Wednesday, January 6, 2016

SESI 2016 BERMULA


“Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang telah mencipta. Menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah! Dan Tuhanmu itu adalah Maha Mulia. Dia yang mengajarkan dengan qalam. Mengajari manusia apa-apa yang tidak tahu.” (Surah Al - 'Alaq)

Assalamualaikum.
Alhamdulillah, hari ini sudah masuk minggu kedua bagi sesi persekolahan 2016. Murid- murid sudah mula serasi dengan kawan-kawan dan juga guru-guru di tadika. Gembira rasanya menyambut mereka yang ceria setiap kali pintu van tadika dibuka. Seronok melayan celoteh mereka yang tak pernah kering dengan cerita. Awas ye ibu dan ayah.. sekarang kena berhati-hati bila bercerita, ada penyampainya di tadika nanti, hehe.

Dalam pada itu, masih juga ada segelintir murid yang sukar untuk melepaskan ibu ayah ataupun adik untuk ke tadika. Mahu tak mahu terpaksa melangkah juga masuk ke tadika dengan raungan dan linangan air mata. Pasrah namanya tu. Tak apa, Insyaallah dalam seminggu dua lagi, ok lah tu.

Sebelum bermulanya sesi persekolahan, sempat juga saya berpesan dengan guru-guru baru yang tak pernah merasai manisnya awal persekolahan. Fizikal dan mental perlu kuat. “Macam askar je, Cikgu Ifah,” katanya. Bukan macam askar, ni lebih hebat dari askar. Jangan tak tahu, hari pertama persekolahan, ada cikgu yang jadi pelari pecut, mengejar murid yang lari keluar tadika. Ada yang jadi ahli bina badan, mengangkat murid yang tak mahu bergerak. Ada jadi integrator, memujuk dan mendamaikan keadaan. Jadi artis tu biasa, menyanyi dan menari untuk menarik perhatian anak-anak murid, tolak ketepi rasa malu, asalkan murid terhibur dan tertarik untuk terus berada di dalam kelas.

Kami faham, ibu bapa teruja bila anak-anak kesayangan melangkah ke alam persekolahan, sehingga ada yang sanggup tunggu sehingga waktu balik, ada yang rakam ragam anak dari awal turun kereta hinggalah ke dalam kelas. Nak buat dokumentari katanya. Tetapi ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa:
Bagi murid-murid K2, diharap ibu bapa tidak melepaskan anak masuk ke tadika begitu sahaja. Ibu bapa perlu masuk ke dalam tadika untuk menghantar murid ke kelas dan juga untuk urusan dengan pihak van. Perkara ini sedikit sebanyak menyukarkan kami lebih-lebih lagi apabila masa pertukaran sesi.
Sekiranya ada pertukaran alamat atau nombor telefon pada saat akhir, sila maklumkan kepada pihak tadika, bukan hanya kepada pihak van. Masih terdapat ramai ibu bapa yang hanya merujuk kepada pihak van dan ini menyukarkan pihak kami untuk menghubungi ibu bapa.
Ibu bapa digalakkan untuk terus meninggalkan anak di dalam kelas selepas menghantarnya. Dari pengalaman yang lepas-lepas, anak murid akan mula menangis apabila ibu atau bapa masuk semula ke dalam kelas untuk mengucapkan selamat tinggal.
Minggu pertama selalunya murid-murid yang menggunakan perkhidmatan van akan lambat sampai ke rumah. Ini adalah kerana pihak van masih mencongak dan menyusun atur jadual perjalanan mereka. Lebih-lebih lagi yang melibatkan murid-murid baru. Pemandu perlu mengenal anak-anak ini,tempat pengambilan dan penghantaran mereka. Pening juga tau jadi pemandu ni. Bila sampai satu destinasi tu, pemandu akan tanya, rumah siapa ni? Ahmad Abu bin Ali (nama contoh) yang mana? Tapi semua tengok aje muka pemandu sambil kelip-kelip mata. Mahu tak mahu, pemandu perlu cari dan semak tanda nama yang dipakai murid-murid. Jadi ibu dan ayah, tanda nama itu sangat penting, pastikan anak anda pakai setiap hari ke tadika.

Panjang pula cerita saya kali ini, maaf saya sekadar berkongsi pengalaman dan info dengan anda semua. Semoga dengan perkongsian ini, kita akan lebih memahami tugasan dan permasalahan masing-masing. Sekali lagi, terima kasih kami ucapkan kerana memberi kepercayaan kepada kami untuk mendidik dan membentuk anak-anak ini.

Jom kita layan video pendek hari pertama persekolahan sesi 2016 ni !



~ Cikgu Norifah ~


0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana meninggalkan komen anda samada negatif @ positif. Sila berikan nama anda agar ukhwah terus terjalin.