Showing posts with label program tadika. Show all posts
Showing posts with label program tadika. Show all posts

Monday, January 16, 2017

JOM AYAH IBU...KITA TAMBAH ILMU

Assalamualaikum
Encik Ahamed Tamizi sedang memberi penerangan

Pernah suatu ketika para sahabat sedang duduk berkumpul, Abdullah bin Mubarak ditanya ; “ Kenapa kamu tidak mahu duduk dan berkumpul dengan kami?” lalu dia berkata kepada mereka; “Saya lebih senang duduk dan berkumpul bersama Baginda SAW dan para sahabat (iaitu lebih senang bersama buku-bukunya), kerana setiap kali berkumpul di dalam majlis, kamu selalu mengumpat dan membicarakan orang lain.”

Sudah hampir sebulan sesi 2017 bermula. Bermacam ragam murid-murid baru dan lama yang dipertontonkan. Alhamdulillah, tadika kembali meriah. Kerusi-kerusi cikgu pun mula sejuk, melambangkan yang cikgu pun tak cukup masa menangani murid-murid. Biasalah, murid baru, kerenah baru, pengurusan masa pun perlu yang baru.

Jika guru-guru kelas sibuk menguruskan anak-anak murid, kami di bahagian pengurusan juga turut sama sibuk. Ada yang sibuk menguruskan stok yang keluar masuk dan ada juga yang sibuk memantau perjalanan silibus di tadika-tadika yang berada di bawah pengurusan MyBistari Group. Bermulanya sesi yang baru ini, bermakna bermula jugalah program-program yang kami akan adakan sepanjang tahun 2017. Diharap para ibu bapa dan penjaga dapat turut serta dan memberi sokongan kepada kami dalam menjayakannya.

Untuk program pembukaan bagi tahun 2017, Sesi Penerangan Bacalah Anakku & Sempoa akan diadakan di TS Hotel, Tmn Scientex pada 21hb Januari 2017, Sabtu yang mendatang ini. Masih terdapat banyak lagi ruangan yang kosong sekiranya pihak ibu bapa berkeinginan untuk menghadirkan diri.

Bagi Sesi Bacalah Anakku, penyertaan kami buka untuk para ibu bapa murid K1. Ketika program ini dijalankan, penceramah akan berkongsi dengan ibu bapa progress anak-anak sepanjang sebulan pertama persekolahan. Tips dalam mendidik anak-anak juga akan dikongsikan bersama. Beberapa guru dari setiap cawangan juga akan berada bersama ketika program, jadi gunakanlah peluang ini sebaik mungkin untuk bertanya dan berkongsi pendapat berkenaan anak masing-masing. Di hari lain mungkin tak berkesempatan untuk berbual mesra dengan para guru.Banyak ilmu yang akan dipelajari sekiranya turut serta dalam program ini.  

Mengenalkan carta sukukata kepada ibu bapa

Para ibu bapa yang meluangkan masa pada tahun lepas.

Khyusuk mendengar ceramah yang disampaikan.

Bagi Sesi Sempoa pula, ibu bapa dari kalangan murid K2 pula yang digalakkan menyertai program. Jangan lupa bawa sempoa sendiri ya! Ketika inilah ibu bapa berpeluang merasai hebatnya penangan sempoa yang dipelajari anak-anak mereka. Beberapa jam yg para ibu bapa akan peruntukkan ketika menghadiri program ini, manfaatnya Insyaallah selamanya selagi ilmu itu diamalkan.

Terima kasih kerana hadir dan memberi sokongan.

Kami disini masih mengharapkan lagi penyertaan dari pihak ibu bapa. Seperti yang saya nyatakan terdahulu, banyak ilmu yang akan dikongsikan untuk manfaat bersama di kemudian hari nanti.

Jom jengah sebentar posting yang terdahulu berkenaan program  Sesi Penerangan Bacalah & Sempoa


Opss.. pada masa yang sama, ketika ini sedang berlangsung sesi bergambar kelas semester 1, jangan keliru ya, ibu dan bapa.. sesi bergambar yang ini tak dikenakan bayaran dan gambar-gambar kelas yang diambil adalah untuk dipaparkan di website tadika. Pastikan anak-anak hadir ke tadika untuk bergambar ya!!

~Cikgu Norifah~

Thursday, November 17, 2016

2016 HARI ANUGERAH CEMERLANG



“Guruku tersayang, guru tercinta
Tanpamu apa jadinya aku
Tak bisa baca tulis
Mengerti banyak hal
Guruku.. terima kasih ku..”

Antara bait lirik yang terdapat dalam koir yang didendangkan oleh anak-anak murid pada hari Anugerah Cemerlang 2016. Sekejap sahaja rasanya kami sudahpun  melalui program yang terakhir bersama-sama dengan anak-anak murid sesi 2016. Apa yang boleh saya katakan, pada kali ini keadaannya agak tertekan sedikit dari tahun-tahun yang sebelumnya kerana masa yang diperuntukkan untuk persiapan dan latihan agak terhad. Risau bila kami kira-kira di takwim, selepas peperiksaan akhir tahun dan juga hari terbuka, murid-murid dan guru-guru cuma ada tak sampai tiga minggu sahaja untuk berlatih. Tetapi Alhamdulillah, berkat kegigihan dan semangat yang ditunjukkan oleh mereka semua, persembahan yang dipertontonkan sangat memuaskan hati.

Ucapan pembukaan majlis oleh penasihat MyBistari Group
 En. Ahamed Tamizi Bin Osman



Pemudahcara majlis yang dipertanggungjawabkan
untuk mengacarakan majlis ; Pn Shawariah dan Pn Norafizah
Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, kami mengadakan Hari Anugerah Cemerlang di Stadium MPPG, Pasir Gudang. Bukannya untuk menunjukkan gah atau seangkatan dengannya, tetapi kerana memikirkan jumlah cawangan dan murid-murid yang akan terlibat dengan program ini sangat ramai, hampir mencecah ke empat angka, keselesaan dan kemudahan bagi pengujung dan peserta yang datang juga perlu kami ambil kira. 

Ruangan duduk di bahagian atas yang banyak
dan lebih selesa bagi para pengunjung.

Dengan adanya ruangan duduk bertingkat, para ibu bapa tak perlu berdiri untuk
melihat persembahan anak-anak.

Lega juga kami rasakan kerana dalam kesuntukkan masa untuk membuat backdrop program, cadangan kami diterima oleh pihak atasan. Untuk tahun ini, backdrop kami tempah, guru-guru tidak perlu pening mengagihkan masa antara latihan persembahan, sesi P&P, dan juga backdrop. Terima kasih kami ucapkan kepada pihak atasan kerana memahami. Backdrop pada kali ini adalah hasil kreativiti Puan Shawariah Saat. Mungkin ramai yang tidak tahu berkenaan dengan beliau, tetapi dialah tulang belakang terpenting dalam Mybistari Group. Jika Puan Suhaila sibuk di bahagian operasi, memantau perkembangan setiap cawangan, Puan Shawariah pula bergerak aktif di belakang tabir, menyiapkan worksheet dan segala kertas ujian dan peperiksaan, dan juga mereka cipta buku terbitan Mybistari Group.

Backdrop hasil kreativiti Pn Shawariah, hiasan belon pula dari Pn Suhaila, yang
di atas pentas tu bukan sampah ya, itu penanda yang diletak oleh para guru untuk
anak didik persembahan mereka.

Alhamdulillah, untuk kali ini juga pembukaan lot jualan di sekitar tapak program juga menggalakkan. Maklum balas yang kami terima dari pihak peniaga juga tak kurang hebatnya. Walaupun ada yang dah bertanya untuk berniaga lagi pada tahun hadapan, tapi peluang kami akan berikan pada yang lain pula. Rezeki sama-sama kita agih-agihkan.

Terima kasih kerana turut memeriahkan program kami.

Salah satu lot yang ada di Hari Anugerah Cemerlang.

Satu perkara yang saya kagum dengan anak-anak kecil ini adalah kebolehan mereka untuk menghafal gerak tari dan juga lirik lagu yang mereka persembahkan. Jangkamasa latihan yang diperuntukkan dalam sehari hanyalah lebih kurang sejam, tetapi hasil yang mereka persembahkan amat membanggakan. Tahniah kami ucapkan kepada guru-guru yang membimbing dan juga murid-murid yang mengambil bahagian.

Cikgu Norieza sedang memperkemaskan lagi
anak didiknya sebelum memulakan persembahan.

Berdebar menanti giliran membuat persembahan.

Persembahan tarian yang menarik dan tersusun oleh murid-murid.

Cantik dan comel, menggunakan payung berwarna warni sebagai props.

Persembahan nasyid yang penuh penghayatan.

Persembahan stomp, murid menyanyi dengan iringan musik yang dihasilkan
dari bahan-bahan terpakai.

Pandai sungguh mereka berlakon di atas pentas.


Seperkara lagi yang membanggakan pihak kami adalah bertambahnya jumlah penerima Anugerah Khas Bacaan. Anugerah ini diberikan kepada murid-murid K1 yang berjaya menghabiskan bahan bacaan mereka sehingga ke buku Mari Membaca Jawi. Bukan mudah ya untuk mengajar anak-anak sekecil begini untuk dapat membaca dalam tulisan jawi. Sekali lagi tahniah kami ucapkan kepada ibu bapa yang turut membantu dan memantau prestasi bacaan anak- anak dirumah. Bagi mereka yang tidak terpilih atau masih lagi dalam proses mengenalkan bacaan kepada anak-anak, jangan putus asa kerana tahap kematangan anak-anak ni berbeza bagi setiap individu. Ikhlas dan yakin, Insyaallah akan membuahkan hasil.

Deretan trofi yang bakal diterima oleh murid-murid top 3 dan juga penerima
Anugerah Bacaan.

Sebahagian murid yang menerima Anugerah Khas Bacaan.

Comel-comel semuanya.

Semoga anugerah ini menjadi pemangkin untuk mereka lebih berjaya di masa
akan datang.

Sebahagian dari penerima AKB dari Tadika Inovasi Bestari

Sudah namanya pun Hari Anugerah Cemerlang, bermakna fokus utama untuk program ini adalah memberi penganugerahan kepada murid-murid yang cemerlang dalam peperiksaan semester 2 yang lepas. Rasanya tak salah sekiranya kami ucapkan tahniah sekali lagi kepada para penerima anugerah. Di sini saya kongsikan beberapa gambar penerima anugerah cemerlang, sekiranya mahu lihat gambar yang lain, sila ke photo gallery kami.

Adik, gembira ke tak sebenarnya tu dapat hadiah?

Para penerima anugerah yang turut serta dalam persembahan.

Alhamdulillah, tahniah ya!!

Lebarnya senyuman!!
Inilah perkongsian kami sepanjang program dijalankan. Sekiranya ada kelemahan dan kekurangan dalam kami mengendalikan program ini, ataupun sepanjang kami mendidik anak-anak tuan dan puan, silalah beritahu agar kami dapat memperbaikinya pada masa yang akan datang. Terima kasih kami ucapkan kepada ibu bapa yang memberi kepercayaan kepada kami dalam membentuk anak-anak mereka. Mari kita sama-sama doakan agar anak-anak ini menjadi insan yang berguna.

Sebelum saya terlupa, minggu hadapan , Ahad (20 November 2016) akan diadakan jamuan perpisahan bagi murid-murid di cawangan masing-masing. Maklumat berkenaan majlis tersebut ada dinyatakan di surat makluman November. Kami amat berharap agar anak-anak murid semuanya hadir pada majlis berkenaan memandangkan ini adalah majlis penutup sebelum cuti persekolahan bermula.

Sila ke youtube kerana sebahagian video-video persembahan HAC telah kami upload untuk tontonan semua. 

YOUTUBE dimulai dengan Tarian zapin SELAMAT DATANG

~Cikgu Norifah~