Monday, April 18, 2016

SEHARIAN DI HELLO KITTY


Bismillahirrahmanirrahim

Pertamanya, saya ingin memohon maaf kerana agak lewat dalam mengemaskini  blog kali ini. Pasti ibu bapa ramai yang ternanti-nanti, mahu melihat gelagat anak masing-masing berlibur. Maaf ye, ada kerja lain yang lebih utama perlu diselesaikan.


“Kita hanya mampu merancang, tapi Tuhan yang menentukan, tak perlu dikisahkan..”

Ya.. itulah yang kami alami dalam lawatan K1 ke Sanrio Hello Kitty kali ini. Alhamdulillah, segala persiapan untuk ke Hello Kitty berjalan dengan lancar. Kami di pihak pengurusan bersama-sama berganding bahu dalam memastikan persiapan kelengkapan bekalan murid-murid dan guru-guru ke sana dapat dilaksanakan dengan baik. Walaupun persiapan dilakukan dalam waktu yang singkat, berkat kerjasama dari semua pihak dan juga kembalinya Pn Suhaila dari cuti sakitnya, semua kelengkapan ke Hello Kitty dapat diagihkan ke cawangan pada masa yang ditetapkan.

Kami di bahagian pengurusan juga berdebar-debar, siapalah diantara kami yang terpilih untuk mengiringi Pn Zainun, bos kami ke Hello Kitty. Akhirnya nama yang terpilih adalah Pn Norafizah, Pn Noor Faridah dan saya. Walaupun sudah beberapa kali ke sana, semangat untuk pergi itu tetap ada. Beza rasanya pergi dengan anak-anak murid dan juga pergi sendiri. Kemeriahan bersama anak-anak murid dan kegembiraan yang terpancar di wajah mereka yang membuatkan trip ke sana lebih bermakna bagi saya.

Pn. Zainun dan Jo LIn bergambar kenangan
Tapi seperti yang saya katakan tadi, kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan. Allah sudah menjanjikan rezeki yang lain bagi saya, ditarik sedikit nikmat hidup jadi perlu berehat sahaja di rumah. Tempat saya diganti oleh Pn Shawariah. Senang cerita, badan di rumah, hati dan ingatan ikut serta ke Hello Kitty. Jadinya hanya mengikuti perkembangan ‘live’ mereka di Whatsapp sahaja.

Kali ini, mari kita bercerita dari sisi orang ketiga.

Seperti biasa, sehari sebelum lawatan dimulakan, pihak pengurusan dan guru-guru akan bertungkus lumus menyediakan goodies bags untuk murid-murid. Nama dan cawangan juga dicatat di goodies bag bagi mengelakkan beg tertukar.

Dari perbualan saya dengan Miss Jo Lin, person in charge di Sanrio Hello Kitty Town, terdapat beberapa perubahan yang dilakukan di sana, antaranya Program Edutainment ; program yang menggandingkan antara pendidikan dan hiburan. Sayangnya tidak semua murid yang akan dapat mengikuti program tersebut kerana had penglibatan murid adalah 75 orang dalam satu-satu masa yang mengambil masa selama 2 jam. Rugi pula rasanya jika tumpuan hanya diberikan bagi program tersebut kerana murid-murid akan ketinggalan dalam meluangkan masa di sekitar tapak permainan Sanrio Hello Kitty Town. Keputusan diambil, kami tidak turut serta dalam program tersebut jadi murid-murid punya masa yang banyak untuk bermain.

Pada hari yang dijanjikan, perjalanan dimulakan dengan bacaan doa agar dipermudahkan segala urusan. Disertai oleh 195 murid K1 dan 39 orang guru pendamping, perjalanan pagi diteruskan. Tapi seperti menjadi tema dalam lawatan kali ini, kita hanya mampu merancang. Bas 3 yang membawa murid-murid dan guru-guru dari TIPB, TKM2 dan TIB terkandas di tengah jalan. Seperti sedang menyaksikan lintas langsung filem aksi, saya di rumah turut rasa berdebar. Risau memikirkan keadaan murid-murid di dalam bas. Selesakah mereka? Panas tak sementara menanti bantuan sampai? Sempat tak mereka tiba ke Hello Kitty untuk bersama-sama dengan rakan yang lain? Handphone sentiasa ditangan menanti laporan yang dihantar oleh Guru Besar di group whatsapp. Lega hati ini bila mendapat tahu bas gantian telah pun tiba untuk mengambil murid-murid dan guru-guru. Alhamdulillah mereka sempat sampai sebelum lawatan dimulakan.

Sedikit demi sedikit gambar dari Hello Kitty dimuat naik oleh guru-guru. Seronok melihat mereka semua gembira di sana.

Tersenyum, sabar menanti masa untuk masuk ke
Hello Kitty Town

Adik.. tingginya tarik seluar tu.. takut terpijak ke
nanti masa bermain-main?

Yes... masa yang dinanti sudah pun tiba!
Pakai tag, persediaan masuk ke Hello Kitty Town.

Mari sini hulur tangannya dik..

Jangan buka tau tag ni..

Akak!! Saya tak dapat tag lagi!!
Sebelum semua peserta lawatan bergerak ke tempat yang telah ditetapkan, mereka menjalani sesi penggambaran terlebih dahulu yang akan diproses menjadi cenderahati.

Ok, senyum tengok kamera!!

Waaaahhhh!! Dapat bergambar dengan Barney!!
Antara gambar2 yang telah diberikan kepada peserta lawatan
Dari cerita yang disampaikan dan gambar yang dimuat naik, dapatlah saya tahu tiada lagi aktiviti membuat gelang dan rantai di Hello Kitty. Aktiviti mewarna kuku juga ditiadakan. Apa sahaja aktiviti hands on yang ada? Jangan risau, pelawat akan dapat membuat kotak Hello Kitty dan juga dapat membuat lencana Hello Kitty.

Setiap seorang akan diberikan kad ini

Cara-cara membuat pop up box

Kena lipat macam ni dik

Taraaaa!! Kotaknya sudah siap!!

Wah.. bersungguh nampaknya peserta veteran ini mewarna lencana! (button badge)

Proses seterusnya, melekatkan pin di lencana

Yeay! Sudah siap!!
 Aktiviti mencorakkan biskut Hello Kitty masih lagi ada.

Kali ini giliran cikgu pula nak cuba corakkan biskut

Jemput makan!!

Cantik hasilnya!!

Bercerita mengenai bab makanan, waktu rehat dibahagikan kepada tiga masa. Ruangan yang agak kecil menyebabkan murid-murid tidak dapat rehat serentak. Alhamdulillah, makanan cukup dan sedap, cuma mungkin murid teruja untuk bermain, makanannya ada yang tidak habis kerana hatinya berada di luar sana, di bahagian permainan.

Sedapnya menu makan tengahari

Ruang makan yang kecil tetapi selesa
Salah satu ruangan yang paling digemari oleh para pengunjung di Hello Kitty Town adalah Rumah Hello Kitty. Mana taknya, hiasan dalaman yang cantik, ditambah pula dengan perabot yang keseluruhannya bertemakan Hello Kitty menyebabkan murid-murid dan guru tak puas berada di dalamnya.

Comel-comel barang yang dipamerkan.

Bilik tidur Hello Kitty, seperti berada di dunia animasi. 
Murid-murid dan guru tak  lepaskan peluang bergambar di bilik tidur Hello Kitty.

Persembahan yang diadakan juga sangat menghiburkan. Cuma bagi jadual persembahan, guru-guru perlu peka, almaklumlah seronok sangat bermain bersama-sama anak murid. Ketika inilah tugas Pn Shawariah dan Puan Noor Faridah sangat diperlukan, untuk menjaga dan mengawal masa lawatan di setiap tempat.

Jadual aktiviti dan persembahan, ada dipamerkan di setiap level.

Kami dapat bergambar dengan Bob The Builder dan Wendy!!

Jom susun semula bongkah ni semua.

Ahhhh... selesanya. Duduk atas bean bags sambil tonton persembahan.

Hello Kitty dan Daniel sedang menari.

Apa agaknya yang Sir Topham Hatt sedang cakapkan tu? Mana Thomas?
 Di mana perginya Pn Norafizah dan Pn Zainun? Ha.. mereka juga sedang melaksanakan salah satu tugasan penting dalam lawatan kali ini, menyediakan cenderahati murid-murid. Bersungguh mereka sehingga sanggup bersila di atas lantai. Nampak mudah kerjanya, tetapi sebenarnya agak rumit. Ini bagi memastikan semua murid mendapat gambar masing-masing untuk ditunjukkan kepada keluarga sebagai kenangan.  

Kerja elok-elok ye Pn Fiza...

Kerjasama dua orang penting MyBistari Group. Pantas dan cekap.
Gambar sudah sedia sebagai cenderahati. Siap disusun mengikut cawangan dan kumpulan
Cenderahati istimewa tahun ini. Buku sticker dan IQ test. 

Nampak seronok kan mereka menjalani lawatan di Hello Kitty? Tipulah kalau saya katakan tiada rasa cemburu. Tak apa, tahun hadapan akan saya pasti kan saya turut serta dalam lawatan ini, Insyaallah.

Sekali lagi mereka diduga saat balik dari lawatan. Bas gantian masih tak kunjung tiba bagi cawangan TIPB, TKM2, TIB. Bagi saya yang ada di rumah tak senang duduk menanti perkhabaran terkini berkenaan bas, apatah lagi guru-guru di sana dan juga ibu bapa yang menunggu kepulangan anak tercinta. Kira-kira dalam sejam kemudian barulah bas gantian sampai. Alhamdulillah. Maaf ye ibu.. ayah.. kami pulangkan anak-anak anda semua sedikit lewat. Permasalahan ini tidak disengajakan.

Secara keseluruhannya, dari cerita dan gambar yang dikongsikan, lawatan kali ini tak kurang seronoknya. Cuma mungkin ada beberapa permasalahan yang memang tidak dapat dielakkan. Semua itu ketentuan dari Allah, secantik macam mana sekalipun perancangan yang sudah dibuat, jika Dia berkehendakkan tidak menjadi seperti yang dirancang, maka takkan jadi. Yang pasti sekiranya ada lagi lawatan ke Sanrio Hello Kitty pada tahun hadapan, saya nak turut serta!!

~Cikgu Norifah~

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Salam...
    Tahniah untuk semua cikgu terutama cikgu nurul yang menjaga puteri sy Airish sepanjang lawatan ke Hello Kitty.. anak2 semua gembira dengan lawatan ini. Terima kasih cikgu...

    ReplyDelete

Terima kasih kerana meninggalkan komen anda samada negatif @ positif. Sila berikan nama anda agar ukhwah terus terjalin.