Bismillahirrahmanirrahim.
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ اَدَاءِ فَرْضِ شَهْرِ رَمَضَانَ
هذِهِ السَّنَةِ ِللهِ تَعَالَى
“Sahaja aku
berpuasa esok hari untuk menunaikan fardhu puasa dalam bulan Ramadhan bagi
tahun ini kerana Allah Taala”
Alunan
lafaz niat ini kembali bergema di tadika-tadika kami! Alhamdulillah, Allah
masih beri kita peluang lagi untuk menyambut Ramadhan pada tahun ini,
Insyaallah. Selamat menunaikan ibadah
berpuasa ya!!
Cikgu-cikgu
sedang giat mengajar murid untuk menghafal lafaz niat berpuasa dan juga bacaan
doa berbuka puasa. Kami yang didalam pejabat ini juga turut teruja dan tak
sabarnya menanti Ramadhan. Mana taknya, gema bacaan niat dan doa dari anak-anak
kecil ini benar-benar menyentuh rasa teruja untuk menyambut Ramadhan.
Seperti
pada tahun- tahun yang terdahulu, kami menggalakkan murid-murid K2 untuk
berpuasa. Tapi ini bukan paksaan ya! Pernah terjadi ibu bapa yang agak kurang
berpuas hati seolah-olah kami memaksa anak-anak kecil ini berpuasa. Sekali lagi
saya tekankan di sini, kami menggalakkan anak-anak murid kami berpuasa,
bukannya memaksa.
Ibu bapa
masih lagi boleh membekalkan anak-anak dengan bekalan seperti biasa kerana
ketika waktu rehat, kami akan membuat pengasingan tempat bagi mereka yang berpuasa
dan yang tidak berpuasa. Niat kami bukannya apa, tak mahu anak-anak murid yang
bersemangat puasa, luntur motivasi puasanya. Jika kami guru-guru yang berpuasa
ini pun seringkali tergugat apabila melayan anak murid ketika waktu rehat,
apatah lagi rakan-rakan sekelas yang berpuasa. Tak seperti hari-hari yang
biasa, ketika di bulan puasa inilah, apabila penutup bekal dibuka, walhal cuma
biskut kering, aromanya sungguh luar biasa!
Ada juga
murid yang tidak berpuasa, tetapi tidak membawa bekal ke tadika, malu mungkin
pada kawan-kawan yang berpuasa, tak apa, jika ibubapa bimbang mereka akan kelaparan,
bekalkan sahaja air di dalam beg mereka.
Pernah terjadi
juga murid hampir pengsan,dan apabila kami tanya katanya berpuasa tetapi tidak
bangun sahur. Ini bahaya ya.. sekiranya anak-anak anda tidak sempat untuk
bersahur, tak perlulah paksa berpuasa pada hari itu. Ada murid yang jadi takut
bila saya bawakan segelas air untuknya minum, bila ditanya, katanya nanti ibu
akan marah kalau ibunya tahu dia minum di sekolah. Kadang-kadang memang ibu dah
cakap tak payah puasa, tapi anak yang berdegil mahu puasa juga. Untuk kes yang
sebegini, kami cadangkan untuk ibubapa menghubungi pihak tadika dan maklumkan
tentang hal ini.
Untuk
makluman ibubapa juga, tadika akan bercuti bermula pada 26hb Mei 2017 hingga
10hb Jun 2017 bersempena Cuti Awal Ramadhan dan juga Cuti Pertengahan Tahun.
Jangan lupa
pada 5hb dan 6hb Jun 2017 (Isnin dan Selasa) adalah Hari Terbuka bagi Semester
1 2017.
Sekali lagi
kami warga MyBistari Group ingin mengucapkan selamat berpuasa dan selamat
menunaikan solat sunat terawikh! Jadi ibu dan bapa, sila pastikan anak-anak
anda sahur ya!
~Cikgu Norifah~
0 comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana meninggalkan komen anda samada negatif @ positif. Sila berikan nama anda agar ukhwah terus terjalin.