Bismillahirrahmanirrahim..
Bertanya seorang sahabat pada si pengembara. “Apa tujuan kamu mengembara?” Maka dengan rendah hati si pengembara menjawab. “Kerana aku terlalu naif, semakin aku mengembara menyelongkar ilmu alam semakin terasa diri ini serba kekurangan, terlalu banyak perkara yang belum aku ketahui dan aku perlukan seumur hidupku untuk mengembara. Mengembara mencari ilmu untuk dikongsi dan dirakam menjadi cerita.
Alhamdulillah, Allah masih memberi kesempatan bagi kami untuk menjayakan salah satu aktiviti yang paling ditunggu oleh anak-anak murid kami; lawatan sambil belajar.
Risau juga pada awalnya ketika lawatan ini masih dalam perancangan. Pelbagai perkara yang perlu kami fikir dan ambil berat kerana hampir kesemuanya serba baru, antaranya:
- Sukaneka (aktiviti baru yang belum pernah kami adakan ketika lawatan)
- Berkelah di Tanjung Balau (ruangan pantai yang luas dan terbuka, perlu lebih berhati-hati dalam mengawal murid)
- Lawatan ke Ladang Burung Unta (tempat yang masih asing lagi bagi kami)
- Cuaca (keadaan panas yang melampau yang sedang melanda negara kita)
Tentatif yang telah dirancang terpaksa kami ubah pada saat-saat akhir bagi mengurangkan risiko sepanjang lawatan diadakan. Destinasi pertama kami adalah ke Tanjung Balau, cuba untuk mempergunakan keadaan redup pagi bagi aktiviti sukaneka.
Pada petang Khamis, En Tamizi sudah pun menghantar barang-barang keperluan lawatan ke setiap cawangan. Jadi bila guru sudah siap menjalankan rutin harian, mereka pun mula menyusun barangan di dalam goodies bag yang disediakan. Macam merewang untuk majlis kahwin pun ada rasanya.
Kita kira dulu jumlahnya, cukup tak? |
Mari kita merewang!! |
Sambil tulis, sambil semak nama.. takut tersalah eja |
Bas kami bas nombor 1 |
Comel dan cantik tuala ni! |
Kami dah siap kerja!! |
Contoh beg yang telah siap. Ada nama murid, cawangan, dan kumpulannya |
Kami bernasib baik, syukur kepada Allah kerana semua perkara yang merisaukan kami dipermudahkan urusannya oleh Allah. Pada pagi hari lawatan, Cikgu Shawariah, Cikgu Norafizah, Cikgu Noor Faridah, Cikgu Azreen dan saya bertolak ke Tanjung Balau terlebih dahulu. Kami perlu pergi awal untuk menyiapkan kawasan untuk sukaneka.
Tanda ini menyambut kehadiran kami |
Alhamdulillah, kawasannya redup dan kami dapat siapkan tapak sukan dalam jangkamasa yang diperuntukkan. Waktunya sedang cantik, tapak sukan siap, bas lawatan pun sampai.
Cikgu Siti Rugayah memberi taklimat kepada murid-murid (TS2) |
Berdoa sebelum memulakan perjalanan, semoga Allah permudahkan segala urusan kami |
Beratur untuk menaiki bas |
Masing-masing bersemangat untuk melihat burung unta (TIB) |
Piala bagi kategori guru |
Piala bagi kategori murid |
Siapakah yang bakal membawa pulang piala-piala ini? |
Berkumpul untuk mendengar taklimat Pn Fiza dan Pn Faridah berkenaan sukaneka |
Tetapi biasalah, perkara baru yang dilakukan, pasti ada cacat celanya. Sepanjang mendirikan tapak sukan dan menjayakan sukaneka,kami juga membuat post mortem untuk diri kami sendiri dalam bab penyediaan bahan dan kelengkapan sukan.
Setelah memberi penerangan kepada guru dan juga murid-murid, acara sukaneka pun dimulakan. Kami membahagikan setiap sukan mengikut cawangan, agar mudah dikendalikan dan tidak mengambil masa yang lama untuk dijalankan.
- Taman Mawar - Lari dalam guni
- Tadika Nur Pintar Bestari - Zig zag kanggaru
- Tadika Inovasi Bestari - Tarik bola dalam gelung
- Taman Scientex 1 - Straw dan getah
- Taman Scientex 2 - Terompah kelapa moden
- Taman Kota Masai 1 & 2 - Junjung pundi kacang
- Tadika Ilmu Pintar Bestari & Tadika Minda Pintar Bestari - Lontar gelung dalam kon
Ini antara aksi mereka bersukan
Pandai tak tu guna terompah? |
Cikgu tak payah pegang. Saya nak lompat lebih tinggi. |
Fatih pun nak cuba lari dalam guni |
Setiap kumpulan yang berjaya dari setiap cawangan, kami himpunkan untuk bertanding di peringkat saringan yang mana hanya lapan murid sahaja akan dipilih untuk ke cabaran peringkat akhir. Debaran makin terasa bagi guru-guru dan anak-anak murid yang terpilih. Lucunya, terhasil kelab sorak impromptu bagi wakil-wakil yang layak. Inilah yang dinamakan semangat persahabatan dan semangat kesukanan. Opppss.. sebelum saya terlupa, ada juga acara misteri bagi guru-guru.. cuma tiga sahaja guru yang terpilih dan mereka perlu bertanding sesama mereka untuk merebut tempat pertama.
Ini adalah pemenag-pemenang sukaneka yang julung-julung kalinya diadakan di Tanjung Balau.
Tempat ketiga dimenangi oleh wakil dari TIB, Amani Maisarah bt Kamaruzaman |
Tempat kedua dari Tadika Ilmu Pintar Bestari, Nur Syuhada Izreen Bt Shamsul |
Alhamdulillah, tempat pertama dimenangi oleh adik Aina Qaisara bt Ahmad Nawawi dari Tadika Nur Pintar Bestari |
Inilah dia pemenang tempat ketiga kategori guru, Cikgu Nur Atiqah Ahman dari TKM1 |
Tempat kedua, wakil guru dari TNPB, Cikgu Noor Fazlini bt Jusoh |
Gaya seorang juara, Cikgu Siti Rugayah bt Omar, dari TS2 |
Selesai dengan sukaneka, kami berpiknik sebentar di tepi pantai. Makan tengahari sambil mengemas barang-barang sukan yang telah digunakan. Dalam pada itu kami juga sempat berbincang berkenaan lawatan yang seterusnya. Mencongak-congak waktu perjalanan ke ladang unta.
Untuk ke tempat lawatan yang seterusnya juga mendebarkan kami. Tiada seorang pun diantara kami yang pernah sampai ke Ladang Burung Unta, apatah lagi saya, Tanjung Sepang pun tak pernah sampai. Cuma seorang sahaja yang pernah sampai ke sana, Fatih.. anak bos kami yang berumur 4 tahun. Akhirnya kami pergi juga, berpandukan arah yang diberi oleh Pn Zainun.
Ruangannya agak sempit, sebab itu Pn Zainun mengarahkan bas untuk tidak bergerak secara serentak. Bas 1 (TNPB) dan bas 3 (Kota Masai) telah diarahkan untuk bergerak dahulu ke Ladang Burung Unta. Setelah berkemas dan memastikan segala peralatan sukan telah disimpan, kami pula menyusul bas- bas tersebut ke sana. Allah permudahkan lagi urusan kami, kami sampai ke tempat yang dirancang tepat pada masa murid-murid dan guru-guru sedang beratur turun dari bas.
Kami bergegas untuk berjumpa dengan Madam Joyce, urusan pembayaran tiket masuk. Kami tidak mahu anak-anak murid tertunggu-tunggu di ruangan luar ladang. Sekali lagi urusan kami dipermudahkan apabila Madam Joyce menyuruh murid-murid dan guru-guru masuk dahulu, pembayaran hanya perlu dibuat setelah semua bas sudah sampai katanya.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke ladang burung unta, kami disambut oleh mereka ini yang kelihatannya seronok menyambut kami |
Duduk berkumpul untuk mendengar taklimat |
Wow!! Memang besar! |
Mendengar cara-cara untuk menebuk lubang di telur burung unta |
Lawatan kami dimulakan dengan penerangan dari pekerja di situ. Masing-masing teruja melihat telur burung unta yang berat dan besar. Ada juga disediakan telur dadar, sebiji telur dapat menghasilkan 6 pinggan telur dadar. Sepinggan harganya RM10, tapi kami tak beli, cukuplah sekadar melihat saiz telurnya yang besar itu. Kami semua berkesempatan memegang telur burung unta itu dan terdapat juga murid-murid yang takut-takut untuk menyentuhnya. Apatah lagi apabila bertemu empat mata dengan si burung unta, macam-macam nama yang kami dengar.
“Cikgu.. besarnya zirafah ni!!”
“Cikgu.. ni burung ke unta?”
“Cikgu.. ni bukan burung.. ni dinosaur!!”
Guru-guru sabar menerangkan kepada murid-murid setiap persoalan yang diberikan.
Masih belum berani untuk dekat dengan burung unta |
Ok... kedua-dua belah pihak sudah semakin berani untuk didekati, si burung unta dan juga cikgu-cikgu |
Sedihnya muka Cikgu Haliyati.. burung unta tak nak makan sayur yang dihulur |
Jangan takut, uncle ada pegang belakang ni |
Tengok ni kawan-kawan! Saya berani! |
Mari cikgu ambil gambar. nanti boleh up kan dekat facebook! |
Ketika murid-murid trip 1 (Bas 1 dan 3) sedang asyik memberi burung unta makan, murid-murid trip 2 (Bas 2,4 dan 5) sampai. Mereka juga diberikan penerangan sedikit sebanyak oleh para pekerja di situ sebelum memulakan lawatan di sekitar ladang. Secara keseluruhannya ladang burung unta ini seronok, banyak ilmu yang dipelajari, bukan sahaja bagi pihak anak murid, pihak guru-guru juga. Cuma keluasannya agak terhad, guru-guru perlu peka dengan anak-anak murid di dalam jagaan mereka.
Setelah sejam berada di dalam ladang burung unta, tiba masanya untuk kami semua pulang ke Pasir Gudang. Seperti yang awalnya tadi, bas trip 1 bergerak dahulu keluar dari ladang. Bas trip 2 meyusul selepas setengah jam kemudian. Alhamdulillah kami semua selamat sampai ke tadika masing-masing kira-kira sejam selepas itu.
Sempat lagi kami bergambar sebelum balik. Hati lega semua aktiviti di sini berjalan lancar. Alhamdulillah.. |
Pengalaman yang baru, bukan sahaja bagi murid-murid dan juga guru-guru, tapi bagi kami juga, pihak pengurusan. Dalam debaran menyediakan segala kelengkapan sukaneka, memikirkan juga tapak untuk bersukan, mencipta imaginasi sendiri berkenaan dengan ladang burung unta yang tak pernah sampai. Alhamdulillah.. Allah permudahkan segala urusan kami semua, dari perjalanan pergi, aktiviti sukaneka di Tanjung Balau, perjalanan ke Ladang Burung Unta, lawatan burung unta dan akhir sekali perjalanan balik ke Pasir Gudang. Terima kasih Allah. Jika niat kita ikhlas untuk menceriakan anak-anak syurga ni, insyaallah Allah permudahkan segala urusan kita.
~Cikgu Norifah~
0 comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana meninggalkan komen anda samada negatif @ positif. Sila berikan nama anda agar ukhwah terus terjalin.