Tuesday, October 24, 2017

SEHARI DI SELANGOR

Bismillahirrahmanirrahim.

Bergambar di hadapan Masjid Putra, Putrajaya

“Bila dah travel sama-sama macam ni baru akak tahu, cikgu-cikgu ni semua lagi hantu dari hantu yang ada dalam rumah hantu tu!!”

Ya, memang ayat itu yang terbit dari mulut saya ketika sama-sama bercuti sehari ke Selangor pada 18 Oktober 2017 yang lalu. Jangan salah anggap ucapan saya itu ya, nak tahu kenapa? Mari dengar cerita saya.

Seperti biasa, antara acara tahunan yang diadakan di Mybistari Group adalah acara jalan-jalan para guru. Keutamaan diberikan kepada guru-guru yang senior dan akan ditawarkan kepada guru-guru baru sekiranya ada di antara guru lama yang tidak dapat ikut serta. Aktiviti inilah yang ditunggu-tunggu oleh para guru yang kaki jalan. Almaklumlah, ada di antara guru kami yang hanya dapat berjalan jauh bila ada lawatan yang sebegini.  

Segala tentatif perjalanan juga telah disiapkan oleh Puan Zainun, guru-guru hanya perlu ikut pada segala aturcara yang yang telah pun diberi. Pada tengah malam 17 Oktober 2017, guru-guru yang terlibat dengan lawatan mula berkumpul di perkarangan tempat letak kenderaan di hadapan Dewanraya Taman Mawar, menanti bas yang akan membawa kami ke Selangor. Tak berapa lama menunggu, bas pun tiba, masa ini jugalah keterujaan para guru mula kelihatan, itu baru nampak bas, belum lagi tiba di tempat-tempat yang menarik di Selangor.

Menanti bas untuk ke Selangor.
Tepat jam 12:15 tengah malam bas memulakan perjalanan. Ingatkan masa bawa anak-anak murid sahaja perjalanan akan jadi kecoh, rupanya bila bawa cikgu-cikgu pun boleh tahan kecohnya. Berbagai cerita dan macam-macam jenis bekalan dikongsikan sebaik sahaja bas mula bergerak, belum lepas Taman Mawar lagi masa tu.  Tapi keadaan tu tak lama, selepas bas meluncur laju di lebuhraya, masing-masing pun meluncur laju ke alam mimpi.

Masing-masing tak tahu duduk diam.. excited!!
Kira-kira jam 5:30 pagi kami selamat tiba di Masjid Putra di Putrajaya untuk membersihkan diri dan solat Subuh. Subhanallah, sungguh gah senibina dan reka bentuk masjid ini. Kami meluangkan masa di sini kira-kira selama dua jam sebelum keluar meninggalkan masjid untuk ke tempat lain dan sarapan pagi. 
Masjid Putra yang juga dikenali dengan nama Masjid Pink

Berehat sebentar menanti yang lainnya bersiap dan solat subuh.

Eh.. dah kenapa ni semua?

Lapar sangat ni sampai tak boleh duduk dan berdiri tegak

Ikut perancangannya, untuk bersarapan pagi kami akan ke The Souq, tetapi Allah punya rancangan yang lain untuk kami, tempat itu belum dibuka lagi.

Mengikut perancangan awal, disinilah kami akan bersarapan.
Sementara Pn Shawa dan saya mencari tempat lain untuk sarapan,
mereka sempat lagi berposing.
Setelah berbincang dan memikirkan tentang tentatif yang lainnya, kami tukar sedikit jadual yang sedia ada, kami ke Masjid Besi dahulu kemudian baru akan ke medan selera Presint 8 untuk sarapan. Nasiblah ada adik Puan Shawariah dan Puan Suhaila yang sudi meluangkan masa membantu kami di sana, dia membantu kami mencari tempat untuk bersarapan dan dalam masa yang sama menjadi pemandu pelancong, menerangkan berkenaan sejarah dan fungsi beberapa tempat di Putrajaya itu, setiap satu rekaan dan bangunan yang dibina ada fungsinya tersendiri. Jadi sewaktu Puan Suhaila dan Puan Fiza memantau guru-guru bersiar-siar di sekitar Masjid Putra dan The Souq, saya, Puan Shawariah dan adiknya jalan keliling kawasan mencari tempat makan.  Pada awalnya berpusing-pusing juga kami untuk mencari tempat sarapan, semua tempat di kawasan tersebut masih belum buka lagi, yang ada pun restoran mamak, dan tak semua guru (termasuk pemandu bas) yang mahu makan di restoran itu. Jadinya, kami ke medan selera Presint 8 sahaja yang lebih banyak pilihan.

Sementara menunggu kami siap berbincang, cikgu masih lagi sempat berposing.

Setelah bersarapan, kami meneruskan perjalanan ke GM Klang. Kebanyakkan guru tidur sepanjang perjalanan ke sana, kumpul tenaga untuk tawaf keliling GM yang luas dan bertingkat-tingkat. Apabila tiba sahaja di GM Klang, suka saya melihat mata cikgu-cikgu yang bulat berkaca-kaca, mesti dalam fikiran tu ligat rancang bahagian mana nak pergi dan apa yang nak dibeli. Selesai sahaja Puan Suhaila memberi penerangan berkenaan waktu yang diperuntukkan di sini, para guru masing-masing bergerak ke arah tujuan yang diingini, situasinya seumpama anak-anak ikan yang baru dilepaskan ke lautan luas, ligat dan bertempiaran. Memang tersangat besar tempat ini, bayangkan selama hampir 3 jam di sana, saya tidak terserempak dengan kumpulan guru-guru yang lain. Bila melihatkan barang-barang yang dibeli oleh para guru ketika masing-masing sampai ke bas, kami turut tersenyum puas, memang sakan berbelanja ya! Kami yang tidak membeli belah inipun turut bantu bawakan barang kawan-kawan yang rancak membeli belah.

Apa agaknya tu yang menarik hati Puan Shawa
dan Cik Haziqah?

Cukup ke shopping banyak tu aje?

Masih sempat lagi berjumpa dengan bekas cikgu TPB, Puan Madinah di GM Klang

Kira-kira pukul 1:45 petang kami meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir, destinasi yang paling havoc di antara kesemua tempat yang tersenarai dalam acara jalan-jalan kali ini, kami ke i-City Shah Alam. Ramai yang kata, kenapa tak pergi malam, suasana lebih cantik dan meriah dengan lampu-lampu dan permainan di sana, tak apalah, i-City di siang hari juga tak kurang hebatnya. Kami tiba agak awal kerana  semasa penebusan tiket, pekerja di kaunter itu terangkan mengikut pakej promosi yang diambil, cuma Snow Walk sahaja yang sudah beroperasi, House of Horror dan Trick Art Museum akan dibuka pada pukul 3 petang, bagi Ferris Wheel dan Super Swing pula akan bermula pada pukul 5 petang.

Kepenatan Puan Juliana menanti tiket dan pembahagian kumpulan.

Setelah membahagikan tiket ikut kumpulan ( 1 tiket 10 guru ) dan memberi penerangan, kami memulakan lawatan di i-City. Pada awalnya bila melihatkan para pelawat diberikan baju sejuk yang tebal, terdetik hati ini, ‘tebalnya jaket.. sejuk sangat macam kat kutub utara ke?’ rupanya bila sudah berada di dalam Snow Walk, kalau boleh nak sarung lagi sehelai baju sejuk tu! Sejuk ya amat! Paling kelakar bila bersua sesama cikgu, bukan ‘attraction’ di dalam Snow Walk itu yang mereka hiraukan, sibuk mereka bertanyakan,

“ Akak nampak tak wap keluar dari mulut kita bila bercakap? Ada tak kak?”

“Macam kat oversea tak kita bila bercakap keluar wap?”

“Kak.. apasal kita tak nampak wap keluar ni? Sejuk tahap beku dah ni.”

Itu sebenarnya yang ingin mereka tahu dan lihat, wap keluar dari mulut.

Baru jalan sedikit sudah rasa sejuk.

Guru-guru TNPB.

Management, kurang seorang, Pn Faridah tidak dapat turut serta
kerana menjaga ibunya yang kurang sihat.

Bersama sebahagian dari guru-guru Taman Mawar.

Sejuk sampai muka kami jadi merah!!

Lama juga kami berada di dalam Snow Walk, hampir di setiap bahagian gambar diambil sebagai kenangan. Seperti yang dipesan oleh Puan Zainun, perlu pakai kasut yang bersesuaian untuk masuk ke dalam Snow Walk, jalannya agak licin. Memang betul, kasut yang masih cantik bunganya ini pun beberapa kali hampir tergelincir. Ada juga beberapa jenis permainan yang boleh dicuba, tetapi kebanyakkan guru-guru hanya berani naik kereta apinya sahaja,dua-dua slide yang ada tak berani dicuba. Bila melangkah keluar dari Snow Walk, macam-macam aksi guru yang kami dapat lihat, ada yang tetap berdiri tegak,menunggu otot-otot kembali longgar, ada yang duduk sambil picit kepala,perubahan keadaan dari sejuk ke panas membuatkan mereka pening, ada juga yang pantas terus ke gerai untuk mencari air panas, dan ada yang beli aiskrim, geram tengok ais di dalam Snow Walk tu tapi tak boleh dimakan katanya. Bermacam gelagat yang mereka tunjukkan.

Dah keluar pun masih sejuk!!
Waktu keluar itu sudah cukup cantik kerana jam sudah menunjukkan pukul 3 petang, jadinya kami berpecah ikut kemahuan kumpulan, sama ada mahu ke Trick Art Museum atau pun ke House of Horror. Kami pilih ke House of Horror, kumpulan pertama yang masuk ke rumah hantu. Baru jejak kaki ke tangga sahaja sudah menjerit-jerit bila dengar suara hantu mengilai, belum lagi masuk ke dalam. Bila sudah melangkah masuk ke dalam, saya dan Puan Shawariah yang berjalan di depan tiba-tiba sahaja diasak oleh guru-guru yang lain, untunglah Puan Shawa sempat melarikan diri ke belakang dari dijadikan benteng oleh mereka, kurang beruntung saya yang ditolak, ditarik, dijerit di telinga, dihempas ke dinding, menjadi tempat cikgu-cikgu melepaskan ketakutan, nasiblah jubah dan tudung saya tidak koyak, cuma Puan Suhaila yang berada di belakang saya kasutnya hampir tertanggal. Dalam hati ini, memanglah.. cikgu-cikgu aku ni lebih menakutkan dari hantu dalam rumah hantu ni. Dah tahu kan sekarang kenapa saya kata cikgu-cikgu ni lagi hantu dari hantu?

Guru-guru TIB dan TNPB bergambar dengan cik hantu.

Alhamdulillah, lepas juga habiskan bersiar-siar di rumah hantu.

Bila berbual dengan kumpulan guru TIB, Cikgu Syikhah beritahu, siap ada yang nak patah balik keluar dari rumah hantu tu, tapi hantu dalam rumah tu suruh mereka teruskan juga sambil melambai-lambai suruh berjalan maju ke hadapan. Hahaha.. peramah kan hantu-hantu tu? Mengalu-alukan tetamu.

Destinasi yang seterusnya adalah ke Trick Art Museum, selepas semua berehat melepaskan lelah menjerit dan bergusti dalam House of Horror. Ada juga cikgu yang dah surrender, cukup dah pening pertukaran cuaca di Snow Walk, tekanan emosi di House of Horror, tak sanggup nak hadapi yang lain-lain lagi. Alhamdulillah, keadaan di dalam muzium ini lebih tenang berbanding dua tempat yang kami masuk sebelum ini.

Wakil cikgu cawangan Taman Scientex

Tu call suami ke nak beritahu dah sampai Amerika?

Kami cuma nak cari susu unta aje..

Yang lain masih bersemangat, tapi ada yang dah terkulai layu.
Kami kemudiannya ke Ferris Wheel, agak menapak juga dari Trick Art Museum ke sana, dan sepanjang perjalanan tu nampaklah guru-guru kami yang sudah pun tewas, duduk berehat di bangku yang disediakan sambil menanti kawan-kawan datang membawakan air minuman.

“Tak larat kak.. bergoyang dah kepala lutut..”

“Nak naik tu kak? Gayat.. tinggi.. tak sanggup..”

Dan kami pilih untuk naik juga ke Ferris Wheel, bila lagi nak cuba kan? Mula-mula naik tu boleh tahan lagi gayatnya, tapi bila sudah mula sampai ke puncak, geraknya semakin perlahan, Cikgu Azreen dan Cikgu Haziqah yang naik bersama kami sudah mula keras kaku, takut ah tu.. Puan Shawa lah yang memang semangat dari awal sehingga akhir, siap buat live FB lagi.  Bila sudah turun dari Ferris Wheel, barulah terasa dahaga dan penat, masa yang diperuntukkan juga semakin sedikit. Setelah bertanya kepada guru-guru lain dan mereka kata tak sanggup untuk naik Super Wings yang berpusing-pusing itu, kami ambil keputusan untuk turun ke bawah menunggu bas.

Pukul 6:30 petang kami bertolak balik ke Pasir Gudang. Masing-masing sudah kepenatan, jadi suasana di dalam bas tidak semeriah awal perjalanan malam tadi. Kami kemudiannya berhenti di Dengkil untuk solat jamak Maghrib dan Isya, dan juga untuk makan malam. Bila segala urusan  penting sudah selesai, kami kembali meneruskan perjalanan pulang ke Pasir Gudang. Masing-masing di dalam bas hanyut dalam dunia masing-masing, ada yang imbas kembali aktiviti yang dilakukan sambil tengok gambar-gambar yang diambil dan ramai juga yang menggunakan masa perjalanan balik itu untuk tidur. Penat, nasib baik Puan Zainun bermurah hati memberi cuti keesokkan harinya, jika tidak sudah pasti semua yang ikut lawatan ini akan tersengguk-sengguk di tadika esok.

Makan malam dan solat jamak Maghrib dan Isya sebelum terus
balik ke Pasir Gudang.
Alhamdulillah kami selamat sampai ke Pasir Gudang pada pukul 12 tengah malam. Percutian yang singkat tapi amat menyeronokkan bagi kami. Tahun depan nanti kita kemana pula ya Pn Zainun?

~Cikgu Norifah~

3 comments:

  1. Hebat! Terharu baca posting ni... Tahniah!

    ReplyDelete
  2. Seronok membacanya... terima kasih semua guru2 yg mendidik anak saya terutama guru2 tadika inovasi bistari bukit dahlia.. jasa kalian hanya Allah yg membalasnya..😙😙

    ReplyDelete
  3. Nanti kita main #kututrip ya. Jadi setiap tahun boleh gi jalan2 ;)

    ReplyDelete

Terima kasih kerana meninggalkan komen anda samada negatif @ positif. Sila berikan nama anda agar ukhwah terus terjalin.