apabila saya sedang menyiapkan ruang luar untuk set bergambar.

“Haahlah.. kita tak pakai minyak rambut.. lupa.. alamak..” masih lagi dengan beg di bahu dan kasut di tangan mereka, memerhatikan saya yang sedang menyusun kerusi di halaman tadika.

Tak kurang juga murid yang bersemangat membantu saya memberi komen apabila rakan mereka beraksi di hadapan kamera.

“Yang ini cantik dari tadi cikgu,” katanya apabila melihat rakannya segak berdiri memegang skrol di hadapan layar putih.

“Topi dia senget ah cikgu,”

“Kenapa gambar yang first dia senyum, gambar second tak?”

“Ok cikgu.. yang ni ok.. bagus cikgu,”

“Kita rasa macam orang mengandung pula pakai baju besar ni!”

“Yang tak senyum tu mesti tak sarapan pagi tadi,”

“Yeay yeay!! Kejap lagi kita pula nak pakai baju biru tu!!” jerit ceria seorang murid 5 tahun.

“Hari ni tak pakai baju tu.. tu untuk murid 6 tahun.. tahun depan nanti pakai ya,” terang guru kelasnya.

Muka yang tadinya ceria terus berubah. Mendung serta merta. Nasib baik sudah bergambar kelas, kalau tidak pastilah mukanya di gambar kelas masam mencuka. Gelagat dan komen mereka yang membuatkan kami, guru-guru yang berada di set bergambar terhibur.  

Ramai murid kelas ni, ambil masa sedikit untuk susun kedudukan mereka. (TS1)

Alamak, tertutup mata pula, maaf ya! (TS1)

Kat tengah kosong tu nak suruh siapa duduk? (TS1)

Awak yang tepi tu, angkat sikit kepala. (TS1)

Cepatlah sikit pakai baju tu.. segan kita duduk sini sorang-sorang. (TS1)


Eh.. eh.. sempat lagi dia senyum kat cikgu dia.. (TS2)

Cikgu.. saya mengantuk.. (TS2)

Sementara menanti rakan-rakan yang lain bersiap. (TS2)

Topi ni takde saiz besar lagi.. cikgu cuba muatkan juga ya.. (TS2)

Comel kan saya pakai jubah ni? Tengah tunggu giliran untuk pakai topi. (TS2)

Diri depan sikit, jangan takut.. (TIMB)

Haish.. mana cikgu ni.. kita rehat jap sandar kat tembok ah.. (TIMB)

Kejap, cikgu nak betulkan jubah awak ni. (TIMB)

Dua-dua comel. (TIMB)

Bila ketinggian cikgu agak comel, terpaksa berdiri atas batu untuk
nampak muka. (TIMB)

Ya.. saya akan pastikan suatu hari nanti saya akan grad di universiti! (TMPB)

Para guru sedang membantu menguruskan kedudukan murid-murid. (TMPB)

Eh, mana kepala awak? (TMPB)

Jom bergambar sementara menanti yang lain bersiap! (TMPB)

Ala cikgu.. kena ubah kedudukan lagi ke? (TMPB)

Cikgu kan dah pesan.. jangan main-main dengan topi ni.. (TMPB)

Nak senyum ke tak nak eh? (TIPB)

Perempuan diri betul-betul, cikgu nak susun ni.. (TIPB)

Ish... tali ni asyik nak bergerak-gerak aje.. (TIPB)

Alamak cikgu.. dia pandang tempat lain pula.. tunggu sampai dia tengok
depan balik cikgu. (TIPB)

"Topi ni senget ni.. mari kita betulkan."
"Eleh.. topi dia pun senget.." (TIPB)


Alhamdulillah, dengan bantuan guru-guru, sesi bergambar dapat dijalankan dengan lancar. Minggu ini adalah minggu terakhir saya bergerak ke cawangan-cawangan untuk mengambil gambar murid yang tidak hadir semasa sesi bergambar, tetapi hanya untuk gambar individu 6 tahun sahaja.

Minggu ini juga para guru dan murid-murid sedang sibuk berlatih untuk program kami yang seterusnya, Pertandingan Uji Minda, Bercerita dan Lego. Semoga dipermudahkan urusan kami.

~Cikgu Norifah~

Wednesday, February 13, 2019

ABADIKAN KENANGAN SEMESTER 1 2019


Bismillahirrahmanirrahim.

Tangan letak atas peha macam pengantin. (TMPB)

“Cikgu baru.. cikgu baru.. ada cikgu baru lah hari ini!!” itulah antara ucapan yang didengari setiap kali kami bahagian pengurusan berkunjung ke tadika.

“Ye.. cikgu baru je sampai ni..” itu jugalah jawapan yang sering kami beri kepada mereka.

“Hah? Baru sampai?”

“Iya..baru sampai..” balas saya sambil keluarkan tripod dari kotaknya.

“Wahhh.. cikgu nak ajar kita orang pakai ni ke?”

“Ada lagi ni.. tunggu,” satu persatu peralatan fotografi dikeluarkan dari beg yang saya galas.

“Oooo.. cikgulah orangnya nak ambil kami ya?”

“Ya.. begitulah!!”

Alhamdulillah, minggu sesi bergambar untuk semester 1 sudahpun berakhir. Tugas yang diamanahkan kepada Cik Ziza Amira Syafini, anak En Tamizi dan Puan Zainun yang baru sahaja selesai pengajiannya. Setiap petang kami menunggu kepulangannya ke pejabat, untuk mendengar dia bercerita mengenai ragam yang dia lalui sepanjang proses sesi bergambar. Yang pastinya walaupun penat menjalankan amanah yang diberikan, dia tetap terhibur dengan gelagat anak-anak murid.

“Cikgu Ifah nak tahu.. ada murid yang bila tiba turn dia nak bergambar, alih-alih kita perasan basah je lantai.. terbuang air rupanya.. menggelabah semua nak bersihkan murid tu,” antara celotehnya sambil senyuman tak lekang dari bibirnya.

Untuk sesi pertama dan kedua, ada juga Cik Syafini menghubungi kami, walaupun kami tahu dia pastinya dapat buat yang terbaik, dia tetap menghubungi kami untuk bertanyakan hal-hal yang terkait dengan gambar yang diambilnya. Untuk sesi yang seterusnya, tiada whatsapp darinya yang membuatkan kami agak risau, tapi bila mesej berbalas, 

“Alhamdulillah,ok saje” kami semua di pejabat menarik nafas lega.

Bukannya apa, proses ambil gambar ini mungkin pada mereka yang tak pernah laluinya akan merasakan ianya satu tugas yang mudah, iyalah, apa susah, ada kamera, ada murid, kumpulkan semua dan , klik, gambar diambil. Percayalah, ianya tak semudah itu. Dua-dua bahagian dalam sesi fotografi, sesi bergambar kelas dan sesi bergambar individu, ada cabarannya yang tersendiri. Dari mahu menyusun atur murid-murid, hinggalah menarik minat mereka untuk fokus pandang ke kamera, akan ada sahaja ragam dan aksi yang mereka lakukan.

Hanya pada hari yang terakhir sahaja atas sebab-sebab yang tertentu saya mengambil alih semula tugas ini. Bimbang juga pada mulanya kerana saya kurang sihat, tetapi Alhamdulillah, guru-guru di TPB TS2 dan TMPB banyak membantu memudahkan urusan sesi fotografi.

“Cikgu tak sihat ke?” soal seorang murid di TS2 semasa saya sedang menyusun atur murid-murid untuk sesi bergambar kelas. Telapak tangannya diletakkan di pipi saya.

“Uhh.. sejuknya, cepat sihat cikgu,” sempat dia memeluk saya.

Ini nikmatnya bila berada di kalangan anak-anak murid. Keikhlasan mereka memberi semangat ketika badan kurang sihat. Semoga guru-guru juga merasakan nikmatnya berada di kalangan anak-anak murid seperti yang saya rasa.

Menanti murid keluar dari kelas (TMPB)

Mana budak perempuan ni cikgu? Kami dah sedia ni (TS2)

Eh.. nama siapa tadi yang cikgu sebut ya? (TS2)

Kejap ya, cikgu nak betulkan seluar awak ni, berlipat-lipat. (TMPB)

Cikgu sedang sibuk menyusun atur murid pada sesi pagi. (TS2)

Untuk sesi petang, lokasi bergambar bertukar di TS2 kerana faktor pencahayaan.


Kami sedang tunggu giliran untuk bergambar (TMPB)

Lama lagilah giliran saya.. (TMPB)

Sedia.. senyum je.. tapi cikgu tak snap lagi gambarnya, angin kuat pula waktu ni.. (TMPB)

Tempat untuk ambil gambar individu juga perlu kami sesuaikan
dengan  keadaan di tadika (TMPB)

Latar belakang yang sebenarnya. (TMPB)

Setelah di 'crop' untuk di masukkan di bahagian profil murid di Asis.

Abang.. pandang sini.. tengok kamera, kita bukan nak buat cover album. (TS2)

Cikgu Nadia membantu membetulkan postur murid untuk bergambar (TMPB) 

Reben ni Cikgu Zura dah betulkan dah, sekarang diri tegak dan tengok kamera. (TS2)

Gambar-gambar yang kami ambil untuk semester 1 ini bukan untuk dijual dan diedarkan kepada ibu bapa, tetapi sekiranya ada ibu bapa yang ingin menyimpan gambar semester 1 ini sebagai kenang-kenangan, boleh sahaja 'save' gambarnya apabila kami kongsikan nanti.

Ketika ini, gambar individu dan kelas masih dalam proses edit, kami akan kongsikan apabila proses edit selesai. Sabar menanti ya!

~Cikgu Norifah~






Thursday, February 8, 2018

SENYUM MANISMU SI ANAK-ANAK

Bismillahirrahmanirrahim.

Menunggu murid-murid untuk bergambar (TIB)

“Photography is a way of feeling, of touching, of loving. What you have caught on film is captured forever. It remembers little things, long after you have forgotten everything.”

22 Januari 2018 – 29 Januari 2018, minggu katak keluar dari bawah tempurung. Minggu yang mana dapat saya tinggalkan meja kecil saya untuk ke cawangan-cawangan yang berada di bawah MyBistari Group untuk sesi bergambar semester 1 2018. Terakhir sekali saya diberi tugasan untuk mengambil gambar adalah kira-kira lima tahun yang lepas. 

Excited!! Itu yang saya rasa, tapi dalam masa yang sama debaran tu tetap ada. Almaklumlah, perkara lama sudah tak buat, tiba-tiba kena buat semula, kerja yang nampak mudah, tetapi tetap mendebarkan.

Untuk hari pertama, tugasan saya adalah ke cawangan TNPB dan TIB. Bila sampai sahaja ke sana, tersedia sudah kerusi untuk anak-anak murid duduk bergambar. Lega hati ini bila guru-guru memberikan kerjasama yang baik. Sempat lagi anak-anak murid yang peramah bertanya kepada saya,

“Cikgu, cikgu ni cikgu yang nak ajar ambil gambar ye? Nak ajar selfie?” ada mata pelajaran tambahan rupanya yang mahu saya ajar.

“Bukan, cikgu cuma datang untuk ambil gambar kelas je, nanti boleh tengok kat komputer, cikgu masukkan kat sana,” 

Bila mendengar sahaja penerangan yang diberi, sengihan semakin lebar, segera dia berlari ke rakan sekelas,

“Nanti kita glamer.. muka nak masuk komputer!!” 

Sebegitu sekali bersemangatnya mereka nak bergambar.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, tugas yang nampak mudah tetapi rumit sebenarnya. Bukan mudah untuk mendapat perhatian mereka untuk memandang kamera dan senyum, bermacam-macam aksi yang mereka pamerkan. Pening kepala cikgu menyusun atur anak-anak murid.

Guru menyusun atur murid untuk gambar kelas, cikgu jangan lupa
masuk sekali ye. (TNPB)
 
Murid 5 tahun beratur untuk gambar individu. (TNPB)

Ok, pandang depan, senyum.. (TNPB)
Haha!! Cikgu tak kasi saya keluar, tengok ni saya tunjuk tangan saya!! (TIB)

Malu-malu bila disuruh pandang kamera, di tambah lagi dengan
rakan-rakan yang tersenyum melihat dari belakang. (TIB)

Cawangan yang selanjutnya adalah TIPB dan TKM. Di sini juga majoriti muridnya teruja apabila kamera dipasang pada tripod. 

“Wow.. boleh lekat ah!! Macam nak buat filem!!” tersenyum kami dengar komen dari muridnya. 

Paling yang mereka gemar adalah menanti di belakang kamera, sama-sama nak lihat gambar individu rakan yang sedang diambil. Tersengih-sengih dan tertunduk-tunduk murid yang hendak bergambar mengelak dari dikacau rakan sekelas.

Cak!! Hahaha.. muka saya pun masuk kamera!! (TKM) 
Semua guru yang terlibat untuk sesi ini sedang menjalankan tugas. (TIPB)



Ok, duduk tegak, tak nak sengetkan badan. (TKM)
Ok, diri tegak-tegak sayang (TIPB)

Hari ketiga tugasan bergambar di TS1 dan TIMB. Disini, ada nilai sentimental sedikit, bila kembali di tempat yang pernah saya mengajar dahulu. Tercari-cari juga ada tak muka yang agak familiar, siapa tahu abang atau kakaknya dahulu pernah berada di zaman jajahan saya. Yang ada saya jumpa adalah anak-anak bekas guru-guru TPB, anak Cikgu Fatihah dan Cikgu Faqihah. Saling tak tumpah wajah mereka dengan ibu bapanya. Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada kami untuk mendidik anak-anak kamu ye!!

Ada juga murid yang peramah sempat bertanya semasa guru sedang menyusun atur kedudukan mereka,

“Cikgu.. cikgu.. cikgu baru kat sini eh?” 

Sambil membetulkan seluar dan kasutnya saya balas,

“Ye.. cikgu baru sampai..”

“Ooo.. cikgu baru sampai nama apa?” masih sempat lagi dia menarik jubah saya bila saya mula bergerak menuju ke kamera.

“Cikgu Norifah..” 

“Ok Cikgu Latifah..” saya iyakan sahaja, kalau tak akan jadi makin panjang perbualan kami, rakan-rakannya yang sekelas sudah mula hilang tumpuan untuk bergambar.

Lokasi pertama di TS1, waktu pagi cahaya matahari memancar terik.

Lokasi yang lain, tukar tempat kerana cahaya matahari. (TS1)
Tangan tu.. letak atas peha, baru nampak kemas. (TIMB)

Cikgu Zulaiha, walaupun sedang menghitung hari untuk melahirkan,
masih tetap cergas menjalankan tugasnya. (TIMB)

Hari yang seterusnya saya ke TS2 dan TMPB. Dari jauh sudah kedengaran riuhnya anak-anak murid menunggu saya untuk mengambil gambar. Seperti kebanyakkan cawangan yang sudah saya pergi terdahulu, masa inilah anak-anak murid perempuan merah bibirnya, dan murid lelaki rambut keras tersisir rapi. Nak bergambarlah katakan.

Di cawangan ini ada juga beberapa penyambung generasi yang seterusnya bersekolah di MyBistari. Bila dilihat wajah yang saling tak tumpah seperti kakak dan abangnya, terus hati ini teringat pada mereka, rindu sebenarnya pada mereka.

“Anak Encik Ramli.. diri dekat tanda biru yang ada kat lantai tu..” tegur saya pada seorang murid perempuan di TS2.

Dengan muka terkejut  direnungnya muka saya,

“Ayah nama Ramli kan? Ada kakak nama Balqis.. mak nama Hidayah?” matanya semakin bulat.

“Dulu kakak awak cikgu ajar..” barulah dia terangguk-angguk dan senyum.

“Lebar lagi senyum tu..” dan semakin lebar senyumannya, mungkin kerana sudah ada keyakinan, miss photographer ni kenal keluargaku.

Semanis kakaknya dahulu (TS2)
Baru sebentar tadi kedudukan kaki dibetulkan cikgu, dia kembali duduk
dengan gaya yang dia selesa (TS2)
Dah biasa bergambar rasanya ni, bila berdiri depan kamera terus
tersenyum manis (TMPB)

Tugasan terakhir adalah di Taman Mawar. Situasi tetap sama dengan cawangan terdahulu, akan ada segelintir murid yang kurang memberikan kerjasama ketika sesi bergambar dijalankan. Ada yang terlebih sedia, sampaikan mahu tolong susun atur rakan sekelas dan sibuk membetulkan gincu di mulut kawannya. 

Tak dinafikan hampir di setiap cawangan ada murid yang aktif dan memerlukan kawalan lebih. Bila diberi arahan untuk sedia, akan ada sahaja aksi yang dilakukan. Tak mudah untuk mendapatkan gambar yang sempurna (semua tengok ke kamera), dalam senyuman cikgu mengadap kamera, sempat lagi mengintai dari ekor mata, menegur murid-murid yang tidak memberikan kejasama yang baik. 

Cikgu susun murid, dia pun sama nak bantu susunkan kawannya. (TM)

"Tepi lagilah.. tepi lagi, tengok kat bahagian yang sana tu," sempat
toleh ke belakang dan beri arahan pada kawannya. (TM)

Insyaallah gambar kelas sesi 1 2018 akan kami muat naik di laman web tadika. Gambar individu murid 5 tahun juga akan kami muat naik di bahagian profail murid di Asis. Sekiranya gambar-gambar sudah di muat naik, kami akan beritahu kepada ibu bapa ya!!

Oh ya, bermula bulan ini murid-murid sudah mula bermain air di kolam renang tadika. Tetapi, hanya murid yang ibu bapanya mengisi borang kebenaran renang sahaja yang terlibat. Lain macam semangat anak-anak ini ke tadika minggu ini, semangat tersuntik dek aktiviti renang!!

Untuk minggu ini dan minggu depan juga, pihak Kodomo Lion akan melakukan educational tour di semua tadika MyBistari Group, tetapi kehadiran mereka bergantung pada sesi yang mereka tetapkan, ada yang datang sesi petang dan ada yang sesi pagi (sila rujuk surat makluman). Tetapi jangan bimbang, untuk cenderahati, semua murid akan dapat. Jadi jangan terkejut jika anak-anak bawa balik ubat gigi dan berus gigi baru.

~ Cikgu Norifah~