Wednesday, May 4, 2016

DEBARAN PEPERIKSAAN SEMESTER 1 2016


Bismillahirrahmannirahim..

Minggu ini merupakan minggu yang amat mendebarkan bagi seluruh warga Mybistari, tak kiralah dari pihak guru, anak murid mahupun ibu bapa. Kenapa? Kerana minggu ini merupakan minggu peperiksaan semester 1 untuk tahun ini. Nak tahu sebenarnya siapa yang paling berdebar diantara semua-semua yang ada di sini? Tentulah pihak kami, terutamanya Pn Shawariah yang diberi amanah menghasilkan semua kertas soalan. Kami pula ditugaskan untuk meyemak samada ada kesilapan dari segi soalan ataupun permarkahan. Bukan satu tugas yang mudah. Nama sahaja sekolah tadika, tetapi prosedur menghasilkan kertas soalan ini, tahap SPM! Hehehe.. Berdebar menanti panggilan telefon diawal pagi, ada silap yang kami  terlepas pandang atau sebagainya.

Seperti biasa, seminggu sebelum peperiksaan bermula, pihak tadika akan menyerahkan semula worksheets terdahulu murid untuk ulangkaji. Ada juga guru-guru yang mengambil inisiatif mencari worksheet dari tahun terdahulu, difotostat dan diedarkan kepada murid-muridnya sebagai latihan tambahan. Ada juga yang sanggup buat soalan sendiri, lukis dan sebagainya untuk dijadikan latihan tubi kepada anak-anak murid. Bekerja keras sungguh cikgu-cikgu kita ni.

Sehingga kini, asal ada sahaja masa terluang, cikgu akan gunakan untuk mengulangkaji pelajaran subjek yang seterusnya.

Peperiksaan yang bermula pada hari Isnin yang lalu dimulakan dengan subjek Bahasa Malaysia dan Matematik. Agak kelam kabut sedikit bagi guru-guru  yang ditugaskan menjaga kelas 5 tahun, almaklumlah, perkara baru bagi mereka. Dalam bayangan mereka, peperiksaan ini ibarat penerangan worksheet, buat satu kemudian beralih ke soalan seterusnya. Tapi Alhamdulillah, guru-guru dapat mengawal situasi dengan baik. Kami di bahagian pengurusan juga turut turun padang membantu mana-mana yang patut. Sebagai hadiahnya dapatlah saya bekas di tangan, akibat digigit oleh murid yang agak aktif di dalam kelas, diwarnanya lengan jubah saya sebelum warna di kertas soalan. Takpalah, asalkan dia mahu menjawab soalan sudah cukup bagi saya.

Keesokkan harinya, hari Selasa, situasi semakin tenang. Mungkin mereka sudah faham, apa itu peperiksaan. Subjek yang diuji hari ini juga tidaklah berat sangat; Bahasa Inggeris dan Pendidikan Seni. Kurang sikit kedutan di dahi guru-guru berbanding semalam.

Sempat juga saya bertanya kepada Guru Besar Tadika Ilmu Pintar Bestari, Cikgu Seri Rahayu Nengsih, bagaimana mood cikgu-cikgu dan mood guru besar ketika peperiksaan dijalankan. Ajaibya, bak kata dialah, cikgu-cikgu dapat mengawal emosi dengan baik. Tiada yang menyinga atau mengharimaukan diri. Murid-murid yang tak dapat jawab atau yang perlukan bantuan untuk memahami soalan tu pasti ada disetiap cawangan, tapi Alhamdulillah, guru-guru dapat menyelesaikannya dengan baik. Harapnya begitulah. Kita masing-masing cuba yang terbaik untuk anak-anak didik kita.

Namun begitu, kita hanya mampu merancang. Kami menerima info dari Tadika Inovasi Bestari, akan ada penyelenggaraan elektrik di kawasan Taman Bukit Dahlia. Gangguan bekalan elektrik akan berlaku disana pada hari Rabu (4hb Mei 2016). Murid-murid terpaksa kami cutikan dan jadual peperiksaan bagi subjek Pendidikan Islam dan Sains kami tundakan ke hari Ahad (8hb Mei 2016) minggu hadapan. Pesanan dan surat sudah pun kami edarkan kepada murid-murid dan ibu bapa.

Untuk hari terakhir peperiksaan, subjek yang akan diuji adalah Sempoa bagi murid 6 tahun di cawangan Tadika Pintar Bistari dan Bahasa Arab bagi murid 5 dan 6 tahun bagi Tadika Inovasi Bestari.

Sama-samalah kita doakan agar anak-anak didik kita dapat menghadapi peperiksaan pertama mereka sebaik yang mungkin. Allahu akbar!!!


~Cikgu Norifah~

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana meninggalkan komen anda samada negatif @ positif. Sila berikan nama anda agar ukhwah terus terjalin.