Tuesday, January 18, 2011

RUMAH BARU

Tahun 2011 ini, saya mendirikan rumah baru bagi Tadika Pintar Bistari, namun rumah lama masih lagi sentiasa dijenguk. Ini adalah kerana terdapat masalah kapasiti untuk memuatnaik gambar-gambar. Walaupun memakan masa, tetapi insyaallah, rumah baru ini akan cuba dihias secantik mungkin. Mungkin juga memberi nafas baru sebagai permulaan 2011 bagi perjalanan yang sangat jauh, semoga saya masih tetap teguh berdiri bersama-sama warga pendidik yang lain, memikul amanah yang diberikan oleh semua ibubapa. Berbekalkan pengalaman yang tidak seberapa, dan akan sentiasa terus belajar untuk mendapatkan yang terbaik bagi "membentuk generasi bijak berilmu"

Seperti ramai yang telah maklum, tahun 2011 telah membuka lembaran baru dalam pengurusan TPB dengan pembukaan Tadika Inovasi Bestari di Taman Bukit Dahlia. Dengan penambahan Bahasa Arab serta pembelajaran multimedia, diharap dapat memberi saingan yang positif kepada Tadika Pintar Bistari walaupun di bawah pengurusan yang sama. Dengan jumlah pelajar seramai 34 orang sehingga setakat ini, saya merasakan ini adalah permulaan yang baik. Kebanyakannya adalah pelajar TPB yang dipindahkan oleh ibubapa mereka  bagi mendapatkan kelainan dalam pembelajaran. Terimakasih saya ucapkan kepada mereka kerana memberikan kepercayaan kepada kami. Namun begitu, terdapat beberapa kekurangan yang perlu kami atasi dalam masa yang terdekat ini. Alhamdulillah, dari segi prasarana, dan kemudahan pembelajaran , tiada masalah. Prestasi murid dalam 3 minggu ini juga amat memberangsangkan.

Begitulah juga dengan keadaaan di TPB, murid juga telah dapat menyesuaikan diri dengan kawan-kawan dan guru, juga telah mengerti bahawa setiap hari persekolahan perlu ke tadika untuk belajar sesuatu yang baru, yang semuanya datang dari seorang insan bernama cikgu serta mama di sekolah.

Kami sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar sentiasa diberikan ketabahan dan kesabaran yang lebih dalam menangani kerenah anak, juga rasa kasih sayang yang mendalam terhadap mereka. Bergelar cikgu tadika memberikan kepuasan yang tidak dapat dinilai dengan kata-kata apabila anak-anak kami telah pandai membaca, menulis nama dan mengira. Dari sinilah, kejayaan seterusnya dapat dicapai.  Insyaallah. 





0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana meninggalkan komen anda samada negatif @ positif. Sila berikan nama anda agar ukhwah terus terjalin.