Showing posts with label SESI 2018. Show all posts
Showing posts with label SESI 2018. Show all posts

Thursday, February 8, 2018

SENYUM MANISMU SI ANAK-ANAK

Bismillahirrahmanirrahim.

Menunggu murid-murid untuk bergambar (TIB)

“Photography is a way of feeling, of touching, of loving. What you have caught on film is captured forever. It remembers little things, long after you have forgotten everything.”

22 Januari 2018 – 29 Januari 2018, minggu katak keluar dari bawah tempurung. Minggu yang mana dapat saya tinggalkan meja kecil saya untuk ke cawangan-cawangan yang berada di bawah MyBistari Group untuk sesi bergambar semester 1 2018. Terakhir sekali saya diberi tugasan untuk mengambil gambar adalah kira-kira lima tahun yang lepas. 

Excited!! Itu yang saya rasa, tapi dalam masa yang sama debaran tu tetap ada. Almaklumlah, perkara lama sudah tak buat, tiba-tiba kena buat semula, kerja yang nampak mudah, tetapi tetap mendebarkan.

Untuk hari pertama, tugasan saya adalah ke cawangan TNPB dan TIB. Bila sampai sahaja ke sana, tersedia sudah kerusi untuk anak-anak murid duduk bergambar. Lega hati ini bila guru-guru memberikan kerjasama yang baik. Sempat lagi anak-anak murid yang peramah bertanya kepada saya,

“Cikgu, cikgu ni cikgu yang nak ajar ambil gambar ye? Nak ajar selfie?” ada mata pelajaran tambahan rupanya yang mahu saya ajar.

“Bukan, cikgu cuma datang untuk ambil gambar kelas je, nanti boleh tengok kat komputer, cikgu masukkan kat sana,” 

Bila mendengar sahaja penerangan yang diberi, sengihan semakin lebar, segera dia berlari ke rakan sekelas,

“Nanti kita glamer.. muka nak masuk komputer!!” 

Sebegitu sekali bersemangatnya mereka nak bergambar.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, tugas yang nampak mudah tetapi rumit sebenarnya. Bukan mudah untuk mendapat perhatian mereka untuk memandang kamera dan senyum, bermacam-macam aksi yang mereka pamerkan. Pening kepala cikgu menyusun atur anak-anak murid.

Guru menyusun atur murid untuk gambar kelas, cikgu jangan lupa
masuk sekali ye. (TNPB)
 
Murid 5 tahun beratur untuk gambar individu. (TNPB)

Ok, pandang depan, senyum.. (TNPB)
Haha!! Cikgu tak kasi saya keluar, tengok ni saya tunjuk tangan saya!! (TIB)

Malu-malu bila disuruh pandang kamera, di tambah lagi dengan
rakan-rakan yang tersenyum melihat dari belakang. (TIB)

Cawangan yang selanjutnya adalah TIPB dan TKM. Di sini juga majoriti muridnya teruja apabila kamera dipasang pada tripod. 

“Wow.. boleh lekat ah!! Macam nak buat filem!!” tersenyum kami dengar komen dari muridnya. 

Paling yang mereka gemar adalah menanti di belakang kamera, sama-sama nak lihat gambar individu rakan yang sedang diambil. Tersengih-sengih dan tertunduk-tunduk murid yang hendak bergambar mengelak dari dikacau rakan sekelas.

Cak!! Hahaha.. muka saya pun masuk kamera!! (TKM) 
Semua guru yang terlibat untuk sesi ini sedang menjalankan tugas. (TIPB)



Ok, duduk tegak, tak nak sengetkan badan. (TKM)
Ok, diri tegak-tegak sayang (TIPB)

Hari ketiga tugasan bergambar di TS1 dan TIMB. Disini, ada nilai sentimental sedikit, bila kembali di tempat yang pernah saya mengajar dahulu. Tercari-cari juga ada tak muka yang agak familiar, siapa tahu abang atau kakaknya dahulu pernah berada di zaman jajahan saya. Yang ada saya jumpa adalah anak-anak bekas guru-guru TPB, anak Cikgu Fatihah dan Cikgu Faqihah. Saling tak tumpah wajah mereka dengan ibu bapanya. Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada kami untuk mendidik anak-anak kamu ye!!

Ada juga murid yang peramah sempat bertanya semasa guru sedang menyusun atur kedudukan mereka,

“Cikgu.. cikgu.. cikgu baru kat sini eh?” 

Sambil membetulkan seluar dan kasutnya saya balas,

“Ye.. cikgu baru sampai..”

“Ooo.. cikgu baru sampai nama apa?” masih sempat lagi dia menarik jubah saya bila saya mula bergerak menuju ke kamera.

“Cikgu Norifah..” 

“Ok Cikgu Latifah..” saya iyakan sahaja, kalau tak akan jadi makin panjang perbualan kami, rakan-rakannya yang sekelas sudah mula hilang tumpuan untuk bergambar.

Lokasi pertama di TS1, waktu pagi cahaya matahari memancar terik.

Lokasi yang lain, tukar tempat kerana cahaya matahari. (TS1)
Tangan tu.. letak atas peha, baru nampak kemas. (TIMB)

Cikgu Zulaiha, walaupun sedang menghitung hari untuk melahirkan,
masih tetap cergas menjalankan tugasnya. (TIMB)

Hari yang seterusnya saya ke TS2 dan TMPB. Dari jauh sudah kedengaran riuhnya anak-anak murid menunggu saya untuk mengambil gambar. Seperti kebanyakkan cawangan yang sudah saya pergi terdahulu, masa inilah anak-anak murid perempuan merah bibirnya, dan murid lelaki rambut keras tersisir rapi. Nak bergambarlah katakan.

Di cawangan ini ada juga beberapa penyambung generasi yang seterusnya bersekolah di MyBistari. Bila dilihat wajah yang saling tak tumpah seperti kakak dan abangnya, terus hati ini teringat pada mereka, rindu sebenarnya pada mereka.

“Anak Encik Ramli.. diri dekat tanda biru yang ada kat lantai tu..” tegur saya pada seorang murid perempuan di TS2.

Dengan muka terkejut  direnungnya muka saya,

“Ayah nama Ramli kan? Ada kakak nama Balqis.. mak nama Hidayah?” matanya semakin bulat.

“Dulu kakak awak cikgu ajar..” barulah dia terangguk-angguk dan senyum.

“Lebar lagi senyum tu..” dan semakin lebar senyumannya, mungkin kerana sudah ada keyakinan, miss photographer ni kenal keluargaku.

Semanis kakaknya dahulu (TS2)
Baru sebentar tadi kedudukan kaki dibetulkan cikgu, dia kembali duduk
dengan gaya yang dia selesa (TS2)
Dah biasa bergambar rasanya ni, bila berdiri depan kamera terus
tersenyum manis (TMPB)

Tugasan terakhir adalah di Taman Mawar. Situasi tetap sama dengan cawangan terdahulu, akan ada segelintir murid yang kurang memberikan kerjasama ketika sesi bergambar dijalankan. Ada yang terlebih sedia, sampaikan mahu tolong susun atur rakan sekelas dan sibuk membetulkan gincu di mulut kawannya. 

Tak dinafikan hampir di setiap cawangan ada murid yang aktif dan memerlukan kawalan lebih. Bila diberi arahan untuk sedia, akan ada sahaja aksi yang dilakukan. Tak mudah untuk mendapatkan gambar yang sempurna (semua tengok ke kamera), dalam senyuman cikgu mengadap kamera, sempat lagi mengintai dari ekor mata, menegur murid-murid yang tidak memberikan kejasama yang baik. 

Cikgu susun murid, dia pun sama nak bantu susunkan kawannya. (TM)

"Tepi lagilah.. tepi lagi, tengok kat bahagian yang sana tu," sempat
toleh ke belakang dan beri arahan pada kawannya. (TM)

Insyaallah gambar kelas sesi 1 2018 akan kami muat naik di laman web tadika. Gambar individu murid 5 tahun juga akan kami muat naik di bahagian profail murid di Asis. Sekiranya gambar-gambar sudah di muat naik, kami akan beritahu kepada ibu bapa ya!!

Oh ya, bermula bulan ini murid-murid sudah mula bermain air di kolam renang tadika. Tetapi, hanya murid yang ibu bapanya mengisi borang kebenaran renang sahaja yang terlibat. Lain macam semangat anak-anak ini ke tadika minggu ini, semangat tersuntik dek aktiviti renang!!

Untuk minggu ini dan minggu depan juga, pihak Kodomo Lion akan melakukan educational tour di semua tadika MyBistari Group, tetapi kehadiran mereka bergantung pada sesi yang mereka tetapkan, ada yang datang sesi petang dan ada yang sesi pagi (sila rujuk surat makluman). Tetapi jangan bimbang, untuk cenderahati, semua murid akan dapat. Jadi jangan terkejut jika anak-anak bawa balik ubat gigi dan berus gigi baru.

~ Cikgu Norifah~

Sunday, January 21, 2018

THE JOURNEY OF 2018 BEGINS!!

Bismillahirrahmanirrahim.

Cuba teka siapa kami? (TIMB)


“Ilmu lebih utama dari harta kerana ilmu itu menjaga kamu, kalau harta kamulah yang menjaganya.” (Saidina Ali bin Abi Talib)

Pada 27 Disember 2017 yang lalu bermulalah alam persekolahan bagi Sesi 2018. Bukan setakat ibu bapa sahaja yang berdebar menanti terbitnya matahari 27 Disember, kami juga berdebar menanti kedatangan murid-murid baru dan juga murid lama. Jangan tak tahu, ada juga diantara guru-guru yang tak cukup tidur kerana tak keruan menanti kehadiran anak-anak murid baru. Debaran menanti esok hari bukan sahaja dirasai oleh guru-guru baru, malahan guru lama juga turut mengalaminya.

Pendaftaran murid sebelum dihantar masuk ke kelas. (TIPB)

Urusan van juga diselesaikan selepas pendaftaran anak. (TIPB)

Menanti giliran untuk bertemu pemandu van (TNPB)

Dah dapat nametag kan? Jom naik ke kelas. (TNPB)

Terus terang, sepanjang bekerja di tadika, boleh dikatakan hampir setiap tahun bila bermulanya semester baru kami guru-guru lama gementarnya melebihi guru-guru baru. Bukannya apa, bila bekerja dengan anak-anak kecil, lebih-lebih lagi yang baru mengenali dunia luar, akan sentiasa ada ragam atau perangai baru yang perlu kami pelajari. Setiap tahun kerenah murid dan ibu bapanya berbeza. Tapi Insyaallah kami terima apa sahaja cabaran yang mendatang kerana setiap satu darinya adalah ilmu yang baru bagi kami.

Ada ketikanya suatu masa dahulu, bila bermulanya semester baru, pihak ibu bapa ramai-ramai berkerumun di pintu masuk kelas hinggakan ada yang membuat rakaman. Situasi begini, bukan sahaja guru baru yang akan jadi serba tak kena, kami yang sudah bertahun mengajar juga merasakan yang sama. Kami faham keterujaan pihak ibu bapa apabila anak-anak mula bersekolah, tetapi berilah ruang kepada para guru untuk menjalankan tugas mereka. Tak mudah ya untuk menarik minat murid yang baru hari ini berjumpa, nak pujuk yang menangis dan yang sebagainya dengan keadaan adanya ibu bapa penjaga yang merakam dan menanti di pintu kelas.

Guru lama memberi tunjuk ajar kepada guru baru ketika sesi P&P (TS1)

Alhamdulillah, kemas latihan yang dibuat. (TS1)

Cantik tak topeng kami? (TS2)

Jom warna cepat-cepat, kawan yang lain dah siap dah. (TS2)

Kami tengah tunggu kawan yang lain tak sampai lagi. (TMPB)

Nak balik kita baca Surah Al Asr dahulu ya (TM)

Kamilah ahli Justice League yang baru!! (TM)

Bermacam ragam menyiapkan latihan (TM)

Ok, untuk hari ini cikgu ikut kat mana yang awak selesa nak buat latihan ye (TKM)

Aktiviti kami hari ini buat kipas kertas!! (TIMB)

Sedapnya bekal saya ni!! (TIB)

Walaupun sibuk dengan tugasan, masih sempat tengok kamera lagi (TIB)

Ok, kita ikut awak guna warna oren!! (TIB)

Lagilah ketika perhimpunan balik, anak-anak ini teruja melihat ibu bapa yang sedia menanti mereka, jadi sukar untuk memberikan tumpuan. Tak kurang juga yang teruja apabila melihat van-van tadika yang sedia tersusun menanti untuk menghantar mereka pulang. Senang cerita selagi jam tak menunjukkan ke pukul 5 petang, selagi itulah hati guru-guru ni tak tenang, bimbang jika ada murid yang tersilap van, tak sampai rumah lagi atau yang lebih menakutkan, tertinggal dalam van tanpa pengetahuan pemandu van. Tanggungjawab itu tetap kami pikul walaupun ketika itu anak-anak murid kami berada di dalam van.

Sekali lagi guru memberi penerangan berkenaan penggunaan tandas (TNPB)

Ingat pesan cikgu, nak balik nanti turun perlahan-lahan,
pegang sisi tangga (TNPB)

Mana satu kasut saya ya? Macam sama je semua.. (TNPB)

Alamak, kena warna laju-laju, kawan semua dah ambil kasut ni (TKM)

Tadah tangan semua untuk baca doa (TIPB)

Ingat pesan cikgu ya.. buku bacaan jangan lupa bawa. (TIPB)

Tersenyum ibu bapa, abang dan kakak melihat gelagat murid semasa
perhimpunan balik. (TIPB)

Alhamdulillah ketika posting blog ini ditulis, sudah banyak perubahan yang dapat kami lihat pada anak-anak baru ini. Mereka sudah semakin yakin dan gembira ke tadika, sudah faham apa yang perlu dilakukan apabila hendak ke tandas, beratur semasa menaiki van dan banyak lagi. Masih terdapat beberapa lagi anak murid yang merasa kurang selesa ke tadika, tetapi jumlahnya terlalu sedikit. Terima kasih kami ucapkan kepada pihak ibu bapa yang banyak membantu kami dalam memudahkan urusan persekolahan anak-anak. 

Disini juga saya kongsikan video pra tadika dan juga awal persekolahan 2018.

Pra Tadika 2018



Sesi Awal Persekolahan 2018

Insyaallah video Hari Anugerah Cemerlang akan kami kongsikan pada posting yang akan datang. 

Untuk pengetahuan ibubapa, worksheet akan bermula pada bulan Februari, bulan ini kami beri masa murid-murid serasikan dengan keadaan persekitaran tadika dan juga orang-orang di sekeliling mereka. Insyaallah berjumpa lagi nanti di posting akan datang!!

~Cikgu Norifah~

2018 PRA TADIKA

Bismillahirrahmanirrahim.

Cantik tak topeng kami? (Taman Mawar)

Hari ini merupakan minggu kedua persekolahan sesi 2018. Subhanallah, tersangatlah kami sibuk hinggakan tak sempat untuk kemaskini blog, tapi ingatan pada blog ini tidak pernah lupa. Beberapa kali juga saya sempat menulis sebaris dua dan beberapa perenggan ayat untuk dikongsi bersama dengan para ibubapa, tetapi kemudiaannya terpaksa saya hentikan dek kerana tuntutan kerja yang lain. Insyallah keadaan sekarang ini sudah mula kembali seperti biasa, kami akan cuba sebaik mungkin untuk kemaskini blog seperti dahulu.

Berbalik kita pada agenda yang baru sahaja berlalu, Pra Tadika 2018, Alhamdulillah, dari tahun ke setahun, semakin ramai murid-murid baru kami yang berani dan matang. Jika dahulu hampir setiap kelas akan ada murid yang menangis dan bertindak di luar kawalan, jumlah yang berperilaku begitu semakin tahun semakin berkurangan. Kalau ada pun cuma dua tiga orang sahaja dari setiap cawangan.

Semak dahulu nama anak ada di kelas mana. (Taman Scientex 1) 
Ok, mak janji.. balik kelas nanti mak belanja aiskrim. (Taman Scientex 1)



Ok, sekarang ni cikgu nak ajar cara cuci tangan yang betul. (TIMB)

Nama awak siapa? (TIPB)

Tunggu giliran untuk daftar anak. (TNPB)

Ala.. janganlah nangis.. nanti cikgu nangis juga.. (TMPB)

Hati-hati turun tangga, pegang sisi tangga ni ye. (TNPB)

Jangan lupa letak sabun sekali tau. (TNPB) 
Tadah tangan semua, cikgu nak ajar doa penerang hati. (TIB)



Cabut perlahan-lahan topeng tu. (TIB)

Topeng kami dah siap. (TIB)

Cabut bahagian mata dahulu. (TIB)

Cantik tak cikgu lukis? (TIB)

Mari ikut cikgu baca. (TIMB)

Celah-celah jari ni pun kena sental. (TMPB)

Terbaik!! (TM)

Pandainya susun  kasut. (TM)

Kami di bahagian pengurusan juga turut teruja dengan keletah anak-anak baru ini. Ada juga yang berani menegur kami. 

Bila keluar dari pejabat, tiba-tiba ada yang memimpin tangan, terkejut juga dibuatnya. Murid dari pra 1 ingin ke tandas rupanya.

“Kakak.. abang nak kencing..” hehehe.. kakak ye? Terasa muda sekejap. 

Berpusing-pusing juga kami cuba untuk membuka ikatan tali pinggang yang dipakai.

“Yang baru ni kakak. Mama belikan,” masih sempat lagi dia bercerita mengenai tali pinggang yang susah nak dibuka ni. 

“Wahhh.. untunglah.. cikgu dulu takde tali pinggang, jahit je kat tepi seluar kalau tak muat,” sengaja saya layan ceritanya, lengahkan sedikit masa buka ikatan yang agak ketat di pinggangnya.

“Cikgu juga eh?” soalnya sambil membuka seluar yang sudah terbuka tali pinggangnya.

“Iya. Semua kakak-kakak dan abang-abang besar yang ada kat sini semua cikgu.”

“Ok cikgu!!” sempat dia membalas sebelum berjalan laju masuk ke tandas.

Alhamdulillah di sepanjang pra tadika diadakan tahun ini, anak-anak murid baru kami majoritinya matang. Tersenyum bangga masing-masing apabila membawa pulang topeng yang telah siap. Hasil kerja yang pertama di alam persekolahan.

Ada juga yang menangis kerana tak mahu balik naik kereta, teringin nak naik van tadika. Tapi bila dah rasa ‘nikmat’ naik van, terus tak mahu naik keesokkan harinya. Sempit dan panas katanya. Biasalah, yang naik van tu bukan seorang dua, jadi keselesaan agak kurang.

Salah satu kelas pra di Taman Mawar.

Semak nama murid di tapak perhimpunan. (TMPB)

Berbaris sebelum baca doa naik kenderaan. (TMPB)

Ok semua, tadah tangan untuk baca doa. (TMPB)

Duduk menanti van sampai. (TKM)

Sibuk mengatur susunan murid naik van. (TM)

Tunggu sehingga cikgu panggil, jangan terus berlari ke van. (TM)

Tersenyum bangga balik sekolah naik van. (TM)

Keterujaan ibu bapa dan adik beradik lain yang menghantar anak-anak ini ke tadika juga tiada bezanya dari tahun-tahun yang sebelumnya. Walaupun mungkin itu adalah anak yang ketiga atau yang pertama, teruja dan bimbang pihak ibu bapa tetap sama, bermacam-macam pesanan yang disampaikan kepada guru dan juga anak yang ditinggalkan. Malahan ada yang sanggup tunggu di luar tadika. Bila cikgu keluar untuk mengunci pagar, sempat lagi bertanya,

“Cikgu, yang menangis tu anak saya ke? Suara macam anak saya,” 

Kalau lah anak-anak ini sedar dan tahu betapa ibubapa sangat sayangkan mereka, sehinggakan risau sampai tahap begini, pasti tak berani mereka untuk melawan cakap ibu bapa.

Terima kasih kami ucapkan kepada para ibu bapa dan penjaga yang memberi kepercayaan kepada kami dalam membimbing dan membentuk gedung ilmu pertama bagi anak-anak.  Mari kita saling membantu dalam membentuk anak-anak ini.

Untuk posting yang seterusnya, saya akan berkongsi cerita sesi awal persekolahan 2018 pula. Maaf sekali lagi kerana agak lama tidak mengemaskini blog tadika.

~Cikgu Norifah~