Thursday, August 4, 2011

MENARA TELEKOMUNIKASI

10A, JALAN MAWAR 1 merupakan office pertama saya sewaktu mula-mula menceburkan diri dalam perniagaan. Sampai sekarang signboardnya masih ada di lokasi berkenaan. Di situlah saya mula belajar-belajar berniaga dengan membuka kelas tuisyen, kelas komputer dan juga sebagai pusat bahasa. Kalau B. Inggeris, saya akan 'hire; cikgu dari luar. Antaranya adalah Cikgu Adrian (seorang peguam) yang memang minat mengajar dan kelas Bahasa Inggerisnya memang menyeronokkan. Dan seorang lagi adalah Cikgu Rozreen, juga seorang peguam dan sekarang pun dahpun mempunyai lawyer firm sendiri di Taman Molek.
Kalau untuk Bahasa Jepun, sayalah cikgunya. Hai, watashiwa sensei desu.   
Di office ini jugalah tempat kami berehat setelah balik dari tadika. Waktu tu di awal penubuhan, cuma berjalan satu sesi sahaja dan muridnya adalah beberapa orang sahaja. Dan di sinilah saya berjumpa dengan anak comel ini.
Masuk ke office ini bersama bapanya. Anak comel ini malu-malu untuk bersalaman. Kulit yang putih melepak, mewarisi kulit bapanya. Dengan rambutnya yang lurus sampai ke bahu dan muka yang bersih. Muka anak-anak yang masih belum menanggung dosa. Masih terbayang wajah itu hingga ke saat ini.

"Saya nak tanya pasal tadikalah cikgu. Nak daftar tahun depan", kata sang ayah memulakan bicara.
Anak saya ni dah pandai baca. Belajar kat rumah aje". Sambungnya lagi 

Saya menguji anak kecil itu dengan memberikan sebuah majalah dan menyuruhnya membaca artikel pendek. Lalu dibacanya dengan lancar sekali. Saya tidak ingat ayat-ayat yang lain itu tapi yang masih tetap segar adalah perkataan "menara telekomunikasi" yang dibacanya dengan begitu lancar sekali. Wow, saya tergamam. Anak sekecil ini telah dapat membaca selancar ini pada usia belumpun 4 tahun waktu itu. 

Bila memasuki tadika, kepetahan dan kecerdikan anak kecil ini terserlah. Kami sentiasa membawa anak kecil ini dan juga kawan-kawannya yang lain (termasuk Kak Nini) ke demontrasi mental aritmetik @ sempoa di sekolah-sekolah kebangsaan sebab waktu itu saya aktif mempromo kelas mental aritmetik.
Cerita tentang anak kecil ini juga pernah masuk majalah dan suratkhabar dan dah tentunya menjadi kebangggan kedua ibu bapanya, En. Azli dan Pn. Raja Fauziah. 
Tapi ini cerita 12 tahun lepas. Masih segar lagi dalam ingatan saya. Kini anak kecil itu yang bernama Farhah Fakhira Azli sudah tiada lagi di dunia ini. Telah pulang menghadap Rabbnya setelah seminggu koma selepas mengalami kemalangan jalanraya berhampiran kawasan litar. Bagaimanapun, kakaknya yang pulang bercuti dari Australia waktu itu dan memandu kereta selamat dan ibunya mengalami luka-luka bahagian muka dek pecahan cermin dan juga terseliuh kaki sudah semakin sembuh sewaktu kami menziarahi keluarga allahyarhamah minggu lepas.   Memang benar janji Allah,

Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (TMQ Al-Munafiqun (63):11)

Melihat menara telekomunikasi, teringat cikgu akan kamu. Farhah Fakhira Azli, semoga kamu berasemadi bersama orang-orang yang soleh dan solehah. 

Al-fatihah juga buat sahabat perjuangan saya telah pulang ke rahmatullah minggu lepas. Allahyarhamah tabah mengharungi penyakit kanser yang dihidapinya selama 7 tahun. Namun dalam kesakitan itu, beliau masih istiqamah dalam dakwah dan perjuangan Islam. Semoga Allah merahmati beliau.

Firman Allah SWT: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”. [TMQ Ali 'Imran (3) : 185].

SAYA DAN ANDA BILA LAGI? 
                                                        MUHASABAH DIRI

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana meninggalkan komen anda samada negatif @ positif. Sila berikan nama anda agar ukhwah terus terjalin.